9 Mac 2008

Azizan terima watikah perlantikan sebagai MB Kedah

Pesuruhjaya PAS Kedah Azizan Abdul Razak menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar yang baru daripada Sultan Kedah di sini, petang Ahad.

Istiadat yang berlangsung di Wisma Darul Aman disaksikan Raja Muda, bekas Menteri Besar

Datuk Seri Mahdzir Khalid dan para Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya umum pada hari Sabtu.

Azizan, 64, dilantik Menteri Besar setelah menerajui pakatan parti pembangkang yang berjaya menumbang Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

PAS memenangi 16 kerusi, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) empat kerusi dan masingmasing satu oleh DAP dan calon Bebas manakala BN menguasai 14 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan pembangkang antara PAS dan PKR buat pertama kali dalam sejarah Kedah membentuk kerajaan campuran setelah menumbangkan BN yang menguasai 31 kerusi DUN pada pilihan raya umum 2004.

Bagi 15 kerusi Parlimen di Kedah yang diumumkan semalam, PAS menang di enam kawasan, PKR lima dan BN hanya empat.

Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti AlAzhar dan Undang-undang dari Universiti of Kent, United Kingdom, ialah bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan anggota jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau kali pertama bertanding dan memenangi kerusi DUN Sala pada pilihan raya umum 1999 dan mempertahankannya pada 2004 apabila ditukar menjadi Sungai Limau.

Pada pilihan raya umum ini, Azizan menewaskan calon BN, Basori Abu Hassan di DUN Sala dengan majoriti 3,212 undi. Azizan memperoleh 12,028 undi.

Tiada ulasan: