Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Ghafur Salleh mendakwa Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim semakin 'gemuk' dan 'kenyang' setelah beliau bertindak keluar KEADILAN dan menjadi anggota Bebas.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan setelah beliau membidas Zahrain di dalam Dewan kerana menamakan nya sebagai salah seorang antara lapan Ahli Parlimen yang mahu melompat menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008, Ghafur berkata zahrain telah berbohong.
"Saya tidak pernah lompat parti dan ini bererti Zahrain tidak menggunakan fakta yang betul.
"Media seperti Berita Harian, Utusan dan TV3 kata Anwar umpan saya, saya nak tanya siapa yang umpan siapa?,Saya minta Zahrain dedahkan semua 32 nama pemimpin wakil rakyat daripada Barisan Nasional yang ingin melompat.
"Apa yang boleh dikatakan di sini, Zahrain nampaknya sudah gemuk apabila sudah menjadi Ahli Bebas.Saya nak beritahu Zahrain, jangan dengar cerita orang buat masyarakat di tempat saya keliru dan saya mahu tanya kenapa sudah dua kali 16 September, baru kali ini buat keputusan. Tarikh tersebut sudah menjadi sejarah kenapa sekarang baru dipersoalkan," kata Ghafur kepada media.
Ghafur berkata Zahrain perlu menamakan semua nama Ahli Parlimen yang mahu melompat jika dakwaan beliau itu benar dan mempunyai asas.
Sebelum ini Zahrain mendedahkan nama lapan orang wakil rakyat Barisan Nasional semasa perbahasan titah menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong. -SK
Wanita Pakatan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya ungkapan seksis yang dilaungkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat berlangsung semalam, Suara Keadilan dipetik.
Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali berkata penggunaan ungkapan 'anak betina' yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Wanita Pakatan dalam sidang Dewan berkenaan dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum wanita.
"Perkataan 'anak jantan' menerangkan keberanian golongan lelaki tetapi apabila ungkapan 'anak betina' ditujukan pada kami adalah sangat tidak wajar. Kami juga membantah kebiadaban beliau kerana penggunaan perkataan betina itu merujuk kepada binatang sedangkan tempat kami sebagai seorang wanita adalah terpuji dan perlu dihormati," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Merujuk kepada anutan seksisme, Dr Lo' Lo' berkata adalah berlawanan dengan Perlembagan Malaysia dan pengakuan negara dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW).
Ini kerana anutan seksisme membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lain.
Ia juga bermaksud mendriskiminasikan gender dan tidak mempedulikan perihal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita.
"Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam peraturan mesyuarat. Namun apa yang berlaku, Ahli-ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum bebas lepas begitu sahaja," ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, Wanita Pakatan menyeru seluruh wanita Malaysia supaya menyenaraihitamkan Ahli Parlimen yang seksis dengan tidak akan memilih calon-calon ini dalam pilihan raya akan datang.
Sementara Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa kecewa beliau bilamana selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan masih terdapat di kalangan Ahli Parlimen lelaki yang gagal memahami konsep seksisme.
"Saya betul-betul kecewa kerana sehingga kini Ahli Parlimen lelaki masih tak dapat memahami isu keserataan gender dan meletakkan kaum wanita di tempat yang sepatutnya dengan memainkan ungkapan berunsur seksis," katanya.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula menyarankan Speaker Dewan Rakyat untuk mengambil perhatian ke atas perlakuan sedemikian supaya tidak berulang pada masa akan datang.
"Speaker hendaklah bersikap tegas dengan menegur mana-mana Ahli Parlimen atau mengambil tindakan serius berhubung perkara ini."
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng.
Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim sekali lagi membuat kenyataan yang mengejutkan apabila mendakwa sebenarnya seramai 40 wakil rakyat Barisan Nasional yang mahu melompat menyertai Pakatan raklyat pada 16 September 2008 dan bukannya lapan seperti yang dikatakan beliau sebelum ini.
"Sebenarnya ada ramai lagi nama yang tidak saya sebutkan, saya cuma baru dedahkan lapan nama sahaja tapi sebenarnya ada 34 hingga 40 orang Ahli Parlimen BN.
"Ahli Parlimen Kalabakan pun rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebenarnya saya keluar parti kerana parti ingin hadapkan saya ke Lembaga Displin, saya tersinggung kerana Anwar tak benarkan saya mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Saya juga tidak akan dedahkan nama-nama Ahli Parlimen yang lain seperti yang dicabar oleh Ahli Parlimen Kalabakan.
"Saya terkejut kerana Kalabakan membuat serangan peribadi dan tidak memberikan saya laluan untuk menjawab di dalam Dewan dan saya terpaksa menjawab melalui sidang media ini," kata Zahrain pada sidang media di luar Dewan petang tadi.
Sebelum itu Ghafur mendakwa Zahrain membuat pembohongan dan meminta beliau menamakan Ahli Parlimen yang disebut akan melompat pada 16 September 2008.
Dalam sidang media yang ditemani Ahli Parlimen Kulim Zulkifli Noordin, beliau enggan mendedahkan nama yang disebut akan meninggalkan Barisan Nasional walaupun dicabar oleh Ahli Parlimen Kalabakan. -SK
Sidang Dewan Rakyat semalam gempar apabila cubaan pemerintah menyelewengkan fakta bagi menafikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dibongkar Pakatan Rakyat.
Semalam, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa Perdana Menteri Najib Abdul Razak cuba menutup penyaluran wang royalti kepada negeri Terengganu sebagai wang ehsan.
Salahuddin bangun dengan mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.
Dalam sidang media beliau berkata Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan dan jika tidak beliau boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Perdana Menteri pada sesi penggulungan November lalu didakwa telah menyelewengkan fakta berhubung hak Kelantan mendapat royalti atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan negeri, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.
Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 sebenarnya telah pun dimansuhkan.
"Walaupun ordinan tersebut telah dimansuhkan kerajaan telah memperuntukan wang ihsan kepada negeri Terengganu dengan mengambil kira minyak di luar perairan negeri itu," kata Salahuddin.
"Meskipun peruntukan perundangan adalah jelas, kerajaan telah memperuntukan wang ehsan untuk negeri Terengganu dengan mengambilkira pengeluaran minyak di luar pesisir negeri tersebut.
"Dengan menggunakan perkataan wang ehsan, Perdana Menteri telah menyeleweng Dewan yang mulia kerana menurut satu surat yang ditulis oleh Petronas kepada Datuk Setiawangsa, Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri Wisma Darul Iman Kuala Terengganu yang bertarikh 19 September 1978 menyatakan anggaran pembayaran wang royalti petroleum 1979.
"Begitu juga surat-surat daripada Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu selepas itu termasuklah kepada Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1999 telah jelas menyatakan wang royalti.
"Bagi saya jelas Perdana Menteri telah menyelewengkan Dewan dan dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12), saya memberi tempoh tujuh hari supaya Menteri membuat penjelasan", jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen.
Dalam pada itu, Speaker meminta tempoh seminggu untuk meneliti semua dokumen dan fakta dan Najib harus menjawab dalam masa tujuh hari dan jika tidak beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Perlis Yip Sun Onn dari MCA-BN meletakkan kerusinya berkuat kuasa serta-merta, demikian lapor Malaysian Insider.
Beliau merupakan wakil rakyat pertama dari BN berbuat demikian sejak pilihan raya umum ke-12.
Bagaimanapun difahamkan usaha sedang dibuat untuk memujuk beliau daripada melepaskan kerusi itu ketika ini dan mengubah keputusannya bagi mengelakkan pilihan raya kecil.
Keputusannya, dikatakan ada kaitan dengan rombakan exco Kerajaan Negeri minggu lalu.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh memutuskan apa-apa selagi tidak menerima surat kekosongan daripada Speaker.
“Setakat ini kami belum menerima apa-apa surat lagi,” katanya.
Ketua MCA Perlis Datin Paduka Chew Mei Fun pula memberitahu keputusan Yip meletak jawatan yang mengejutkan ramai belum dapat disahkan.
“Ia belum muktamad lagi... apa yang beliau lakukan ialah hanya melahirkan hasrat mahu letak jawatan.
“Saya hanya baru menerima satu SMS daripada beliau dan kelihatan keadaan OK. Saya tidak fikir beliau akan berbuat demikian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider kira-kira 3.30 petang tadi.
“Saya berharap dan saya percaya beliau tidak akan berbuat demikian tetapi kini perkara pertama yang perlu dilakukan ialah duduk dan berbincang,” katanya.
Beliau tidak pasti sebab Adun itu meletakkan jawatan.
“Saya ingin tahu apa masalah dia yang sebenar; sama ada disebabkan jawatan exco atau masalah peribadi beliau yang lain,” katanya.
Yip digugurkan sebagai exco kerajaan negeri dan digantikan dengan Adun Indera Kayangan Dr Por Choo Chor Jumaat lalu.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengesahkan beliau sudah menerima surat letak jawatan daripada Yip tetapi sedang berusaha memujuknya agar mempertimbangkan keputusan beliau.
“Kami tidak melihat akan ada pilihan raya kecil,” katanya.
MCA memenangi dua kerusi DUN di Perlis.
Yip "Merajuk" Lepas Jawatan ADUN Titi Tinggi
KUALA LUMPUR 23 Mac - KEADILAN Perlis sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi ekoran pengumuman perletakan jawatan wakilnya, Yip Sun Onn hari ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perlis Johari Shafie berkata buat masa ini beliau difahamkan Speaker DUN Perlis masih belum menerima surat perletakan Yip.
"Barisan Nasional masih cuba memujuk supaya beliau tidak melepaskan jawatan. saya difahamkan keputusan beliau itu mungkin didorong kerana beliau digugurkan sebagai Exco baru-baru ini. Mungkin beliau merajuk," kata Johari.
Johari berkata kerusi Titi Tinggi adalah kawasan KEADILAN apabila calon parti itu, Keria Senawi bertanding pada pilihan raya umum ke-12 lalu dalam pertandingan tiga penjuru.
Yip menenangi kerusi itu dengan memperolehi undi sebanyak 3,399 sementara Keria beroleh 846 undi dan calon bebas, Mohammad Razi Mustaffa 1,585 undi.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Zamri Sapar berkata akan akan akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya di beri peluang sekali lagi untuk bertanding di kawasan tersebut.
"Kita akan membuat persediaan seperti biasa dalam mana-mana pilihan raya keci. Kita bersedia sekiranya kita diberi peluang bertanding di situ sekali lagi," kata Zamri. - SK
Wakil-wakil rakyat BN dan pembangkang menganggap pelan peralihan kuasa yang dibangkitkan oleh wakil rakyat bebas Zahrain Mohamed Hashim, bukan isu yang perlu dihebohkan atau mempunyai kesan langsung kepada politik negara hari ini.
“Tiada asas, apa yang berlaku pada waktu itu ialah satu gerakan dalaman Umno yang bergerak untuk menjatuhkan kepimpinan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada masa itu, itu satu benda yang tidak boleh dinafikan.
“Pertama sekali berdasarkan beberapa kenyataan-kenyataan tidak puashati terhadap kepimpinan Pak lah pada masa itu dan perbahasan di Parlimen oleh wakil-wakil dari Sabah, protes dari beberapa orang wakil Sabah yang dilantik untuk jawatan sekurang2nya Timbalan Menteri untuk menolak tawaran itu, itu protes terhadap PakLah dan Umno Barisan Nasional.
“Saya nak katakan apa yang berlaku untuk 16 September bukan dari pembangkang dan sebagainya tetapi daripada dalaman Umno yang cuba menjatuhkan kepimpinan Pak Lah pada waktu itu. Ia satu sejarah yang tidak boleh dinafikan ada dalam negara kita,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz omar.
“Nama-nama yang didedahkan merupakan nama-nama yang digunakan pihak berkenaan untuk menyakinkan, saya juga sempat berjumpa beberapa Ahli Parlimen, mereka katakan pernah diberi janji dan tuduhan contohnya Yang DiPertuan Agong telah perkenan.. dikatakan beberapa Ahli Parlimen akan melompat dan mereka tolak bulat-bulat... dan kalau betul seperti apa itu berlaku dan mereka masih tidak melompat ke sebelah sana, saya kagum kerana ini menunjukkn kesetian mereka kepada Barisan Nasional,” kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Zahrain Rabu lalu mengemparkan semua pihak dengan mendedahkan nama-nama pemimpin Umno yang mahu melompat ke Pakatan Rakyat.
Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) diantara nama yang dipetik Zahrain dalam usahanya menyerang Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Parlimen sepanjang tiga hari berturut-turut.
Meskipun Umno mendapat peluru baru untuk menyerang gagasan pembangkang, namun pemerhati politik berpendapat impak tuduhan Zahrain tidak meninggalkan luka pada tubuh Anwar dan Pakatan Rakyat.
“Apa yang berlaku sekarang ini agak ganjil, sebab benda ini pun Umno buat kenapa sekarang kata orang lain tak boleh buat dan macam-macam lagi? Membabitkan Yang DiPertuan Agong dan angkatan Tentera dan sebagainya, mana ada bukti? Isu yang membuang masa, isu yang tidak logik dan tidak masuk akal sebenarnya, benada yang saya pelik dengan orang yang buat laporan polis dan Ibrahim Ali cadang hendak buat suruhanjaya sedangkan mereka pun buat. Menjatuhkan kerajaan lawan dia(Umno) kemudian membeli memujuk dan melompat..benda ini dibenarkan, apa salahnya ?," kata Penganalisis Politik, Prof. Dr Abdul Aziz Bari.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Pakatan Rakyat menghantar memorandum khas kepada Raja-Raja Melayu berkaitan syarikat APCO Worldwide dan penglibatan mereka dengan rejim Zionis Israel.
Mahfuz berkata APCO terlalu merahsiakan banyak perkara termasuk pelanggan mereka sendiri.
"Kita mencurigai peranan mereka di seluruh dunia dan juga peranan mereka di Malaysia apabila dilantik oleh Najib.
"Ini menunjukkan kerajaan kita terlalu lemah apabila terpaksa mendapatkan nasihat daripada syarikat Zionis Yahudi seolah-olah memperkecilkan syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran berkaitan dengan media baru," tegas Mahfuz lagi kepada media di Parlimen.
Isu syarikat APCO menjadi panas apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan perkara tersebut dalam Dewan Rakyat semasa membahas titah menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong Rabu lalu. -SK
Ahli Panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dibenarkan membuat kenyataan terbuka di media mengenai kes yang sedang disiasat.
Ahli Panel tersebut juga dilarang mendedahkan individu yang bakal disiasat SPRM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata ahli panel berkenaan tertakluk di bawah akta khas yang menghalang mereka daripada membuat kenyataan namun beliau langsung tidak menyatakan akta berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Tebrau, Teng Boon Soon.
Teng berkata ada di kalangan anggota panel penasihat SPRM yang membuat kenyataan terbuka berkenaan kononnya terdapat orang-orang tertentu akan disiasat. -erapakatan
Ulasan GB
SPRM adalah sebuah "suruhanjaya" yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. Suruhanjaya itu telah dibentuk pada 1 Januari 2009 lalu, dan beroperasi sebagai sebuah badan yang mengambil alih sepenuhnya tugas BPR.
Badan itu bertindak mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008 yang digubal bagi menggantikan Akta Pencegah Rasuah 1997 dan diketuai oleh seorang Ketua Pesuruhjaya.
Sesiapa pun dari pihak kerajaan termasuk menteri-menteri tidak sewajarnya megeluarkan "apa-apa arahan" kepada SPRM.
SPRM perlu menjadi sebuah badan bebas dan berkecuali, namun hakikatnya oleh kerana ia masih menjadikan dirinya sbagai kuda tunggangan pemerintah, maka imej SPRM semakin tercalar.
Arahan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz di atas adalah BUKTI NYATA bahawa SPRM tertakluk di bawah telunjuk Jabatan Perdana Menteri.
SPRM boleh malah perlu mengheret Nazri untuk siasatan di atas arahannya itu. Tetapi apakah SPRM akan melakukannya?
Tindakan Pergerakan Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim menggambarkan ketidakfahaman mereka mengenai peranan dan fungsi Parlimen.
Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak mempunyai apa-apa kesalahan politik kerana ia dibuat dalam rangka peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang.
"Pemuda Umno sebenarnya cuba memperalatkan pihak polis dengan menggunakan undang-undang dan mereka tidak faham apa itu Parlimen.
"Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu kekebalan atau imuniti Ahli Parlimen kerana isu yang di bawa Permatang Pauh tersebut dibahaskan di dalam Dewan.
"Kita tidak boleh samakan dengan jenayah sedangkan ini adalah perbahasan politik.
"Kita akan fokus kepada isu politik dan tidak akan melayan cubaan untuk menakutkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan.
Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail pula berpendapat undang-undang negara kita ini aneh kerana terpakai untuk kerajaan Umno-Barisan Nasional tetapi tidak kepada pemimpin Pakatan Rakyat.
Saifuddin berkata tindakan Pemuda Umno hanya membuang masa dan sepatutnya mereka menumpukan kepada isu besar yang dihadapi negara.
"Inilah ruang undang-undang yang disalahgunakan, mereka sebenarnya langsung tidak memahami sistem perundangan negara kita," kata beliau.
Pada Sabtu lepas Pemuda Umno membuat empat laporan polis terhadap Anwar berhubung dakwaan beliau menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia ketika merancang untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pemimpin Islam gagal menangani isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlakunya serangan ke atas rumah-rumah ibadat.
Beliau yang juga wakil PAS berkata dari segi hukum, Islam tidak melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.
"Apa yang penting ialah penjelasan, dialog di antara pemimpin-pemimpin agama, bukan diserahkan kepada mereka yang bebal dan menggunakan hukum akal, tidak menggunakan nas.
"Malangnya perkara ini dibawa ke mahkamah, berlakunya pembakaran gereja, berlaku pembakaran masjid, berlaku perkara negatif.
"(Ini) menunjukkan kita tidak menangani perkara ini dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, peluang itu juga seharusnya digunakan untuk berdakwah dan memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan bukan Islam.
"Mereka guna perkataan Allah, dan sepatutnya peluang ini digunakan untuk masuk ke gelanggang mereka untuk menjelaskan.
"Saya minta supaya kerajaan meminda Rukun Negara yang pertama, kepada kepercayaan kepada Allah," tegas Hadi.
Katanya lagi, al-Quran tidak pernah menghalang penganut agama lain daripada menggunakan kalimah Allah semasa hayat Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, pendirian seperti itu boleh dilihat dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad kepada Raja Mesir yang menganut Kristian.
"Tanpa memaksa mereka menerima agama kita, kita berhujah sekiranya berlaku kekeliruan," katanya lagi.
Jelasnya, dalam warkah berkenaan, Nabi Muhammad memberitahu Raja Mesir bahawa umat manusia tidak boleh menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan paderi.
Katanya, Nabi Muhammad juga tidak menghalang penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.
"Di sinilah mengapa Islam membenarkan penganutnya makan sembelihan daripada penganut agama lain (ahli kitab).
"Sembelihan mereka halal kerana mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah.
"Ini menunjukkan keizinan itu berlaku," kata Abdul Hadi lagi.
Ketika ditemui media selepas itu, Abdul Hadi berkata beliau turut mencadangkan supaya perkara 'kepercayaan kepada tuhan' dalam Rukunegara diubah dengan 'kepercayaan kepada Allah.'
Jelasnya perkara tersebut boleh dilakukan memandangkan masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai sebahagian daripada agama mereka.
"Kerajaan perlu terima positif dalam tangani isu ini, bukan negatif. Penganut agama Kristian dan agama lain sudah sedar Allah diberi nama unggul, perkataan lain yang mereka guna sebelum ini, God, Lord dan lain-lain tidak tepat," katanya.
"Ini menunjukkan mereka sudah terima Allah sebagaimana mereka terima Islam sebagai agama. (Jadi perlu) ubah Rukun Negara kepada lebih pro-aktif dalam masa sama tuju ke arah perpaduan rakyat," katanya lagi dan menambah kekeliruan yang berlaku adalah akibat kejahilan orang Islam sendiri dalam membuat penafsiran.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan kenyataannya di Parlimen minggu lalu bahawa APCO Worldwide pernah menyediakan khidmat kepada pentadbiran bekas perdana menteri Israel Ehud Barak pada akhir 1990-an.
Ketika ditemui wartawan beberapa jam selepas kata dua Barisan Nasional (BN) agar menjelaskan kenyataannya dalam seminggu, Anwar berkata beliau akan memberikan penjelasan kepada Speaker Parlimen secepat yang mungkin.
“Saya akan memberikan penjelasan dan penjelasan saya akan berdasarkan respons perdana menteri pada 18 Mac,” kata Anwar (gambar) merujuk kepada jawapan bertulis Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, yang mengakui bahawa “APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik untuk memberikan perkhidmatan perhubungan awam secara total.”
Pagi tadi Dewan Rakyat meminta Anwar memberikan penjelasan berhubung dakwaannya Rabu lalu bahawa konsep 1 Malaysia diciplak daripada inisiatif 1 Israel dan ia dirangka oleh APCO.
Firma khidmat perhubungan awam itu bagaimanapun menafikan dakwaan Anwar, menyebabkan BN mengambil langkah untuk merujuk Ketua umum Pakatan Rakyat itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Saya akan menjelaskan sebab APCO sebenarnya menyediakan khidmat di Israel pada masa itu,” kata beliau.
“Sebenarnya mereka dibayar untuk menafikan, tetapi biar saya berikan fakta,” kata Anwar mengulas penafian APCO.
“Tetapi saya juga akan meminta diberikan penjelasan siapakah APCO, berapa banyak dibayar dan apakah peranan dimainkan oleh APCO dalam khidmat komunikasi dan apakah nasihat diberikan kepada pelbagai kementerian khususnya kementerian-kementerian strategik,” katanya.
Anwar berkata beliau terpaksa isu pembabitan APCO kerana dituduh sebagai ejen Yahudi.
“Saya menimbulkan isu APCO bukan kerana mereka Yahudi tetapi saya dituduh sebagai ejen Yahudi selama 12 tahun tanpa menyediakan bukti,” kata Anwar.
Anwar juga berkata pada masa lalu kerajaan Malaysia pernah mendapatkan khidmat pelobi Jack Abramoff untuk memperbaiki hubungan dengan Washington. -MI
Anwar Akan Tampil Dedah Fakta APCO
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa APCO Worldwide pernah berkhidmat untuk Perdana Menteri Israel Ehud Barak pada 1999 dan beliau akan memberi penjelasan kepada Speaker Parlimen.
"Saya akan beri penjelasan, dan penjelasan ini akan dibuat berdasarkan respon Perdana Menteri pada 18 Mac," kata Anwar dengan merujuk kepada jawapan bertulis Perdana Menteri Najib Abdul Razak yang mengakui bahawa APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi menyeluruh.
Awal hari ini Anwar diminta Dewan Rakyat untuk menjelaskan kenyataan bahawa '1Malaysia' adalah salinan pendua kepada 'Satu Israel' yang dirangka APCO.
Syarikat perunding ini bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut, seraya BN bergegas merujuk Anwar ke jawatankuasa Parlimen untuk disiasat.
"Saya akan beri penjelasan, kerana APCO sememangnya berada di Israel pada masa itu. Mereka dibayar untuk menafikan perkara ini, tetapi saya akan tunjukkan fakta," tegas beliau merujuk kepada penafian syarikat itu.
"Saya juga mahu menuntut penjelasan siapa itu APCO, berapa kerajaan bayar kepada mereka dan apa peranan APCO dalam komunikasi dan apakah nasihat mereka kepada pelbagai kementerian, terutamanya kementerian-kementerian strategik," tambah beliau. -SK
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan spekulasi bahawa ini mungkin penggal terakhir beliau sebagai Menteri Besar Selangor dan akan kembali ke dunia korporat.
Katanya beliau tidak pernah memikirkan mengenai pekara itu atau dibangkitkan secara rasmi.
“Peranan saya di luar spekulasi kerana saya ingin berkhidmat kepada orang ramai selagi rakyat dan rakan-rakan saya dalam parti (Parti Keadilan Rakyat) mahukan saya,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di sini hari ini.
Khalid (gambar) yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata beliau akan terus aktif dalam politik jika itu adalah yang terbaik untuk beliau lakukan.
Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003 sebelum memasuki politik dan menyertai PKR.
Sementara itu, Khalid berkata permintaan untuk memperbaiki jalan-jalan di Selangor adalah tinggi kerana negeri ini bertanggungjawab untuk penyelengaraan kira-kira 4,000km dan 1,000km di negeri ini adalah jalan persekutuan.
Mengenai cadangan Sime Darby Property untuk membangunkan sebahagian kawasan Taman Subang Ria, di Petaling Jaya sebagai taman rekreasi, beliau berkata ia lebih sesuai jika taman itu dimajukan dahulu sebelum kediaman.
Pengarah urusan Sime Darby Property Bhd, Datuk Tunku Putra Badlishah, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu merancang membangunkan kediaman untuk membiayai kos taman rekreasi tersebut disebabkan kosnya yang tinggi, yang hanya kira-kira 20 peratus daripada harga hartanah itu.
Khalid juga berkata Taman Subang Ria ialah sebuah hartanah persendirian milik Kumpulan Sime Darby, dan bukan taman awam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. — Bernama
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Haji Mohamad Sabu mempersoalkan adakah tindakan menamatkan kontrak wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna mempunyai kaitan dengan nasihat firma perhubungan awam Apco Worldwide.
Perkhidmatan wakil tetap tersebut, Datuk Mohamad Arshad Hussain ditamatkan bulan ini setelah dipanggil balik oleh Kementerian Luar awal Disember lalu.
Menurut laporan Bernama, beliau dipanggil balik "bagi perbincangan selepas undi Malaysia pada mesyuarat IAEA bercanggah dengan prosedur kerajaan".
Pada mesyuarat itu, Malaysia bersama-sama dengan Cuba dan Venezuela, telah mengundi tidak menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program pengkayaan uranium.
Mohamad Arshad juga adalah pengerusi lembaga gabenor IAEA yang dilantik. "(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengaitkan pemecatan Mohamad Arshad dengan keengganannya menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program nuklear.
"Oleh sebab tindakan pemecatan yang pro-Amerika Syarikat dan pro-Israel itu berlaku di zaman Apco menjadi tempat Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) meminta nasihat, bimbingan, panduan dan tunjuk ajar, kita tertanya-tanya adakah tindakan itu hasil dari muslihat perhubungan awam yang ditagih oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan kerajaan BN yang diketuainya dari firma yang didominasi Zionis itu?" soal Mohamad.
Beliau menyifatkan tindakan pemecatan yang pro-Amerika dan Israel itu meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina.
"Para pemimpin Umno dan BN menjadikan perbuatan menuduh pembangkang memburuk-burukkan nama negara sebagai hobi dan perisai untuk melindungi kelakuan buruk mereka.
"Hakikatnya kerajaan BN di bawah Najiblah yang meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina dengan pelbagai keburukan seperti misteri pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pemecatan Mohamad Arshad dan pelbagai kelakuan buruk lain," kata Mohamad.
Pertengahan Disember lalu, dalam posting blognya yang bertajuk "Kita sudah tukar," Dr Mahathir menyatakan "duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika".
Secara sinis bekas Perdana Menteri itu bertanya: "Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?"
Tindakan menamatkan kontrak Mohamad Arshad itu kebetulan berlaku ketika Apco sudah memulakan perkhidmatannya untuk Najib dan kerajaan BN.
Tidak berapa lama selepas Najib menjadi Perdana Menteri, Apco membuka pejabatnya di Malaysia.
Menurut laporan Bernama, firma yang didominasi oleh tokoh-tokoh Yahudi itu menyatakan, tugasnya di Malaysia termasuk sokongan komunikasi untuk pelbagai inisiatif pembaharuan yang diambil oleh kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang pekerjaan, promosi pendidikan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Januari lalu, memetik The Times Of India (TTI), Free Malaysia Today melaporkan bahawa APCO Worldwide juga memberikan perkhidmatan kepada diktator Nigeria, Sani Abacha dan presiden seumur hidup Kazakhstan, Nursultan Abishuly Nazarbayev.
Pelanggan-pelanggan lain APCO termasuk jutawan Mikhail Khodorkovsky, yang juga salah seorang pemimpin muda Parti Komunis Rusia.
Beliau dikaitkan dengan kegiatan mafia.
TTI berusaha membongkar senarai pelanggan APCO selepas mendapati Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi juga menjadi pelanggan syarikat tersebut.
Narendra didakwa menjadi penyebab kepada pergaduhan ugama pada Februari 2002 di mana kira-kira 1,000 orang terbunuh, majoritinya orang-orang Islam.
Kerajaan Negeri Gujarat membayar US$25,000 sebulan kepada APCO untuk memulihkan imej Narendra.
Walaupun perkhidmatan APCO tiga kali lebih mahal dari firma-firma PR yang lain, APCO dipilih kerana ia mempunyai ramai ahli-ahli Democrat dan Republican yang berkhidmat sebagai perunding.
Akhbar The Edge dan laman berita Malaysian Insider tahun lalu melaporkan kerajaan Malaysia memilih APCO dengan kontrak bernilai RM20 juta sebaik saja Najib menjadi Perdana Menteri untuk memulihkan imejnya yang sering dikaitkan oleh media-media seluruh dunia dengan pembunuhan Altantuya dan misteri di sebalik pembelian kapal selam Scorpene serta pembelian jet Sukhoi diselubungi misteri.
1 September lalu, APCO Worldwide membuka cawangannya di Kuala Lumpur selepas perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Najib.
Di antara penasihat utama APCO ialah pakar-pakar yang pernah berkhidmat dengan rejim Zionis Israel termasuk bekas Ketua Agensi Keselamatan Israel, Doron Bergerbest-Eilon; bekas duta Israel ke Jerman, Shimon Shein dan bekas duta Israel ke Amerika Syarikat, Itamar Rabinovich. -FMT
Berikut sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di pejabatnya di Bukit Damansara minggu lalu.
Khairy, antaranya mengulas panjang berhububung Pertubuhan Pribumi Perkasa yang dilihat banyak pihak sebagai mula menggantikan peranan Umno dalam mempertegaskan hak-hak istimewa orang Melayu.
Umno mahu berhaluan tengah, tetapi yang radikal dalam Umno bergerak Melayu PERKASA. Bagaimana YB melibat fenomena ini?
Saya rasa kita perlu jelaskan kepada mereka pendekatan yang diambil kerajaan, perdana menteri, malah Umno dan Pemuda Umno. Mungkin mereka rasa proses ini, melihat kepada liberalisasi (ekonomi) dan sebagainya sebagai proses yang menghakis kedudukan Melayu. Tetapi saya rasa ini tanggapan yang salah.
Kita tak boleh kata kumpulan macam PERKASA tak boleh ada, sebab (atas semangat) kebebasan. Ada kumpulan macam PERKASA, ada Su Qiu ada Dong Ziao, Hindraf dan sebagainya yang bangkitkan soal kaum masing-masing. Tetapi atas semangat kebebasan bersuara kita kena hormati.
Kita kena jelaskan (perbezaan) antara Umno dan gagasan Satu Malaysia dengan apa yang dibawa PERKASA. Tak apalah kalau ada orang Umno nak pergi sertai PERKASA. Tetapi akhirnya kalau perlu buat keputusan, saya harap mereka buat keputusan bahawa Satu Malaysia inilah satu gagasan yang terbaik untuk kaum Melayu.
Bagaimana YB melihat PERKASA secara keseluruhannya?
Seperti saya katakan, ia ada agenda. Agenda Ibrahim Ali untuk membela Melayu dan sebagainya. Saya hormat dia sebagai seorang pejuang yang hendak buat sesuatu. Dia orang lama dalam politik. Tetapi retorik (PERKASA ) itu saya tidak setujulah. Saya tidak bersetuju dengan retorik PERKASA bukan sahaja dari segi sama ada ianya baik untuk orang Melayu, tetapi juga kerana ia (berunsur) ofensif terhadap bukan Melayu. Ini tidak selaras dengan masyarakat yang saling menghormati, yang Malaysia perlukan.
Janganlah kita lihat pada satu perkara yang menjadi penghalang, yang goncang orang Melayu. Saya sebut dalam ucapan sebagai ketua Pemuda, ucapan sulung saya. Saya kata bukan Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) yang jadikan kita istimewa, tetapi kebolehan kita. itu yang betul-betul menjadikan kita istimewa dalam erti kata sebenar.
Ada yang berhaluan kanan dalam Umno mahu parti lebih Melayu, mahu Melayu dilindungi?
Saya saya ia proses yang berterusan. Kita kena selalu mendekati untuk pastikan mereka memahami. Sesetengah daripada mereka mungkin mengikut PERKASA dan sebagainya. Mereka mungkin bereaksi dan mungkin rasa tidak selamat, tetapi kita hendak beri jaminan, sebenarnya tiada apa yang menjadi kekhuatiran pada mereka. Jangan runsing.
Sebab apa yang kita buat (dalam Umno) ini perkara yang positif, yang tidak akan sekali menggugat orang Melayu. Sebenarnya dia lebih matlamat akhir. Saya rasa matlamat akhir Umno dan PERKASA sekarang ini lebih kurang sama, mahu orang Melayu maju. Saya rasa pembangkang pun tak akan bantah. Tetapi sikap, pendekatan itu yang berbeza.
Antara Umno dan PERKASA, lebih banyak persamaan atau lebih banyak perbezaan?
Saya tak tahu. Tetapi sebenarnya saya tak hendak samakan Umno dengan PERKASA,sebab umno parti politik, PERKASA NGO. Jadi modes operandi kita lain. Objektif kita, dari segi gerakan lain. Mungkin objektif kita untuk melihat Melayu berjaya itu sama, tetapi objektif gerakan, modus operandi kita, keahlian kita, struktur memang lain.
Jadi saya tak suka samakan Umno dengan PERKASA, seolah-olah PERKASA itu pasukan alternatif untuk Umno.
Orang melihat Ibrahim Ali sedang membina 'tentera Melayu' yang besar. Dalam masa yang sangat singkat ia sekarang ada di setiap negeri. Secara perlahan-lahan PERKASA akan ambil alih peranan Umno?
Saya rasa terlalu pramatang untuk kita buat rumusan bahawa PERKASA akan ganti peranan umno. Saya rasa PERKASA tak boleh ganti peranan Umno. Umno ini parti politik yang berjuang untuk Melayu, Islam dan rakyat malaysia. Jadi kita total, PERKASA ini cuma satu NGO (bagi) mempertahankan hak orang Melayu dan sebagainya.
Dia ada mesej hendak mempertahankannya. OK, tetapi itu bukan mesej kita. Mesej kita lebih daripada itu. Mesej kita bagaimana hendak, maaf saya hendak gunakan perkataan, perkasakan orang Melayu.
Boleh kita kata saling lengkap melengkapi?
Tidak, tidak, ini bukan kata kita ada agenda rahsia dengan PERKASA! Ada yang berkata seolah-olah - ini bukan satu pembandingan yang tepat - tetapi seolah Umno adalan Sinn Féin dan PERKASA adalah IRA (Tentera Republik Ireland). Mengatakan Umno adalah wajah politik dan PERKASA ini Tentera Republik Ireland, tidak.
Perbandingannya sama ada umno ini 'polis baik' (good cop) dan PERKASA ini 'polis jahat' (bad cop) untuk bukan Melayu (juga) tidak timbul sebab kita tiada apa-apa agenda yang tersembunyi.
Bagaimana dengan penyertaan ramai ahli Umno dalam PERKASA?
Tetapi saya difahamkan, saya tidak tahulah betul atau tidak, tetapi saya difahamkan dalam PERKASA ada ahli Umno, ada ahli PAS dan ada juga ahli PKR. Jadi saya tak bolehlah buat rumusan bahawa PERKASA ini sama dengan Umno.
Saya nampak mesej PERKASA ini kalau kita tak fikir secara mendalam, ia mesej yang susah ditolak oleh orang Melayu. Orang Melayu mana hendak tolak mesej PERKASA?
Ibrahim Ali datang kata, dia datang sebagai orang Melayu, sebagai NGO yang berkecuali, tidak berpolitik, ahli parlimen bebas, (berkata) saya hendak mempertahankan orang Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam. Siapa hendak kata tidak setuju?
Jadi ramailah yang tertarik. Tidak ada sesiapa cakap macam ini sekarang. Jadi semua orang pergi (pada PERKASA). Soalnya sekarang kita sebagai orang Umno mestilah bagi tahu orang-orang kita dan ahli Umno secara keseluruhan bahawa itu pendekatan mereka, tetapi pendekatan kita lebih daripada itu.
(Kita) Bukan sahaja hendak mempertahankan (Melayu), tetapi kita juga hendak majukan orang Melayu, perkasakan bangsa mereka. Jadi mesejnya berbeza sepenuhnya.
Memanglah banyak ahli daripada pelbagai parti sertai PERKASA, tetapi daripada Umno ini 'taiko-taiko' (yang sertai). Macam di Selangor misalnya ada orang macam (exco agama Umno negeri) Datuk Zainal Abidin Sakom?
Tetapi yang paling penting, taiko yang utama Datuk Seri Najib (Razak) masih lagi tidak bersama PERKASA. Saya pun tak ada (sertai). Jadi kita kena bezakan dengan pemimpin peringkat bahagian dan negeri yang mungkin terlibat dalam PERKASA dengan kepimpinan parti Umno. Kepimpinan parti Umno masih lagi dengan pendirian kita yang saya katakan tadi berbeza dengan pendirian PERKASA.
YB lihat PERKASA ini sebagai satu ancaman kepada Umno?
Tidak, saya tidak rasa ancaman kepada Umno. Kalau dikatakan PERKASA ini adalah kenderaan Umno, maka mungkin ada yang kata, Umno cakap tak serupa bikin. Cakap Satu Malaysia tetapi di belakang lepaskan PERKASA.
PERKASA bukan kenderaan Umno. Kita yakin degan perjuangan kita sendiri. Umno sudah harungan semua ini bukan baru lagi, sejak tahun 1946. Zaman itu kita tewaskan British, haluan kiri, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Bustamam, haluan tengah, haluan kanan, semua haluanlah. Kita terus hidup. -mk
Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional mengambil tindakan tegas ke atas APCO Worldwide dengan menamatkan kontrak mereka dengan segera.
Tindakan ini perlu disegerakan agar dunia luar lain tidak mengelarkan Malaysia bersekongkol dengan Israel yang telah diketahui tindakan zalimnya terhadap rakyat Palestin sejak 64 tahun.
Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff menegaskan penglibatan APCO adalah perkara yang serius perlu diketahui oleh rakyat dan mengapa kerajaan melibatkan syarikat terbabit.
"Saya nak beritahu siapa di belakang APCO, penasihat kepada APCO terdiri dari mereka yang terlibat dengan organisasi kerajaan Israel dan salah seorang dari mereka menentang rundingan damai Palestin sebelum ini. Kita tidak mahu negara kita terlibat dengan dasar Israel kerana ini membuatkan negara kita lebih parah dan bahaya.
"Barisan Nasional sepatutnya menilai sebelum melantik APCO, apa yang diberitahu merujuk kepada jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan kerajaan tidak melantik syarikat dalam dan luar negara dalam mempromosikan 1Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik oleh kerajaan dalam melaksanakan khidmat komunikasi secara meyeluruh.
"Kita lihat apa konsep komunikasi yang di bawa kerajaan kalau bukan 1Malaysia, ini yang kita tegaskan. Kita tahu siapa disebalik APCO sebab itu kita bantah penglibatan APCO kerana faktor keselamatan negara
"Selain itu juga tindakan kerajaan umpama mempertikaikan pengalaman yang ada pada rakyat Malaysia dan ini mempunyai kepentingan yang tertentu
"Kami dari Pakatan Rakyat bertegas penglibatan APCO dan akan menyampaikan maklumat yang jelas kepada rakyat tentang implikasi penglibatan APCO dalam negara lebih-lebih lagi kempen gagasan 1Malaysia. Sikap kerajaan menerima APCO umpama menerima dasar Israel yang zalim lagi kejam," jelas beliau kepada media di lobi Parlimen .
Yusmadi menegaskan penglibatan ini akan menyebabkan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana faktor keselamatan negara yang tidak akan terjamin lagi.