20 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Isu Mirzan, Apa Kata Mufti 1Malaysia?

Di Selangor, kerajaan negeri berusaha untuk mengawal penjualan arak secara terbuka dan bebas. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri cukup prihatin dengan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor. Nampaknya kesepakatan telah diterima oleh semua pihak di Selangor.

Dalam pergolakan ini, Umno pula cuba menanggguk di air keruh. Kerajaan negeri dihentam kerana dikatakan tidak membanteras arak. Mereka lupa, isu arak ini, telah berlarutan sejak Umno mula berkuasa di Selangor. Apa Umno buat tentang arak di Selangor ? Kerajaan PR pula mengambil tindakan sebaik sahaja berjaya menguasai Selangor.

Memang pelik, di saat para ulama dan ahli-ahli agama gigih mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya, ada pula orang Islam sendiri membenarkan dirinya dilantik dalam syarikat arak. Pendedahan terbaru tentang Mirzan ini cukup menyedihkan umat Islam. Sekarang rakyat menunggu reaksi pemimpin Umno dan reaksi bekas Perdana Menteri sendiri. Rakyat juga sedang menantikan apa jawapan mufti-mufti dalam hal ini.

Mirzan dalam mempertahankan diri memberi alasan dengan berkata, "Ini adalah urusan perniagaan sahaja."

Beliau tentu sedar bahawa syarikat yang dipimpinnya itu menguasai 95% pasaran arak Filipina dan dijual di 60 buah Negara di dunia. Adakah beliau sedar, individu yang terlibat dengan arak bukan sahaja minum, membotol, menjual, membawa atau apa sahaja yang membantu dalam pasaran arak akan mendapat saham dosa.

Beliau telah mengeluarkan kenyataan akan mengurangkan penglibatan SMC dengan arak sekitar 15% sahaja menjelang 2010. Kenyataan itu nampak terlalu jujur dan ikhlas. Perlu diingat bahawa matlamat tidak boleh dihalalkan dengan cara. Walaupun esok syarikatnya berjaya mengurangkan pengeluaran arak hingga menjadi 1 %, adakah syarikatnya dikira bersih ?

Jangan keluarkan kenyataan seolah-olah ada hukum baru berkaitan arak. Panduan bagi penganut Islam adalah jelas. Arak itu haram. Kartika minum arak secara tertutup di kelab malam, ditangkap dan akan dihukum. Saudara Mirzan membuat kesalahan secara terang-terangan. Tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan bagi menunjukkan ianya betul. Siapa yang akan ambil tindakan ?

Rakyat Malaysia yang menghina lagu Negaraku akan dikenakan hukuman bila pulang dari luar Negara kerana dikatakan menghina rakyat dan Negara Malaysia. Apa pula tindakan yang akan dikenakan kepada Mirzan kerana menghina Islam secara terang-terangan ?

Jika, Mirzan Mahathir seorang yang bermaruah dan sayangkan agama anutannya. Letak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah. Bertaubat dan carilah rezeki dengan cara halal. -Hamba Allah

Era Najib Altantuya : Bagan Pinang, PAS Lancar Majlis Gerak-kerja

Jentera Kerja pilihan raya PAS dan Laman Web Rasmi PRK Bagan Pinang secara rasmi telah dilancarkan oleh YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam satu majlis pelancaran jentera parti malam kelmarin.

Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin, Pesuruhjaya Negeri Sembilan Zulkifli Omar dan pimpinan Pakatan Rakyat dari DAP antaranya YB Loke (MP Rasah), YB Anthony Fernandez (MP Seremban) dan YB Ean Yong Tin Sin (ADUN Lukut). Tidak kelihatan YB MP Teluk Kemang, YB ADUN Port Dickson dan YB ADUN Chuah - kesemuanya dari PKR dan tidak diketahui samada mendapat jemputan atau tidak).

YB Loke dalam ucapan pembukaannya menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bakal calon PAS yang akan bertanding di Bagan Pinang, DAP dari awal lagi menunjukkan sokongan dengan membuka bilik gerakan untuk memberi penerangan kepada pungundi cina.

Di akhirnya, Tuan Guru presiden menyeru kepada ahli PAS agar dapat memberi sumbangan tenaga mahupun wang ringgit bagi membantu jentera PRK Bagan Pinang dengan lancar.

Terdahulu dalam satu mesyuarat jentera pilihanraya yang berlangsung pada sebelah petang, PAS kawasan-kawasan di dalam Negeri Sembilan telah diberikan amanah mengetuai UPU yang terdapat dalam DUN Bagan Pinang sambil dibantu negeri-negeri. Maklumat lanjut tentang perkara ini akan dimaklumkan kemudian.

Era Najib Altantuya : Islam Melangkaui 1Malaysia

Apa nak dipening-pening kepala dengan 1Malaysia. Sekarang bermacam-macam ungkapan berkaitan dengan 1Malaysia. Gatal telinga mendengarnya.

Mula-mula kita dengar Salam 1Malaysia. Maka siang malam TV pun 'bertitir' ....Salam 1Malaysia.

Nak buang kemana kita punya ungkapan 'Assalaamualaikum"?

Hari ini kita dengar ungkapan......."kita adalah satu keluarga yang besar. Kita adalah keluarga 1Malaysia".

Islam telah mengajar kita berbaik-baik dan berkenal-kenalan dengan semua kaum dan bangsa, bersaudara dengan semua orang Islam, lebih 1400 tahun dahulu, dan yang paling baik diantara kita ialah mereka yang bertakwa.

Kalau sesaorang yang bertakwa, mahu tidak mahu mesti mereka akan berbaik-baik dan berkasih sayang dengan semua makhluk di muka bumi, tidak kira apa bangsa dan agama yang dianuti. -al-brangi

Era Najib Altantuya : UMNO Pusat Menambahkeruhkan Krisis Politik Terengganu

K risis politik Terengganu dilihat semakin runcing apabila beberapa usaha termasuk lawatan khas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin dan Ketua Perhubungan Datuk Hishamudin Husein gagal menampakkan hasil positif untuk memulihkan keadaaan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana semakin jelas beliau kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam dewan berkenaan.

"Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa perbalahan antara kumpulan Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hanya akan dicari penyelesaian selepas hari raya jelas menunjukkan krisis ini amat serius," kata jurucakap PKR Terengganu, Hashimi Datuk Haji Abbas dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Bagi menghormati amalan demokrasi kata beliau, kerajaan negeri tidak lagi layak untuk terus mentadbir dalam keadaan Menteri Besar hanya disokong oleh segolongan minoriti ahli dewan undangan negeri.

Menurut beliau, kumpulan penyokong Idris yang terdiri lebih 12 ahli dewan jika dicampur dengan ahli dewan daripada PAS jelas telah menafikan majoriti penyokong Ahmad Said dalam DUN.

"Kita yakin keadaan ini dari segi semangat demokrasi akan menjadikan kerajaan berjalan dalam keadaan tidak sah dan bercanggah dengan kehendak rakyat," jelas beliau.

Krisis politik Tergengganu tercetus dengan desas desus sekumpulan ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar akan melompat menyertai pembangkang.

Tindakan kumpulan itu dkatakan tidak menjadi kenyataan kerana pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib tidak positif dengan pelan berkenaan. Bagaimana pun Harun menafikannya kerana tidak ada sebarang perbincangan mengenainya.

Perkembangan terakhir di mana Muhyidin Yasin membuat kenyataan bahawa krisis politik Terengganu hanya akan dicari penyelesaian selepas hari raya menimbulkan persoalan baru bahawa pihak yang menentang Menteri Besar serius untuk mengambil tindakan drastik.

Tinjauan MI di sekitar Terengganu menunjukkan kain-kain rentang ucapan selamat hari raya di kawasan dikuasai kumpulan anti Ahmad Said tidak meletakkan gambar menteri besar itu besama ADUN.

Adun Kuala Besut misalnya meletakkan gambar beliau bersama dengan Idris Jusoh bukannya Ahmad Said. Ia dilihat satu keganjilan walaupun Idris adalah ketua bahagian Umno Besut. -MalaysianInsider

Era Najib Altantuya : Ong Ibu Segala Pembohongan - Dr.Chua

DDatuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini menggelar presiden parti MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai "ibu segala pembohongan".

Dr Chua berkata demikian sewaktu ditanya samada akan menubuhkan sekali lagi menafikan spekulasi yang telah tersebar luas itu.

"Tidak pernah terlintas untuk memulakan sebuah parti baru. Menubuhkan parti baru merupakan cerita karut yang diada-adakan oleh presiden untuk mencemarkan nama saya," katanya.

Beliau menyeru anggota MCA, khususnya para perwakilannya, supaya bersatu demi kepentingan parti dan tidak menjadikan parti sebagai alat untuk perjuangan presiden MCA sahaja.

"Jangan benarkan parti menjadi alat untuk perjuangan presiden MCA sahaja. Ia ini adalah parti untuk semua ahli-ahli MCA dan biarlah perwakilan MCA menentukan nasib pemimpin dan hala tuju parti," katanya kepada pemberita di rumah terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, di sini pada Sabtu.

Mengenai keputusan Jawatankuasa Pusat (CC) MCA mengantung keanggotaan beliau selama empat tahun, bekas timbalan presiden parti itu berkata:" Adakah mereka cuba katakan yang CC lebih besar kuasanya daripada mesyuarat agung luar biasa (EGM)."

MCA akan mengadakan EGM pada 10 Okt bagi membincangkan beberapa keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti kebelakangan ini termasuk pemecatan Dr Chua sebagai timbalan presiden parti oleh Majlis Presiden pada 26 Ogos ekoran skandal seks beliau pada tahun lepas.

"Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan-perwakilan MCA yang akan hadir dalam EGM ini, dan saya yakin mereka akan buat keputusan yang bijak demi kepentingan parti," kata Dr Chua.



Era Najib Altantuya : SELCAT, Ada Yang Gelisah Tak Tentu Pasal

Tiada krisis dalam Pakatan Rakyat Selangor, hanya Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang berhadapan dengan krisis. Demikian tegas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim semasa ditanya mengenai isu terbaru - Selcat - menghantui kerajaan negeri Selangor.

"Saya merasakan beliau (Dr. Hasan) dalam krisis, bukannya Pakatan. Pakatan tiada dalam krisis sehingga sekarang. Kita kukuh, kami mempunyai mandat yang kukuh.

"Saya melihat (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim menikmati populariti yang cukup tinggi... orang ramai gembira dengan apa yang beliau lakukan, orang ramai gembira dengan pembaharuan dilakukan beliau termasuk pembaharuan kepada Dewan Undangan Negeri.

"Jadi, jika ada sesiapa yang tidak boleh duduk bersemuka dengan Tan Sri Khalid, itu adalah krisis mereka, bukan krisis Tan Sri (Khalid).

"Adalah tidak adil untuk mengatakan krisis Tan Sri," kata Teng ketika diminta mengulas isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Teng mengulas kenyataan Hasan yang diberikan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri/Menteri Besar yang dihadiri kedua-dua mereka.

Teng yang mempengerusikan Selcat, dianggotai tujuh anggota termasuk dua wakil Barisan Nasional (BN), mengulas isu Selcat yang dikritik apabila pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi, selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Katanya, siasatan diketuai Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Selcat akan mengadakan pertemuan susulan selama lima hari bermula 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

KOMEN HASAN ALI

Kira-kira sejam sebelum ulasan Teng itu, Hasan yang ditemui wartawan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri memberitahu, daripada hanya dianggotai oleh ahli-ahli politik memberitahu, keanggotaan Selcat boleh terdiri daripada bekas hakim, pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat terkemuka.

Hasan berkata: "Kami semua menyokong penubuhan Selcat. Tetapi yang saya agak, agak sedikit kecewa ialah dengan cara pengendalian Selcat itu."

"Anda tahu beberapa Pegawai Daerah sama ada yang dipanggil untuk disoal siasat atau diambil keterangan dan sebagainya, tetapi sebagaimana dilaporkan dalam pertemuan kita dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan termasuk seluruh kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini, mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

"Mereka merasakan mereka diaibkan, mereka merasakan imej mereka terjejas, mereka merasakan mereka tidak dilayan seperti pegawai kanan kerajaan, sebaliknya dilayan seperti budak sekolah dan dengan asakan soalan-soalan... sebab itu mereka merasakan tiada ruang untuk memberikan jawapan-jawapan yang adil dan ada pegawai-pegawai daerah sendiri tidak tahu bentuk jawapan yang dikehendaki oleh Selcat," kata Hasan lagi.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan.

"Saya juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, pegawai kanan kerajaan satu masa dahulu... jadi saya tahu perasaan mereka, saya tahu hati mereka, saya tahu fikiran mereka, dan saya tahu cara mereka beroperasi.

"Oleh itu, secara semula jadi saya bersimpati dengan mereka, kemungkinan... khususnya dalam isu yang membabitkan Selcat ini," kata beliau yang mengharapkan sesi pendengaran Selcat bulan depan ditangguhkan sehingga pengubahsuaian yang disarankan ini dilakukan.

TENG HAIRAN PENDIRIAN HASAN

"Saya agak hairan dengan Datuk Hasan yang jahil dengan amalan berparlimen kerana ini adalah jawatankuasa hak dan kebebasan dibentuk oleh Dewan Undangan Negeri.

"Tiada amalan sedemikian untuk tempoh selama 300 tahun yang lalu di mana jawatankuasa hak dan kebebasan dianggotai oleh bekas hakim dan anggota bukan Dewan... jadi, saya tidak tahu sama ada beliau jahil atau mahu mewujudkan sesuatu yang baru berhubung amalan berparlimen selama ini.

"Saya mengatakan bahawa berdasarkan amalan berparlimen di negara-negara Komanwel sejak 300 tahun lalu, saya tidak mendengar keanggotaan sedemikian, jawatankuasa hak dan kebebasan terdiri daripada mereka yang bukan anggota Dewan," kata Teng sambil menjelaskan, aturan mesyuarat DUN juga menetapkan keanggotaan perlu datang daripada semua parti.

"Jadi kita perlu mengambil kira pengiktirafan itu," kata Teng lagi.

"Parlimen adalah badan politik paling tinggi. Jadi, bagaimana anda boleh mengambil keluar unsur politik? Kita berada di sini juga menerusi politik.

"Jika sesiapa mahu membuat penghakiman, mereka harus menyertai bidang kehakiman, jadi hakim. Anda tidak boleh menyertai Parlimen, dengan anggota perundangan menjadi hakim," katanya.

Teng, pemimpin DAP, juga mempersoalkan kapasiti Hasan bercakap mengenai isu Selcat buat masa sekarang.

Hasan menjadi tumpuan dalam isu pengharaman jualan minuman keras di kedai serbaneka 24 jam di kawasan Shah Alam, Julai lalu.

"Ini bukan merupakan isu Pakatan. Beliau ada kapasiti, saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau bercakap.

"Apabila beliau bercakap mengenai pengharaman minuman keras, beliau bercakap sebagai pemimpin PAS. Bila bercakap sebagai pemimpin Pakatan, beliau bercakap mahu menukar setiausaha kerajaan negeri, penasihat perundangan, mahu tukar Pegawai Daerah dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan.

"Dan, sekarang mahu mengubah Selcat. Saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau mahu bercakap. Itu anda kena tanya beliau sendiri," kata Teng sambil menambah, perjalanan Selcat telah disambut baik oleh orang ramai.

"Orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap Dewan Undangan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Selcat, dan kita perlu memenuhi harapan itu," katanya.

Katanya, jika ada pihak yang mahu mengubahnya, "saya fikir sudah tiba masa bagi mereka mengkaji semula kedudukan mereka."

"Selcat adalah sesuatu yang baru di negara ini, tetapi bukan sesuatu yang baru jika diambil kira amalan berparlimen negara-negara Komanwel.

"Kita perlu bergerak ke hadapan. Dan, jika perlu ada perubahan di sana sini, kita boleh duduk dan berbincang.

"Tapi jika mahu dibubarkan sama sekali, saya rasa tidak boleh," katanya.

Katanya: "Tidak timbul soal pengubahsuaian. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan pengubahsuaian oleh Hasan Ali. Saya tidak melihat apa-apa masalah sekarang."

KOMEN MB KHALID

Mengulas isu yang sama, Khalid pula berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk meneliti kaedah terbaik agar sistem komunikasi diuruskan dengan baik supaya tiada mana-mana pihak merasakan terguris dalam keadaan mahu bertindak secara terbuka dan telus.

Kata Khalid, beliau akan mengaturkan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut dalam waktu terdekat.

"Jika itu keadaannya saya perlu mengaturkan mesyuarat dengan Speaker dan anggota Selcat dengan pegawai-pegawai daerah, dan dengan Exco agar kita boleh mencari jalan dan cara bagaimana boleh menyelesaikan perselisihan faham dan niat kita," katanya.

Mengenai syor Hasan supaya sistem Selcat dikaji semula, Menteri Besar berkata, ia bukan dalam ruang lingkup prosedur DUN. -MSTAR

Era Najib Altantuya : Ong Ubah Pendirian Dari Pecat Kepada Gantung Dr Chua Selama 4 Tahun

Jawatankuasa Pusat MCA (CC), badan tertinggi dalam membuat keputusan parti, pada hari Sabtu menolak keputusan awal Majlis Presiden (PC) untuk memecat bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Sebaliknya, selepas bermesyuarat selama tujuh jam, CC telah mengambil keputusan untuk menggantungkan keahlian Dr Chua selama empat tahun berkuatkuasa serta merta walaupun bekas Menteri Kesihatan itu tidak mengemukakan rayuan.

"CC secara sebulat suara menggantungkan Dr Chua selama empat tahun mulai hari ini dan jawatan dia dalam parti turut digantung," kata presiden Datuk Seri Ong Tee Keat kepada pemberita di sini.

"CC, selaku badan yang diberi kuasa Perhimpunan Agung, merupakan medan untuk ahli melahirkan pandangan dan pendapat secara bebas dan mempertimbangkan keputusan yang berpatutan," katanya.

Ong berkata dengan menangani sebarang tindakan disiplin sama ada rayuan atau sebaliknya, CC mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan majlis presiden dan membuat keputusan muktamad dalam sebarang perkara selaras dengan perlembagaan parti.

Ong menjelaskan bahawa tindakan CC menolak keputusan majlis presiden bukan kali pertama terjadi kerana sebelum ini perkara sama berlaku.

Ditanya alasan penolakan keputusan itu, Ong hanya berkata: "Kedua-dua PC dan CC sentiasa menyediakan ruang yang selesa untuk membincangkan sebarang kes disiplin."

Mengenai peluang lima agenda akan dimasukkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt ini, Ong berkata bahawa agenda itu akan kekal.

Salah satu agenda EGM itu ialah mengekalkan semula Dr Chua sebagai timbalan presiden dan ahli parti.

Sementara itu, salah seorang penyokong Dr Chua dan watak penting dalam mengusahakan EGM, Loh Seng Kok, berkata adalah tidak sesuai lagi untuk CC menyemak semula keputusan pemecatan itu kerana Dr Chua membiarkan EGM memutuskan nasibnya dalam parti.

"Tindakan menyemak keputusan pemecatan Dr Chua dan menggantikan dengan penggantungan adalah bermakna untuk menghalangnya daripada bertanding pada pemilihan parti akan datang. Ia bermaksud mendapatkan simpati untuk Ong," katanya.

-- BERNAMA

19 Sep 2009

Era Najib Altantuya : 29.09.09 PAS dan BN Umumkan Calon Bagan Pinang

PAS yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan mengumumkan calonnya pada 29 September ini.

Secara kebetulan, buat kali kedua berturut-turut, PAS juga akan mengumumkan nama calonnya pada tarikh yang sama dipilih oleh Barisan Nasional (BN).

BN dan PAS mengumumkan calon masing-masing pada tarikh yang sama ketika pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang bulan lalu.

"Ya, kami (PAS) akan mengumumkan calon pada 29 September... tarikh 29 September sudah ditetapkan," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi DUN Bagan Pinang berkata, pemilihan tarikh yang sama dengan tarikh BN kemungkinan secara kebetulan.

"Ia dipilih kerana dianggap hari yang sesuai... tiga, empat hari selepas sambutan Aidilfitri. Nama calon akan diumumkan pada sebelah malam di kawasan Bagan Pinang," katanya lagi.

Semalam, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan mengumumkan calonnya yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu pada 29 September ini.

Calon BN itu akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Aidilfitri BN peringkat negeri di Port Dickson pada hari berkenaan.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober manakala tarikh pengundian ditetapkan 11 Oktober.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lalu.

Pada 8 Mac 2008, PAS diwakili oleh Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi manakala Azman pula 6,430 undi.

BAKAL CALON

Mengenai calon, Salahuddin memberitahu, pihaknya masih mempertimbangkan tiga nama yang sudah dikemukakan oleh PAS Negeri Sembilan.

Mesyuarat akhir bagi memutuskan nama calon akan diadakan pada pukul 3 petang, 29 September, kata beliau.

"Kemungkinan besar calon PAS kali ini adalah dari kawasan Telok Kemang sendiri," katanya lagi.

GB difahamkan bahawa ketiga nama berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar, yang dipertua PAS kawasan Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Era Najib Altantuya : Kerjasama SPR Dan UMNO Semakin Nyata Di dalam Undi Pos

Dolak-dalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertahankan kaedah undi pos yang begitu dipertikaikan jelas membuktikan bahawa kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional tidak menghormati hak demokratik rakyat negara ini khususnya mereka yang menjadi pengundi pos, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Di satu sisi, (Timbalan Menteri Pertahanan Datuk) Dr Abdul Latiff (Ahmad) berkata parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera kerana bentuk tugas anggota tentera bersifat keselamatan di tahap yang tinggi.

"Di sisi yang lain pula, SPR tidak jemu-jemu berdolak-dalik mempertahankan kaedah undi pos yang dipertikaikan.

"Kesemua itu hakikatnya memperlekeh-lekeh dan menafikan hak demokratik para pengundi pos terutama angkatan tentera," kata beliau.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang itu juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff menginjak-injak status angkatan tentera dan menjadikan mereka warganegara kelas bawah apabila menyatakan tentera hanya boleh berpolitik selepas bersara.

"Rosak negara ini kalau askar ini diberi kebenaran untuk berparti politik. Kalau dia nak berpolitik lepas bersara, itu lainlah," timbalan menteri pertahanan itu dipetik sebagai berkata.

Salahuddin melihat kenyataan tersebut bertujuan menafikan hak demokratik tentera untuk mendapatkan penjelasan yang saksama dari semua parti politik yang bertanding.

"Kita bukan hendak mengajak tentera berparti politik. Kita hanya menuntut hak demokratik mereka untuk mendengar penjelasan yang saksama daripada semua parti yang bertanding sebelum mereka mengundi," kata beliau.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff itu sebagai satu lagi kenyataan borosnya setelah terkenal dengan kontroversi kenyataannya yang mendakwa para doktor "diberi lesen untuk membunuh" sehingga menyebabkan presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin menuntut penjelasan.

Salahuddin melahirkan keyakinan bahawa menuntut supaya diberikan hak demokratik pengundi-pengundi pos bukanlah tuntutan yang melampau.

"Kenapa BN takut sangat? Apa yang disembunyikan sebenarnya?" soal Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau juga hairan apabila SPR bertanya mengapa baru sekarang Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan undi pos.

"Apa yang (Timbalan Pengerusi SPR, Datuk) Wan Ahmad (Wan Omar) cakap?

"Dia berada di alam mana ketika kita menggerakkan perhimpunan raksaksa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ketika menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong pada 10 November 2007 yang antara lain menuntut pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara?"

Salahuddin juga membayangkan PAS sedang mengatur beberapa tindakan susulan untuk memastikan hak demokratik pengundi-pengundi pos tidak diperlekeh-lekeh dan dinafikan.

"BN berhak untuk mempertahankan kuasanya dan juga mempertahankan kemenangannya di Bagan Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

"Tetapi jangan memperalatkan undi pos untuk melakukan penipuan undi. Kuasa rakyat pasti akan menghukum gerombolan yang menipu untuk meneruskan cengkaman kuasanya," beliau mengingatkan.

Bagaimanapun, Salahuddin juga gembira jika BN menyangka rakyat tidak mengesyaki undi pos diperalatkan untuk melakukan penipuan pilihan raya.

"Baguslah jika BN fikir rakyat tidak mengesyaki apa-apa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri mohd Najib Razak mendapat majoriti 22,922 undi di Pekan dalam pilihan raya 2004, antaranya setelah Kem Tentera Batu 10 Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan sedangkan dalam pilihan raya 1999, beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi sahaja," kata beliau.

PAS, tegas beliau, tetap menolak penggunaan Borang Lampiran 2 atau borang identiti pengundi pos, di samping menuntut wakil-wakil calon PAS diberi hak untuk menyaksikan proses pengundian undi pos, mengiringi perjalanan kotak undi pos serta bersama-sama mengawalnya sepanjang tempoh sebelum dikira.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, PAS tetap meragui undi pos dan menggesa SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada 13,664 orang yang layak mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, seramai 4,604 adalah pengundi pos.

Era Najib Altantuya : Perbalahan Samy Vellu Dgn Mahathir Berterusan

Selepas isu gantung selipar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Samy Vellu merupakan satu liabiliti kepada BN.

Hari ini Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu meminta Mahathir itu supaya tidak campur tangan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bulan depan.

"MIC yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengarah pilihan raya BN) dalam memilih calon yang betul untuk kerusi itu.

"Perdana Menteri mempunyai kewibawaan untuk memilih seseorang yang mampu membawa kemenangan kepada BN. Hanya Perdana Menteri mempunyai kata putus mengenai siapa yang patut jadi calon," kata Samy Vellu kepada Bernama semasa diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam.

Bekas perdana menteri itu dalam temu bual dengan Bernama berkata Tan Sri Mohd Isa Samad tidak patut diletakkan sebagai calon bagi kerusi itu kerana beliau pernah digantung daripada Umno selama tiga tahun dari Jun 2005 atas dakwaan terbabit dengan politik wang.

Dr Mahathir berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Beberapa cawangan Umno dan Umno Bahagian Teluk Kemang dikatakan telah mencadangkan nama Isa kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 3 Okt dan pengundian pada 11 Okt. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept.

Samy Vellu juga berkata Dr Mahathir tidak patut campur tangan dalam setiap pilihan raya kecil kerana pendapat beliau telah "menjejaskan" jentera pilihan raya BN semasa pilihan raya kecil berkenaan.

"MIC akan akur dengan siapa sahaja yang dipilih oleh Perdana Menteri, yang juga pengerusi BN. Dr Mahathir tidak sepatutnya campur tangan dalam terlalu banyak perkara yang mungkin meletakkan BN dalam keadaan sukar," katanya.

Era Najib Altantuya : Konflik MCA Meruncing, Ong Bagi Katadua

Kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat yang berpendirian bahawa beliau akan melepaskan jawatan Presiden MCA jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dikembalikan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden telah menghangatkan semual krisis politik MCA.

Ong berkata, keputusan membawa kembali Dr. Chua meskipun dengan majoriti kecil, adalah satu bentuk undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dan keseluruhan Majlis Presiden parti itu.

Kenyataan tersebut dilihat oleh ahli-ahli MCA sebagai satu ugutan dari Ong supaya ahli-ahli MCA memberikan kepercayaan kepadanya dan sekaligus membuktikan bahawa tindakan disiplin yang memecat Chua Soi Lek adalah sebenarnya keputusan yang telah ditetapkan oleh Ong sendiri yang terancam dengan kehadiran Chua sebagai orang nombor 2 dalam parti.

"Keputusannya adalah jelas. Jika ia berlaku, maka prinsip demokrasi saya ialah kesemua daripada kami perlu pergi, keseluruhan anggota Majlis Presiden," kata Ong semalam.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan ditanya pandangan sekiranya perwakilan mahu beliau kekal sebagai Presiden tetapi Dr. Chua dikembalikan jawatan Timbalan Presiden.

Jelas beliau: "Mereka perlu membuat pilihan."

"Jika majoriti kecil diperoleh, saya tiada pilihan melainkan saya meletakkan jawatan.

"Ada pihak yang akan berhujah bahawa saya tidak perlu bertindak sedemikian atau undi dua pertiga diperlukan untuk membuang saya... itu adalah penipuan besar," katanya.

Ong berhadapan dengan lima resolusi pada EGM yang dijadual berlangsung 10 Oktober, yang diadakan ekoran keputusan Majlis Presiden memutuskan untuk memecat Dr. Chua pada 26 Ogos.

Majlis Presiden bertindak sedemikian selepas mempertimbangkan syor Lembaga Disiplin parti yang mendapati pembabitan Dr. Chua dalam DVD seks telah menjejaskan parti.

Lima resolusi yang akan dipertimbangkan ialah:

- Undi tidak percaya terhadap Ong;

- Membatalkan keputusan Majlis Presiden yang memecat Dr. Chua;

- Mengembalikan kedudukan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden parti;

- Membatalkan sebarang pelantikan termasuk Timbalan Presiden yang diputuskan sebelum EGM; dan

- Tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menuntut diadakan EGM

Ong juga berkata, perwakilan akan kelihatan melahirkan pendirian tidak yakin dengan keseluruhan Majlis Presiden jika mereka memberikan undi memihak kepada resolusi kedua iaitu membatalkan keputusan majlis itu yang memecat Dr. Chua bulan lalu.

"Jika ini berlaku, keseluruhan Majlis Presiden, yang saya ketuai, perlu pergi kerana ini adalah keputusan kolektif dan bukannya diputuskan oleh seorang sahaja.

"Saya tidak memaksa sesiapa untuk bertindak demikian," kata beliau sambil menambah, dilihat dari sudut lebih luas atas nama demokrasi, "ini adalah keputusan yang tidak boleh dielakkan."

Majlis Presiden terdiri daripada 22 anggota termasuk menteri dan timbalan-timbalan menteri.

Antara mereka ialah Naib-naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Sambil merujuk kepada dua resolusi pertama, Ong menganggap kedua-duanya "terlalu menonjol" dan menambah, sesetengah perwakilan ada memaklumkan beliau bahawa resolusi undi tidak percaya terhadapnya tidak dimaklumkan langsung apabila mereka menandatangani petisyen agar diadakan EGM.

"Usaha untuk mengembalikan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, ia hanya relevan, dan hanya jika beliau dikembalikan statusnya sebagai ahli (parti) terlebih dahulu," katanya. Berhubung resolusi keempat dan kelima, Ong berkata, kedua-duanya merupakan andaian-andaian yang tidak adil.

"Tidak pernah dalam mana-mana EGM anda dibenarkan mengetengahkan resolusi-resolusi memandai-mandai.

"Saya tidak bertindak keras terhadap sesiapa. Saya menganggap ia adalah urusan penting apabila saya membolehkan diadakan EGM," katanya.

Berhubung keputusan Dr. Chua yang tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Majlis Presiden yang memecatnya, Ong berkata: "Apabila anda tidak merayu kepada Jawatankuasa Pusat berhubung apa-apa hal yang berkaitan dengan masalah disiplin, kes ini dianggap sudah ditutup."

"Dalam hal ini, kami masih menerima resolusi-resolusi yang disyorkan daripada mereka yang menuntut agar diadakan EGM.

"Kini adalah jelas bahawa tindakan ini bukannya bertujuan mengembalikan kedudukan beliau (Dr. Chua) tetapi untuk menyingkirkan saya."

Era Najib Altantuya : Siapa Sebenarnya Yang Melengahkan Perbicaraan?

Usaha pihak pendakwaan (DPP) melengah-lengahkan kes pendakwaan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tindakan yang zalim. Sewaktu Anwar dituduh di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Puan Komathy, pihak pembelaan dan Mahkamah telah siap bersedia untuk perbicaraan. Namun pihak pendakwa mengemukakan sijil di bawah S. 418A, bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi atas alasan yang remeh.

Pihak DPP memberi dalih bodoh, kononnya Anwar adalah seorang yang berprofil tinggi, atas tujuan menjaga keselamatan awam (sedangkan kedua-dua Mahkamah terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta) serta kes ini melibatkan isu-isu teknikal seperti DNA. Meskipun, yang hendak dijaga hanyalah keselamatan kerajaan Barisan Nasional dan undang-undang tidak pernah memberikan layanan yang berbeza atas dasar profil individu. Tambahan pula, Mahkamah Sesyen lebih berpengalaman dalam mengendalikan hal-hal teknikal. Misalnya sebahagian besar kes-kes melibatkan jenayah seksual didengar di Mahkamah Sesyen dan bukan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan DPP untuk memindahkan kes ini datang dari Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, orang yang terlibat dalam konspirasi kes pendakwaan terdahulu. Malah Gani Patail juga berdepan dengan tuduhan jenayah memalsukan keterangan. Hal ini diperakui oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim merangkap pegawai penyiasat dalam kes mata lebam Anwar 1998. Gani Patail telah memalsukan keterangan untuk menutup insiden mata lebam Anwar. Cukup jelas tujuan perpindahan mahkamah ini berniat jahat.

Sudah tentu Anwar akan mengarahkan peguam-peguam beliau untuk mendapat satu perbicaraan yang lebih adil dan membuat permohonan membatalkan sijil S.418A.

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Komathy telah bersetuju dengan hujahan pembelaan ini. Beliau telah membuat perintah mahkamah menolak keabsahan Sijil S.418A . Ini kerana ia ditandatangani oleh Tan Sri Gani Patail, orang yang tidak harus terlibat dalam pendakwaan ini.

Tindakan pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah tinggi menunjukkan pihak mereka cuba melengah-lengahkan kes ini.

Kemudiannya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan hanya Peguam Negara yang berkuasa menandatangani sijil S.418A . Anwar dan pasukan peguam beliau terpaksa menerima keputusan dan hadir ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh bicara dan sekali lagi kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut.

Walaubagaimanapun pihak DPP telah dengan sengaja melengah-lengahkan penyerahan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan.

Penyerahan dokumen menjadi wajib dibawah prosedur Kanun Keseksaan. Tetapi pihak DPP hanya menghantar sebahagian dokumen saja. Malah pihak pembelaan telah menulis beberapa kali kepada pihak Pendakwaan untuk menyerahkan kesemua dokumen yang perlu. Namun mereka enggan berbuat demikian.

Motif tindakan tidak profesional pihak pendakwaan ini cukup diragui. Anwar tidak harus duduk diam tanpa jaminan hak beliau untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dicabar.

Justeru menjadi amat wajar, bilamana para peguam Anwar terpaksa memohon kepada Mahkamah untuk tidak menyerahkan kesemua dokumen yang perlu bagi penyediaan pembelaan. Ini adalah tindakan yang waras dilakukan oleh mana-mana tertuduh untuk menjamin keadilannya.

Apabila permohonan penyerahan dokumen ditetapkan untuk pendengaran, Peguam Kanan Tuan Haji Sulaiman yang mengetuai pasukan peguam Anwar menarik diri kerana beliau telah jatuh sakit. Beliau dimasukkan ke hospital. Tetapi Hakim tidak membenarkan Anwar menangguhkan kes untuk mendapatkan Peguam Kanan yang baru. Ketua Pendakwaan, Datuk Yusof Zainal Abiden sendiri telah mengesahkan dengan Hospital Kuala Lumpur bahawa Tuan Hj Sulaiman memang sakit.

Menuduh Tuan Hj Sulaiman dengan sengaja menarik diri merupakan suatu fitnah yang kejam dan zalim kerana beliau telah dirawat diwad hospital selama 2 minggu!
Para peguam dalam pasuan pembelaan tanpa melengahkan masa terpaksa meneruskan permohonan tersebut.

Menjadi kebiasaan, selalunya Mahkamah akan membenarkan penangguhan kepada pembelaan atas sebab yang munasabah seperti Peguam sakit. Anehnya, Anwar mendapat layanan yang berbeza.

Hakim Mahkamah Tinggi pula bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan dan memerintahkan pihak pendakwa untuk menyerahkan dokumen yang dipohon. Tetapi pihak Pendakwa enggan berbuat demikian. Malah pihak DPP membuat rayuan memohon untuk menggantung keputusan Mahkamah sehingga selesai keputusan di Mahkamah Rayuan. Kini Rayuan bakal didengar pada 23 Oktober 2009. Bahawasanya, pihak pendakwaanlah yang menangguhkan perbicaraan.

Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen-dokumen kepada pembelaan menunjukkan ada sesuatu perkara yang ditakuti dan ingin disembunyikan.

Pihak pendakwaan tidak menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan. Walhal, menjadi suatu amalan biasa di dalam mana-mana kes perbicaraan jenayah yang lain. Anwar Ibrahim tidak harus duduk diam dan menunggu sehingga satu lagi sabitan dibuat terhadap beliau. Pertuduhan ini hanyalah ulang tayang peristiwa dan konspirasi paling jahat ke atas beliau.

Di sini mari kita perhatikan individu-individu yang jelas mempunyai motif politik dalam membuat fitnah yang kononnya Anwar melengah-lengah kes ini :-

- Peguam Hasnal Rezua Marican sebenarnya telah memberi pandangan tidak profesional kepada Utusan dengan hasad prasangka keji terhadap Anwar. Hasnal, bekas ketua pemuda Umno Selayang, merupakan seorang ahli UMNO yang setia aktif. Hasnal sendiri pernah meminta penangguhan bagi pihak anakguam-anakguam beliau bagi kes-kes yang diwakili beliau. Beliau juga merupakan peguam bagi Ezam yang telah beberapa kali memohon penangguhan bagi kes-kes perhimpunan haram Ezam dari Mahkamah. Kes-kes tersebut ditangguh selama 10 tahun!

- Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Peguam Muslim, merangkap Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) – kedua-dua Persatuan yang pro-UMNO dan anti-Anwar ini tidak memberi pandangan secara waras tapi penuh dengan syak wasangka dan tidak adil. Peliknya Presiden persatuan-persatuan ini tidak pula mempersoalkan kelewatan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful di Mahkamah Syariah. Sehingga ke hari ini, ia langsung tidak dipedulikan. Mereka tidak mempercayai proses perundangan Syariah di Malaysia yang membenarkan Anwar membuat aduan fitnah di Mahkamah Syarie. Tan Sri Abu Zahar Ujang juga adalah ahli Lembaga Disiplin UMNO dan merupakan bekas calon UMNO.

- Lokman Noor Adam dan Roslan Kassim, bekas ahli PKR yang membelot daripada perjuangan reformasi. Kedua mereka menghadapi pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Majistret. Mereka paling kerap tidak hadir ke Mahkamah tanpa alasan yang munasabah. Malah mereka selalu meminta penangguhan. Mereka tergolong dalam kelompok orang yang pernah keluar UMNO lantas merangkak balik kepada UMNO dan menyalak kerana duit!

- Chandra Muzaffar, seorang yang menyamar menjadi kononnya intelektual, bermuka-muka dan bersifat lalang. Komen-komen beliau hanya menjurus kepada satu tujuan khusus untuk menyerang Anwar, dengan mendapat imbuhan lumayan, seperti kurniaan jawatan pengerusi penaung Yayasan 1 Malaysia.

Akhirnya ulasan Profesor Salleh Buang, seorang pakar perundangan dibuat sembarangan tanpa hati-hati meneliti fakta. Beliau ikut menuduh Anwar membuat helah melengah-lengahkan kes dengan membuat permohonan ala peguam-peguam di Amerika. Undang-undang di Malaysia sendiri membenarkan mana-mana tertuduh membuat pelbagai permohonan untuk menjamin hak beliau. Tidak perlulah merujuk kepada Amerika bagi tujuan ini. Misalan, permohonan mendapatkan dokumen sangat jelas dan termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah, iaitu Seksyen 5, 51, 51A. Perlembagaan Persekutuan menjamin seseorang tertuduh itu berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Biarpun tidak ada bukti jolokan (penetrasi) langsung ke dalam dubur Saiful, (dan ini berdasarkan sekurang-kurangnya laporan 4 doktor termasuk 3 dari HKL!) – suatu elemen wajib yang harus wujud untuk mendakwa kesalahan, pihak DPP tetap meneruskan kes ini. Sepatutnya kes ini wajib dibuang saja. Pihak yang dituduh wajib menikmati hak untuk mendapatkan kesemua dokumen bagi penyediaan pembelaan.

Akhbar Utusan sebagai lidah UMNO tambah mengapi-apikan fitnah kononnya Anwar sengaja melengahkan kes pertuduhan. Hakikatnya pertuduhan ini adalah suatu konspirasi jahat untuk memastikan Anwar merengkok semula ke dalam penjara Sungai Buloh. Malah Utusan dalam laporan bertarikh 8 September 2009 memanipulasikan kenyataan Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail. Kedua-dua mereka hanya memberi pandangan umum berkenaan proses Mahkamah yang adil sebagaimana termakutub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Mahkamah tidak akan menangguh tanpa alasan. Mereka langsung tidak menyentuh kes Anwar dan tidak memberi apa-apa komen terhadap kes beliau.

Kita sedang menyaksikan, sekali lagi peristiwa konspirasi jahat untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi ancaman terhadap kerakusan kuasa kerajaan Barisan Nasional! -Latheefa Koya

Era Najib Altantuya : Alahai PAS Selangor...

Arakian maka terkejutlah akan PAS Selangor apabila bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah ditakut-takutkan orang dengan ugutan bunuh.

Kemudian daripada itu, tergagau-gagaulah akan hamba di manakah gerangannya perisytiharan terkejut PAS Selangor akan ugutan hendak membunuh Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Abdul Samad.

Puaslah sudah saya ini menggunakan bermacam-macam kata kunci menggoogle untuk mencari-cari perisytiharan terkejut PAS Selangor akan ugutan hendak membunuh Khalid itu. Tiadalah jua saya berjumpa.

Tiadalah saya terkata apa-apa kerana tiada berjumpa tiadalah semesti tiada wujud akan dia... -penarikbeca

18 Sep 2009

PKFZ : Najib Perlu Letak Jawatan Serta Merta

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa polis akan menyiasat mengenai Kertas Kabinet berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan di internet kerana kertas itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekaligus mengesahkan bahawa Kertas Kabinet berkenaan adalah sahih dan tulen.

Beliau berkata tindakan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang sepatutnya, tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

"Dalam kes PKFZ ini, apa-apa yang patut kita beritahu kepada rakyat, kita akan maklumkan nanti, tetapi bukan satu alasan yang boleh diterima mendedahkan Kertas Kabinet (di internet).

"Apa pun kertas Kabinet masih di bawah OSA dan sesiapa dedahkan Kertas Kabinet, polis akan menyiasat. Tengok kepada siasatan nantilah, apaapa tindakan boleh diambil berdasarkan OSA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kertas Kabinet berkaitan PKFZ yang didedahkan di sebuah laman web.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab persoalan yang telah didedahkan di internet mengenai dokumen kerajaan yang didakwa bukti penting skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurutnya, dokumen terbabit menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari pihak Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4.63 bilion.

“Perdana Menteri perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah palsu. :

“Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota Kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta,” katanya, semalam.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota Kabinet boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

“Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menuntut pihak kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya.

“Mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut dilaksanakan dan didapati tidak berdaya maju malah kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion,” katanya.

Katanya, penubuhan pasukan petugas khas bagi menyediakan laporan penyiasatan isu PKFZ sebenarnya bermotif politik.

”Sebab itulah mereka begitu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu. :

”Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu,”
katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam Pas ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbul pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion malah siasatan awal ke atas projek PKFZ mendapati ia diselamatkan dengan pinjaman kerajaan.

Siasatan tersebut juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) membeli 404 hektar tanah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei lalu oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu turut menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Era Najib Altantuya : Bebaskan Baki Tahanan ISA - SUHAKAM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu Kementerian Dalam Negeri membebaskan kesemua baki sembilan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berada di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun (gambar) berkata, Suhakam berpendapat kesemua yang ditahan itu boleh dibebaskan daripada ISA manakala dua tahanan dari Thailand dan Pakistan yang didakwa melakukan pemalsuan dokumen boleh dituduh di mahkamah terbuka.:

“Ada hanya sembilan lagi tahanan ISA, daripada jumlah itu hanya empat tahanan rakyat Malaysia. Kita telah menemui dan berdialog dengan lapan tahanan hari ini...mereka yang dikatakan memalsukan dokumen sepatutnya dituduh di mahkamah terbuka supaya mereka diberi peluang untuk membela diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dua jam masing-masing ke Penjara Taiping dan Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini bersama-sama Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam serta beberapa pegawainya.

Katanya, seorang lagi tahanan ISA, yang paling lama iaitu tujuh tahun, gagal ditemui mereka kerana memencilkan diri dalam tandas dipercayai mengalami tekanan.

Sipaun berkata, bahawa sejak Suhakam ditubuhkan pada 2000, suruhanjaya itu mengambil langkah pertama mengkaji ISA selama lebih setahun dan telah membuat pelbagai syor kepada kementerian berkenaan.

“Syor itu kita buat dalam dua fasa. Fasa pertama mengesyorkan kepada kerajaan untuk memansuhkan ISA kerana ia melanggar hak asasi manusia tetapi kita juga sedar bahawa ada keperluan undang-undang untuk hadapi ancaman terhadap keselamatan negara.

“Kita berpendapat ISA perlu diganti dengan undang-undang baru yang benar-benar dapat menangani kesalahan berhubung ancaman keselamatan negara, tetapi ini akan mengambil masa dan kita telah mencadangkan kerajaan mengkaji semula ISA supaya ia tidak mudah untuk diselewengkan dan disalahgunakan,” katanya.

Siva Subramaniam pula berkata, bahawa sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak perubahan yang dilakukan.

Kini dengan hanya tinggal sembilan tahanan ISA, ia adalah paling kecil dalam sejarah.

Beliau juga berkata bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, pihak polis memperlihatkan kecekapan yang tinggi dan kaedah siasatan terbaik. -Bernama