11 Ogo 2012

[BERGAMBAR] Monorel Terkandas Di Ibu Kota, 183 Terperangkap


Monorel terkandas di hadapan Wisma Monorail, Jln Tun Sambathan Brickfields, Kuala Lumpur. Dianggarkan lebih 100 orang terperangkap... Kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan oleh Bomba.Mari Doakan semoga semuanya selamat .

Monorel KL rosak, 183 penumpang cemas

KUALA LUMPUR - Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.

"Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - Bernama









foto: ondscene.my/bernama



Gambar Berbicara: Anda Mampu Menilainya!








BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!



Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[DEDAH] Mahathir Dalang Projek IC/Mykad Di Sabah Semasa Beliau PM

Parti-parti politik Sabah ‘seperti mati’ selepas era Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Parti-parti politik di Sabah seperti “sudah mati” selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa menjadi perdana menteri dengan kehadiran ramai pendatang tanpa izin ke negeri itu, kata timbalan pengerusi Parti Perubahan Negeri (Star), Daniel John Jimbun.

Beliau mendakwa projek IC Dr Mahathir telah menyebabkan ramai warga asing menjadi pengundi dalam pilihan raya dan kepentingan penduduk asal tidak lagi diambil kira.

“Kenyataan Dr Mahathir pada hari Rabu yang lalu tentang warga asing yang sudah tinggal di Sabah harus mendapat kewarganegaraan sangat membahayakan, dan Star mencabar parti-parti komponen BN di Sabah supaya keluar agar dapat membela warga tempatan,” katanya lagi.

“BN Sabah tidak seharusnya mempertahankan kenyataan Dr Mahathir, kerana kenyataan ini mendahului Suruhanjaya Di Raja (RCI) mengenai isu ini,” kata Jimbun lagi.

Katanya, dalam tulisan blog terbaru, Dr Mahathir seolah-olah menghalalkan mereka untuk datang ke negeri Sabah dan seterusnya mengenepikan warga asal Sabah.

“Seharusnya kita mempunyai Perlembagaan yang baru untuk tahun 1963, tetapi sebaliknya Perlembagaan yang digunakan adalah Perlembagaan Malaya yang kemudiannya ditukar menjadi Perlembagaan Malaysia.

“Tulisan beliau dalam blog menunjukkan beliau terlibat dalam Projek IC yang memberi MyKad kepada warga asing tanpa izin di Sabah,” kata Jimbun lagi.

Jimbun memberi contoh seperti Majid Kani yang dilahirkan di Tamil Nadu, dan tidak pernah tinggal di Sabah lebih dari sepuluh tahun mengikut perjanjian semasa Sabah menyertai Malaysia, namun diberikan MyKad dan dibenarkan mengundi.

“Pendatang tanpa izin tidak seharusnya diberikan kewarganegaraan hanya kerana kebolehannya bercakap bahasa Malaysia, tetapi kewarganegaraan harus diberi jika dia hanya memasuki negara ini dengan sah dan bukan dari jalan belakang,” kata Jimbun lagi.

Jimbun bagaimanapun berkata, pendatang tanpa izin ini perlu diberi pengampunan dan dilayan dengan penuh kemanusiaan, seperti menghantar mereka pulang, atau hanya mengenakan denda sekurang-kurangnya RM300 seperti di tahun 1965 di Semenanjung Malaysia, dan nama mereka perlu dibuang dari senarai pemilih pilihan raya.

“Adalah lebih baik pengampunan ini dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-13 sejak banyak nama mereka berada dalam senarai pemilih, bahkan mereka ini ada yang bekerja dalam sektor kerajaan, termasuk di Jabatan Tanah dan memegang jawatan di jabatan-jabatan negeri dan persekutuan,” kata Jimbun lagi. -TMI


Mahathir: RCI Sabah tak perlu

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing diberikan kerakyatan atau lebih dikenali sebagai ‘Projek IC' di Sabah, tidak perlu.

"Mereka berhak minta kerakyatan. Saya harap kita tak ada usaha untuk keluarkan mereka.

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu.

"Pembangkang akan mengatakan perkara ini dimanipulasi dan jika tidak kerajaan yang akan dipersalahkan," katanya.

Selain itu, bekas perdana menteri yang berkhidmat kira-kira 22 tahun itu berkata, beliau sebelum ini juga pernah didakwa menjadi dalang memberikan kerakyatan kepada pendatang asing.

"Saya dituduh kononnya untuk bawa orang ini. Kita tak payah bawa, mereka datang sendiri. Mereka bukan orang asing.

"Mereka dah tinggal di Sabah sekian lama. Mungkin mereka rasa Sabah lebih selamat sebab itu mereka tinggal di sana," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas tema 'Janji Ditepati', Mahathir berkata, menjadi hak kerajaan sama ada ingin menggunakan tema itu atau tidak.

"Tema pembangkang itu tunjuk mereka sedang keliru tak tau nak buat apa. Tak apalah itu pembangkang.

"(Janji Ditepati) Itu kerajaan punya hak nak buat keputusan slogan yang dia guna. Kalau janji, mestilah kena tunaikan," kata Dr Mahathir.
-mk


Ulasan GB

Patutlah TDM kata RCI tidak perlu, rupanya beliau sudah tahu bahawa RCI akan membongkar skandal pemberian Mykad yang telah berlaku sejak beliau jadi PM lagi.

Bukti keresahan TDM ialah jawapannya ini:

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu."

Bangun rakyat Sabah, tolak BN pada PRU13 nanti!

Mengapa Polis Terang-terangan Beri Layanan Istimewa Kepada Shahrizat?

Gesa KPN jawab mengapa Shahrizat dapat layanan istimewa polis

KUALA LUMPUR 10 Ogos: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mempersoalkan layanan istimewa polis terhadap pimpinan Umno semasa hadir ke perbicaraan mahkamah.

Katanya, Umno menggunakan polis seperti pasukan keselamatan peribadi mereka apabila mengawal ketat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang hadir ke mahkamah pagi semalam.

“Umno gunakan polis umpama pengawal keselamatan peribadi. Mengapa pimpinan Umno boleh dapat layanan istimewa seperti yang diperolehi Shahrizat?” tulis Surendran dalam twitternya.

Berikutan itu, beliau mahu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar menjawab berhubung perkara ini.

“KPN mesti jelaskan mengapa pimpinan Umno seperti Shahrizat boleh dapat eskot polis bila hadir ke mahkamah. Mengapa ada layanan istimewa?" soal Surendran lagi.

Terdahulu, sekumpulan polis berkawal di luar mahkamah menyambut ketibaan Shahrizat bersama konco-konconya, sebelum mengiringi beliau masuk ke mahkamah.

Turut serta, penyokong-penyokong beliau termasuk kalangan Wanita Umno diangkut menaiki van ‘Skuad Sayang’ untuk memenuhi ruang mahkamah. -KD



[VIDEO] Nelayan Bantah Projek Kolam Udang Milik Noh Omar

Tanjong Karang : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.

Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
-selangorku





KPN Perlu Hormat Mahkamah Yang Isytiharkan BERSIH & Pakaian BERSIH Tidak Haram

Janji Bersih bukan politikkan Merdeka - Pak Samad

Kuala Lumpur: Datuk A.Samad Said menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka 30 Ogos ini sebagai cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.

"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.

"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.

Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.

"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.

"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.


Ulasan GB

KPN perlu jelas bahawa tidak ada unsur politik di dalam program JANJI BERSIH kerana ia dibuat bersama 26 kelompok NGO. NGO bukan parti politik.

Dan lagi, KPN perlu menghormati keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan bahawa BERSIH bukan pertubuhan haram. Dan pemakaian baju BERSIH berwarnna kuning tidak salah di sisi undang-undang. Lihat berita-berita yang dilampirkan ini:

Bersih 2.0 Bukan Pertubuhan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan Bersih 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.

Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.

"Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional," katanya.


Rohana berkata alasan mengeluarkan pengisytiharan mengikut Sekysen 5 Akta Pertubuhan 1966, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman oleh menteri (responden pertama Hishammuddin), tidak boleh berubah dalam tempoh beberapa hari.

"Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011," katanya.

Pada 8 Julai tahun lepas, Ambiga dan 13 anggota berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Hishammuddin yang mengisytiharkan gerakan itu sebagai pertubuhan haram.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Selain memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan perintah itu, mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Rohana berkata walaupun boleh dikatakan Bersih 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud memudaratkan keselamatan sebelum perintah itu dibuat, ia tidak boleh menjadi kes seminggu, kerana selepas itu alasan berkenaan tidak lagi sah atau digunakan.

Rohana berkata mahkamah juga turut menimbangkan notis kehakiman kenyataan awam menteri (Hishammuddin) yang membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau menekankan bahawa keputusan untuk mengharamkan Bersih 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.

Selain itu, beliau berkata tiada tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan terhadap pemohon walaupun mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan itu selepas menteri membuat pengisytiharan.

"Secara ringkas, Bersih 2.0 tidak boleh menjadi sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud menjejaskan keselamatan pada 1 Julai 2011, kemudian tidak lagi seminggu selepas itu. Malah sekiranya ia adalah sedemikian, jadi pengisytiharan itu harus diketepikan sewajarnya,"
kata Rohana.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata beliau perlu mengkaji penghakiman bertulis itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, Bersih 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram.
-mstar


Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskan tanpa melepaskan dua ahli PAS yang ditangkap di Rompin 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0.

Mohd Fadzli Ramly, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Ketika dihubungi, Mohd Fadzli berkata beliau masih belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahkamah masih belum memulangkan baju-T yang dirampas daripadanya sebelum ini.

"Ini tuduhan mengarut dibuat akibat rasa terdesak kerajaan Umno dan BN hendak menyusah dan menakut-nakutkan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami akan ambil tindakan saman ke atas kerajaan," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sebelum ini mereka dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana memakai baju sebuah pertubuhan haram.

Pendakwaan dilakukan ketua unit pendakwaan negeri Pahang, Kalmizah Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-duanya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, turut meraikan pembebasan mereka ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong dan ahli-ahli PAS.
-HD





10 Ogo 2012

[VIDEO] Budak Bawah Umur Rompak Kafe Siber

Macam tak percaya pula melihat sekumpulan remaja yang semuda ini boleh bertindak mengalahkan samseng, merompak dan menghunuskan pisau pada mangsa mereka tanpa rasa takut pada Tuhan, pada undang-undang.

Apalah perasaan ibu bapa mereka kalau melihat perbuatan biadap dan kurang ajar permata hati mereka ini

Mungkin depan famili, pijak semut pun tak mati tapi hakikatnya mereka adalah penjenayah yang sanggup berbuat apa saja demi mencapai matlamat untuk dapat wang secara mudah.

Apalah nak jadi pada remaja sekarang….- Mynewshub



Mahathir Tak Habis-habis Kutuk Pak Lah Untuk Tutup Kesalahan Sendiri

Di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil dalam waktu terdekat, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kekurangan besar yang sedang dilalui Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ialah beliau mewarisi sebuah kerajaan yang lemah.

"Masalah di sini bukan Najib... beliau pemimpin sebuah kerajaan yang lemah," kata Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada Oktober 2003.

Bercakap kepada Bloomberg, Dr Mahathir berkata, sebarang bentuk berpaling tadah akan menyebabkan "BN kalah dalam pilihan raya akan datang."
BN, perikatan 13 parti memerintah Kerajaan Pusat sejak negara merdeka. Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 31 Ogos ini. Ia akan disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Kajian Merdeka Center bulan lalu menyebut bahawa Najib, Perdana Menteri yang keenam, masih menikmati paras populariti 'stabil' yang positif.

Bulan lalu, dua ahli Parlimen BN dari Sabah mengisytiharkan tindakan memutuskan 'hubungan dengan parti masing-masing. Empat tahun lalu parti komponen BN di Sabah, Sapp telah keluar daripada perikatan tersebut.

Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 - setahun selepas PRU12, yang menyaksikan BN hilang majoriit dua pertiga di Parlimen selain kehilangan kuasa kerajaan di empat lagi negeri.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata, rakan Umno dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC telah berhadapan dengan masalah kepimpinan sehingga menyebabkan perikatan itu lemah.

Pun begitu menurut beliau, kedudukan BN lebih baik berbanding 2008.

"Najib lebih popular sekarang," kata Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno.

"Sebelum ini, rakyat bukan menentang BN, tetapi mereka marah dngan perdana menteri sebelum ini, keluarganya dan menantunya," kata beliau dengan merujuk kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. -SH

Ulasan GB

Itulah di antara perangai buruk Mahathir yang nyata, terus-terusan menyalahkan orang lain (Pak Lah) tetapi tidak mahu menyalahkan diri sendiri yang telah melantik Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Sedangkan tanpa menyedari, hakikatnya, apa yang beliau hamburkan kini ialah memaki dan mengutuk dirinya sendiri kerana perlantikan beliau yang salah itu.

Nampaknya, Mahathir akan mati sebagai seorang pendendam dan sebagai seorang yang kecewa, dan berkemungkinan ia adaslah balasan dari sikap kediktatorannya sendiri yang tak pernah mahu diakuinya disamping keangkuhannya sehingga sanggup menempelak hukum Allah dan peribadi Rasulullah sewaktu beliau beriya-iya hendak menyerang PAS sewaktu pemerintahannya.

Dan jangan lupa beliaulah PM yang telah menyekat pembangunan ke negeri Kelantan dan menghapuskan royalti untuk digantikan dengan wang ehsan!

Blogger Sharpshooter Dibebaskan & Akan Dibicarakan Semula Isnin


Blogger Sharpshooter (Amizudin Ahmat) dibebaskan jam 4 petang tadi, akan dibicarakan semula Isnin ini untuk menangguhkan hukuman penjara tiga bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah.

Beliau dikatakan didapati bersalah menghina mahkamah apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bernama melaporkan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof semasa menyampaikan keputusan itu berkata Amizudin telah melanggar perintah mahkamah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Rais dalam laman blognya.

"Ini satu kes penghinaan yang serius, mahkamah kenakan perintah custodial selama tiga bulan penjara, berkuatkuasa hari ini," katanya.

Beliau berkata jika dilihat keseluruhan kes itu, penghinaan yang dilakukan Amizudin bukan sekali berlaku, tetapi beberapa kali dan ia bukan satu perkataan yang boleh diterima.

"Saya nak baca perkataan itu pun, tidak tergamak," katanya.

Selepas Zabariah membacakan keputusannya, Amizudin yang berada di luar kandang tertuduh bangun dan berkata: "Saya mengaku saya silap, saya memohon maaf, saya tidak faham".

Zabariah berkata jika tidak faham mengenai perintah mahkamah, Amizudin sepatutnya bertanyakan kepada peguamnya terutama apabila membabitkan kes pelanggaran perintah mahkamah.

Selesai prosiding, Amizudin yang kelihatan sedikit terkejut dengan keputusan mahkamah itu memeluk peguamnya Ahmad Nizam Hamid dan dia kemudiannya dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah untuk urusan ke penjara.

Pada 21 November tahun lepas, Rais, 70, diberi kebenaran untuk memulakan prosiding pemenjaraan terhadap Amizudin berhubung dengan saman yang difailkan olehnya.

Pada 19 Julai tahun lepas, Rais memenangi saman beliau dan blogger itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada menteri itu.

Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan, 2011, terhadap Amizudin, 42, yang merupakan anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagi memfitnah berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember, 2010.

Terdahulu, Ahmad Nizam dalam rayuan bagi hukuman ringan memohon mahkamah supaya tidak mengenakan hukuman penjara ke atas anak guamnya dengan mengambil kira bahawa Amizudin telah memohon maaf atas kesalahannya.

Bagaimanapun peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais berhujah bahawa artikel yang dikeluarkan itu bukan sekali tetapi 11 kali.

"Kalau buat sekali, kita mungkin anggap dia tersilap, ini 11 kali, dalam membuat rencana penghinaan itu, contemnor (seseorang yang telah melakukan penghinaan mahkamah) juga telah tulis dengan jelas bahawa dia sedar ada perintah mahkamah yang melarang dia daripada tulis sedemikian".

Muhammad Shafee memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman penjara ke atas Amizudin sebagai pengajaran kepadanya dan juga kepada bakal pesalah yang lain.

Kes Syaleza: Suami Didakwa Bunuh Eksekutif TV9

Petaling Jaya - Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Gambar: Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.- Bernama

[BERGAMBAR] Atlet Berpuasa Raih Pingat Emas Di Olimpik 2012


Atlet warga Britain yang berasal dari Somalia iaitu Mohammad Farah atau lebih dikenali dengan gelaran Mo Farah telah memenangi pingat emas acara larian 10,000 meter di Olimpik London 2012.

Mo Farah berkata “Selama Ramadhan, saya berpuasa, meski hal itu bukan sesuatu yang mudah bagi olahragawan”.

LONDON – Mo Farah menciptakan sejarah baru ketika mampu habis di tempat pertama acara marathon 10 ribu meter lelalki. Pelari keturunan Somalia itu meraih pingat emas dengan mencatatkan waktu 27 minit 30,42 saat. Sementara pingat perak diraih oleh pelari AS, Galen Rupp dan pingat gangsa dimenangi Tariku Bekele dari Ethiopia.

Dengan puluhan ribu penonton yang memenuhi Stadium Olimpik, London, bersorak-sorai menyambut prestasi atlet tuan rumah tersebut.

Ini kerana pencapaian Farah itu merupakan prestasi tertinggi Britan di pesada Olimpik. Dia mengungguli dua atlet Britan sebelumnya, Mike McLeod dan Liz McGolgani yang merebut perak pada Olimpik 1984 dan 1988.

“Selama Ramadhan, saya berpuasa, meskipun hal itu bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang olahragawan. Itu cukup menyulitkan ketika saya terpaksa berlatih keras,” ujar Farah. “Tapi saya tetap melakukannya. Hal itu berfungsi sebagai pengawal diri.” -republika





[BERGAMBAR] "Qiam With Me" Bersama Sultan Kelantan


Sejarah negeri Kelantan sekali lagi tercipta 'Qiam with me' bersama Sultan Kelantan di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan Serambi Mekah....

Istana bukan tempat kemegahan...sebaliknya menjadi tempat pengabdian diri kepada Allah... Tahniah Sultan Kelantan... rakyat Kelantan mencari Lailatul Qadr bersama Sultan di Istana Kelantan....
















Ribuan sertai qiam bersama Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Ribuan rakyat negeri Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menghidupkan Ramadhan bersama Sultan Kelantan dalam program Qiam With Me di Istana Negeri di sini malam tadi.

Program julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan luar biasa rakyat yang mahu bersama sultan kesayangan mereka Sultan Muhammad V.

Suasana malam tadi menyaksikan Dewan Jubli Perak, di Istana Negeri, Kubang Kerian itu penuh malah kesemua khemah diluar dewan juga sesak.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat Terawih bersama Sultan Muhammad V.

Turut hadir pada program itu, saf kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus sebelum masing-masing diberikan masa untuk berehat.

Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.
-HD


[BERGAMBAR] Atlet Wanita Arab Saudi Diberi "Standing Ovation" Di Olimpik, London


Kata orang, kemenangan bukanlah perkara utama, namun lebih penting ialah penyertaan dalam sesuatu acara sukan. Dalam hal ini, Sarah Attar diberi penghormatan dan tepukan gemuruh oleh penonton di stadium ketika menyertai acara larian 800 meter di Sukan Olimpik London.

Standing ovation yang diberikan kepada Sarah bukanlah kerana dia menang acara itu, namun dia merupakan atlet wanita pertama yang mewakili Arab Saudi dalam acara di trek di Olimpik.

Penyertaan Sarah merupakan saat bersejarah apabila Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi membenarkan atlet wanita negara itu menyertai Sukan Olimpik di London.

Sarah menamatkan larian sebanyak dua pusingan trek itu hampir 45 saat di belakang pemenang acara itu, iaitu atlet Kenya, Janeth Jepkosgei Busienei yang menamatkan larian pada catatan 2 minit 01.04 saat.








Sarah, 19, merupakan pelajar seni di Pepperdine University di Malibu, California. Dia memiliki dua kerakyatan dan memilih untuk mewakili Arab Saudi, negara asal bapanya. 

Bercakap selepas acara larian itu, dia berkata "Peluang mewakili Arab Saudi merupakan suatu penghormatan dan amat membanggakan. Saya harap penyertaan ini dapat memberikan impak yang besar."


Mengikut rekod, catatan yang dibuat oleh Sarah dalam acara yang 800 meter di Olimpik ini 4 saat lebih perlahan daripada catatan peribadinya. Namun begitu, atlet ini diberitakan lebih gemar acara 1500 meter berbanding dengan acara 800 meter. -DCM












Tahniah Pandelela! Kutip Gangsa Untuk Negara

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong membawa berita gembira dengan menambah satu lagi pingat - gangsa dalam temasya Sukan Olimpik 2012 dengan menduduki tempat ketiga final acara 10m platform individu wanita di Pusat Akuatik, London, sebentar tadi.

Pandelela memungut 359.20 mata dalam persaingan yang berakhir sekitar jam 3 pagi tadi (waktu Malaysia).

Dalam acara itu, emas dimenangi oleh Chen Ruolin dari China (422.30 mata) dan pemenang perak dibawa pulang oleh Brittany Broben dari Australia
(366.50 mata).

Dengan kejayaan Penerjun muda dari Sarawak ini, Malaysia setakat ini telah mengutip dua pingat pada Sukan Olimpik 2012.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengutip perak Sabtu lalu.

Keputusan akhir:

EMAS: Chen Ruolin (CHN) - 422.30 mata
PERAK: Brittany Broben (AUS) - 366.50
GANGSA: PANDELELA RINONG - 359.20

-sinar

Kenapa Tak Rogol Saya?

Kisah benar ini berlaku di US. Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Gambar hiasan

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan berseorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenal pasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?” (Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.” (Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang2 malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

p/s : MORAL CERITA INI???

Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Wanita tadi pertama-tamanya menutup aurat di US dan memang seorang yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.

“…Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya …” [Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]

Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan ku… semoga kite semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat… sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….

Semoga kita sentiasa dipeliara Allah dari kejahatan syaitan yang di rejam……. InsyaAllah..