22 Feb 2009

PM Boleh Didakwa

Parti Tindakan Demokrat Perak memandang serius kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyarankan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar yang melarangnya menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak telah membuat keputusan bersandarkan kepada undang-undang tubuh negeri Perak dan juga undang-undang yang sedia ada.

“Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bertindak menghina Jawatankuasa tersebut.

“Tindakan boleh diambil ke atas beliau,” katanya semalam sewaktu melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Abdullah.

Jumaat lalu, Abdullah telah menyarankan Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan para exco untuk menghadiri sidang DUN seperti biasa sekalipun telah menerima arahan dihalang dari menghadirinya oleh Speaker V. Sivakumar.

Zambry digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN.

Speaker DUN Perak itu mengumumkan keputusan tersebut selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

“Bahagian 3 dari Enakmen Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (Hak) 1959 telah dengan jelas menyatakan tiada sesiapa pun dari ahli dewan undangan negeri yang boleh dikenakan tindakan atau dakwaan jenayah, tangkapan, tahanan atau ganti rugi terhadap apa-apa tindakan atau perkataan yang dilakukan oleh mereka di dalam dewan undangan negeri atau mana-mana jawatankuasa,” tambah beliau.

Beberapa orang peguam turut menyatakan perkara yang sama dimana tidak ada sesiapa pun yang boleh bertindak untuk membantah keputusan Speaker berkenaan kerana ia adalah hak beliau menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

"Sekalipun ia dilihat seperti tidak memperakui perkenan Sultan terhadap perlantikan Menteri Besar dan exco dari Barisan Nasional, namun keseluruhan proses perlantikan itu masih lagi diragukan dan berdasarkan undang-undang tubuh negeri Perak, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin masih tidak boleh dipertikaikan apa tah lagi kini Datuk Seri Nizar telah pun memfailkan saman mencabar perlantikan Dato' Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur," demikian kenyataan seorang peguam.

"Malah laporan polis terhadap Sivakumar juga tidak boleh dianggap sah dan polis tidak berhak untuk menjalankan siasatan kerana tidak ada peruntukan di dalam mana-mana undang-undang yang membolehkan polis mendakwa tindakan Speaker berkenaan," tambahnya.

"Adalah lebih baik Polis menjalankan siasatan terhadap laporan yang telah dibuat Sivakumar sendiri yang telah menerima ugutan dibunuh. Itu memang sah bidangkuasa polis, bukan siasat benda-benda yang semata-mata menyentuh politik untuk menyelamatkan UMNO."



1 ulasan:

Prof. Era Pasca berkata...

pak lah ape tau.... die tido mase ranpasan kuase... nnt die kene rampas kuase ngna najib die tau la neraka jauh dekat...