12 Apr 2009

PR Tiada Kabinet Bayangan Seperti Dituduh UMNO

Nampaknya belum pun seminggu memegang jawatan baru, menteri kabinet UMNO di bawah Najib sudah menuduh dan mengulas yang bukan-bukan mengenai Pakatan Rakyat.

Terbaru kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menyifatkan kabinet bayangan yang diwarwarkan oleh Ketua Umum Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri khayalan.

Sekalipun sebenarnya tidak ada apa yang dinamakan menteri kabinet bayangan seperti yang diwarwarkan itu, ternyatalah yang berkhayal ialah Muhyiddin sendiri.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menafikan desas-desus yang menyatakan Pakatan Rakyat mempunyai barisan kabinet bayangan tetapi sebaliknya apa yang ada ialah Pakatan Rakyat akan menubuhkan panel yang membayangi setiap kementerian untuk memantau perjalanan kementerian-kementerian terbabit untuk mempastikan gerak-kerja ahli parlimen Pakatan Rakyat dari tiga parti, DAP, PAS dan PKR dengan lebih tersusun.

"Ia menunjukkan Muhyiddin tidak mengetahui apa yang dicakapkannya. Ia hanya memberi respons kepada apa juga soalan yang diajukan kepadanya oleh wartawan tanpa mengetahui latarbelakang persoalan yang ditimbulkan," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beliau tidak perlu untuk menunjukkan lagaknya seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri, mana tahu esok lusa, kerajaan UMNO-BN akan tumbang," tambahnya.

Beliau juga berkata Muhyiddin patut belajar dari kekalahan UMNO-BN di Bukit Gantang yang beliau sendiri menjadi jurumudi kempen BN yang gagal. Malah Muhyiddin dicabar nanti untuk terus mengemudikan jentera BN di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang bakal diadakan untuk membuktikan "keistimewaannya" daripada pemimpin utama BN, Najib yang telah kecundang di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

"Kami tidak sombong dan angkuh, tetapi UMNO-BN perlu menyedari bahawa rakyat kini sedang berada di dalam fasa menuntut perubahan di dalam kepimpinan negara apatah lagi Perdana Menteri kini seorang yang bernar-benar sudah tercalar kredibilitinya membawa bagasi sarat dengan pelbagai tuduhan yang belum dibersihkan," tambahnya.



Ibrahim Ali - Janda UMNO Yang Tak Ada Benda

Siapa tak kenal Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang sering melompat-lompat parti.

Kelmarin beliau menyatakan beliau menunggu ‘pinangan’ daripada pimpinan Umno, untuk membolehkan beliau kembali menyertai parti yang pernah dianggotainya sebelum dipecat tujuh tahun lepas.

Lazimnya yang menunggu pinangan ialah si wanita dan yang meminang si lelaki.

Justeru itu di dalam hal ini bolehlah Ibrahim Ali adalah si wanitanya dan UMNO yang ditunggu meminangnya lelaki. Tetapi Ibrahim pernah diceraikan oleh si "lelakinya" jadi status beliau ialah seorang janda. Sebenarnya bukan sekali janda, dah berkali-kali. Bukan janda yang ada benda kata Mat Sentul, tetapi di dalam kes Ibrahim ini janda yang dah dikebas banyak "lelaki" termasuk si cina buta. Geli dan meloyakan.

Mingikuti salur-galur Ibrahim seperti dicatatkan oleh blog penawarrinduku, bermulanya Ibrahim di pentas politik ialah sewaktu beliau balik dari belajar diploma di ITM Shah Alam, beliau ada saham dalam pergolakan di Kelantan pada 1977. Beliau penyokong umno tapi bersama Datok Mohamad Nasir bagi menimbulkan ketegangan bersama PAS. Akhirnya beliau menjadi Ketua Pemuda Berjasa yang pertama dan seterusnya bergabung dalam BN selepas PAS di Tendang keluar. Itulah peranan beliau dalam darurat di Kelantan.

Kemudian Ibrahim Ali meninggalkan [lompat] parti BERJASA(Barisan Jamaah Islamiah Malaysia) pada tahun 1978 dan meyertai UMNO. Pada tahun 1988 beliau meninggalkan pula UMNO untuk bersama sama dengan tengku Razaleigh Hamzah di Parti serpihan UMNO, Parti Melayu Semangat 46(S46), tahun 1994 beliau sekali lagi lompat untuk kembali semula bersama UMNO BN, tahun 1995 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri oleh Mahathir Mohamad sebagai penghargaan kerana membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim tatkala itu dan tidak sampai sebulan Parlimen dibubarkan, maka tercatitlah dalam sejarah beliau merupakan Timbalan Menteri yang paling singkat hayatnya.

Ibrahim Ali pernah menganjurkan demontrasi menentang KDYMM Al-Sultan Kelantan dan Raja Perempuan di bangunan UMNO tahun 1992 dahulu. Pelbagai cemuhan yang ditulis pada sepanduk ketika itu.

Pilihan raya 1995 beliau tewas atas tiket BN bila berdepan dengan Hj Zainuddin yang bertanding atas tiket S46.

Dalam pilihanraya Umum 1999 Ibrahim Ali sekali lagi tewas kepada calon PAS, Ustaz Ismail Noh.

Sementara itu semasa sidang Khas DUN Kelantan yang telah diadakan pada 25 Jun 2001 bagi menyelaraskan pindaan dengan peringkat Pusat. Antaranya menetapkan sesuatu enakmen yang diluluskan dalam DUN menjadi undang-undang dengan sendirinya dalam masa 30 hari selepas itu walaupun tidak diperkenankan oleh Sultan. MB sedang memberikan ulasan tujuan pindaan itu. Di perkarangan Hotel Sentosa,Ibrahim Ali, Saufi Deraman, Norzula MatDiah dan Mohd Nor Idris telah menganjurkan satu demostrasi membantah pindaan tersebut.

Pada tahun 2004 Ibrahim Ali tidak dilantik semula sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Pasir Mas, selepas tidak puashati dengan tindakan Abdullah Ahmad Badawi, dalam Pilihanraya Umum 2004, Ibrahim Ali telah bertanding di atas tiket Bebas di Parlimen Pasir Mas, beliau tewas dan dipecat seumur hidup dari menyertai umno.

Semasa Dato' Seri Anwar dibebaskan dan mendapat rawatan di Munich, Jerman, Ibrahim Ali adalah orang terawal terbang kesana untuk mengampu dan membodek DSAI. Namun DSAI lebih mengenali Ibrahim Ali, beliau lah manusia yang mengutuk Anwar semasa mesyuarat MT Umno untuk memecat Anwar. Beliau berhajat untuk menjadi Ketua Perhubungan Keadilan Kelantan. Cita-cita dan hasrat beliau tidak kesampaian.

Dalam pilihanraya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Dis 2005, sekali lagi Ibrahim Ali bertanding atas tiket bebas dan beliau dan calon Pas tewas kepada calon BN Hanafi Mamat.

Pilihanraya umum 2008 Ibrahim Ali telah bertanding di Parlimen Pasir Mas atas tiket bebas dengan menggunakan lambang Pas walaupun beliau yang berstatus janda berkali-kali ini cuma anak angkat Pas pada ketika itu. Beliau menang bergaya di Pasir Mas.

Kini seorang anak angkat yang dibela sebagai anak sendiri, yang diberi peluang untuk membina diri semula, untuk mengubah perangai tetapi mula menderhakai Pak Angkatnya. Peluang yang diberi oleh bapa angkatnya tidak diguna dengan baik. Perangai buruk, perangai lama sebelum dipungut dulu datang kembali dengan melakukan pelbagai tindakan yang mencemarkan bapa angkatnya, di parlimen dan di luar parlimen.

Janda ini mengisytiharkan dirinya semula menunggu pinangan dari UMNO semula selepas era Najib dan Mahathir menguasai semula UMNO. Dan Mahathir satu ketika dulu pernah pernah menganggap Ibrahim adalah seperti katak dan rasanya dengan sukar untuk beliau merekomen Najib untuk menerima semula Ibrahim.

Annuar Musa hari ini menyatakan Umno Kelantan Umno sedia terima Ibrahim semula tetapi tidak ‘meminang’nya.

“Kalau anak dara bolehlah kita pinang… ini dah janda dua kali, susah tu,” katanya.

UMNO Baru Milik Mahathir - Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, YBM Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan bahawa UMNO Baru adalah milik Mahathir, justeru itu beliau bebas keluar masuk UMNO sesuka hatinya.

Bekas Presiden UMNO itu adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan UMNO Baru, kata Tengku Razaleigh.

"Jika dia tidak berpuashati dengan apa-apa yang tidak menyenangkan hatinya dia boleh tingalkan parti semula. Ini partinya. Jika dia merasakan dia nak tinggalkan dia tinggalkan jika dia nak sertai semua dia serta semula. Kita semua kena menunggu semasa kita memohon menyertai UMNO sebelum diluluskan," katanya.

"Jika kita melihat kepada Perlembagaan UMNO Baru, kita akan melihat ada tandatangannya, di dalam Perlembagaan lama tidak ada tandatangan Datuk Onn," tambahnya.

Anggota Parlimen Gua Musang itu menafikan beliau memuji barisan Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemas dan berupaya sebagaimana yang dilaporkan media.

Bercakap pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini, beliau berkata keupayaan Kabinet baru itu belum lagi kelihatan dan adalah tidak adil bagi beliau menilai mereka yang baru sehari diumumkan.

"Apapun, kesemuanya adalah berorientasikan prestasi, itu bagus tetapi biarlah kita melihat mereka selepas enam bulan sama ada mereka berjaya untuk tidak berkhidmat sebagaimana yang mereka yang sepatutnya lakukan," kata beliau.


KEBIADABAN ISMAIL MERICAN MENGHASILKAN ISU ADI ANWAR

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican di dalam usaha untuk melakukan "cover-up" terhadap jenayah yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mendiang A.Kugan hari ini dijawab dengan satu lagi kezaliman polis, kali ini ke atas Adi Anwar yang Mansor dibelasah dan dipercayai diberi minum pelarut hingga menyebabkan dia koma dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang 8 April lalu.

Dalam laporan polis hari ini, ibu kepada mangsa, Jiknah Harun meminta agar pihak polis menyiasat dan mengenal pasti punca anaknya, Adi Anwar Mansor yang ditahan pada 7 April lalu dimasukan ke ICU.

Adi dimasukan ke ICU dipercayai diberi minum pelarut hingga menyebabkan dia koma ketika ditahan di dalam lokap berkenaan.

“Apa yang menyebabkan anak saya minum pelarut dan tidak mungkin dia akan minum secara sukarela,” katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Klang pagi ini.

Selain itu, ibu itu juga mempersoalkan tindakan polis yang tidak menghantar anaknya segera ke hospital ketika beliau mendapat kecederaan akibat dipukul oleh polis.

“Saya juga tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh OCPD (Ketua Polis Daerah) Klang bahawa anak saya menerima kecederaan disebabkan pergelutan.”

“Jika benar, kenapa dia tidak dibawa ke hospital dengan segera? Tetapi sebaliknya dibawa ke hospital selepas meminum thinner (pelarut),” katanya lagi.

Adi, bapa kepada seorang bayi yang berusia tiga bulan, ditahan di Jalan Kebun dan dikatakan melakukan kesalahan berkaitan dengan dadah.

Mangsa berkenaan dikeluarkan dari ICU dua hari kemudian dan sehingga kini beliau masih lagi berada di wad serta dalam keadaan bergari.

Jiknah juga berkata, Adi telah bercerita kepadanya mengenai bagaimana beliau dipukul oleh polis bukan sahaja didalam balai malah ketika didalam kereta menuju ke balai polis.

“Adi memberitahu saya bahawa dia ditendang dibahagian belakang, dipukul di bahagian kepala dan dipukul dengan hos getah sehingga tidak tahan dengan kesakitan,” katanya lagi.

Pengarah Kesihatan Usah Berbelit Lagi

Di dalam kes A.Kugan, banyak pihak telah melahirkan kekesalan terhadap kenyataan media Tan Sri Ismail Merican pada awal bulan April ini yang menyatakan perbezaan laporan bedahsiasat pertama dan kedua boleh dielakkan sekiranya terdapat komunikasi diantara pakar-pakar bedahsiasat berkenaan. Keadaan diperburukkan apabila bedahsiasat kedua hanya dilakukan seteah empat hari. Faktor itu membawa impak kepada badan simati.

Menurut Ismail, jawatankuasa berpendapat kecederaan Kugan itu diakibatkan oleh benda tumpul tetapi fleksibel seperti hos getah yang terlipat. Kesemua kecederaan yang ditemui tidak mencukupi untuk menyebabkan kematian secara lansung.

Seorang aktivis masyarakat menyatakan bahawa laporan yang dikemukakan itu adalah "bias" dan tidak komprehensif. Malah mereka yang menganggotai Jawatankuasa Siasatan tidak pernah didedahkan dan justeru itu kredibiliti mereka boleh dipersoalkan.

"Apa yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan ialah penubuhan Suruhanjaya DiRaja Siasatan untuk menyiasat kes Kugan, bukan jawatankuasa yang dilantik oleh kementerian yang boleh saja mengambil sikap berpihak lantaran tidak mengambilkira pandangan dari analisa dari pelbagai perspektif," ujarnya.

Keadaan sudah terdesak, Tubuhkan IPCMC segera

Sementara itu KETUA Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta agar Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) disegerakan kewujudanya.

Menurutnya, sehingga kini banyak kejadian yang telah berlaku dan nampaknya tidak ada jalan penyelesaian terhadap insiden-insiden yang dilakukan oleh anggota polis.

“Selepas empat bulan kes Kugan, kita dikejutkan lagi dengan kes Adi Anwar yang dicurigai dilakukan oleh polis, dalam keadaan kini adalah terdesak dan IPCMC harus dikejutkan semula,” katanya ketika ditemui untuk menemani keluarga Adi Anwar membuat laporan polis.

Pagi ini, kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan IPD Klang untuk membantah tindakan polis melakukan kekejaman keatas Adi Anwar.

Kata beliau lagi Najib Tun Razak yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri harus mewujudkan IPCMC bagi menunjukan komitmen beliau yang membawa pembaharuan.

“Kalau betul mahu bawa perbezaan dan pembaharuan, Najib harus tubuhkan IPCMC untuk memastikan perkara ini tidak berlaku sekali lagi,” katanya lagi

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Selangor Khairul Anuar Zainuddin meminta agar Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar meletakan jawatan.

Jelasnya, Ketua Polis itu gagal melakukan tugas dengan baik sehingga dua kejadian dalam lokap berlaku dibawah pentadbiranya kurang dari lima bulan.

“Bulan Januari, kita dikejutkan dengan kematian Kugan, dan sekarang pula Adi Anwar, kami menuntut agar Khalid meletakan jawatan,” katanya kepada Suara Keadilan.



11 Apr 2009

PASCA BUKIT SELAMBAU - Banjir Di Mergong, Di mana Pakatan Rakyat?

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan banjir di beberapa perkampungan sekitar kawasan Mergong Alor Setar petang semalam.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 150 rumah di kawasan sekitar Mergong di tenggelami air mulai jam 6 petang semalam dengan ketinggian air mencecah 0.5 meter.

Banjir kali ini juga dipercayai akibat dari pembangunan di kawasan sekitar yang menyebabkan laluan air tersekat dan tidak dapat mengalir ke Sungai Kedah.

Namun apa yang menjadi persoalan kini, apakah tiada wakil rakyat dari kerajaan Pakatan Rakyat yang datang membantu mangsa-mangsa banjir ini selepas Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya kecil Bukit Selambau beberapa hari lalu?

Jika benar seperti yang dilaporkan maka ini tentulah sesuatu yang amat mendukacitakan. Terbuai dengan kemenangan tetapi kemudian alpa terhadap penderitaan rakyat akan pastinya mengundang bencana di dalam pilihanraya akan datang.

Malah sudah ada laporan sewaktu pilihanraya kecil Bukit Selambau yang lalu, diberitakan ADUN Lunas dan Ahli Parlimen Kulim tidak turun membantu untuk calon Pakatan Rakyat, S.Manikumar.

Jika benar seperti dilaporkan sesuatu patut dilakukan sebelum Pakatan Rakyat menerima hukuman dari rakyat Kedah. Atau masing-masing sudah selesa dengan jawatan dan gaji yang kemudiannya mengambil sikap "apathetik" terhadap amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan?


ISU ADI ANWAR - Kezaliman Polis Berterusan Di Era Pemerintahan UMNO BN

Belumpun reda kes A Kugan yang dibelasah hingga mati dalam lokap polis USJ awal tahun ini, satu lagi kes menggemparkan rakyat mengenai tindakan zalim yang dipercayai dilakukan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Kali ini, Adi Anwar Mansor dibelasah dan dipercayai diberi minum pelarut hingga menyebabkan dia koma dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang 8 April lalu.

Adi Anwar, 25 tahun kini dalam keadaan stabil dan menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibunya, Jiknah Harun yang mendapati banyak kesan lebam di beberapa bahagian badannya.

Disebabkan tidak puashati terhadap layanan pihak polis di lokap berkenaan, Jiknah hari ini membuat laporan di IPD Klang.

Dia ditemani peguam N Surendran, ADUN Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Klang, Chales Santiago, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar, Ketua Pemuda Pas Selangor, Solehan Muhi dan pemimpin Hindraf, Jayath ass.

Dalam laporan itu, antara lain Jiknah meminta pihak polis membebaskan anaknya dan menyiasat punca kejadian yang menyebabkan anaknya terpaksa menerima rawatan kecemasan.

“Saya baru balik ke rumah, anak saya cakap, mak abang ada kat hospital wad ICU. Saya bersiap dan terus pergi, bila saya sampai ada guard tak bagi saya naik. Saya kena tunggu sampai puluk 12, saya sampai pukul 10, berapa jam saya nak tunggu. Bila saya naik tengok, saya dah tak boleh cakap apa-apa, saya sebagai ibu, saya yang bela dia, janganlah pukul dia macam tu, kalau dia bersalahpun,” Jiknah menceritakan keadaan ketika dia menemui anaknya di hospital.

Peguam yang mewakili beliau, N Surendran berkata, Adi Anwar memberitahu bahawa dia dipukul di dalam kereta polis dan kemudian dibawa ke balai dan dipukul lagi di bahagian kepala, ditendang di belakang dan dipukul dengan host getah sehingga dia tidak tahan kesakitan.

Ahli Parlimen Klang, Chales Santiago mahu pihak polis menyiasat bagaimana Adi Anwar boleh meminum pelarut berkenaan.

“Apa yang mendesak sampai saudara Adi Anwar terpaksa minum tinner, menjadi persoalan penting. Mengapa? Adakah dia tak boleh tahan kena pukul oleh itu dia terpaksa minum tinner atau apakah sebab lain dia minum tinne. Itu mesti disiasat,” katanya.

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar pula berkata, pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti ini kerana Adi Anwar hanya disyaki.

“Tidak boleh dikenakan tindakan mengikut selera, untuk menghukum atau menzalimi sesiapa kerana belum tentu seseorang yang ditahan itu bersalah.

“Saya ingin mendesak Najib supaya mengutamakan perlaksanaan refomasi terhadap pasukan polis bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“Selagi tidak ada badan seperti IPCMC yang memantau perkara ini, saya percaya dan yakin kes ini akan berterusan. Mula-mula Kugan India, hari ini Melayu, besok cina, lusa mungkin iban, tulat mungkin kadazan,” tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kapar, S Manikavasagam meminta supaya satu siasatan bebas diadakan dan menghukum mereka yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Kita tak membela mana-mana penjenayah, kita mempunyai mahkamah, pihak polis boleh tangkap, boleh dakwa, kita boleh, tapi bukan macam ini,” katanya.

Adi Anwar ditahan kira-kira jam 11.30 malam Selasa lalu kerana disyaki terbabit dengan kes dadah, tetapi tiada sebarang bukti ditemui.

Jiknah berkata, tiada sebab anaknya melakukan kesalahan sedemikian kerana dia baru mendapat bayi berusia tiga bulan dan hidupnya sekeluarga gembira.

Ketua polis daerah ACP Mohamad Mat Yusop dilaporkan berkata empat anggota polis berada di dalam lokap ketika Adi Anwar dikatakan minum pelarut berkenaan.

"Apabila anggota-anggota polis itu menyedarinya, ia sudah terlambat kerana kejadian tersebut berlaku dalam masa kurang 10 saat," New Straits Times memetik Mohamad sebagai berkata.

PASCA BUKIT SELAMBAU : MIC Timbang Tolak Sertai Kabinet

MIC, parti komponen ketiga terbesar di dalam Barisan Nasional sedang menimbang untuk menarik keluar wakil parti itu dalam kabinet baru ekoran banyak lagu isu-isu yang belum diselesaikan, terutama berhubung layanan pentadbiran baru terhadap masyarakat India, kata sumber dalaman parti itu hari ini, demikina dilaporkan Malaysiakini.

"Keputusan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat ini, mungkin dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MIC yang akan datang lewat bulan ini," katanya.

Sumber tersebut berkata, sungutan utamanya ialah "masyarakat India masih dilayan sebagai rakyat kelas dua, malah seperti kelas tiga di negara ini".

Di samping itu, katanya, wakil MIC dalam kabinet tidak diberi jawatan menteri kanan walaupun parti itu berulangkali merayu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melantik Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu menganggotai semula kabinet.

Mengikut tradisinya, MIC akan mengisi jawatan menteri kerja raya. Bagaimanapun ianya berubah selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, apabila Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi parlimen Sungai Siput.

Menteri tunggal MIC dalam kabinet baru ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Dr S Subramaniam yang dilantik semula sebagai menteri sumber manusia. Parti itu juga diberi dua jawatan timbalan menteri - M Saravanan (Wilayah Persekutuan) dan SK Devamany (Jabatan Perdana Menteri).

Kementerian sumber manusia, kata sumber tersebut, dianggap sebagai bukan jawatan kanan dalam kabinet dan MIC merasakan ini tidak mencerminkan status parti sebagai parti komponen ketiga terbesar dalam BN.

"Walaupun ramai pengundi India telah kembali menyokong BN semasa pilihanraya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang hasil kerja keras MIC, nampaknya segalanya tidak dihargai," tambah sumber itu lagi.

Penganalisis politik berpendapat bahawa jika MIC mengambil langkah memulau penyertaan di dalam kabinet, ia sekali lagi memberikan tamparan kepada kepimpinan Perdana Menteri baru, Najib Tun Razak.

PASCA BUKIT GANTANG : TERENGGANU Pula Bergolak, Hadapi Kemungkinan Pilihanraya.

Terengganu bergolak!

Kemelut baru bakal membungkus Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said apabila berdepan dengan Sidang Dun tidak lama lagi. Mahu tidak mahu, sidang mesti dipanggil, demikian laporan harakahdaily.

Kesemua 23 Adun BN yang kononnya berdiri di belakang anak Badawi dan Idris Jusoh akan mengusulkan undi tidak percaya kepada Dun bagi membalas "dendam" terhadap Ahmad yang engkar dengan pantang larang Idris Jusoh.

Menteri Luar, Rais Yatim dan Pensyarah UIAM, Dr Abdul Aziz Bari sependapat tentang kaedah undi tidak percaya ini, merupakan satu jalan bagi menidakkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Menurut Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas tentang kemelut politik di Terengganu yang kian panas dan membingungkan, "betul atau salah sudah tidak penting lagi kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan."

"Keputusan MPPR adalah berdasarkan kuasa budi bicara dan ini ada elemen yang subjektif. Ia tidak boleh dipersoalkan.

"Lagipun Sultan tidak boleh dibawa ke mahkamah: Mahkamah Khas Raja-Raja cuma menangani tindakan peribadi. Perlantikan Menteri Besar adalah tugas rasmi".

Dr. Abdul Aziz menambah sekiranya Ahmad berjaya dijatuhkan melalui undi tidak percaya maka MPPR perlu melantik Adun lain yang dirasakan mempunyai sokongan majoriti.

"Ataupun terus membubarkan dewan supaya pilihan raya boleh diadakan agar rakyat dapat membuat keputusan!"

Pakar Perlembagaan dari UIAM itu berkata dalam Perlembagaan Negeri dan juga Persekutuan ada peruntukan di mana ketua negeri boleh "memprorog" atau membubarkan dewan.

"Peruntukan ini dinyatakan tanpa ada permintaan dari kerajaan yang ada. Saya fikir ini boleh digunakan oleh Sultan atau MPPR dalam keadaan seperti yang wujud di Terengganu sekarang".

Rais Yatim yang juga ahli undang-undang menjangkakan Ahmad Said akan jatuh seperti "nangka masak" jika meneruskan hasrat menjadi Menteri Besar.

"Bila dia (Ahmad) buat jemputan bersidang tentu 23 ahli Dun ini akan menzahirkan undi tidak percaya. Jika ini berlaku, jatuhlah beliau seperti "nangka masak".

"Itu proses dia. Ikut manapun tidak mungkin bagi beliau meneruskan jawatan itu tanpa ada sokongan majoriti," tegas Rais kepada Utusan Malaysia.

Dalam kemelut politik Terengganu, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) telah menamakan Ahmad Said sebagai MB yang baru dengan menolak calon Perdana Menteri dan Umno Terengganu, Idris Jusoh kembali ke kerusi itu.

Sekalipun, Idris menyerahkan segalanya kepada qada dan qadar, serta bersedia menerima apa jua keputusan dari istana sebelum ini, terbukti palsu dan lakonan semata.

Pilihan istana terus dipersoal, ditentang dan istana menjadi sasaran cemuhan 23 Adun BN Terengganu secara biadap dan derhaka. Mereka memboikot majlis angkat sumpah dan mengugut akan memecat Ahmad dari menjadi ahli Umno.

Kemarahan peimpin Umno Terengganu itu gagal disembunyikan, malah terus meluap-luap hingga tercatat kemarahan itu di sepanduk "Kami Nak Idris, Natang!" yang boleh ditafsirkan betapa marahnya mereka terhadap istana dengan menggelarnya "binatang".

PASCA BUKIT GANTANG : Yang Penting Bagi Ahli UMNO.. Fulusss

UMNO Bahagian Bukit Gantang telah kalah dalam pilihanraya kecil parlimen yang diadakan pada 7 April, Selasa lalu.

Ahli parlimen Bukit Gantang yang baru, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat telah menewaskan calon UMNO/BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi.

Namun begitu, ahli-ahli UMNO Bukit Gantang mungkin tetap gembira walaupun parti mereka mengalami kekalahan yang agak teruk.

Malah mungkin ada dikalngan ahli-ahli UMNO yang tidak kesah samada parti mereka kalah atau menang dalam pilihanraya kecil itu.

Ia adalah kerana mereka meraih laba dan keuntungan kerana mendapat bayaran yang agak lumayan semasa pilihanraya itu.

Menurut salinan surat pekeliling UMNO Bahagian Bukit Gantang yang bertarikh 20 Mac, 2009, setiap peringkat dan gerakan ahli UMNO diberi bayaran sehingga mencecah ribuan ringgit.

Surat yang bertajuk Peruntukan Kewangan Bagi Petugas-petugas Jentera Pilihanraya UMNO Parlimen Bukit Gantang, sebuah keluarga ahli UMNO dibayar sebanyak RM 1000.00.

Manakala pemuda, wanita dan puteri yang bertugas dibayar sebanyak RM 100.00 sehari setiap seorang sepanjang kempen pilihanraya tersebut.

Mereka yang menggunakan kereta untuk bertugas dibayar pula sebanyak RM 100.00 dan motosikal sebanyakk RM 50.00 setiap hari.

Selain itu, sesiapa yang menjadi penyokong UMNO turut dibayar sebanyak RM 500.00

Bayangkanlah satu keluarga yang menjadi ahli UMNO, isterinya seorang wanita UMNO anak lelakinya menjadi pemuda dan anak perempuannya seorang puteri UMNO.

Setiap orang dari mereka pula memiliki sebuah kereta dan mereka bertugas sepanjang pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang !

Lumayan…… tentu lumayan ! Tapi jangan ditanya dari mana datangnya duit itu !

- buletinonline



Kabinet Najib Altantuya : 75% Kata Tak Akan Kembalikan Keyakinan Rakyat Terhadap BN

Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak menerima tamparan hebat apabila 75% responden dari akhbar MSTAR menyatakan bahawa ia tidak akan mampu mengubah keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN yang dipimpinnya.

Hanya 13.3% menyatakan kabinet tersebut mampu kembalikan keyakinan rakyat manakala selebihnya 11.7% tidak pasti.


Ini bererti apa yang dinyatakan oleh kami sebelum ini mendekati keputusan undian tersebut dimana blog GB menyatakan kabinet Najib adalah satu kabinet yang gagal.

Ramai berpandangan bahawa kabinet yang diumumkan oleh Najib sebenarnya adalah kabinet Mahathir yang berhasrat untuk meneruskan visi dan misinya yang belum terlaksana sewaktu menyerahkan kepimpinan negara kepada Datok Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Pengekalan muka-muka lama yang telah merupakan sebahagian daripada pentadbiran sebelum ini yang gagal berprestasi akan menyumbang kepada faktor kegagalan tersebut.

Pengenalan kad prestasi Key Performance Index (KPI) untuk para menteri dan timbalan menteri iaitu cara yang hampir sama pernah dilakukan semasa pentadbiran Pak Lah dulu tidak akan membawa makna apa-apa apabila barisan kabinet yang dilantik sebenarnya adlah kaki ponteng dan kaki tidur di Dewan Rakyat. Apatah lagi menteri di jabatan perdana menteri yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan KPI sendiri iaitu Nazri Abdul Aziz tidak mempunyai prestasi yang baik di dalam kabinet yang lalu.

Dengan perlantikan beberapa orang menteri dari kalangan yang telah tewas di dalam pilihanraya lalu seperti Koh Tsu Koon, Shahrizat Jalil dan Awang Adek Hussin jelas ia bukan kabinet rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh Najib.

Rasa tidak puashati di kalangan parti komponen BN juga kini kedengaran apabila tuntutan MCA terhadap jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua tidak mendapat layanan. Sementelah lagi Chua Soi Lek, orang nombor dua di dalam parti MCA diketepikan. Sebagai balasannya, jawatan menteri dan timbalan menteri untuk MCA telah ditambah disaat Najib cuba untuk mengecilkan kabinetnya.

Sementara itu MIC sedang berkira untuk menarik diri dari penyertaannya di dalam kabinet apabila hanya ada seorang sahaja wakil MIC iaitu Dr S Subramaniam yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

Kementerian Sumber Manusia dianggap sebagai sebuah kementerian yang tidak penting di dalam kabinet dan MIC merasakan ia tidak menggambarkan status parti berkenaan yang merupakan komponen ketiga terbesar di dalam BN.

"Sekalipun telah ramai pengundi India kembali menyokong BN semasa pilihanraya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang hasil kerja keras MIC, parti tersebut telah dianak-tirikan," kata sumber dalaman parti MIC.

PASCA BUKIT GANTANG : Apa Kata Nga Kor Meng Pula?


Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu ke atasnya kerana didakwa menghina Islam, sebagai tidak berasas.

Katanya, ketika membaca ayat al-Quran surah Al-Nahl ayat 90, beliau tidak berniat untuk mempermainkan Islam, sebaliknya cuba mendekati ajaran itu.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan beberapa pihak membuat laporan polis dengan alasan saya telah menghina agama Islam apabila menggunakan (membaca) ayat Al-Quran ketika berceramah pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang Sabtu lalu.

“Antara sebab yang dikemukakan dalam laporan itu ialah kononnya saya telah melampau batas disebabkan ayat al-Quran tidak boleh digunakan oleh orang kafir kerana tidak beriman kepada Allah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Kor Ming, beliau telah mendapat nasihat dan pandangan daripada pemimpin Islam dalam Pakatan Rakyat (PR) dan mereka memaklumkan bahawa Islam adalah agama rasmi negara dan kitab suci al-Quran mengandungi ilmu yang tinggi.

Katanya, al-Quran mengajar umat manusia berlaku adil dan mempunyai nilai penuh belas kasihan.

“Saya berasa kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan telah cuba dihalang oleh pihak tertentu.

“Golongan ini telah menghalang kami dari belajar dan menimba ilmu. Ini membuktikan mereka (pihak berkenaan) sudah kehabisan modal politik dan memilih cara serta taktik kotor untuk memutar belitkan fakta sebenar,” katanya.

Katanya, beliau hendak menjelaskan bahawa DAP menghormati semua agama termasuk Islam.

Malah, kata beliau, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjelaskan kepadanya bahawa memetik ayat al-Quran tidak salah.

Kor Ming turut membidas laporan beberapa akhbar arus perdana yang dikatakan telah melaporkan berita salah dan sehingga kini tidak mendapatkan penjelasan daripadanya.

“Ayat yang saya belajar dan guna ialah ayat 90 surah Al-Nahl, tetapi media arus perdana menyatakan saya menggunakan surah Aura.

“Ini adalah fitnah dan helah pancing undi yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


PASCA BUKIT GANTANG: Ucapan Tidak Cerdik TPM Kabinet Najib

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Mohd Yassin semalam tatkala menghuraikan faktor kekalahan Barisan Nasional di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menyatakan masih belum kelihatan satu perubahan yang ketara berhubung sikap pengundi terhadap BN.

"Kalau ikut formula di situ pengundi majoritinya Melayu dan kalau ikut formula biasa majoriti Melayu kita menang tapi sekarang majoriti Melayu tidak boleh pastikan kemenangan kita kerana Melayu sudah berpecah.

"Dan kita pada waktu kempen mengharapkan mudah-mudahan undi dari kaum bukan Melayu akan berubah dan bertambah tetapi bila undi Melayu telah berpecah, undi dari bukan Melayu tidak berubah malah makin berkurang dan akhirnya kita kalah.

Nampaknya begitu ketara Muhyiddin belum dapat mengesani perubahan sikap pengundi terhadap BN walaupun BN telah kalah sebanyak empat pilihanraya kecil berturut-turut yang diadakan di Semenanjung.

Sebelum daripada ini kemungkinan Muhyiddin terpedaya dengan media massa arus perdana yang menggambarkan kononnya rakyat telah memberikan keyakinan terhadap kerajaan BN yang pada hakikatnya yang berlaku adalah disebaliknya.

Seorang penganalisis politik berpendapat bahawa BN telah ditolak oleh rakyat semenjak pilihanraya umum ke 12 setahun lalu dan arah aliran itu semakin ketara di dalam setiap pilihanraya kecil yang diadakan dimana jarang sekali berlaku pembangkang boleh memenangi sesebuah pilihanraya kecil di negara ini.

"Malah jika diadakan pilihanraya umum di dalam tempoh yang terdekat ini saya yakin BN akan kehilangan kuasanya untuk memerintah, bukan sekadar kehilangan majoriti dua pertiganya di Dewan Rakyat," tambahnya.

Katanya BN tidak jujur kepada rakyat. Salah satu bukti nyata ketidak-jujuran BN ialah pembelakangan konsep Persekutuan dimana mereka menganak-tirikan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasa oleh Pakatan Rakyat, malah mencari jalan untuk merampasnya sekalipun dengan cara yang paling tidak beretika seperti yang berlaku di Perak.

"Akhirnya rakyat menjadi semakin meluat dan melihat BN sebenarnya tidak menumpukan perhatian kepada mensejahterakan rakyat tetapi lebih kepada usaha bagaimana hendak mengekalkan kuasa sekalipun dengan taktik kotor dan hina," ujarnya.

Paling memalukan katanya, BN memperkosakan jentera-jentera kerajaan untuk mencapai hasratnya, malah tidak segan-silu memperalatkan institusi istana bagi menjayakan cita-citanya.

"Penggunaan polis, SPR, SPRM, badan kehakiman, media massa, SUK-SUK Negeri dan lain-lain untuk menekan rakyat tidak mungkin berjaya malah akan hanya menambahkan kebencian rakyat kepada BN," katanya lagi.

Muhyiddin walaubagaimana pun mengakui bahawa: "Harap ini tidak merupakan satu trend tetapi ia nampak seperti itu. Sebab itu kita berhadapan dengan satu senario yang agak serius dan justeru proses pembaharuan harus dilaksanakan secepat mungkin."

"Namun proses pembaharuan apa jika ia sekadar retorika sedang di dalam perlaksanaan ia tidak lebih dari sekadar "memperbaharui" agenda lama sepertimana perlantikan barisan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri baru-baru ini di mana yang dideretkan hanya beberapa muka lama dengan penyentilan dua-tiga muka baru yang ramai berpendapat ia hanya indah khabar dari rupa," katanya mengulas kabinet yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam baru-baru ini.

Ramai beranggapan perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri sudah cukup dilihat sebagai satu kecacatan besar dimana beliau yang dilingkari dengan pelbagai masalah yang menyentuh kredibiliti serta tuduhan-tuduhan yang belum dibersihkan sepastinya akan berdepan dengan rakyat yang akan menghambatnya sehingga beliau akur dan tunduk ke atas kehendak rakyat.

Sebarang kesilapan kabinet baru Najib akan mengundang padah. Undi tidak percaya akan sentiasa menunggu di pintu Dewan Rakyat yang akan menyaksikan berakhirnya permerintahan UMNO-BN untuk selama-lamanya.



KES ALTANTUYA : Kit Siang Desak Tubuh Suhanjaya DiRaja

Penasihat Dap Lim Kit Siang mahu campurtangan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat dengan teliti untuk membela nasib kedua-dua anggota Unit Tugas Khas Polis Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Dengan berakhirnya satu perbicaraan kisah pembunuhan wanita Mongolian Altantuya Shaariibuu yang diletupkan dalam hutan pada 20 Oktober 2006 lalu yang mendapat laporan meluas oleh media tempatan dan antabangsa yang mahukan keadilan dalam perbiracaan apabila mereka dapat menghidu banyak kepincangan sewaktu perbicaraan kes sedang dijalankan.

“Persoalannya bahawa siapa dalang di sebalik Unit Tindakan Khas Polis Bukit Aman dengan meletupkan Altantuya menggunakan bom C4,” kata Lim dalam kenyataan beliau itu.

“Sesiapa sahaja yang mengikuti perjalan kes tersebut tidak akan menolak kemungkinan malah lebih kuat menyatakan kes ini memang mempunyai pertalian dengan Perdana Menteri Najib Razak,” jelas beliau

Sementara menunggu kes ini dibawa ke Mahkamah rayuan oleh Azilah dan Sirul untuk merayu dalam kes dibawah Penal Kod seksyen 149 ini, keresahan rakyat amat ketara mahukan campurtanggan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memberi pembelaan yang adil kepada kedua-dua mereka.

Petang semalam Najib mengumumkan barisan kabinet baru beliau selepas baru enam hari menjadi Perdana Menteri yang mana umum mengetahui kekalahan teruk oleh Barisan Nasional di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

“Pengumuman ini jelas bahawa beliau mahu menutup atau memesongkan pemikiran rakyat dari mempersoalkan kes terhangat ini dari menjadi bualan umum,” Lim berkata.

“Najib berterusan menafikan perbabitan beliau dan menyatakan beliau tidak terlibat dalam kes letupan C4 dan akan bertindak mematahkan siasatan Suruhajaya Siasatan Diraja ini yang menghantui beliau serta nama baik kerajaan Malaysia untuk selamanya,” tambah Lim.

“Walaupun hanya orang-orang tertentu yang boleh memberi arahan pengunaan bom C4, kehilangan rekod Imigersen kemasukan Altantuya ke dalam negara ini dan kehilangan perisik bebas Bala Supramaniam selepas membuat akuan bersumpah dalam pembabitan Najib dalam kes pembunuhan ini,” kata lim mengakhiri kenyataan beliau.

10 Apr 2009

PASCA BUKIT GANTANG : Polis Dibidas Lepaskan Gas Pemedih Mata Di Air Kuning

Pihak polis hari ini dibidas kerana setelah tiga hari pilihanraya kecil Bukit Gantang berlalu, baru mereka membuat pengakuan bahawa anggota mereka ada melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong PAS di Air Kuning semasa pilihanraya kecil sedang berjalan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hussin Ismail hari ini menkaui polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong PAS di Air Kuning Bukit Gantang.

Naib Presiden UMNO yang juga sekarang Menteri Pertahanan, Mohd Zahid Hamidi sebelum ini telah menafikan wujudnya kejadian melepaskan gas pemedih mata oleh pihak polis di kawasan pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Aur, Air Kuning.

Banyak pihak mempertikaikan tindakan biadab polis berkenaan kerana tindakan sedemikian tidak perlu di saat orangramai sedang menunaikan kewajipan untuk mengundi.

Tindakan polis berkenaan telah menyebabkan ketakutan di kalangan pengundi-pengundi dari kalangan warga emas dan wanita apabila mendapat tahu polis sudah melepaskan gas pemedih mata di situ dan kerana itu terdapat mereka yang membatalkan hasrat untuk keluar mengundi pada hari berkenaan.

"Pertembungan diantara parti-parti yang bertanding adalah perkara biasa di dalam suasana hari mengundi. Tiba-tiba akibat kebebalan polis yang ingin menunjukkan kuasa berlebihan di hari tersebut telah melepaskan gas pemedih mata sedangkan ianya boleh dileraikan tanpa penggunaan tembakan gas tersebut. Yang terlibat di dalam pertembungan itu hanya di setitar 15-20 orang sedang bilangan polirs ketika itu lebih ramai," tegas seorang pengundi yang menghubungi Kelab GB.

"Hal yang berlaku selepas penyokong2 umno melempar kerusi ke arah penyokong2 PAS," tambahnya.

Sementelah lagi, pengakuan polis tersebut dengan sendirinya menafikan kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohd Zahid Hamidi yang mendakwa video yang tersebar adalah gambar lama yang diselitkan oleh para blogger.

"Zahid perlu letak jawatan. Lansung tidak ada kredibliti sebagai menteri dan pemimpin. Tidak menyemak fakta dan beliau tidak tahu apa yang beliau cakap," tambah pemanggil tersebut lagi.


PASCA BATANG AI : Pakatan Rakyat Menang Lebih 400 Undi Majoriti

Victory without glory, itulah kata-kata calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Jawah Gerang, terhadap kemenangan Barisan Nasional yang didakwa beliau dicapai melalui penipuan.

Beliau mendakwa menang dengan majoriti lebih daripada 400 undi tetapi dinafikan kemenangan disebabkan penipuan yang dilakukan oleh BN dengan dibantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Sebagai mengukuhkan dakwaan beliau, Jawah berkata kira-kira 10 daripada sejumlah 24 peti undi di DUN Batang Ai didapati tidak berkunci dan ini menimbulkan kesangsian bahawa keselamatan peti-peti undi tersebut telah diceroboh.

"Kita kalah di semua peti undi yang tidak berkunci itu tetapi menang yang mana peti-peti undi dikunci. Pada perkiraaan kasar kami, Pakatan Rakyat telah memenangi kerusi Batang Ai dengan majoriti lebih 400 undi." kata beliau ketika dihubungi TV Antara.

Mengulas dakwaan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kekalahan Pakatan Rakyat 7 April lalu disebabkan beberapa peti undi digugurkan ke laut dari helikopter dan perahu, Jawah, 55, berkata dakwaan itu ada kebenarannya.

"Sumber-sumber dalaman kami memberitahu bahawa pihak polis dan SPR mengadakan beberapa mesyuarat rahsia yang kami percayai ada hubung kait dengan manipulasi pilihan raya kecil ini.

Bekas Ahli Parlimen Lubok Antu itu juga mendakwa BN telah melanggari peraturan pilihan raya dengan memberi rasuah, projek-projek pembangunan dan pelbagai janji bagi meraih undi.

Beliau mendakwa setiap rumah panjang di DUN Batang Ai didatangi oleh kira-kira 20 kakitangan Kemas dan Jasa.

"Mereka tinggal bersama-sama penghuni rumah panjang dan memaksa mereka menyokong BN dengan memberi wang antara RM50 sehingga RM1,500 seorang.

"Sekiranya SPR serius menguatkuasakan undang-undang pilihan raya mereka sepatutnya isytiharkan pilihan raya kecil Batang Ai batal kerana penyelewengan yang dilakukan BN," tegas beliau.

Jawah berkata lagi beliau dan penyokong Keadilan di DUN Batang Ai akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau segala janji-janji BN berkaitan projek pembangunan di kawasan itu yang berjumlah RM80 juta.

Ini termasuk projek infrastruktur, jalur lebar, jalan raya dan lain-lain projek.

Mengenai sokongan pengundi Batang Ai terhadap Pakatan Rakyat, Jawah berkata kewujudan Keadilan di DUN tersebut baru kira-kira setahun tetapi sudah pun ahli yang ramai sekitar 1,000 orang terutamanya dikalangan golongan muda.

"Kami bertambah semangat untuk menumbang BN dalam pilihan raya negeri akan datang kerana apa gunanya kemenangan kalau menipu," ujar beliau.

Jawah berkata peguamnya kini sedang merangka tindakan undang-undang yang sesuai susulan dakwaan penipuan BN dalam pilihan raya kecil Batang Ai.

- tvantara