19 Jun 2008

Isu Konsert Ella dan Mas Idayu: Tegas Tetapi Tidak Bijaksana

Banyak juga email yang GB perolehi yang meminta GB mengulas isu konsert Ella dan Mas Idayu anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd yang dijadual 6 Julai di Shah Alam. Sebahagiannya telah dijawab di dalam Isu Semaaa dan Irama Malam di radio TKO.fm jam 10.00 malam tadi.

Konsert itu, yang dilaporkan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri.

Ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum itu kepada setiausaha politik menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.

Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.

Ok itu isunya.

Untuk menangani masalah ini, kita perlu berbalik kepada soal pokok. Kerana kita tidak boleh membedah di pinggiran jika tidak mengetahui apa sebenarnya "penyakit" yang dihidapi.

Persoalan pertama, "hiburan" - apakah ianya bertentangan dengan Islam? Sudah pasti jawapannya TIDAK. Dalilnya? Cukuplah GB membawa satu hadis di sini:

"Dari Aisyah r.a, bahwa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan." (Riwayat Bukhari)

Ia akan merenteti persoalan kedua - apakah "konsert" itu bertentangan dengan Islam? -jika muzik di benarkan maka wajarlah konsert itu juga dilihat tidak salah. Alasannya:

Kita ambil contoh seperti Konsert Mawi yang diadakan di Kelantan semasa peristihaharan Kota Bharu Bandaraya Islam pada 30 September dan 1 Oktober 2005. Bila ura-ura Kerajaan Negeri Kelantan menjemput Mawi untuk menjayakan konsert di Kelantan, ia telah menimbulkan rasa tidak senang hati ramai ahli Pas dan masyarakat umum amnya. Malah Dewan Ulama Pas Pusat sendiri berharap agar konsert berkenaan tidak dilaksanakan di Kelantan. Ia telah menimbulkan perbincangan yang hangat baik oleh penyokong Pas dan Kerajaan. Ramai yang menpertikai kewajaran Pas yang mentadbir Negeri Kelantan menjemput Mawi mengadakan konsert di sana.

Kerajaan Negeri Kelantan dan Pas di cemuh, di ejek lantaran bikin tak serupa cakap. Kerana terdahulu telah membantah akan program Akademi Fantasia tetapi menjemput juaranya mengadakan konsert di Kelantan. Ketika itu Kelantan di katakan tidak berpendirian, membazir, mengadakan program menjurus perkara maksiat malah telah di samakan dengan program-program lalai dan berbentuk maksiat anjuran kerajaan. Malah lebih teruk lagi pada ketika itu Pas di tuduh tiada bezanya dengan BN.

Dan konsert diteruskan. Kelantan bawa konsert Mawi tapi packagenya siap dengan solat berjemaah bagi pengunjung sebelum konsert, pengasingan pengunjung lelaki dan wanita dan di selitkan tazkirah peringatan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebelum konsert bermula. Sikap "fatonah" Rasulullah diwarisi oleh TG Nik Abdul Aziz tetapi gagal dihayati oleh sesetengah ahli dan pimpinan PAS yang berhiruk-pikuk pada awalnya menentang konsert berkenaan.

Berbalik kepada isu konsert di Selangor yang bakal diadakan.

Kemungkinan ada yang menempelak GB: Mawi lain, ini konsert Ella dan Mas Idayu! Suara perempuan kan aurat? Dan pelbagai lagi hujjah. Dan golongan yang menempelak inilah juga sebenarnya golongan yang "menempelak" TG Nik Aziz sewaktu konsert Mawi dahulu.

Sekalipn persoalan samada suara perempuan itu aurat ataupu tidak, ia adalah perkara khilafiyah, jika tidak masakan ada hadith ini:

"Dan dari Aisyah r.a. sesungguhnya Abubakar pernah masuk kepadanya, sedang di sampingnya ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Idul Adha), sedang Nabi s.a.w. menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka diusirlah dua gadis itu oleh Abubakar. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abubakar Biarkanlah mereka itu hai Abubakar, sebab hari ini adalah hari raya (hari bersenang-senang)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Settled.

Dan apakah langkah Pemuda PAS Selangor itu salah? Saya tak kata demikian. Tetapi saya katakan "kurang bijak". Kerana sepatutnya Pemuda PAS Selangor tidak membantah secara total konsert berkenaan, tetapi berhemah dalam ertikata menasihati dan menyediakan alternatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor jika benar alasan yang dberikan oleh mereka itu sah dan boleh berlaku.

Katanya: persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi. Saya ingin bertanya, apa itu risiko? Ertinya "kemungkinan buruk" - ia kemungkinan. Mungkin berlaku mungkin tidak. Berlaku jika dibiarkan berlaku, tidak berlaku jika ada langkah tertentu diambil untuk elakkannya.

Justeru itu yang sepatutnya diambil ialah bukan "MEMBANTAH" tetapi "MENYOKONG DISERTAI DENGAN CADANGAN MEMPERELOKANNYA SUPAYA MEMATUHI HUKUM SYARIAT".

Ini soal diplomasi. Ini soal bijaksana. Prinsipnya jelas bahawa Islam tidak menghalang muzik, tidak menghalang konsert tetapi perjalanannya perlu diperbaiki supaya tidak mengundang apa ang dikatakan "risiko moral" seperti mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah berikut:

1) Membuat pengasingan penonton diantara lelaki dan perempuan.
2) Menghormati waktu solat dengan mendirikan solat berjemaah
3) Amat bangga dan rasa gembira jika dberikan ruangan menyampaikan tazkirah
4) Penyanyi yang ditampilkan disyaratkan menutup aurat
5) Jika no (4) tidak dapat dipenuhi, ditukarkan kepada penyanyi lain yang bersedia untuk mematuhi syarat itu atau menukarkan kepada penyanyi lelaki atau kumpulan nasyid
6) Tiada acara yang menjurus kepada pembaziran dan perlanggaran hukum Allah seperti kawalan tingkahlaku remaja serta halangan membawa sebarang minuman yang memabukkan dan seumpamanya.
7) Mengizinkan risalah peraturan dan syarat penonton diedar dan disampaikan terlebih awal sebelum konsert dimulakan di dalam usaha mendidik masyarakat untuk menghayati Islam yang syumul.

Kita mesti sedar, kita tidak boleh menyamakan tahap keimanan orang lain menyerupai kita. Apa tah lagi kerosakan yang telah berlaku berdekad lamanya hasil dari kurangnya didikan ke atas masyarakat terhadap nilai-nilai luhur yang bersendikan syariat yang telah dipasang sekian lama oleh musuh-musuh Islam yang disemarakkan pula oleh pemerintah sebelum wujudnya kerajaan Pakatan Rakyat. Di sini cabaran sebenar seorang da'i bermula.

Jadi, kenapa riuh dengan bantahan secara total tanpa justifikasi yang benar dari sudut hukum dan lebih malang tiada lansung dikemukakan alernatifnya terlebih dahulu?

Tiada ulasan: