25 Mac 2009

PNSB Ibarat 'Cashier' Untuk Balkis

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dilabelkan sebagai 'cashier' (juruwang) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Teng Chang Khim pada sesi petang Pendengaran Awam Balkis berkata ini berikutan amalan anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu yang menurut saja arahan atau permintaan Badan amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis) untuk menyelesaikan pembayaran atau memberi sumbangan berkaitan dengan aktiviti atau program anjuran badan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datin Khairiyah Abu Hassan memberitahu panel Selcat, adalah menjadi amalan biasa bagi pengurusan syarikat tersebut untuk melunaskan ataupun menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit setiap kali diminta berbuat demikian oleh Yang Dipertua (YDP) atau Setiausaha Kerja badan berkenaan.

Ahli panel Selcat, Saari Sungib, yang juga Adun Hulu Kelang turut mengulangi kesimpulan yang dibuat bahawa PNSB sememangnya berperanan seperti juruwang ketika itu apabila bil-bil Balkis yang berjumlah begitu kecil serendah RM180 untuk membeli bakul hadiah pun terpaksa dibayar oleh syarikat tersebut.

Sepanjang tahun 2002 sehingga 2007, PNSB telah menanggung atau menaja kebanyakan program serta aktiviti yang dianggap mengamalkan pembaziran dan gaya perbelanjaan mewah.

Selcat diberitahu, antara pembelanjaan atau sumbangan yang dilakukan oleh PNSB termasuk:

- Membayar sejumlah RM4,000 bagi membeli sehelai jaket berjenama "Summer Men" sebagai cenderahati kepada mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo dalam satu majlis menyambut Tahun Baru Cina pada tahun 2004

- Perbelanjaan berjumlah RM17,000 bagi membeli tiket penerbangan serta penginapan dalam satu lawatan ke Bukit Tinggi, Indonesia yang diketuai oleh YDP Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik dan turut disertai Khairiyah sendiri.

- Membayar RM13,000 bagi majlis berbuka puasa anjuran Balkis dimana pembayaran tersebut adalah bagi pembiayaan jamuan dan juga bayaran penyanyi.

- Menaja meja makan satu majlis makan malam anjuran Balkis berjumlah RM25,000

- Menaja RM338,547.97 untuk sukan tahunan anjuran Balkis pada tahun 2007 lalu.

Khairiyah juga ditegur oleh ahli panel Selcat kerana tidak mengamalkan pengurusan korporat yang telus dan cekap.

Selcat juga mendapati berlaku pembayaran kepada Balkis yang tidak mengikut prosedur syarikat di samping wujudnya tindakan membuat pindaan kepada baucer pembayaran menggunakan tulisan tangan tanpa ditandatangani untuk pengesahan.

Beliau juga kelihatan keberatan untuk menjawab atau mengesahkan samada beliau sebenarnya mengikut arahan daripada Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo ketika Selangor di bawah pemeritahan BN apabila diminta berbuat demikian oleh ahli panel Selcat.

-tvantara



Tiada ulasan: