4 Apr 2009

BUKIT GANTANG : Keputusan Mahkamah Padam Isu Derhaka

Calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin melahirkan rasa syukur apabila permohonan beliau untuk mencabar proses perlantikan Menteri Besar baru iaitu Dato' Dr Zambry Abdul Kadir berjaya diluluskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Kini tiada lagi istilah derhaka terhadap sultan kerana kita akan hanya membicarakan kes perlantikan Menteri Besar ini menurut prosedur perundangan," ujarnya kepada pemberita di program Khidmat Kesihatan di Kampung Baru Jelutong, Changkat Ibol baru-baru ini.

Tegasnya, meskipun terdapat pelbagai halangan dan rintangan termasuklah tindakan peguam negara untuk memutarbelitkan isu dan fakta, namun ia sedikitpun tidak menjejaskan kebenaran yang bakal terbukti.

"Walaupun pada peringkat awal terdapat pelbagai tuduhan dan fakta yang cuba diputar belit oleh peguam negara tetapi kita bersyukur selepas Hakim Abdul Rahim mengumumkan keputusan bahawa kes ini akan diteruskan," tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan tersebut telah melenyapkan isu derhaka yang dipalitkan terhadapnya oleh Umno-BN setelah berlakunya peristiwa perlantikan Zambry.

"Dengan keputusan ini juga menyebabkan tuduhan mengenai derhaka kepada sultan hancur berkecai kerana isu tersebut tidak pernah timbul, tiada kena mengena dengan pihak istana.

"Kini apa yang ada hanyalah kes bagi membuktikan pelantikan Zambry sah ataupun tidak," katanya lagi.

Pada majlis yang sama, beliau diperiksa tahap kesihatan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas calon PAS parlimen Bukit Gantang pada pilihan Raya Umum ke-11 lalu, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali.

Nizar tersenyum mendengar keputusan pemeriksaan tekanan darah beliau oleh Lo'Lo' sebagai stabil dan baik.

Ia disertai tepukan gemuruh penyokong dan penduduk yang hadir meskipun hujan sedang turun dengan lebat.


Tiada ulasan: