3 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Pengarah JAIS Perlu Ditangkap!

Banyak pihak kesl dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sesuka hati bertindak untuk menahan seseorang tanpa sebarang kesalahan yang jelas untuk dibuat pertuduhan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi perlu dipertanggungjawabkan dan beliau perlu ditahan serta disoal siasat sebab-sebab tindakan yang tidak profesyenal serta mengaibkan pihak tertentu dilakukan oleh JAIS.

Harakahdaily pula melaporkan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin membidas sikap JAIS kerana tidak profesional, sambil lewa dan memungkiri janji apabila tiada wakil atau pendakwa daripada Jais yang hadir ke Mahkamah Syariah sebentar tadi.

Beliau yang dibebaskan oleh pihak mahkamah tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan menyifatkan Jais tidak wajar memperlakukannya seperti itu sehingga menyusahkan pelbagai pihak.

Berita sebelum ini:

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.



(Gambar:Dr Asri di Mahkamah Syariah Gombak hari ini)

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

11.00 pagi: Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti.

1.00 petang:Dr Asri sebentar tadi dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dengan jaminan pihak mahkamah.

Menurut beliau, semasa ditemui wartawan, penantian (menunggu pendakwa dan wakil Jais) adalah sesuatu yang sia-sia.

Beliau juga mengkritik Jais kerana tidak hadir untuk memberitahu jenis pertuduhan ke atasnya dan mempersoalkan kenapa badan agama itu memungkiri janji sedangkan beliau telah menunggu sejak jam 9 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa ada perjanjian antara pihak peguam dan mahkamah bahawa mereka boleh dipanggil bila-bila masa atau sebaliknya.

Bertanyakan sebarang tindakan lanjut di pihaknya, beliau memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada peguam.

Dr Asri kini akan menuju ke Hotel Putra, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Datuk Jamil Khir dan selepas itu satu sidang media akan diadakan.

Era Najib Altantuya : UMNO BN Dalangi Tindakan JAIS - Khalid Samad

Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.
'Jelaskan apa rekod saya...'

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, polis memintanya menghubungi Jais untuk mendapatkan butiran berkenaan.

"Ini aneh. Apa hal Jais nak tanya rekod jenayah untuk saya. Sepatutnya kalau saya ada rekod jenayah, kononnya, saya tanya pada polis apa rekodnya, dia beritahu sayalah," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Saya ini dalam keadaan tersepit. Nak dapatkan penjelasan daripada Bukit Aman pun tak boleh, nak buat rayuan kepada (Jais) pun tak boleh dan ini bagi saya sesuatu yang terlalu berbau politik," katanya.

Beliau mendakwa, Jais telah mengambil tindakan yang mempunyai unsur politik apabila menggunakan hak dan bidang kuasanya untuk menyekat penceramah yang telah lulus ujian kelayakan sepertinya.

'Saya lulus temuduga'

"Kalau nak ambil tindakan bukan atas sebab tak ada tauliah tapi ambil tindakan atas ajarannya tak betul. Dan ianya perlu dibuktikan di mahkamah.

"Tapi bila ada (sistem) tauliah ini, dia ada kuasa untuk menghalang. Atas apa sebab sekalipun, ia tidak boleh dipertikaikan (kerana) ia merupakan hak dan kuasa mutlak (Jais) dan ini terdedah pada disalahguna.

"Hakikatnya saya telah lulus temuduga di (Jais). Maknanya kemahiran atau kemampuan atau layaknya saya untuk menyampaikan khutbah dan tazkirah tidak dipertikaikan dari segi agamanya, " kata Khalid..

Menurutnya lagi, ajaran Islam yang dibawa oleh penceramah-penceramah dalam PAS sepertinya, juga tidak berbeza daripada ajaran daripada penceramah yang ditauliahkan Jais.

"Orang macam Tok Guru Nik Aziz dan sebagainya ada keterlibatan dia dalam politik sebagai pimpinan utama PAS. Tetapi benda-benda ini semua sepatutnya tidak diambil kira.

"Saya rasa mereka juga tahu bila mereka mengajar agama, mereka juga tidak timbulkan isu PAS-Umno dan sebagainya. Atas platform ceramah politik barulah begitu," katanya.

