29 Jun 2013

Terlibat Dengan Jenayah, Menteri "Samseng" Ini Perlu Berundur!

Zahid disaran berehat sehingga kes selesai

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus berehat daripada tugas beliau sehingga siasatan ke atasnya selesai, kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Beliau berkata, Zahid harus berbuat demikian bagi mengelakkan konflik kepentingan dalam kes membabitkan saman seorang ahli perniagaan ke atas beliau.

"Oleh kerana beliau seorang menteri apabila ada satu tuduhan atau kes saman yang mempunyai asas, paling kurang beliau diminta untuk bersara atau lebih baik beliau sendiri meletakkan jawatan.

"Tapi kalau beliau rasa beliau sendiri nak pertahankan jawatan, beliau kena berehat dahulu seperti mana yang dilakukan oleh menteri-menteri Umno yang lain," kata beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Zahid untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat juga berharap Peguam Negara melakukan pendakwaan ke atas Zahid dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.

"Kuasa pendakwaan di bawah Peguam Negara. Jadi saya harap Peguam Negara tidak mengamalkan budaya pendakwaan terpilih terutama apabila melibatkan menteri," katanya.

Zahid dituduh menyerang dan melakukan cubaab bunuh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah, dalam satu kejadian pada 2006. -HD

KPN Perlu Letak Jawatan Untuk Kembalikan Keyakinan Umum Terhadap Polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya boleh mengembalikan keyakinan awam bahawa beliau tidak bersubahat dalam kematian tahanan dengan berlaku jujur dan menyatakan perkara sebenar disebalik kematian A Kugan dan 230 orang lain antara tahun 2000 sehingga Mei 2013 atau secara terhormat meletakkan jawatannya.

Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng menyatakan demikian dalam kenyataan hari ini merujuk pada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membuat keputusan bahawa Khalid bertanggungjawab ke atas kematian Kugan yang diseksa secara fizikal sewaktu soal siasat oleh pihak polis, 4 tahun lalu.

“Mahkamah telah memutuskan dalam sebuah saman sivil bahawa Khalid bertanggungjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham juga menyebut bahawa kecederaan yang dialami Kugan tidak mungkin dilakukan oleh seorang anggota saja dan pegawai-pegawai senior juga tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu menahu,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengecam Khalid yang tidak profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai KPN sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kecuaian dibawah penguatkuasaan beliau.

“Khalid juga ditegur kerana cuba menutup dan mendiamkan kebenaran dengan mengelak daripada bertanggungjawab ke atas kematian Kugan pada Januari 2009.

“Mampukah Malaysia mempunyai seorang KPN yang sepatutnya mendaulatkan undang-undang tetapi telah diputuskan mahkamah sebagai seorang yang menutup dan mendiamkan kebenaran, cuai dan bertanggungjawab ke atas kematian dalam tahanan?,” katanya.

Beliau turut menempelak Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi yang tidak membuat sebarang tindakan berhubung salah laku malah lebih menyedihkan mempertahankan keganasan polis.

“VT Singham memutuskan supaya ibu Kugan, N Indra menerima bayaran sebanyak RM851,700 sebagai ganti rugi kesalahan menyerang, memukul, penahanan yang salah serta penderitaan dan kesakitan yang ditanggung.

“Namun Zahid Hamidi ketika sidang Parlimen menafikan bahawa keganasan polis adalah punca kematian dalam tahanan.

Zahid mengatakan bahawa 166 kematian adalah disebabkan penyakit seperti HIV, lelah, sakit jantung dan hanya 2 orang yang mati dalam tahanan.

Dakwaan ini sangat mengarut,” ujarnya.

Katanya lagi, Zahid seharus mengambil iktibar dari cadangan Mahkamah supaya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.

“Badan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) milik BN ternyata tidak berkesan dalam menghalang salah guna kuasa dan kematian dalam tahanan.

“EAIC hanya sekadar boleh memberikan cadangan kepada badan disiplin sesebuah agensi penguatkuasaan setelah selesai siasatan, IPCMC sebaliknya pula boleh mendakwa dan menghukum anggota polis yang menyalahguna kuasa.

“Jika IPCMC tidak ditubuhkan segera, berapa ramai lagi yang mesti mati sebelum IPCMC diwujudkan?,” tegasnya.

-Roketkini

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang baru amat terkenal dengan sikapnya yang "mesra UMNO BN". Sebarang aduan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat akan segera disuruh siasat tetapi jika aduan mengenai pemimpin UMNO BN, sengaja dilengah-lengahkan malah lansung tiada siasatan.

Dengan keputusan hakim pada hari ini, KPN tersebut sewajarnya meletakkan jawatannya kerana beliau cuai di dalam mempastikan anak buahnya tidak menyalahgunakan kuasa disamping beliau sendiri, menurut keluarga Kugan cuba menyembunyikan punca kematian Kugan.

[EDISI KANTOI] Pencacai UMNO, Mana Cincin Nazri?


Di dalam laporan sebelum ini Menteri Pelancongan & Kebudayaan Mohd Nazri Abdul Aziz telah dilaporkan menunjukkan isyarat lucah kepada jurugambar yang merakamkan gambarnya di parlimen sempena persidangan angkat sumpah ahli-ahli parlimen dan melantik Speaker Dewan Rakyat yang baru.

Gambar tersebut telah tersebar luas di media sosial.

Tiba-tiba macai UMNO telah mengeluarkan satu versi baru menyatakan kononnya gambar itu ialah gambar diedit dan kemudian beliau mempaparkan "versi asal" gambar berkenaan.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau mengedit gambar isyarat lucah itu dan mendakwa itulah gambar yang asal.

Begitu malang nasib pencacai UMNO dimana di dalam versi yang diakatakan asal itu terdapat banyak kecacatan diantaranya:

1) Ada cahaya putih di sekeliling tangan Nazri
2) Cahaya itu pula seperti datang dari bawah
3) Ibu jari yang ditunjukkan lebih kecil dari jari-jari yang lain
4) dan yanf paling nyata, cincin yang selalu dipakai di jari manis Nazri sudah tiada.

Mungkin pencacai berkenaan beranggapan manusia lain bodoh sepertinya dan berharap dengan melakukan edit tersebut dapat nanti membuat tuntutan untuk memperolehi sedikit habuan daripada Nazri.

Memang tahap pencacai suungguh!

28 Jun 2013

"Buka Siasatan Terhadap Najib"

Polis harus membuka siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ‘affidavit palsu’, kata bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim hari ini.

Katanya ini berdasarkan laporan polis yang dibuat koordinator Jingga 13, Fariz Musa pada 26 Jun yang mendakwa bahawa Najib telah membuat affidavit palsu pada 21 dan 23 September 2011 yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau bertegas laporan yang dibuat Fariz itu berasas dan boleh dibuktikan sebagai dakwaan yang benar.

Mat Zain berkata demikian dalam surat terbukanya kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.

Salinan surat itu juga dihantar kepada Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

“Saya berpendapat laporan ini tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya dan pihak polis wajib memulakan siasatan jika belum berbuat demikian,” tegasnya.

Tambahnya lagi, isu berkaitan nama palsu itu hanyalah sebahagian kecil daripada pemalsuan yang dikesan dalam affidavit Najib itu.

Katanya siasatan terhadap seorang Perdana Menteri bukanlah suatu perkara luar biasa.

Ini, kata beliau, berdasarkan siasatan yang dijalankan polis atas laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun 2000 terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai salah guna kuasa.

“Jika polis KL boleh lakukan sedemikian tanpa halangan atau campur tangan mana-mana pihak, maka saya percaya pihak polis boleh lakukan dengan lebih baik dan profesional lagi sekarang ini.

“Pada pendapat saya, saudara tidak ada opsyen melainkan untuk memberi keutamaan dan menyiasat laporan yang dibuat oleh Fariz Musa itu secara terperinci dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga,” katanya dalam surat tersebut.

Mat Zain juga menyebut mengenai dakwaan bahawa Najib pernah mengarahkan seorang peguam kanan iaitu Tan Sri Cecil Abraham untuk menderaf Akuan Bersumpah mendiang P Balasubramaniam pada Julai 2008.

“Saudara juga pasti sedar bahawa kesalahan yang didakwa ini adalah sama dengan kesalahan membuat atau bersubahat membuat affidavit palsu yang boleh disamakan dengan memberi keterangan palsu di mahkamah.

“Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat kedua-dua dakwaan ini secara terperinci dan pantas kerana tidak wajar dakwaan memberi keterangan palsu, tergantung di atas bahu seorang Perdana Menteri,” katanya. -FMT

[VIDEO] "Dakwat Kekal": Jawapan Menteri BN Kelas Ke 3 - Prof Muhammad Agus

Kelmarin saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya," tulis penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di facebooknya.

Hari ini, beliau terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.

Berikut tulisan beliau.

KELMARIN saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya.

HARI INI saya terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain.

Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan dakwat kekal? Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh menteri yang bertanggungjawab dan SPR. Oleh itu, kenyataan menteri di atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga.

Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain? Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini.

Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?

Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?

YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat. Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.



Sultan Selangor: Beri Kerjasama Kepada Kepimpinan Khalid

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta semua wakil rakyat, termasuk wakil Barisan Nasional (BN), memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Baginda, berjaya atau tidak pentadbiran Selangor itu bergantung kepada wakil rakyat dan pemimpinnya mentadbir dan memajukan negeri berteraskan undang-undang sedia ada.

“Beta menaruh harapan agar ahli-ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri yang kita kasihi ini,” titahnya dalam ucapan Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada masa yang sama, baginda menasihatkan Abdul Khalid supaya bertugas dengan lebih tekun, gigih dan terus berusaha mempertahankan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia dan sentiasa dihadapan sepanjang masa.

Baginda bertitah, wakil rakyat perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan memastikan segala tindakan dan keputusan yang diambil tidak bercanggah dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

“Janganlah hendaknya ada pihak yang menyalah tafsir peruntukan undang-undang tersebut kearah kepentingan dan manfaat sesuatu golongan tertentu sahaja.

“Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik (good governance) dan mahu sistem ini terus diamalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Baginda turut berbangga dengan hasil Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) Selangor berjumlah 22% dengan mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM11.

73 bilion pada tahun lalu dengan 252 projek berjaya dimajukan.

Sehingga Mac 2013, jumlah pelaburan yang terus mengalir masuk ke Selangor telah mencecah RM700 juta dan mahu usaha perlu digiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelabur melabur di Selangor.

Selain itu, baginda juga mahu dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES) diteruskan dan diperluaskan lagi skop pelaksanaannya bagi membantu meringankan beban sekaligus mengurangkan perbezaan pendapatan rakyat.

Baginda percaya, dengan peruntukan MES yang dibelanjakan sebanyak RM856 juta sejak tahun 2008 sehingga Februari 2013, rakyat mendapat manfaat hasil kekayaan Selangor itu terutamanya golongan miskin dan yang memerlukan bantuan. -FMT

Masyarakat Papua Bersyahadah


Kami dakwah di Papua penuh dengan pengorbanan. Pernah kami keluar ke pedalaman suku Tatsmit. Kami disambut dengan panah dan tombak dan habis tubuh saya dengan panah beracun sehingga saya dilarikan ke hospital. Hampir seminggu saya di hospital, tapi tetap sabar. Anehnya, orang-orang yang memanah saya ikut menghantar saya ke hospital.

Setelah sembuh, kami tetap masukkan jemaah ke suku tersebut, sampai kami diterima dan yang pertama yang kami ajarkan adalah cara mandi pakai sabun, syampu dan berus gigi kepada suku tersebut, sehingga mereka merasa nyaman kerana selama ini mereka biasa menggunakan minyak xxxx sebagai sabun.

Setelah mereka terkesan dengan mandi pakai sabun, syampu, baru kami dakwahkan tauhid sehingga awal dakwah kami di sana, kami ajak 2000 orang kelapangan untuk mandi beramai-ramai menghilangkan najis mughallazah mereka, dan mengajak mereka syahadah.

Alhamdulilah, 2000 orang telah masuk Islam, dan beberapa waktu yang singkat selepas itu, 4000 lagi mengucap kalimah syahadah." -Ustaz Dahlan



Ulasan GB

Hanya jiwa yang kental mampu untuk melaksanakan tugas dakwah seperti yang ditunjukkan di dalam video di atas. Tugas yang amat besar dan berat jika dibandingkan dengan berdakwah di kalangan masyarakat di dalam negara kita ini.

Dengan cara inilah juga sebenarnya umat melayu menerima Islam berabad-abad dahulu yang dilakukan oleh para pendakwah yang terdiri dari para peniaga Muslim yang datang dari segenap pelusuk dunia terutama dari benua Arab, India dan Cina. Tanpa kerja dakwah mereka, kita mungkin masih belum menikmati Islam yang kita anuti sekarang ini.

Justeru itu, usah berhenti berdakwah... untuk merealisasikan "Islam Untuk Semua".

Dakwat Kekal Boleh Dimakan, Hingga Menjilat Jari


Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa bahan pewarna makanan digunakan bagi menggantikan bahan kimia dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, ia menjadi bahan ketawa.

Ini membuat Ahli Parlimen Bagan dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam twitternya secara berjenaka menulis, dakwat kekal kini boleh dimakan. Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau membuat pendedahan ini pada sidang Dewan Rakyat semalam dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) dan Anthony Loke (DAP-Seremban).

Beliau menjelaskan bahawa tarikh luput untuk dakwat kekal ialah empat bulan dari tarikh pengeluaran.

Tidak ada bahan kimia digunakan dalam dakwat itu dan “kami menggantikannya dengan bahan pewarna dalam makanan yang dibenarkan.”

Sementara itu, Pakatan Rakyat mengancam untuk mendedahkan nama syarikat yang membekalkan dakwat kekal kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sekiranya suruhanjaya itu masih enggan berbuat demikian.

“Kita sudah siasat, kita tahu. Jangan tunggu terlalu lama atau kami akan dedahkan,”
kata Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mencelah sewaktu ucapan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Beliau mendakwa siasatannya menunjukkan bahawa kontrak untuk membekalkan dakwat kekal tersebut dianugerahkan kepada sebuah syarikat Singapura.

Rafizi seterusnya mendakwa bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan dana, malah terpaksa membuat pinjaman dengan seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan modal RM7 juta bagi transaksi tersebut. -FMT


Harga ‘dakwat kekal’ tiga kali ganda lebih tinggi jadi tanda-tanya


Jika dahulu kerajaan Barian Nasional (BN) membazirkan wang rakyat sebanyak RM2.

4 juta pembelian dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) lalu yang akhirnya dilupuskan, DAP hari ini mempersoalkan pula mengapa kos pembelian bahan itu untuk PRU13 tiga kali jauh lebih tinggi dengan jumlah RM7.1 juta walhal nisbah peningkatan bilangan pengundi sekitar 20 peratus tidak wajar untuk harga semahal itu.

Bercakap kepada media hari ini di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, tambah membingungkan lagi ialah bagaimana Kerajaan Kemboja yang mempunyai lebih dari sembilan juta pengundi hanya perlu mengeluarkan RM2.8 juta untuk pembelian dakwat kekal dari Kerajaan India pada 19 Jun baru-baru ini.

“Kenapa perbezaan kos ini begitu ketara dan kita juga hairan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia selalunya akan lebih mahal.

“Memang saya amat terkejut dan terkilan dengan jawapan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendedahkan amaun pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi PRU13 ini amat tinggi,” katanya.

Loke yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dalam perkara berkait menyatakan kekecewaan beliau kerana dakwat kekal itu bukan sahaja mahal malah tidak memenuhi fungsinya sebagai ‘dakwat yang kekal’.

“Kita mahu kerajaan dan SPR mengambil tindakan yang sepatutnya kepada pembekal tetapi apa yang berlaku, SPR bukan sahaja tidak bertindak malah terus melindungi syarikat pembekal dengan merahsiakan siapa mereka konon atas sebab keselamatan.

“Kita nak tahu apakah isu keselamatan yang mereka maksudkan? Bagaimana pula maklumat pembekal dakwat kekal itu boleh menimbulkan masalah keselamatan?,” soalnya.

Katanya, jika sebelum PRU13 pihak SPR merahsiakan maklumat syarikat pembekal kerana takut disabotaj, mengapa pula alas an sebegini digunakan walaupun pilihan raya sudah berlalu.

Beliau mengingatkan SPR bahawa tindak-tanduk mereka dalam perkara ini hanya akan memperkuatkan persepsi negative rakyat terhadap mereka.

– Roketkini



PRK Kuala Besut Mesti Dikendali ‘SPR Baru’ - Nurul Izzah


Hanya ‘SPR baru’ yang layak mengendalikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu, kata ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“(Pilihan raya kecil) Kuala Besut hanya dilaksanakan bila ada pimpinan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang baru dan credible (wibawa).

“Nak teruskan dengan dakwat yang sama, dengan pimpinan (SPR) yang sama?

“Pada saya ini tak boleh diterima pakai,” kata Nurul Izzah ketika membahaskan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun 2013, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat kanser paru-paru.

SPR Terengganu dalam kenyataannya hari ini memberitahu, pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan dalam tempoh 60 hari mulai tarikh pewartaan kekosongan DUN selewatnya hingga 27 Ogos depan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengusulkan pemulihan segera SPR melalui satu jwatankuasa parlimen bagi melantik pengendali pilihan raya yang baru dan berwibawa.

“Dewan yang mulia ini mesti sedar bahawa mandat majoriti 51% yang diamanahkan kepada Pakatan Rakyat memberikan hak dan kuasa mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.

“Kehendak Rakyat menuntut agar sistem pilihan paya yang nyata gagal dan pincang mesti dipulihkan,” tegas Nurul Izzah. -KD

27 Jun 2013

Apa Sahaja Yang Dibeli Kerajaan Malaysia Akan Lebih Mahal

Peningkatan kos pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu didakwa meningkat tiga kali ganda daripada kos yang dikeluarkan pada pilihan raya sebelumnya iaitu sebanyak RM7.1juta.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) tahun 2008 lalu, jumlah kos yang digunakan untuk pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak RM2.4 juta walaupun dakwat kekal itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum pilihanraya berlangsung.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 10.9 juta orang manakala pengundi pada 2013 adalah sebanyak 13.2 juta orang dan ia melibatkan pertambahan hampir 20 peratus sahaja.

Menurutnya, pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal sebanyak tiga kali ganda adalah sangat mengejutkan.

“Saya amat terkilan dengan jawapan dari SPR melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendedahkan jumlah kos untuk penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mempersoalkan kos pembelian sangat tinggi oleh Kerajaan Pusat untuk membeli sesuatu barangan.

Sebagai contoh, Kerajaan India menyumbangkan 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia bagi tujuan pilihan raya dengan kos RM2.8 juta (US$877,800) pada 19 Jun lalu.

“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sentiasa lebih mahal?.

“Semuanya lebih mahal, kereta perisai lebih mahal, kapal selam pun lebih mahal,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dakwat berkenaan yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Bagaimanapun, pembekal dakwat berkenaan dilindungi oleh SPR yang merahsiakan maklumat syarikat tersebut atas sebab keselamatan.

Menurut Anthony, tiada sebab maklumat pembekal dakwat berkenaan dirahsiakan kerana PRU-13 sudah berakhir.

Akhirnya Idris Haron Menjilat Ludahnya Sendiri


KM: 300 peniaga Jonker Walk boleh berniaga seperti biasa

Kira-kira 300 peniaga boleh meneruskan perniagaan mereka seperti biasa di kawasan pasar malam Jonker Walk pada setiap hujung minggu, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Beliau berkata, arahan penutupan gerai yang kebanyakkannya menjual cenderamata di Jonker Walk itu hanya salah faham, sebaliknya penutupan itu hanya melibatkan laluan kenderaan di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, jalan sekitar Jonker Walk yang menjadi tumpuan pelancong itu dibuka semula untuk kenderaan yang ketika ini ditutup bermula 6 petang hingga 12 malam pada setiap Jumaat hingga Ahad bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

"Arahan pembukaan jalan ini, berikutan aduan orang ramai dan pelancong mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut terutama pada hujung minggu," katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

Idris berkata isu menghalang peniaga berniaga di Jonker Walk pada hujung minggu, sengaja dimanipulasikan pihak tertentu demi kepentingan politik mereka.

Ditanya sama ada pembukaan jalan tersebut menyukarkan pengunjung dan peniaga, Idris berkata: "saya tidak fikir begitu".

Sebagai contoh, katanya di Oxford City, England peniaga menjalankan perniagaan di kaki lima jalan raya dan kenderaan dibenar melalui kawasan disitu.

Sebuah akhbar bahasa Cina pada Isnin memetik Idris sebagai berkata mesyuarat Exco pada 12 Jun lepas, memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat. -Bernama

Zahid Hamidi Gagal Ketepikan Kes Saman Terhadapnya Daripada Dibicarakan


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan semua ruang undang-undang untuk menghalang kes saman terhadapnya didengari di mahkamah.

Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak permohonan menteri dalam negeri itu yang cuba mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah lebih rendah mengatakan kes saman itu perlu dibicarakan.

Saman itu difailkan oleh Amir Bazli Abdullah terhadap Ahmad Zahid yang dituduh menumbuk mukanya pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.

Amir Bazli mengalami patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata.


Lima orang Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Tan Sri Md Raus Sharif mengatakan persoalan undang-undang sudah selesai.

"Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes itu perlu dibicarakan dan Mahkamah Rayuan mempunyai pendapat sama," kata hakim itu.

"Biarlah ini dibicarakan di mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan. Dia akan mempunyai ruang untuk merayu kemudian."

Md Raus kemudian menolak permohonan Ahmad Zahid dengan kos RM5,000.

Semasa kejadian itu dikatakan berlaku, Ahmad Zahid merupakan timbalan menteri penerangan.

Dalam satu kenyataan tuntutannya, Amir Bazli berkata, kira-kira jam 10 malam pada 16 Jan, 2006, dia berada di sebuah stesen minyak di Bangi apabila ejen defendan mendekati dan mengugutnya.

Mereka membawanya secara paksa ke kelab rekreasi Country Heights di Kajang.

Terdapat, plaintif menyaksikan Ahmad Zahid dengan menantunya bernama Hisham dan anak lelakinya yang dikenali sebagai KK. Terdapat juga beberapa yang lain bersama mereka. -TMI

Najib Guna "Nama Palsu", Jingga Buat Laporan Polis

Badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana membuat afidavit palsu kes Liwat II yang difailkan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 dan 23 September 2011.

Koordinator Jingga 13 Fariz Musa dalam laporan berkata, Najib dalam afidavit berkenaan telah membuat kenyataan secara bersumpah memberikan nama penuh beliau sebagai ‘Najib bin Tun Hj. Abdul Razak’.

Manakala isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga ada membuat afidavit pada 21 September 2011 dan menyatakan secara bersumpah juga yang nama penuh suami beliau ialah Najib dan bukan Mohd Najib.

Kenyataan bersumpah itu dilakukan Najib dan Rosmah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia Abdul Karem Hassan.

Bagaimanapun menurut Fariz semasa hari penamaan calon 20 April lalu, Najib telah mendaftarkan nama penuhnya sebagai Mohd Najib dan diterima oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Pekan.

Sekaligus menjadikannya bercanggah dengan nama yang difailkannya dalam afidavit kes Liwat II.

“Saya mempunyai sebab untuk mempercayai Pengerusi SPR sendiri telah mengetahui perkara ini sebelum hari penamaan calon dan boleh menjangka percanggahan berkaitan nama sebenar Najib akan berlaku,” katanya.

Laporan polis dikemukakan Fariz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini tengahari semala m.

Beliau dalam laporan turut merujuk kepada dua artikel bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim yang disiarkan FMT “Usulkan undi tidak percaya terhadap Najib” yang disiarkan pada 17 Jun lalu dan “Pencalonan Najib dalam PRU13 ditolak?” pada 15 April lalu.

Mat Zain dalam artikelnya berkata kes sama pernah terjadi dalam sejarah undang-undang Malaysia apabila seorang wanita Sharma Kumari Shukla dijatuhkan hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah membuat dua afidavit palsu berkaitan dengan nama penuh beliau.

Sehubungan itu, Fariz menggesa polis menyiasat Najib kerana dikatakan telah membuat afidavit palsu dalam perbicaraan kes liwat dan dengan menggunakan nama berlainan semasa mengisi borang pencalonan PRU13.

Beliau juga menggesa polis menyiasat tindakan Pengerusi SPR kerana cuba bersubahat dengan Najib menyorokkan maklumat penting, iaitu mengenai percanggahan nama terbabit, di luar pengetahuan calon lawan dan pengundi kawasan Pekan.

"Perbuatan menyorokkan maklumat mustahak seperti di atas boleh dikatakan sebagai perbuatan menipu,” tegasnya. -FMT

Blogger Milosuam Dikenakan Ikatjamin RM15,000

Kota Kinabalu: Blogger yang berpangkalan di Melaka 'Milosuam' didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menyiarkan kenyataan bertujuan menyebabkan ketakutan orang ramai ketika pencerobohan askar Sulu.

Yusuf Al Siddique Suratman, 29, mengaku tidak bersalah terhadap penyiaran blog di bawah tajuk (Maklumat Sulit: Pendatang Asing Bakal Cetus Huru-Hara di Sabah) yang mana dia turut mendakwa 1,500 warga asing akan menyebabkan huru-hara di Sabah dengan menyiarkan dokumen yang didakwa oleh pihak polis.

Yusuf, didakwa pada Selasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan rasa takut dan menghadapi maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Edward Paul menetapkan tarikh perbicaraan pada 22-23 Julai dan membebaskan Yusuf dengan ikat jamin RM15,000 dan seorang penjamin tempatan.

Dia juga telah diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Jamil Aripin memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah didakwa di Kota Kinabalu kerana blog itu telah dibaca secara meluas di Sabah.

Peguam Yusuf Erveana Ansari berkata mereka telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Jamil telah membantah ikat jamin untuk Yusof atas alasan Yusuf adalah dari Semenanjung Malaysia tetapi Erveana berhujah bahawa tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri dengan kesalahan kecil.

Beliau berkata bahawa Yusuf telah berkahwin pada 29 Jun dan sebagai bukan rakyat Sabah, dia perlu menghabiskan lebih banyak wang untuk perjalanan di sini. -mstar

LAPORAN SEBELUM INI


Penahanan Milo Suam cubaan sekat blogger pro Pakatan – Sivarasa


PETALING JAYA 3 MEI: Penahanan blogger pro Pakatan Rakyat, Milo Suam adalah cubaan polis untuk menyekat beliau dari terus mendedahkan maklumat sehingga tamat pilihan raya, kata Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa.

Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique ditahan pada 1 Mei lalu di bawah Akta Rahsia Rasmi (1972) kerana mendedahkan dokumen sulit milik polis berhubung maklumat wujud pencetus huru-hara pada 5 Mei nanti.

Melalui maklumat dalam dokumen tersebut, Milo Suam mendedahkan seramai 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah akan membuat huru-hara pada hari mengundi.

“Kita mempersoal apa motif penahanan itu sedangkan Milo Suam ada menyebut bahawa dokumen dalam bentuk emel berantai itu belum disahihkan kebenarannya kerana ramai pihak turut menerimanya,” kata Sivarasa pada sidang media hari ini.

“Beliau (Milo Suam) juga ada menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel itu supaya membuat pertimbangan wajar kerana ia belum disahkan benar, tetapi dengan penahanan ini, ia seolah-olah mengesahkan kebenaran maklumat dalam dokumen tersebut,” katanya lagi.

Menurut Sivarasa, punca utama penahanan itu tidak kukuh untuk membolehkan Milo Suam ditahan, justeru beliau menyifatkan penahanan itu bermotif politik demi menyekat kebebasan blogger pro Pakatan.

“Kita amat terkejut macam mana tulisan itu dijadikan alasan kukuh untuk tahan seorang blogger. Umum tahu dia menyokong Pakatan dan berpengaruh di kalangan blogger, jadi kita sifatkan penahanan ini berniat jahat,” tegasnya.

“Milo Suam sepatutnya direman sehingga hari ini, tetapi tadi kita dimaklumkan kononnya ada laporan lain terhadap beliau. Oleh itu beliau akan terus ditahan lagi, jelas sekali ada motif politik di situ,” jelasnya.

Beliau turut membidas penahanan mangsa di bawah OSA sebagai ugutan kepada kebebasan media.
-KD(3/5/2013)

Dakwat Kekal: Putarbelit Oleh SPR Untuk Pertahankan Penipuannya!


SSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hari ini di Dewan Rakyat tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan keberkesanannya semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dipersoalkan kerana boleh ditanggalkan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan," kata Shahidan hari ini.

Kenyataan tersebut nyata berbeza dengan penjelasan SPR sebelum ini yang mengatakan mereka menggunakan Nitrat Perak dalam dakwat kekal sebelum ini dan memberikan alasan pengurangan kandungan tersebut sebagai punca kemelut dakwat kekal tersebut ditanggalkan berlaku.

Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal adalah empat bulan daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.

"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan.

"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal berkenaan," katanya lagi.

Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal disamping perbelanjaan tambahan RM200 ribu meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM7.1 juta.

Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.

Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013.

Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa oleh PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan insiden dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik mengundi pada 5 Mei lalu.

Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama selepas dicalit.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk menang majoriti mudah.

Walau bagaimanapun, kemenangan BN kali ini lebih kecil di Parlimen sejak negara Merdeka pada 1957.

PR enggan menerima kekalahan tersebut, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.

PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan di dalam 25 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana BN menang dengan majoriti kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.

Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. -TMI

LAPORAN SEBELUM INI

Dakwat kekal tidak boleh ditanggal, kata pengerusi SPR



KUALA LUMPUR, 30 April — Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan minyak enjin motor atau bahan-bahan lain boleh digunakan untuk menanggalkan dakwat kekal pada pengundi, pelbagai bantahan tercetus mengatakan ia tidak boleh kekal seperti dikatakan.

Abdul Aziz berkata dakwat yang digunakan SPR tersebut mengandungi bahan nitrat perak (silver nitrate) yang meresap ke dalam kulit dan mustahil ia ditanggalkan dengan sebarang cara walaupun dengan apa cara sekalipun, malah bahan seperti minyak ataupun bahan-bahan lain tidak boleh menanggalkannya.

“Mustahil, saya tidak percaya dakwat kekal itu boleh ditanggalkan... gunalah minyak atau bahan apa pun, ia tidak boleh ditanggarl kerana ia dibuat daripada nitrat perak.

“Bila dakwat itu diletak pada kuku, ia akan meresap ke dalam kulit,”
kata Abdul Aziz.

Walaupun kesan pada kuku itu boleh hilang jika dibasuh atau dengan menggunakan minyak, Abdul Aziz menegaskan kesannya pada kulit masih lagi boleh dilihat dan pengundi tidak akan dapat menipu untuk mengundi sebanyak dua kali seperti yang didakwa sebelum ini.

“Kalau dia guna minyak atau basuh pun, kesannya pada kulit masih ada... pegawai bertugas boleh melihat dan menghalang daripada pengundi tersebut mengundi sebanyak dua kali,” terang Abdul Aziz lagi.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal tidak akan hilang selama tujuh hari bagi mereka yang mengundi awal, serta menggesa sekiranya pihak tersebut mempunyai bukti supaya tampil ke hadapan dan buktikan dakwaan tentang penggunaan petrol untuk menanggalkan dakwat tersebut.

“Tak boleh tipu mengundi dua kali, dakwat kekal yang pengundi awal gunakan tidak akan hilang dalam masa tujuh hari.

“Kalau mereka ada bukti, saya harap tampillah buat aduan kepada SPR,” katanya lagi.

SPR telah menyediakan lebih 200,000 unit botol dakwat kekal untuk kegunaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Daripada jumlah itu, 10,000 botol akan digunakan untuk pengundi awal, manakala selebihnya untuk kegunaan pengundi biasa.

Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
-TMI (30/4/2013)