24 Mei 2009

Nizar Zambry : Sokongan Kepada Nizar Semakin Meningkat Pasca Keputusan Mahkamah Rayuan

Bukannya mahu merendah-rendahkan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang memihak Dr Zamry Abdul Kadir. Apatah lagi untuk memperlekehkan penghakiman yang membatalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abd Aziz Abd Rahim yang mengesahkan kedudukan asal Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Namun yang lebih penting, apakah persepsi rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa oleh BN, yang didalangi Najib Razak, bagi menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat, awal Februari lalu, dapat diubah?

Mampukah keputusan panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut, iaitu Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop, dapat meredakan ketegangan politik yang semakin membahang di sana, terutama selepas Dun Perak bersidang secara tidak sah sehingga Speaker V Sivakumar dicekik, dihumban keluar, dikurung dalam stor dan "dilucutkan jawatan"?

Bukankah sejak awal beberapa penganalisis dan tokoh akademik terkemuka menyifatkan krisis di Perak tidak mampu diselesaikan melalui proses undang-undang, malah ia menyebabkan martabat mahkamah semakin dipersenda? Situasi rumit dan sulit menjadi makin berserabut.

Tanggapan rakyat bahawa BN telah melakukan aksi tidak bertamadun, mencemar institusi demokrasi dan secara gopoh-gapah serta terburu-buru meragut kuasa daripada Pakatan Rakyat terus tertanam kukuh.

Sementara Zamry dianggap wakil mahkamah, selain diperolok-olokkan melalui jenaka SMS tentang "lelongan Zamry, bukan Camry", Nizar pula menempah populariti lebih tinggi di kalangan rakyat. Hanya mengharapkan dokongan pasukan keselamatan dan mahkamah bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar boleh mengundang padah dari segi demokrasi.

Rakyat yang kian celik politik tentunya tidak mudah untuk dipaksa dan disumbat dengan keputusan mahkamah yang dilihat umum sebagai tidak mencerminkan keadilan dan kesaksamaan.

" kata seorang profesor sains politik. ""Biar kalah hari ini, tapi pada pilihan raya umum akan datang, yang tidak dapat tidak mesti diadakan juga nanti, Nizar dan Pakatan Rakyat, insya-Allah beroleh kejayaan lebih gemilang,Saya yakin, persepsi rakyat tidak akan berubah dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mereka masih beranggapan tindakan BN merampas kuasa sebagai tidak sah dan salah menurut peraturan dan undang-undang."

"Kenapa mahkamah seperti histeria lagaknya, nampak terlalu obses dengan kes ini, walhal bagi saya, inti kepada krisis politik di Perak adalah bermula dengan tuduhan rasuah kepada dua Adun KeADILan ketika itu, yang kini melompat jadi Adun bebas yang menyokong kuat BN? Bagaimana kedudukan kes berkenaan, apa sudah jadi? Orang ramai juga nak tahu di mana perginya penyiasat bebas P Balasubramaniam dalam kes liwat terbaru Anwar Ibrahim?" ujar profesor yang tidak mahu disebut namanya itu.

Selagi BN terus berdegil untuk tidak menasihatkan Sultan Perak membubarkan Dun, datanglah apa juga penghakiman pun, ia pasti tidak berupaya untuk merongkai konflik yang bertambah parah ini. Hakikat ini bukan sahaja diakui pimpinan Pakatan Rakyat malah dituntut oleh Suhakam dan juga pemimpin komponen BN sendiri, selain tokoh-tokoh ternama politik, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Semakin BN menolak cadangan pembubaran Dun, maka makin tergambar jelas bahawa mereka begitu takut dan gentar untuk berdepan suara rakyat bagi mendapat mandat baru. Mana mungkin sebuah parti politik yang mengaku gagah-perkasa tiba-tiba menikus dan takut untuk mendapat mandat baru daripada rakyat?

Walaupun 3 hakim memihak BN, Najib pasti akan kalah dalam mahkamah rakyat, dan inilah yang paling digeruninya. Hasilnya, integriti dan kewibawaan badan kehakiman kita akan terus dipersoalkan, manakala keyakinan dunia terhadap proses keadilan di Malaysia terus merudum. -Ahmad Lutfi Othman

Nizar Zambry : UMNO BN Tidak Akan Bubarkan DUN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan dibubarkan pada masa terdekat kerana Barisan Nasional (BN) takut berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.

Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata, mustahil BN memilih jalan penyelesaian dengan membubarkan DUN Perak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka sendiri berasa tidak yakin untuk menang.

“Saya percaya majoriti pemimpin BN mempunyai pendapat sama iaitu tiada jalan keluar dalam menyelesaikan isu Perak selain pembubaran DUN.

“Namun, Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memilih jalan tidak menguntungkan parti kerana gejala simptom takut menghadapi pilihan raya dan rakyat masih menghantui BN,” katanya semalam.

Menurutnya, keengganan BN meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti jelas menunjukkan mereka 'trauma' dengan kekalahan.

“Mereka telah mengambil jalan mengaku kalah sebelum bertanding, inikan pula menghadapi pilihan raya di seluruh Perak. Tetapi jika BN inginkan masalah kemelut ini selesai, inilah jalan paling sesuai," katanya.

Menurutnya, tanpa pembubaran DUN, kemelut Perak tidak akan berjaya diselesaikan jika tidak mengembalikan kuasa kepada rakyat kerana penyelesaian melalui mahkamah dilihat semakin menambahkan lagi konflik.

Nizar Zambry : Apabila Hakim Bukan Lagi Yang Arif

Benarkah tidak ada rampasan kuasa di Perak? UMNO menafikan adanya rampasan kuasa, kerana menurut para pemimpin UMNO semuanya dilakukan menurut prinsip-prinsip demokrasi dan mengikut undang-undang. Tetapi rakyat nampaknya tetap menolak ketetapan UMNO dan sekutunya, kerana menurut rakyat terdapat unsur samseng dalam menentukan prinsip demokrasi tadi.

Tiga orang ahli DUN yang berpaling tadah kerana sebab-sebab peribadi, dengan gesaan dan sokongan dan “paksaan” UMNO, telah berjaya menimbulkan kelam-kabut di Perak dengan sokongan dan dukungan UMNO sepenuhnya.

Yang paling menarik dalam kes ini ialah undang-undang dan mahkamah yang melaksanakan undang-undang menyerlahkan wajahnya yang paling murni dan benar, yang sungguh menggembirakan UMNO yang sejak berkuasa mulai Ogos 1957 telah membuat undang-undang baru dan mengubah undang-undang yang ada untuk memastikan wajah UMNO selalu ceria dengan senyuman setiap kali keputusan dibuat oleh para hakim di mahkamah mereka.

Dalam kes Perak, rampasan kuasa (atau peralihan kuasa dalam bahasa yang lunak, yang tidak berjaya menutup hakikat maksud rampasan kuasa itu) sudah jelas dibenarkan asal saja sesuai dengan undang-undang dan Perlembagaan.

Banyak kes yang berlaku di Malaysia, dan dalam menentukan kes Perak, kes-kes rampasan kuasa itu dijadikan panduan dalam membuat keputusan, seperti yang jelas dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memakai kes-kes itu.

Jadi dari segi undang-undang, tidak ada rampasan kuasa seperti tidak adanya penipuan dalam bentuk apa sekali pun, walaupun perbuatan yang dibenarkan itu seratus peratus adalah penipuan yang terang-terangan. Jika anda faham hujah ini, anda akan mengerti mengapa Rasulullah SAW menegaskan, sekiranya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya tangannya dipotong.

Perkara ini disebutkan di sini kerana dalam Islam keadilan tidak memilih pihak tertentu yang boleh dikecualikan; seperti yang sering berlaku dalam mahkamah. Dalam kes Perak, sudah jelas hakim mahkamah tinggi tidak tahu membaca undang-undang dan agak keliru dalam memahami situasi politik sebenar. Itulah keputusan tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, yang melontarkan dengan angkuh keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan yang cukup memalukan, iaitu hakimnya telah melakukan kesalahan. Bolehkah hakim yang bersalah dihukum? Tidak boleh.