Khalid berkata, beliau sendiri tidak membawa mesej politik ketika menyampaikan khutbah, tetapi sebaliknya membawa mesej ajaran Islam secara umum.

Malaysiakini difahamkan, Khalid telah menyampaikan khutbah Jumaat di kira-kira 20 masjid dan surau di sekitar Shah Alam semenjak dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau berharap menteri besar akan memanggil mesyuarat dengan exco Selangor untuk mengkaji perubahan-perubahan yang boleh dilakukan ke atas proses pentauliahan penceramah agama.

"Memang (Jais) di bawah (Majlis Agama Islam Selangor) yang terletak bawah Sultan. Tetapi kerajaan negeri pun ada exco agama yang ada peranan," katanya lagi. -malaysiakini



Era Najib Altantuya : Saari Sungip Bidas Noh Omar

Tuduhan terbaru Umno-BN yang mendakwa Pas hanya menumpang gagasan Pakatan Rakyat dilihat berniat jahat.

Adun Hulu Klang Saari Sungib berkata pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat membentuk satu musyawarah yang menjadi nadi kepada gagasan kerajaan baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Noh Omar baru-baru ini. Noh Omar mendakwa Pas diketepikan dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Itu adalah tidak benar sama sekali, kerana dari segi strukturnya Pakatan Rakyat ini wujud dari peringkat nasional, Pimpinan Tertinggi sentiasa mengadakan perbincangan dengan garis panduan serta panduan-panduan yang telah ditetapkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri dan parti masing-masing di setiap negeri Pakatan Rakyat berjalan dengan baik,”katanya.

Saari melahirkan rasa kesal Umno-BN sentiasa mencari peluang untuk menghakis kepercayaan rakyat. Siri pergeseran pendapat antara pimpinan Pakatan Rakyat dijadikan peluru, namun Saari berkata ini harus dilihat sebagai proses mematangkan gagasan kerajaan alternatif ini.

“Seramai 3 Adun Pas di Selangor menjadi Exco Selangor dan ini merupakan satu penghargaan kepada Pas.Ini juga merupakan satu semangat kesetiaan,kebersamaan yang di tunjukkan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor,”jelasnya.

Mengulas isu yang sama, Adun Taman Haniza Talha tidak menolak serangan ini bermotifkan politik.

Sebelum ini, ketua perwakilan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus ke Persidangan Umno ke-60 menggesa kerajaan pusat menyekat peruntukan kepada kerajaan negeri.

Abdul Shukor berkata Umno perlu menghentikan program pro-rakyat khususnya khairat kematian tajaan kerjaaan negeri.

“Saya lihat kenyataan Noh Omar itu seperti orang dah gila talak sebab Selangor telah berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, sekarang ini dia akan menggunakan apa jua taktik tidak kiralah samada kenyataan rambang beliau atau apa-apa fakta untuk cuba mempengaruhi rakyat,”jelas Haniza.

Sementara itu, Adun Kinrara Teresa Kok yakin akar umbi Pakatan Rakyat lebih matang dan menyedari taktik provokasi Umno-BN.

“Dia hanya mahu mengapi-apikan Pakatan Rakyat, DAP ,PAS dan parti komponen yang lain. Noh Omar bukan dari kerajaan Pakatan ,dia hanya pandai komen sahaja dengan tujuan untuk mengasingkan PAS jauh lagi dari Pakatan Rakyat,”katanya -TVS

Era Najib Altantuya : Badrul Hisham Dibeli UMNO-BN - S.Manikavasagam

Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam dengan lantang menyatakan kemungkinan besar bekas Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah di beli UMNO-Barisan Nasional.

Beliau yakin kerana dirinya turut pernah di tawar oleh ahli parti itu sebanyak 50 juta semasa mempunyai sedikit salah faham dengan PKR sebelum ini.

“Saya rasa Badrul di beli 10 juta atau 20 juta...Umno ada belakang di sini, masa sidang media, tengok siapa disebelahnya....masa saya ada perbalahan sikit dulu, Aziz Samsudin offer saya 50 juta, bukan 1 ringgit, 2 ringgit, tapi 50 juta, tapi saya masih disini, rakyat pilih kita, Badrul adalah pengkhianat kepada pengundi di Port Klang,” katanya.

Katanya, dakwaan ini menjadi lebih jelas apabila Badrul keluar dari parti itu dan menyertai parti bebas menyokong UMNO-BN.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Kota Damansara hari ini.

Beliau kesal Badrul gagal menjalankan tugas dengan baik dan kerana itu telah menyebab nama Parti Keadilan Rakyat tercemar.

Jelas YB Mike, Badrul langsung tidak mahu menemui mana-mana wakil rakyat lain yang mahu berjumpa dan berbincang dengannya.

Justeru itu, Manikavasagam setuju dengan cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memilih calon wakil rakyat dari parti itu yang benar-benar faham falsafah parti dan dengan semangat untuk memperjuangkan parti.

“Kita kena skrin calon, betul-betul jiwa rakyat baru bertanding..bukan macam Badrul, yang lain takkan lompat parti, kita tengok apa yang dia lakukan, mana dapat wang? Peruntukan dari mana?,” katanya. -TVS


Era Najib Altantuya : Selangor Mahu Asri Disiasat Dengan Adil

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.

Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.

Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.

Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali, dimana sahaja di dalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi, Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.


Era Najib ALtantuya : Ahli Parlimen Sri Gading Pertahan Tindakan

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz tetap mempertahankan tindakannya mendesak Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Khoon berundur dari barisan Kabinet Najib Razak.

Mohamed Aziz berkata pihaknya berpandangan Koh tidak layak menduduki Kabinet, namun menyambut baik tindakan Najib mengenepikan saranan itu.

“Nasihat TPM kita terima dengan baik. Terima kasih kepada beliau lah” katanya.

Manakala bagi ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula, ujarnya beliau dan Aziz akan terus menegur sesiapa sahaja yang dirasakan perlu ditegur dalam parlimen.

“Soal tegur bukan hanya kepada Koh Tsu Khoon atau Tee Keat, kita tegur mana yang kita lihat ada kepincangan dan rakyat lihat perlu ditegur. Itu sahaja", ujar beliau.

Malah ujar Aziz, apa yang dilakukan hanyalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.
“Untuk rakyat. Kan kita kata rakyat didahulukan" ujar Aziz lagi.




1 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Dr. Asri Dakwa Dia Difitnah

BBekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kecewa dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Menurut beliau tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan.

"Mereka nak hantar (memorandum) kepada Yang di-Pertuan Agong tak ada masalah, tapi mereka mesti berikan fakta yang benar," katanya dalam sidang media tergempar di sini malam ini.

Jelas beliau antara tuduhan fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Oleh yang demikian beliau menuntut supaya Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip yang menandatangani memorandum berkenaan supaya menyatakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan.

"Untuk buat bantahan itu hak mereka, tapi bila beliau keluarkan beberapa tuduhan yang bagi saya membabitkan soal maruah dan keilmuan sehingga boleh menyebabkan perpecahan antara orang Islam... ini tuduhan besar.

"Saya minta beliau buktikan satu sahaja sama ada tulisan atau perkataan saya yang jadi bukti terhadap apa yang beliau sebut... saya beri tempoh selama satu minggu," katanya.

Tambah Mohd Asri, beliau menyedari salinan memorandum berkenaan dimuatkan dalam lawan web PGSM pagi tadi.

Bagaimanapun hasil semakan, salinan memorandum yang diedarkan kepada media dalam sidang media itu telah dipadam daripada lawan web berkenaan.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Mohd Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Mohd Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap tuduhan berkenaan beliau berkata, "Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman."

Berhubung sama ada beliau berhasrat untuk membuat penjelasan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini beliau berkata: "Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga."

Dalam pada itu, ditanya mengenai status tawaran jawatan YDP YADIM terhadapnya yang dibuat oleh Perdana Menteri pada September lalu, Mohd Asri berkata berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut.

"Apabila melihat kepada perkembangan ini, saya tidak berminat... itu keputusan saya," katanya.

Selain itu menurutnya, beliau juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau berada di pihak ketiga.

"Sebenarnya apabila jawatan ini timbul, saya bertanya pendapat Tun Dr Mahathir, beliau juga kurang bersetuju saya pergi mana-mana jawatan yang agak nampak di pihak kerajaan.

"Katanya elok saya jadi pihak ketiga, saya memang sedang menimbangkan nasihat beliau dua, tiga hari lepas... sebelum saya lihat memorandum ini," katanya.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

"Apabila timbul isu YADIM ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

"Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada YADIM sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara," katanya tanpa mengulas lanjut. -mstar


MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM

Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bertarikh 12 Oktober 2009.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :-

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ditandatangani oleh:

Mohamad Isa bin Abd Ralip

Presiden PGSM

Bertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia

2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan

3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)

9. Jemaah Islah malaysia (JIM)

10. Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah

13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS


Era Najib Altantuya : PAS Parti Yang Paling Bertoleransi

YB Dato' Ngeh akui ketika YB Hj Nizar dicalonkan sebagai Menteri Besar dari PAS penyokong-penyokong DAP khususnya dari kalangan masyarakat Cina dan India menentang keras pencalonan ini. Pimpinan DAP Pusat dan Negeri mendapat tekanan dari penyokong-penyokongnya. Beliau berucap dalam sesi penggulungan Konvensyen Pakatan Rakyat petang tadi.

Menurut Ngeh, sebelum ini masyarakat Cina dan India sering diberi gambaran oleh media bahawa PAS dan pimpinannya ekstrim, pelampau agama, anti Cina dan sebagainya. Mereka mengundi PAS ketika itu, bukan bermakna mereka mahu PAS memimpin kerajaan,lebih-lebih lagi menjadi Menteri Besar.

Pimpinan DAP Perak yang telah lama berkawan dengan pimpinan PAS sejak Ust Sabran Asmawi sebagai Pesuruhjaya PAS semasa sama-sama menjadi pembangkang di DUN Perak 1999, menyakinkan penyokong-penyokongnya bahawa PAS dan pimpinannya tidak sebagaimana yang digambarkan oleh media.

Apabila Perak diterajui oleh Hj Nizar sebagai Menteri Besar, dengan sikap Hj Nizar dan seluruh adun dan pimpinan PAS Perak yang begitu toleransi terhadap kaum lain, akhirnya masyarakat Cina dan India menerima PAS sebagai rakan yang boleh dipercayai bagi menerajui negeri Perak. Mereka selesa dengan cara PAS memimpin dan mentadbir negeri Perak. -misbahulmunir

Era Najib Altantuya : Wibawa Nik Aziz Santuni DAP Perak

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat petang tadi melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana masyarakat bukan Islam, termasuk para pemimpin DAP negeri sudi menjemputnya bersama-sama memperkukuh Majlis Pakatan Rakyat di Perak.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana parti PAS diterima oleh orang bukan Islam. PAS negeri tidak lagi menjemput saya dalam program parti, tapi Ngeh Khoo Ham…pemimpin DAP yang jemput saya sama-sama perkukuh Pakatan Rakyat di Perak,”

Dalam nada berjenaka, Nik Aziz melahirkan rasa terkejut kerana pemimpin PAS tidak lagi menjemputnya, disebabkan beliau menyokong Pakatan Rakyat.

Dalam ucapan perasmian itu juga, Nik Aziz mengajak semua pemimpin parti-parti peringkat negeri menjadikan parti masing-masing berusaha mengenal Pencipta dunia ini, iaitu Allah.

“Sebelum (Allah) mencipta manusia, bumi ini telah ada. Kalau Allah cipta dulu manusia baru cipta bumi, di mana manusia nak tinggal…dia (manusia) kata dia cipta (dunia)…Umno tak kenal pencipta, sebab itu dia rampas kerajaan…dia (Umno) anggap bumi ini dia punya,” jelasnya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana para pemimpin Pakatan Rakyat Perak berusaha untuk saling mengenali antara satu sama lain.

“Begitu juga manusia, Allah cipta tak sama muka…supaya kenal-mengenal…saya jadi Melayu kebetulan (dan) Ngeh Khor Ham jadi Cina kebetulan sebab itu rahmat.”

“Kalau Allah jadikan manusia sama semua muka macam (seperti) selipar Jepun, susah nak kenal mana satu Nik Aziz dan Ngeh Kor Ham,” jenaka Nik Aziz lagi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menjelaskan tohmahan Umno kononnya budaya membaca ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebagai suatu penghinaan kepada Islam.

“Nabi pun mengutus surat pada semua pemimpin kerajaan bukan Islam, Raja Najasyi di Habsyah, Kaisar di Parsi, Heracleus di Rom, Nabi mula dengan tulis ayat al-Quran.”

“Nabi tulis untuk pemimpin bukan Islam baca, bukan Nabi tulis tapi nabi kata: jangan baca ayat al-Quran ini sebab nanti hina Islam. Pemimpin Umno bodoh agama dan tak suka ikut Nabi,” tegas Nik Aziz lagi.

Tegas Nik Aziz lagi, perjuangan PAS berdasarkan ajaran Islam, bukannya politik perkauman Melayu sebagaimana yang diamalkan Umno.

Jadi, beliau mengajak masyarakat bukan Islam mengenali Islam sebelum mengenali perjuangan PAS di Malaysia.


Ngeh Khoo Ham yang berucap sebelumnya mengakui bahawa DAP dan beliau sendiri percaya bahawa PAS adalah parti ekstrem, disebabkan terperdaya dengan propaganda Umno.

“Dulu saya memang ingat PAS (sebagai) parti ekstremis agama, fundimantelis dan tidak suka orang Cina (dan) dan bukan Islam. Itu semua sebelum kenal Tok Guru, Hj. Nizar lah,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri menyuarakan rasa kagum dengan kepimpinan amanah Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana bersabar dan terus mempertahankan mandat rakyat, walaupun selepas Umno merampas kerajaan negeri.

Katanya lagi, kewibawaan Nizar menyebabkan majoriti rakyat terus bersama Pakatan Rakyat, walaupun beberapa Adun Pakaran Rakyat mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Beliau juga berharap hubungan antara PAS, PKR dan DAP di Perak kekal kukuh, walaupun masing-msing mempunyai beberapa perbezaan dari segi ideologi kepartian.

Turut menyertai majlis perasmian penutup Nik Aziz itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Mustafa Kamil Ayub, Speaker DUN V. Sivakumar dan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Meng,

Dipercayai kekaguman para pemimpin Pakatan Rakyat Perak terhadap peribadi Nik Aziz kerana Mursyidul Am PAS itu belakangan ini tegas mempertahankan gagasan Pakatan Rakyat dari diperdaya oleh Umno.

Ianya sekaligus menjadikan Nik Aziz bukan sahaja berwibawa dalam kalangan ahli-ahli PAS, malah mula dikagumi oleh para pemimpin Pakatan Rakyat sendiri. -zainulfaqar


31 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Resolusi Konvensyen PR Perak

Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang telah bersidang pada 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430 telah merumuskan resolusi berikut :-

i. Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

ii. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

iii. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

iv. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

v. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

vi. Meneruskan prinsip 5K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

vii. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

viii. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

ix. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan Allah swt sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

x. Jawatankuasa resolusi mencadangkan agar gagasan Pakatan Rakyat disegerakan pendaftaran diperingkat nasional dengan penggunaan 1 logo. -YB Idhamlim


Era Najib Altantuya: Gerakan Cadang BN Digantikan Dengan Sebuah Parti Tunggal

Pemuda Gerakan mencadangkan ditubuhkan parti tunggal yang mewakili semua kaum bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang kini dianggotai parti-parti komponen yang mewakili kaum tertentu.

Ketuanya Lim Si Pin (gambar) berkata penubuhan parti tunggal itu diyakini akan dapat menarik minat semua kaum untuk menyertainya dan dapat mengelakkan timbulnya sebarang masalah perkauman.

"Kalau kita (parti-parti komponen) masih menggunakan cara perkauman untuk mengatasi masalah, kita hanya akan menjadi semakin mundur dan tidak dapat menuju ke hadapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Lim mencadangkan satu jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN) ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana struktur parti tunggal sedemikian dapat direalisasikan.

"Saya berharap, Pemuda BN yang kini di bawah pucuk pimpinan saudara Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini tetapi sebaliknya mengambil cadangan untuk menerokai kemungkinan diwujudkan satu parti sedemikian," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kesepakatan dan kerjasama perlu dicapai antara semua parti komponen BN dengan menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas sebagai iktibar dan mendapatkan semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum dan kecil yang akan datang.

Katanya keputusan pilihan raya umum ke-12 jelas menunjukkan bahawa aspirasi dan hasrat pengundi dan rakyat jelata telah menjangkaui batasan kaum.

"Banyak kerja pemulihan perlu dilaksanakan, misalnya semua rancangan sedia ada harus dikemaskinikan dan dikaji semula untuk meningkatkan semula imej parti Barisan Nasional," katanya.

Mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berharap kerajaan dapat membuat pindaan yang menyeluruh ke atas akta itu dan bila tiba masa yang sesuai dimansuhkan dan digantikan dengan satu akta yang lebih berperikemanusiaan. -Bernama

Era Najib Altantuya : Badrul Boleh Saman Jika Mahu - Khalid

Menteri Besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan menghalang tindakan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdulllah untuk menfailkan saman malu terhap beliau.

Menurutnya jika mahu, Badrul juga boleh menfailkan saman terhadap beliau menggunakan wang Umno-Barisan Nasional.

“Dia boleh saman kalau dia nak,boleh pakai duit UMNO juga”,katanya berhubung isu ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu ini dalam satu sidang media selepas menghadiri Konvokesyen Universiti industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya pagi tadi.

Terdahulu, Badrul dalam kenyataannya berkata, beliau akan menfailkan saman terhadap Khalid yang kononnya menfitnahnya mengalami masalah mental.

Selepas keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN Bebas menyokong Barisan Nasional, Badrul dilihat cuba menunding jari menyalahkan kerajaan negeri dan parti di atas keputusan yang diambil.

Bagaimanapun, rakyat khususnya di Pelabuhan Klang sedia maklum dengan perilaku Adun berkenaan yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Tindakan keluar parti itu diambil selepas Khalid mengutarakan usul kepada PKR meminta Badrul meletakaan jawatan bagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masyarakat Pelabuhan Klang.

Walaupun dikecam hebat penduduk Pelabuhan Klang, badrul masih enggan melepaskan jawatannya.-NADIA MOHSIN(TV SELANGOR)

Era Najib Altantuya : UMNO BN Guna Taktik Kotor

Barisan Nasional (BN) didakwa menggunakan taktik kotor untuk kembali memerintah di negeri yang ditawan pembangkang pada pilihan raya umum lalu dengan ‘memancing’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR), demikian lapor Sinar Harian.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub berkata, antara strategi yang digunakan ialah menyalurkan peruntukan kepada bekas pemimpin PR yang menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong (BN).

Menurutnya, strategi itu digunakan terhadap ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytihar dirinya wakil rakyat Bebas yang menyokong BN berkuat kuasa serta merta, kelmarin.

“Itu baru strategi awal, banyak lagi strategi yang dirangka oleh BN. Dalam situasi Badrul ini, BN bermurah hati beri bantuan. Selepas itu berusaha memerangkap Badrul masuk BN. Bila terperangkap, mereka akan ambil satu demi satu kerusi PR," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa BN bersedia memberikan bantuan atas sokongan beliau (Badrul) kepada BN bagi membangunkan secara bersama-sama kawasan yang diwakili Badrul.

Menurut Mustaffa Kamil, situasi yang sama tutut berlaku terhadap tiga ADUN di Perak iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) yang menjadi wakil rakyat Bebas dan beri sokongan kepada BN.

Katanya, PKR akan tetap berjalan seperti biasa kerana keputusan Badrul keluar parti bukanlah perkara mengejutkan.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan berkenaan berkata, BN tidak pernah menggunakan taktik kotor sebaliknya mereka berbuat demikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.

“Mereka sendiri yang menyokong, bukan paksaan atau ‘taktik kotor’ BN. Kita sentiasa mengalu-alukan sokongan mereka itu yang menyedari bahawa BN banyak berjasa dalam pelbagai bidang,” katanya.

30 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Penduduk Pelabuhan Klang Gesa Badrul Hisham Letak Jawatan

Beliau tidak bertanggungjawab, jarang bergaul dan tidak langsung prihatin terhadap masalah rakyat.

Itulah sungutan penduduk Pelabuhan Kelang terhadap Badrul Hisham Abdullah, adun kawasan itu yang bertindak keluar dari parti Keadilan Rakyat untuk menyokong Umno-Barisan nasional.

Badrul mengambil tindakan itu setelah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mengusulkan supaya beliau meletak jawatan sebagai Adun kerana gagal melaksanakan amanah yang diberikan.

Namun Badrul enggan melepaskan kerusi ADUN itu dan kini mencari sokongan daripada Umno untuk melanjutkan karier politiknya.

Semua akhbar dan media eletronik arus perdana memuatkan tindakan Badrul keluar dari PKR sebagai tajuk utama.

Malah mereka cuba memaparkan tindakan itu sebagai tanda PKR tengah bergolak.
Media kawalan umno-BN tidak pun cuba menyiasat prestasi Badrul sebagai ADUN pelabuhan Kelang.

Malah mereka memperkecilkan rasional Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim disebalik tindakan kerajaan negeri mengusulkan Badrul meletak jawatan.

Tindakan berani itu diambil kerana penduduk pelabuhan Kelang hilang kepercayaan terhadap adun yang dipilih mereka pada pilihanraya umum 2008.

Susulan keluhan penduduk Pelabuhan Kelang, Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat mengambil pendirian tidak akan melindungi Adun yang gagal membela rakyat
Badrul enggan berjumpa dengan kepimpinan parti mahupun kerajaan negeri untuk membincangkan prestasinya.

Susulan itu Tan Sri Khalid mengambil inisiatif mengusulkan supaya Badrul meletak jawatan supaya memberi laluan kepada pihak yang lebih ikhlas tampil membela penduduk Pelabuhan Kelang.



Era Najib Altantuya : Badrul Persia Bantuan Kerajaan Negeri Selangor

Keputusan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah untuk keluar dari PKR sememangnya dinanti-nantikan pemimpin tertinggi PKR Selangor setelah beliau gagal menunjukkan prestasi baik dalam memberi perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Tindakan beliau meninggalkan parti dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia sebab kita pun kalau boleh tidak mahu sampai ke tahap macam nie, tetapi dia yang memilih jalan macam ni, kita dah bagi peluang dia menjadi wakil rakyat, bila timbul masalah kita cuba bantu tapi inilah pilihan yang dia ambil”, katanya.

Bercakap kepada Tv Selangor ketika diminta mengulas tindakan Badrul keluar PKR melalui telefon hari ini.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti. Sebaliknya Nik Nazmi berkata PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

Menurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekiranya beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

“Sebenarnya saya rasa kita yang hilang keyakinan dengan dia dulu, selama ni kenapa dia tak keluar, kalau dah lama dia begitu kenapa dia tak keluar dan dia hilang keyakinan kepada parti tetapi tidak bermaksud dia patut tutup pusat khidmat dia, dia perlu hentikan berhubung dengan rakyat, tak pergi program, program Tuanku tak pergi, program kerajaan negeri jadi sama ada dia percaya kepada parti itu perkara lain. Yang penting dia jalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat”, jelasnya.

Tambahnya, Pilihanraya Kecil hanya boleh dibuat setelah Badrul meletak jawatan sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang sepertimana yang disyorkan Menteri Besar ekoran beliau gagal menjalankan tugasnya.

“Dia belum letak jawatan sebagai wakil rakyat, itulah yang kita nak minta kalau dia tak boleh buat kerja patutnya dia letak jawatan sekarang dia cerita hilang keyakinan pula, jadi itu kena tanya Badrul lah”, tegasnya.

Nik Nazmi turut menafikan dakwaan Badrul bahawa beliau tidak menerima peruntukan kawasannya berbanding wakil rakyat lain.

Katanya, sebaliknya kerajaan negeri sudah menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan kepada Badrul bagi membolehkan beliau menjalankan program untuk masyarakat.

“Kita ambil alih pengurusan peruntukan saya sendiri maklumkan pada dia sebab waktu timbul banyak sangat aduan, rakyat minta tak dapat, ada aduan wujudnya penyelewengan dan sebagainya, kita nak selamatkan dia”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN