3 Mei 2010

Lepas Keluar Kotak, Ezam Masuk Bakul Pula

Ezam: Saya berhak jadi senator

Bekas ketua pemuda, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor dan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, hari ini.

Dua lagi yang dilantik ialah Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ezam yang keluar daripada PKR dan kembali ke pangkuan Umno pada 2008 juga adalah bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mencuri tumpuan suatu ketika dahulu kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan PKR tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Bercakap kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan, Ezam membidas pengkrirtik kononya dia tidak layak dilantik sebagai senator.

Sebaliknya menurut Ezam, dia telah membuat sumbangan besar bagi memerangi gejala rasuah di negara ini.

"Hanya saya yang terpaksa ke penjara kerana kesalahan rasuahnya kerana saya dituduh menurut Akta Rahsia Rasmi. Semua tuduhan ini bertujuan untuk memburuk-burukan diri saya,” katanya.

Ezam juga menafikan bahawa pelantikannya itu berkait dengan tindakannya meninggalkan PKR dan menyertai Umno semula.

Sebaliknya, bekas setiausaha politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata dia dilantik sebagai senator kerana peranan yang dimainkannya dalam pertubuhan NGO, gerakan menentang rasuah (GERAK).

"Saya amat berpuas hati dengan kedudukan saya sebelum ini. Jawatan ini bukannya sesuatu yang besar. Ia bukannya satu ganjaran,” katanya.

Sementara itu, Palanivel ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia, perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri. -mk

Ulasan GB

Dah puas duduk dalam kotak-kotak, Ezam try untuk masuk bakul pula. Tak der sapa nak bela dirinya... jadi kena angkat sendiri.

Tak usahlah nak menafikan yang anda telah dibayar dengan lumayan kerana menyertai UMNO dan bertugas untuk memburukkan bekas boss anda. Kerana 1Malaysia telah tahu dan telah kenal boss baru anda: Najib Altantuya.

UMNO BN Takut Dengan Kebebasan Media

Kerajaan Perlu Berikan Akhbar Kebebasan Yang Cukup

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberikan kebebasan yang cukup kepada akhbar di Malaysia dalam melaksanakan tugasnya, kata Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Namun, kebebasan ini mestilah dipandu oleh Perlembagaan, kata beliau. "Bagi saya, saya sentiasa berpegang bahawa kebebasan itu mestilah dipandu oleh tanggungjawab. Tanggungjawab terhadap negara dan rakyat dalam memelihara keamanan dan keharmonian.

"Kerajaan harus terbuka dalam membenarkan media melahirkan pendapat mereka, bersikap adil dan munasabah kepada akhbar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum berjudul 'Apakah Perlu Mengawalselia Media Cetak di Malaysia?', di sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia esok.

Sementara itu, seorang anggota panel di forum itu, Zainon Ahmad, editor politik Sun Media Corp Sdn Bhd, berkata sekatan dikenakan kerajaan menerusi undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) tidak harus dilihat sebagai faktor yang menghalang tugas media cetak. Malahan, kata beliau, pengamal media di Malaysia perlu lebih banyak berusaha untuk menyebarkan maklumat kepada massa. Beliau menambah, akhbar di Malaysia harus terus memperjuangkan kebebasan melahirkan pendapat.

"Sekalipun wujud kekangan, kita dapat menerbitkan akhbar yang bagus dan saya yakin kita boleh menerbitkan akhbar yang lebih bagus jika kita diberikan kebebasan akhbar lebih luas," katanya.

Seorang lagi anggota panel, Zulkilfi Sulong, ketua editor Harakah Daily, khusus menyebut PPPA sebagai halangan utama kepada kebebasan akhbar di negara ini. Beliau berkata kerajan hendaklah memberi kepada sesiapa saja yang hendak menerbitkan akhbar hak dan kebebasan untuk berbuat demikian tanpa prejudis. - BERNAMA


Said Zahari: Kebebasan Media Sudah Mati Di Malaysia

SHAH ALAM 2 MEI: Bekas Pengarang Utusan Melayu yang membantah pengambilalihan Umno terhadap akhbar berkenaan pada era 70-an, Said Zahari menyifatkan kebebasan media di negara ini mati.

Beliau menyifatkan ia petanda jelas kemerosotan amalan demokrasi di Malaysia lantaran kebebasan media adalah antara elemen penting dalam pemerintahan demokrasi berparlimen.

Said Zahari mentakrif kebebasan media sebagai keupayaaan sesebuah media menyampai maklumat atau suara masyarakat tanpa kawalan atau pengaruh pihak tertentu secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun, Said Zahari berpendapat kebebasan media sudah tidak ada lagi di Malaysia malah kesal kerana media tempatan kini dikongkong parti politik mahupun kerajaan pemerintah.

Hal ini menyebabkan media tidak lagi mampu menyalur malumat yang tepat dan benar kepada rakyat.

"Kebebasan media tidak ada di Malaysia. Sudah mati. Apabila suratkhabar dipunyai parti politik dan dikuasai orang yang berkaitan dengan pemerintah, maka kebebasan tiada. Mereka tidak boleh tulis sesuka hati, kena ikut arahan majikan," katanya.

Said Zahari menyalahkan pelbagai akta berkaitan media di malaysia yang digubal bagi membatas kebebasan media hingga akhirnya pengarang lebih selesa mematuhi telunjuk pimpinan kerajaaan pemerintah.

"Sekarang banyak akta yang mengongkong percetakan, buku. Yang zaman saya tak ada. Bila ada akta ini, ia mengongkong pengamal media kerana tidak boleh menulis ikut keperluan.

"Tapi ikut dasar kerajaan atau tuan punya suratkhabar itu, yang terdiri daripada ahli politik bermakna tak ada kebebasan yang tulen," katanya. -TVS


Pemuda UMNO Kepong Bantah Perlantikan Ezam Sebagai Senator

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong mahu pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Ezam Mohd Nor sebagai Senator dikaji semula.

Ketuanya, Norizan Ali (gambar) berkata pemberian jawatan Senator kepada Ezam dilihat sebagai tidak adil dan dan seolah-olah memperkecilkan kebolehan pemimpin yang sejak sekian lama berjuang untuk UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, pelantikan Ezam itu juga dilihat tidak wajar sama sekali kerana individu itu pernah berpaling tadah terhadap kerajaan sebelum ini.

“Mengapa orang yang cukup banyak memburukkan kerajaan boleh diberi tempat yang cukup istimewa sedang ramai lagi yang bermati-matian berjuang untuk parti tidak langsung diangkat?” katanya.

Menurut Norizan, jika begitulah realitinya maka selepas ramai ini yang akan keluar UMNO kemudian masuk ke dalam parti semula dan jasanya individu seperti itu akan lebih dikenang.

“Orang-orang yang pernah bersekongkol dengan parti pembangkang dan kuat menentang kerajaan tidak perlu diberi tempat dan keistimewaan,” katanya.

Menurutnya, ini cukup mengambarkan bahawa ketidak adilan telah berlaku malah menimbulkan ketidakpuasan hati dan perasaan kecewa dikalangan pemimpin dan ahli UMNO yang lain.

“Janganlah kera dihutan disusukan, anak di rumah mati tak makan kerana ahli tidak nampak keperluan kerajaan untuk melantik bekas Ketua AMK itu sebagai Senator,” katanya. -SH

Najib Diperbodohkan KPN dan Peguam Negara

Mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan memandangkan beliau tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.

Gesaan itu dibuat berhubung kenyataan Musa yang menggugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Yong yang juga merupakan Presiden Parti Progresif Rakyat Sabah (SAPP) turut menyelar kenyataan Musa yang dianggap sebagai tidak bertangungjawab.

Menurut laman portal berita freemalaysiatoday, Yong dipetik sebagai berkata sikap angkuh Musa akan memberikan nama buruk erhadap pasukan polis.

"Ianya selepas beliau mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan beliau itu boleh menyebabkan rakyat akan hilang keyakinan terhadap keseluruhan pasukan polis,

"Beliau harus meletak jawatan dengan secepat mungkin dan jika beliau masih kekal di dalam pejabat, ini akan menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat,

"Kenyataan beliau itu telah menyakitkan hati rakyat dan telah merosakkan reputasi pasukan polis," kata Yong dalam kenyataannya kepada media.

Dalam pada itu Yong juga turut menambah, kenyataan Musa itu tidak adil kepada anggota polis yang lain yang telah bekerja keras dan menggadai nyawa dalam menjalankan tugas mereka.


Ulasan GB

Kes ini, seperti juga kes Kugan dan kes Teoh Beng Hock, adalah kes batu-tanda berkenaan dengan kekejaman polis, berkenaan kecuaian polis dan berkenaan kezaliman polis.

Lembiknya kerajaan UMNO BN di dalam menangani setiap satu kes di atas meletakkan Najib dn barisan kabinetnya sebagai kumpulan manusia-manusia yang sama kejam, cuai dan zalim.

Sewaktu diajukan soalan mengenai desakan rakyat supaya Musa Hassan meletakkan jawatannya, Najib menjawab, “anda tidak boleh meminta KPN meletak jawatan disebabkan satu insiden yang bukan merupakan tanggungjawabnya secara langsung.”

Persoalan kini ia bukan persoalan insiden yang merupakan tanggungjawabnya secara langsung, tetapi persoalan kebiadaban Musa Hassan mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang.

Inilah padahnya berperdana menterikan seorang yang buta terhadap undang-undang dimana beliau diperbodoh dan diperalatkan oleh Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.


2 Mei 2010

Rasuah PRK Hulu Selangor: Najib Boleh Dihukum Penjara 2 Tahun Dan Denda RM5,000

Semangat juang Zaid untuk selamatkan sistem pilihan raya.
Oleh Kim Quek

Akhirnya, kita mempunyai seorang pemimpin yang berani tampil ke depan mengambil tindakan undang-undang terhadap sistem pilihan raya yang tercemar di Malaysia, kini tidak terkawal lagi.

Kita lihat bagaimana pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Zaid Ibrahim, tewas dengan majoriti yang kecil kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam satu pertandingan yang paling korup dan paling kotor dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Zaid akan mengambil tindakan undang-undang bagi memulihkan sistem pilihan raya yang telah rosak seperti mana yang diperlihatkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Selain menuntut untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu sebagai terbatal, beliau juga akan menyaman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana melanggar Perlembagaan dan kegagalan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil tetapi sebaliknya memihak kepada politik BN.

Tambahan pula, beliau juga akan menyaman akhbar Utusan Malaysia, yang dikuasai oleh Umno kerana melancarkan kempen memburuk-burukkan peribadi beliau.

Pilihan raya kecil kali ini dicemari dengan ugutan, merubah senarai pengundi, serangan peribadi dan rasuah secara berleluasa manakala SPR dan pihak polis secara terang-terang memihak kepada BN.

Malahan gejala rasuah begitu teruk – membeli undi secara terbuka dengan menggunakan dana orang ramai berjumlah jutaan ringgit sehingga melibatkan projek-projek yang tidak terhitung jumlahnya.

Zaid menyifatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengetuai kempen pilihan raya sebagai "sesuatu yang memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah."

Mengenai pencabulan yang melampaui batas terhadap peraturan dan undang-undang pilihan raya, SPR terus membisu.


Apabila berdepan dengan kritikan tanpa henti, Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Press bertarikh 29 April sebagai berkata:

"Membenteras rasuah adalah bukan bidang pengkhususan kami. Tugas kami ialah menyediakan sebuah padang permainan yang adil untuk pertandingan dalam pilihan raya. Bagaimanapun, kami tetap mengalu-alukan sebarang aduan daripada mereka yang mempunyai butiran lanjut.

"Jika sesebuah projek itu dirancang lebih awal dan secara kebetulan dilaksanakan dalam waktu kempen pilihan raya, ianya bukan rasuah.

Saat meluluskan peruntukan itu adalah penting di sini, sama ada para pengundi keluar keluar mengundi kerana projek-projek itu.

"Pakatan Rakyat telah memenangi tujuh dari 10 pilihan raya yang diadakan sejak pilihan raya umum lalu tetapi masih membuat aduan bahawa SPR memihak kepada BN.

Saya berharap para peserta yang terlibat dengan pilihan raya sedar bahawa memenangi pilihan raya adalah disebabkan sokongan orang ramai dan bukan "pertolongan" daripada SPR," demikian apa yang diucapkan oleh Abdul Aziz.

Ini adalah karut semata-mata. Kita tidak dapat menerima alasan kononnya kemungkinan projek-projek "dirancang lebih awal" dan "secara kebetulan" apabila melihat kepada bilangan, saiz projek dan geran yang diumumkan dalam tempuh masa yang singkat.

Meraih sokongan dalam pilihan raya dengan mengumumkan "gula-gula" secara terbuka dan disaksikan oleh ribuan manusia serta sama ada penerima "gula-gula" mengundi pihak yang memberi "gula-gula" adalah isu rasuah yang tidak relevan di sini.

Dan hakikat pada akhirnya, Pakatan memenangi lebih banyak kerusi pilihan raya kecil berbanding BN tidak bererti SPR tidak menyokong BN.

Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila pengerusi SPR memberi alasan yang tidak logik dan remeh semata-mata untuk menyembunyikan kesalahan dan kelemahan SPR.


Tetapi insiden rasuah yang mendapat publisiti paling meluas dilakukan oleh Najib sendiri ketika berdepan dengan para pengundi Rasa menjelang hari mengundi pada 25 April lalu.

Beliau memberitahu penduduk, jika BN menang, beliau sendiri akan menyerahkan geran sebanyak RM3 juta kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Rasa pada hari keesokannya dan wang itu akan disalurkan kepada akaun bank pihak lembaga sekolah.

Najib menambah, "jika kami kalah, tidak perlu datang." Berita ini dilaporkan dalam akhbar dan internet dan Najib tidak menafikannya.

Apa lagi bukti SPR mahu sebelum bertindak?

Insiden yang satu ini sudah cukup untuk mendakwa Najib melakukan rasuah di bawah Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11, iaitu hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000. Selain itu, beliau boleh digantong dari bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.



SPR sering mengeluh ia tidak memiliki kuasa siasatan dan tidak ada kepakaran dalam membenteras rasuah, tapi saya ingin mengingatkan SPR bahawa ia memiliki tugas dan kuasa di bawah Seksyen 5, Akta Pilihanraya 1958.

Untuk tugas-tugasnya, Akta itu menyebut "SPR boleh mengawasi dan mengawal etika perjalanan pilihan raya dan boleh menguatkuasakan ke atas para pegawainya supaya berlaku adil, tidak berat sebelah dan mematuhi Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini dan peraturan-peraturan yang tertakluk di bawahnya."

Sementara mengenai kuasa-kuasanya yang ada, Akta itu menyebut bahawa SPR "boleh mempunyai bidang kuasa untuk mengarah para pegawai pilihan raya seperti mana yang difikirkan perlu oleh Suruhanjaya untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya menurut Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini."

SPR juga mempunyai kuasa untuk mentadbir apa-apa peraturan dan melaksanakan apa-apa tugas yang diamanah dan dikuatkuasakan ke atasnya oleh Akta itu.


Umum mengetahui bahawa SPR tidak mempunyai kepakaran dan tenaga kerja yang sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menangani gejala rasuah dan menahan mereka yang korup.

Tetapi ini tidak bermakna SPR boleh bersikap lebih tangan apabila berdepan dengan amalan rasuah yang berleluasa hingga menjejaskan peranannya sebagai orang tengah bagi mempastikan pilihan raya yang bebas dan adil.


Lebih memburukkan keadaan, apabila SPR didapati mengamalkan politik berpihak dengan mengubah tempat mengundi bagi sebahagian pengundi tanpa notis lebih awal.

Perbuatan memindahkan pengundi ke tempat mengundi yang lain telah menafikan sebilangan pengundi dari melaksanakan hak mereka untuk mengundi dengan secara tidak mengikut perlembagaan.

Parti pemerintah BN telah bermain politik kotor dalam setiap pilihan raya sejak lima dekad yang lampau. Ini menyebabkan sistem pilihan raya kita tercemar hingga mengucar-kacirkan asas ketetapan Perlembagaan kita – bahawa sesebuah kerajaan itu dibentuk mengikut kehendak rakyatnya secara bebas.

Tindakan SPR membiarkan petualang-petualang ini mencetuskan kacau beliau pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tanpa diambil sebarang tindakan bermakna menggalakkan tindakan-tindakan jenayah dengan menggadai hak rakyat yang penting ini.

Adalah menjadi tugas setiap rakyat untuk bangkit dan menuntut hak mereka sekarang dengan memberi sokongan penuh kepada Zaid Ibrahim dalam usaha murni beliau untuk memulihkan proses pilihan raya yang telah sekian lama tercemar.


-Terjemahan oleh Zainal Abidin Nor, siaran FMT.

Ugutan Bunuh: TGNA Tak Layan

Nik Aziz tak layan kenyataan ugutan bunuh

KOTA BARU, 2 Mei — Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan yang menyentuh isu peribadinya termasuk ugutan membunuh dilaporkan dalam laman sosial Facebook.

Mursyidul Am PAS itu juga tidak mempedulikan apa sahaja kenyataan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu termasuk kenyataan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz yang juga penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella.

Ketika ditanya pemberita Nik Aziz (gambar) hanya menyifatkan apa yang diperkatakan mengenainya berhubung kesemua isu itu tidak ada dalam pengetahuannya sama sekali.

“Saya tak ambil peduli (hal itu), saya anggap tak ada langsung (dalam kepala saya),” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 50 anggota rombongan Koperasi Takaful Ibnu Al-''Asr dari Thailand di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan terhadap Nik Aziz itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur. — Bernama

Ulasan GB

Alhamdulillah. Sikap TGNA terpuji. GB telah dari awal menyatakan itu semua kerja budak-budak. Tak payah di;ayan lebih baik.

Yang cuba ugut itu pun sebenarnya tak kenal TGNA. Mereka kenal TGNA hanya dari cerita-cerita dari media massa arus perdana.

Termasuklah kumpulan itu, kumpulan blogger UMNO yang bukan mengkritik, tapi menghina TGNA, siap dengan gambar-gambar lucah yang direka-reka untuk menjatuhkan maruah TGNA.

Namun maruah TGNA tidak jatuh lantarannya. Semakin hebat pula bantuan Allah kepadanya.

UMNO, Perkasa Rasis Dulu Kini Dan Selamanya

Puad: Tak adil label Umno, Perkasa rasis

KUALA LUMPUR, 2 Mei — Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata adalah tidak adil untuk melabelkan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai sebuah pertubuhan yang rasis hanya kerana ia mempertahankan kedaulatan Perlembagaan.

Katanya apa yang diperjuangkan pertubuhan itu bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan atau ‘‘mencuri’’ hak mana-mana pihak sebaliknya memperjuangkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Perkasa bukan rasis... tidak ada rasis dalam kamus budaya orang Melayu, rasis hanya berlaku di barat kerana kita tidak pernah melakukan penghapusan etnik.

“Bila Perkasa mempertahankan ketuanan Melayu, ia sebenarnya soal megah bangsa, soal maju bangsa dan bangga bangsa,” katanya semasa berucap melancarkan Tabung Pendidikan dan Kebajikan Jaguh Care di sini, malam tadi.

Penubuhan tabung tersebut oleh Kelab Jaguh bertujuan membantu penduduk Pasir Mas, Kelantan yang bermastautin di luar negeri itu, terutama dalam soal pendidikan dan kebajikan.

Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata terdapat juga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempertahankan dan memperjuangkan apa yang mereka kehendaki, namun tiada pihak yang melabelkan pertubuhan tersebut sebagai rasis.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu, Puad berkata tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak mengatakan Umno sebuah parti rasis sehingga menyebabkan peratusan pengundi Cina menurun pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu, adalah tidak tepat.

Katanya keadaan itu berlaku kerana mereka lebih banyak terpengaruh dengan isu-isu perkauman yang banyak dibangkitkan oleh parti DAP.

“Barangkali kerana kekeliruan tersebut banyak pengundi Cina beralih kepada (calon) Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu (Datuk) Zaid Ibrahim,” katanya. — Bernama

Ulasan GB

Macamana dinafikan sekalipun perjuangan UMNO dan PERKASA tetap rasis, cauvinis "Melayu", dulu kini dan selamanya.

United Malay Nation Organization - apa ertinya? Ya, Pertubuhan "Kebangsaan Melayu" Bersatu - namanya pun telah menunjukkan UMNO itu rasis, apa tah lagi perjuangannya.

Begitulah PERKASA - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia! Lihat sahaja selepas pilihanraya Hulu Selangor sehinggakan Presiden Perkasa mahu kerajaan tangguhkan dahulu pembangaunan untuk kaum Cina lantaran pengundi Cin tidak memebrikan sokongan kepada calon BN. Itulah sikap yang menggambarkan rasis sebenar.

Dunia kini sudah berubah. Era globalisasi, parti-parti rasis masing-masing sedang dalam era keruntuhan!


Musa Hassan Anggap PDRM Milik Peribadinya

Kematian Aminulrasyid Amzah ditembak polis kerana tidak berhenti setelah diarah pihak polis untuk berhenti. Suatu peristiwa tragis, sedih dan menyayat hati ibu bapa dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid dan syahdunya turut dirasa oleh rakyat jelata. Kita masih dalam trauma kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam itu. Seribu satu pertanyaan belum terjawab dalam benak kita.

Menurut berita TV3 bahawa polis mengejar pemandu kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid dalam masa yang sama kononnya kereta itu menuju nak melanggar polis. Kalau mengikut istilah polis "mengejar" ertinya polis dibelakang kereta yang dipandu Amirulrasyid. Kalau dikatakan kereta yang dipandu Amirulrasyid "menuju ke arah polis" ini bererti polis dan kereta yang dipandu Amirulrasyid "bertentangan?" Yang mana satu cerita betul?

Kalau pun kereta yang dipandu oleh Amirulrasyid menuju ke arah polis, "daripada menembak mangsa tanpa lesen itu, polis punya pilihan untuk mengelak ketepi laluan?" Apakah mesti dihukum tembak kalau seseorang memandu tanpa lesen itu atau lari semasa diarah berhenti oleh polis?

Polis tentunya punya 'walkie talkie', boleh meminta bantuan peronda yang lain untuk mengejar Amirulrasyid daripada polis menggunakan senjata untuk membunuh budak yang baru berusia 14 tahun itu.

Berita TV3 melaporkan bahawa sudah 4 tahun polis meminta peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membeli perakam video untuk merakamkan apa sebenarnya berlakusekiranya ada kejadian buruk berlaku tetapi kerajaan tidak ada wang peruntukan.

Kita sangat heran sikap kerajaan Umno-BN kalau dalam PRK Hulu Selangor beratus juta RM dapat diagihkan dalam sekelip mata tetapi sekadar membeli perakam video untuk merakamkan jenayah, kerajaan tiada wang peruntukan? Apa sudah jadi dengan kerajaan Umno-BN ini?

Kita dengar cerita cerita orang kedai kopi 1Malaysia sudah genap "Kugan mati dalam kawalan polis, Teoh Beng Hock mati dalam kawalan SPRM dan Amirulrasyid mati ditembak polis maka genaplah sudah slogan 1Malaysia". Ini cerita kedai kopi saya kurang yakin, saya tidak tahu apa perasaan pengundi 1Malaysia slogan Datuk Najib?

Memanglah IGP Musa Hassan mengugut rakyat, kita terbaca dalam Malaysiakini bahawa beliau akan arahkan anggota polisnya tidak mahu lagi menangkap Mat Rempit dan menjaga jenayah dikawasan kawasan tersebut. Musa Hassan berlagak macamlah dia yang bayar gaji anggota angota polis tersebut. Seolah-olah semua anggota polis itu, dia yang punya.

Kita difahamkan sebuah panel khas yang ditubuhkan, tidak akan menjalankan siasatan sendiri sebaliknya berfungsi memantau siasatan polis. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang mengetuai panel itu, berkata panel khas itu akan memastikan siasatan yang dijalankan polis dilakukan secara adil dan telus.

Boleh percaya kah siasatan polis yang dipantau oleh Menteri Umno-BN? Kenapa tidak bentuk Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang diketuai oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Prof Khoo Kay Kim dan Prof Agus? Bukan apa, cuma wibawa polis ini sudah banyak dipertikaikan oleh rakyat. Bukan tidak yakin tapi masih kurang percaya imej polis ini belum sembuh sepenuhnya selagi Musa Hassan belum bersara kata orang kedai kopi. - Datuk Halik Zaman



UMNO Bakal Berpecah-belah Dengan Perlantikan Ezam

Perlantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor sebagai senator tidak menggugat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya diyakini akan menyebabkan pepecahan dalam UMNO terutama di kalangan Pemuda UMNO.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau yakin sebahagian besar pemimpin UMNO tidak bersetuju dan berpuas hati dengan pelantikan Ezam yang baru dua tahun menyertai UMNO dilantik sebagai senator.

“Dalam kalangan pemimpin UMNO juga ramai yang tidak begitu senang dengan kehadiran Ezam dalam parti apatah lagi dengan layanan hebat Perdana Menteri dengan melantiknya sebagai senator.

“PKR begitu simpati dengan pemimpin UMNO yang lain yang lebih layak diberi ruang. Apa yang berlaku ini ibarat pepatah “kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas persepsi penganalisis politik yang membayangkan kehadiran Ezam dalam Dewan Negara akan menggugat kestabilan PKR dan memberi kesan kepada Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenai pelantikan Ezam sebagai senator, Shamsul menyifatkannya sebagai ‘habuan politik’ setelah berjasa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Nampaknya UMNO juga ketandusan pemimpin muda dengan melantik pemimpin ‘kitar semula’ yang dahulunya musuh ketatnya mewakili parti di Dewan Negara,” katanya.

Ezam adalah antara empat individu yang akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selain Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Isnin ini. -SK


Isu RM4 juta: Husam Tempelak Kickdefella

Timbalan Pesuruhjaya Pas II, Datuk Husam Musa menempelak blogger, Kickdefella yang mendedahkan dirinya menerima RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut mempersoalkan motif sebuah akhbar tempatan yang membesarkan tulisan blogger tersebut.

“Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang Perdana Menteri, nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

“Sesetengah orang mungkin kata RM4 juta terlalu mahal dan sesetengah pula akan kata murah, kalau dengan RM4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah,” katanya ketika dipetik dalam blognya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang mengakui menerima peruntukkan sebanyak RM4 juta untuk melakukan operasi gerak saraf bagi mempermudah Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Husam berkata, jika benar kenyataan yang dikeluarkan oleh blogger tersebut, maka tidak susah untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri.

“Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat RM4 juta untuk burukkan sesiapa.

“Perdana Menteri macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar RM4 juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah, kelemahan kepimpinannya boleh ceritakan segalanya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Husam turut menempelak Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Mustapa Muhamed yang mengkritik Kerajaan Negeri berhubung dengan pendedahan Kickdefella tersebut.

”Kalau dengan RM4 juta rancangan Datuk Mustapa tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja, UMNO belanja entah berapa ratusan juta, tetapi untuk tewaskan satu negeri, belanja RM4 juta sudah cukup kira jimat dan hebat,” katanya.


Murahnya nak jatuhkan PM kita

Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM 4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah.

Apa sebab mahal dan apa pula sebab murah?

PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu.

Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?

UMNO Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan UMNO Kelantan. Empat juta.

Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja UMNO belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan UMNO satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

Rupanya tak susah sangat nak tewaskan UMNO Kelantan dan kalau dengan empat juta UMNO satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki UMNO seluruh Malaysia. Rasanya UMNO akan kecut.

Dunia blogger ada indahnya.

Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja.

Setahu saya, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita.

Saya pun tak tahu sangat apa beza gerak saraf perang saraf dan operasi berkaitan saraf.

Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta! Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat.


Himpunan Bantah GST berjaya walaupun dihalang polis

Hari Buruh sekadar untuk berehat, tetapi bukan untuk pekerja menyuarakan pandangan mereka dengan bebas?

Himpunan Hari Pekerja bertemakan "Rakyat Bantah GST - Cukai yang miskinkan rakyat", anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, pada jam 11 pagi, terpaksa beralih tempat ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, berikutan penutupan kawasan tersebut oleh polis.

Pada jam 11 pagi, peserta yang dikerah terutamanya oleh JERIT dari seluruh pelusuk negara, telah berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam Negara. Mereka bersedia untuk berarak ke arah Dataran Merdeka yang 400 meter jauh dari situ, untuk menyertai perhimpunan sambutan Hari Buruh, di samping menyuarakan bantahan mereka terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, mereka telah dihalang oleh polis, dan terpaksa untuk beralih ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengikut Jalan Petaling. Sementara itu, sekumpulan peserta yang diketuai oleh ahli parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Devaraj telah dihentikan di Jalan Duta, dan mereka terus melaungkan protes mereka di depan bangunan parlimen untuk satu jam.

Akhirnya, mereka berjaya menemui rakan seperjuangan mereka di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Deklarasi 1 Mei 2010 ini dilafazkan bersama oleh kira-kira 500 orang peserta.

Enam ditangkap, dilepaskan kemudian

Perhimpunan ini gagal berlangsung di tempat sebagaimana yang dirancang, malah enam orang peserta ditangkap oleh polis kerana mengangkat kain rentang. Keenam-enam mereka telah dilepaskan oleh polis pada jam 1 tengah hari, tadi.

Salah seorang penyelaras perhimpunan ini, juga Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan berkata, ini kali pertamanya kegiatan Hari Buruh dihalang. Pihak penganjur telah memaklumkan aktiviti ini kepada polis, tetapi tidak memohon permit sama ada untuk perarakan mahupun perhimpunan.

"Buruh menyambut Hari Buruh, mengapa pula perlu memohon permit?" tanya Arutchelvan. Malah, aktivis sosial ini sempat untuk menyindir Ketua Polis Negara, yang baru-baru ini melatah berikutan kritikan umum terhadap kes remaja 15 tahun, Allahyarham Aminulrasyid Amzah ditembak mati oleh polis.

Lebih aman tanpa polis, sindir Arutchelvan

Musa Hassan sebelum ini berkata, "Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, cakap saja. Saya boleh arahkan anggota-anggota saya supaya jangan buat apa-apa termasuk memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen". Arutchelvan pula menyindir pada hari ini, "kalau beliau tidak menghantar polisnya, aktiviti kami lebih aman."

Rundingan antara penganjur dengan polis gagal apabila mereka tidak dibenarkan untuk berhimpun di Dataran Merdeka. Akhirnya, pihak penganjur terpaksa menggunakan pelan kedua untuk berarak ke Dewan Perhimpunan Cina sambil menyebarkan risalah di sepanjang jalan.

Kira-kira 400 orang berhimpun di lapangan letak kereta bangunan Dewan Perhimpunan Cina, meletakkan tandatangan mereka pada kain rentang. Mereka melafazakan deklarasi bersama apabila kumpulan yang diketuai Jeyakumar Devaraj sampai di situ.

Yang berikut adalah Deklarasi 1 Mei 2010:


Rakyat Bantah GST: Cukai Yang Memiskinkan Rakyat

Tahun 2010; Dunia dan negara masih belum keluar dari kemelut Krisis Ekonomi yang melanda kita tahun lepas. Ramai pekerja yang masih belum mendapat kerja, ditambah pula dengan masalah rumah dilelong, harga barangan naik dan melalui keadaan dimana, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam keadaan ini, Kerajaan Malaysia hendak mengimplementasi Cukai GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Dalam keadaan 80% rakyat Malaysia tidak bayar cukai sebab pendapatan mereka kurang dari RM 3000, kerajaan Malaysia hendak memaksa semua rakyat tidak kira tua, muda, kurang upaya, pelajar, miskin, kaya, semua orang untuk membayar cukai.

Alasannya, defisit kerajaan perlu dikurangkan dan pendapatan negara harus ditingkatkan. Namun, persoalannya adakah rakyat punca defisit kerajaan? Pastinya tidak. Punca defisit kewangan kerajaan ialah korupsi, penyalahgunaan kuasa, projek yang tidak bermaanfaat, bail out, politik wang dan pembaziran. Semua ini bukan dilakukan oleh rakyat biasa, tetapi pemimpin kerajaan dan kroni-kroni mereka. Maka kenapa pula rakyat perlu menanggung akibatnya? Bukankah kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya sebalik?

Mengikut laporan Model Ekonomi Baru, Malaysia adalah sebuah negara yang berpendapatan rendah di mana 80% rakyat mendapat pendapatan RM 3000 dan 40% daripada mereka mendapat pendapatan RM 1500 sahaja sebulan. Dalam laporan ini juga dikatakan jurang di antara kaya dan miskin di Malaysia semakin melebar. Mengikut laporan UNDP 1997 dan Laporan United Nations Human Development 2004, Malaysia mempunyai jurang pendapatan yang tertinggi di Asia Tenggara, lebih daripada Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia. Laporan ini mengatakan, 10% orang kaya di Malaysia mengawal 38.4% kekayaan negara manakala 10% yang termiskin hanya menikmati 1.7% kekayaan negara.

Dalam keadaan ini, adakah patut Cukai GST yang membebankan rakyat diperkenalkan? Bukankah Cukai GST akan miskinkan rakyat kerana rakyat perlu bayar cukai untuk segala barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang diguna? Lagipun dengan pengenalan cukai GST, sudah tentu harga barangan akan meningkat dan akan membawa kepada inflasi. Walaupun kerajaan kata harga barangan tidak akan naik, tetapi pengalaman negara lain menunjukkan ia tidak benar.

Rancangan kerajaan adalah untuk melaksanakan Cukai GST dan mengurangkan cukai pendapatan individu dan syarikat. Adakah ini sesuatu yang adil dalam negara di mana 80% penduduknya tidak mampu membayar cukai? Bukankah ini satu tindakan yang akan membebankan rakyat?

Jadi, Hari Pekerja, 1 Mei 2010 yang menjadi lambang kebangkitan kaum Pekerja terhadap penindasan adalah hari yang paling bermakna kepada kita untuk menyuarakan dengan kuat dan jelas iaitu:

1. RAKYAT MALAYSIA BANTAH CUKAI GST. CUKAI GST MEMISKINKAN RAKYAT !
Di samping itu, tuntutan-tuntutan lain kaum pekerja ialah:

2. Kekalkan Cukai Korporat di tahap 27%. Pengurangan cukai ini akan menyebabkan pengalihan beban cukai kepada rakyat biasa melalui Cukai GST

3. Gubal Akta Gaji Minima untuk semua pekerja dan mansuhkan polisi gaji murah

Wujudkan Tabung Pembuangan Kerja Dengan Segera - Bantuan terus kepada pekerja yang kehilangan kerja. Kerajaan harus memperuntukkan RM 0.5 billion untuk mulakan tabung ini dan gunakannya untuk membantu mereka yang dibuang sehingga dapat kerja.

5. Cuti Bersalin 90 hari untuk pekerja wanita.

6. Menandatangani Konvensyen ILO berkenaan Pekerja Rumah dan juga instrumen antarabangsa yang berkaitan dengan perlindungan dan kebajikan pekerja.

7. Pengiktirafan Kesatuan Sekerja secara automatik dan pemansuhan undang-undang yang mendiskriminasi pekerja dan sebarang undang-undang baru bermotif memudahkan pembuangan pekerja oleh majikan.
8. Pastikan tempat kerja bebas daripada diskriminasi terhadap pekerja wanita. Gubal undang-undang Anti Gangguan Seksual.

9. Hak saksama kepada pekerja migran dan Pelarian dan perlindungan dari dianiyai oleh pihak Majikan, PDRM, RELA dan Imigresen.

10. Kementerian Kewangan harus mengadakan perbincangan dengan bank-bank untuk menangguhkan dan mengurangkan bayaran bulanan pinjaman perumahan warga pekerja berpendapatan rendah .

11. Sediakan atau Laksanakan Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli/dimiliki, lokasi strategik dan selesa untuk golongan yang berpendapatan rendah.

12. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air dan hospital dan hentikan Skim Pembayaran Penuh Pesakit (Full Paying Patient) di hospital kerajaan dengan segera.

13. Laksanakan Polisi ekonomi yang tidak mengira kaum dan jantina tetapi berlandaskan keperluan. Menuntut suatu model pembangunan yang saksama, yang memberi kepentingan kepada rakyat setempat di mana segala rancangan pembangunan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh semua.

14. Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asli di Malaysia. Rancangan pembangunan tanah Orang Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asli.

15. Mansuhkan segala undang-undang yang menindas dan mendiskriminasi para pekerja, antaranya ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

16. Menuntut suatu sistem kerajaan yang benar-benar telus, bersih, kredible dan bebas dari segala bentuk rasuah, kronisme dan penyelewengan.

Ditandatangani bersama
1. Jaringan Rakyat Tertindas ( JERIT)
2. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
3. Persatuan Sahabat Wanita
4. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
5. Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
6. Alaigal
7. Community Development Centre ( CDC)
8. Civil Society Committee of LLG Cultural Development Centre
9. Persatuan Penduduk Taman Muhibbah
10. Penggerak Belia Zon 23 MPSJ
11. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section
12. Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+).
13. Lawyers for Liberty
14. PERSAHABATAN SEMPARUTHI, JOHOR
15. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
16. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor ( Empower)
17. Centre for Orang Asli Concern ( COAC)
18. Pusat Komas
19. PERSATUAN MASYARAKAT SELANGOR & WILAYAH PERSEKUTUAN (PERMAS)
20. Centre for Independent Journalism (CIJ)
21. Migrant Care
22. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
23. Health Equity Initiatives (HEI)
24. Women Aid Organisation (WAO)
25. Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN)
26.Student Progressive Front Universiti Utara Malaysia (SPFUUM)
27.Student Progressive Front Universiti Sains Malaysia (SPFUSM)
28.Student Progressive Front New Era Collage (SPFNEC)
29.Gerakan Maju Mahaisswa Universiti Putra Malaysia (GMMUPM)
30.Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Sains Malaysia (PBTUSM)
31.Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI)
32.Student Reserved Unit (S.E.R.U)
33. Bahagian Pemuda Persatuan Murid-murid Tua Sek. Serdang Bharu
34. All Women's Action Society (AWAM)
35. People Service Organisation (PSO)
36. Malaysian Trade Union Congress (MTUC)
37. Sisters In Islam (SIS)
38. Kesatuan Gupply Plastic
39. Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
40. Food Not Bombs (FNB)
41 Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia(GAMIS)
42. Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (UMANY)
43. SUARAM
44. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
45. Community Action Network


*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang -MR

1 Mei 2010

BERSIH Perlu Dihidupkan Semula

Calon Parti Keadilan Rakyat pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim menyeru badan-badan bukan kerajaan atau NGO seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menghidupkan kembali gerakan memulihkan sistem pilihanraya tanahair.

Mengulas apa yang berlaku pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, Zaid berkata, rakyat Malaysia tidak harus membiarkan senario seperti pilihanraya kecil Hulu Selangor berulang kembali.

“Kita harus mempunyai pilihanraya kecil yang bebas. Saya menyeru badan-badan bukan kerajaan, NGO seperti BERSIH untuk menghidupkan semula kempen-kempen supaya Suruhanjaya Pilihan Raya dan undang pilihanraya diaplikasikan di negara ini sama dengan negara lain" ujar Zaid.

Pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, 25 April lalu, kerajaan UMNO telah menggunakan segala taktik yang ada termasuk memberi sogokan RM 50 ribu kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya, mendirikan sebuah sekolah Cina bernilai RM 3 juta dan banyak lagi untuk membeli undi penduduk.

Mengulas kenyataan Zaid, Presiden TERAS Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut serta dalam perhimpunan BERSIH pada 10 November tahun lalu berkata, seruan dari mantan Menteri Undang-undang itu mempunyai asas yang begitu kuat.

“Saya kira pengalaman di Hulu Selangor ini sesuatu yang membuktikan tidak ada perubahan pun yang berlaku seperti yang dijanjikan oleh BN. Mereka masih lagi mengamalkan perkara yang nampaknya sama. Menggunakan satu pendekatan yang mencemar demokrasi” ujar Azmi.

“Jadi seharusnya memang rakyat perlu bangkit untuk menyatakan bahawa kita tidak boleh bertoleransi lagi dengan amalan yang dibuat begini. Jadi saya kira ada relevannya supaya rakyat sekali lagi menyatakan pendiriannya melalui apa cara sekalipun seperti BERSIH tetapi mesti ada sesuatu yang dilakukan” tambah beliau lagi. -TVS

Tuduhan Rasuah Agenda BN Jatuhkan Kerajaan PR Di Perak

Barisan Nasional (BN) didakwa mempunyai agenda terselindung untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Perak dengan mensabitkan 16 pertuduhan rasuah ke atas ahli Exco Dewan Undangan Negeri (ADUN), Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Ironinya dua bekas exco serta tiga individu lain yang terlibat dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh 23 April lalu tanpa dipanggil bagi membela diri.

Pembebasan mereka jelas ekoran pendakwaan gagal membuktikan kes ‘prima facie’ dan mahkamah mengarahkan mereka dibebaskan serta merta.

Menurut Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Khoo Ham, peguam bela Abdul Roni Rahman yang mewakili kedua-dua exco terbabit mengaku bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mensabitkan anak guamnya.

"Mengikut kenyataan peguam bela, Abdul Roni beliau mendedahkan kenyataan anak guamnya (Osman Jailu dan Jamaluddin) mengakui bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mengenakan mereka.

"Sedangkan pertuduhan dikenakan ke atas mereka tidak berasas sama sekali," kata Ngeh yang juga Adun Sitiawan ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Ngeh mendakwa pertuduhan rasuah terhadap mereka berdua hanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semata-mata.

Strategi jatuhkan Pakatan

Beliau berkata, "saya bersetuju dengan Abdul Roni, BN cuba merangka strategi untuk jatuhkan Pakatan dengan dakwaan ke atas bekas exco terbabit.

"Malah menyalah gunakan kuasa dengan menggunakan institusi mahkamah dan kehakiman dengan membuat pertuduhan yang tiada asas. Mereka melakukan sedemikian hanya untuk menjatuhkan Pakatan," kata beliau lagi.

Ngeh berkata tuduhan ke atas bekas exco terbabit berunsurkan ‘tuduhan politik’ kerana tiada asas pendakwaan untuk disabitkan.

Maka beliau menggesa agar Peguam Negara lebih meneliti ‘asas pertuduhan’ agar tidak mengheret individu yang tidak bersalah dalam hal tersebut.

"Pada hemat saya, jika mereka bersalah atas tuduhan rasuah itu, maka perlu bukti kukuh untuk sabitkan mereka. Semua asas pertuduhan perlu dibuktikan," jelas Ngeh.

"Maka sebagai Peguam Negara beliau perlu meneliti asas pertuduhan. Jika ada asas maka boleh melakukan pendakwaan di mahkamah.

Namun dalam kes ini katanya, tiada asas pertuduhan tetapi lebih kepada ‘tuduhan politik’ semata-mata.

"Situasi ini amat bahaya kerana individu yang dituduh didakwa di mahkamah sedangkan mereka tidak bersalah," katanya. -FMT

Kes Tembak Remaja: Polis Reka Cerita?

Khalid Samad: Keterangan Saksi Kedua Sokong Saksi Pertama

Keterangan saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, mengesahkan jalan cerita saksi pertama berhubung kematian tragis Aminulrasid Amzah yang maut ditembak polis, 27 April lalu.

TV Selangor difahamkan, Zafrullah, yang mendiami salah sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian, antara yang terawal tiba di lokasi kejadian dimana allahyarham ditembak mati sejurus selepas kereta mangsa terbabas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini mengatakan anggota terbabit melihat mangsa berusia 14 tahun ini sebagai satu ancaman serius lalu bertindak mempertahankan dirinya dari dilanggar mangsa.

Menurut keterangan polis, kereta mangsa terbabas selepas terbabit dalam aksi kejar-mengejar, dan Allahyarham cuba mengundurkan kereta dan melanggar kereta peronda yang menyekat laluan mangsa.

Keterangan saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, bagaimanapun menyanggah kesahihan keterangan polis ini.

“Dia telah turun untuk melihat selepas kes tembak-menembak di mana Aminulrasyid telah mati, kereta itu telah terbabas dan melanggar tembok. Tetapi apabila dia menceritakan kepada saya apa yang dia lihat dan apa yang dia saksikan, saya telah meminta dia membuat laporan polis.

“Kerana maklumat yang terpenting dalam penyaksian dia ialah dia mengesahkan jalan cerita saksi yang pertama iaitu kereta itu terbabas dan melanggar tembok dan tidak ada-ada mana ketika aruah telah cuba untuk mengundurkankan kereta dan hendak langgarkan kereta peronda,” katanya.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin merupakan saksi kedua yang tampil bagi memberi keterangan kepada pihak polis pada 29 April 2010. Keterangannya diambil bermula jam 10.27 malam semalam sehingga jam 2 pagi.

Saksi kedua ini meluru ke tingkap yang terletak di tingkat dua rumahnya lalu menyaksikan enam buah kereta peronda mengepung kereta mangsa, yang telah terbabas ke dinding rumah jiran. Zafrullah turut menyaksikan saksi pertama cuba menyelamatkan diri dari gerombolan anggota polis ketika itu.

Curiga dengan apa yang disaksikannya, Zafrullah bergegas menghampiri lokasi kejadian dan ternampak Allahyarham Aminulrasid tersembam di tempat duduk pemandu.

“Tidak ada mana-mana ketika bila polis itu mengeluarkan parang daripada kereta kerana beliau berada di situ, maka pertuduhan yang menceritakan bahawa ada senjata dalam kereta tidak ada hujah yang menyokong kerana saksi yang pertama rakan Aminulrasyid dan saksi yang kedua yang berada di situ telah menyatakan pihak polis menyuluh dalam kereta tidak ada mengeluarkan parang atau apa-apa senjata daripada kereta berkenaan,” katanya. -TVS

Ulasan GB

Penembak remaja tersebut sepatutnya boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 302 iaitu bunuh yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Polis tidak sepatutnya mempertahankan anggotanya yang diketahui tidak menjalankan tugas dan kerjanya secara profesional dan efektif.


Apa Agenda Kickdefella?

Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz hari ini telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya menerima lebih RM4 juta.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Syed Azidi tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 6 petang.

Baru-baru ini Syed Azidi mendakwa menerima peruntukan lebih RM4 juta sepanjang tiga tahun bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi .

Syed Azidi juga mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan. — Bernama

Ulasan GB

1) Kickdefella diberi tanggungjawab "membelanjakan" RM4 juta untuk memburukkan Pak Lah? Arahan siapa dan dari mana wang itu diperolehi?

2) Tiada siapa yang percaya bahawa

a) TGNA terlibat dengan agenda memburukkan Pak Lah semata-mata nak kekalkan kuasa di Kelantan. Apa kena mengena Pak Lah dengan kerajaan Kelantan? Tidak logik samasekali.

b) Siapa Kickdefella sehingga boleh diberikan tanggungjwab sampai pegang RM4 juta oleh sebuah kerajaan negeri? Sekali lagi tidak logik.

3) Saya rasa banyak lagi perkara yang bermenafaat yang kerajaan Kelantan boleh lakukan jika benar ada RM4 juta.

4) Tiada di dalam agenda PAS atau mana-mana kerajaan pimpinan PAS menyediakan peruntukan sekian banyak untuk melakukan gerak saraf bodoh seumpama itu kecuali ianya dilakukan UMNO dengan arahan APCO.

5) Apa tujuan Kickdefella menaburkan fitnah sedemikian terhadap kerajaan PAS Kelantan kalau bukan penyakit di hati untuk membalas dendam kerana telah dipecat dari jawatannya?

6) SPRM, pantas nampaknya di dalam hal-hal yang melibatkan kerajaan Kelantan. Tetapi hal Khir Toyo yang telah sekian lama terbongkar kenapa senyap?