Yang terjadi ialah pihak yang menuntut keadilan akan kehilangan keadilan yang terawang-awang pada peringkat awal, kemudian “keadilan” itu berpindah ke tangan lain (yang berlengas dengan tahi ayam busuk ketika menyerang raban DUN Perak mencuri ayam yang boleh dicuri) dalam sekelip mata. Jika hal ini terjadi dalam sebuah drama, atau melodrama sekali pun, tentu penonton akan menjeritkan “Mana boleh begitu, tak masuk akal!” Tetapi logik drama tidak sama dengan logik undang-undang.

Oleh itu seorang hakim yang tidak arif (meskipun digelar Yang Arif) seperti dalam kes Perak ini boleh dijadikan arif dengan mengetepikan keputusannya oleh sekumpulan hakikm lain yang lebih arif dalam erti yahng lebih luas (yakni tidak semestinya dalam undang-undang saja). Oleh itu drama dalam undang-undang jauh lebih menarik daripada drama yang dipentaskan secara olok-olok di Istana Budaya sebagai sebuah cerita. Itulah sebabnya orang tua-tua kita bercerita dalam dongeng mereka tentang Hakim Beruk yang bijaksana itu. Cerita itu tetap memikat kita semua kerana peristiwa itu diulang setiap masa sepanjang zaman.

Yang boleh dilakukan rakyat hanya tertawa melihat kebijaksanaan Hakim Beruk menipu dua orang petani yang menyerahkan pisang besarnya untuk dihakimi oleh beruk. Keputusan beruk untuk memakan pisang itu semuanya adalah bijak, kerana itulah makanannya. Seperti ular menelan katak dalam lagu “Bangau Oh Bangau”. Itulah hakikat undang-undang dan keadilan yang disahkan sama ada dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ke mana pun kita tarik makna keadilan itu, rakyatlah sebenarnya yang menentukan keadilan untuk mereka, kerana merekalah yang memilih pembuat undang-undang. Oleh itu janganlah salahkan pemimpin atau kakitangan kerajaan dan sesiapa sekali pun, termasuk para hakim yang arif, jika mereka berasa tertipu dalam sandiwara Hakim Beruk yang diceritakan oleh datuk nenek mereka. [23/5/2009] -Mohd Affandi Hassan


UMNO Parti Bertaraf Parti Bebas - TG Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.

"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.

Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.

"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.

"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.

Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.

"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.

"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.

"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.

"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. - mks._

Penanti : Kemenangan Pakatan Rakyat Cerah Bila UMNO Takut Bertanding

Sekiranya bilangan penyokong menjadi kayu ukur undi yang bakal diraih dalam pilihan raya kecil N12 Penanti, Parti Keadilan Rakyat yakin kemenangan dipihaknya.

Sejak seawal jam 7.00 pagi lagi, kira-kira seribu penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berhimpun di jawatankuasa daerah mengundi (JDM) Mengkuang, yang terletak beberapa meter dari Institut Kemahiran Belia Negara Berapit.

IKBN kali ini dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sebagai pusat penamaan calon dan pusat pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti.

Calon PKR, Dr Mansor Othman yang berpakaian baju Melayu warna biru muda bertolak dari Yayasan Aman di Penanti sekitar jam 7.00 pagi dengan diiringi Naib Presiden, Azmin Ali dan lima buah kereta.

Perjalanan menuju ke JDM Mengkuang berjalan lancar dengan kampong-kampong disepanjang destinasi ke IKBN dihiasi bendera biru, merah dan putih serta kain rentang dan poster menyatakan sokongan kepada Dr Mansor.

Ketua Umum Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim tiba tidak lama kemudian diikuti Bendahari Pas Dr Hatta Ramli dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Sekitar jam 8.30 Dr Mansor Othman diiringi ke IKBN disambut oleh kira-kira 300 penyokong yang sudah pun berkumpul di hadapan IKBN menyambut kedatangan calon PKR.

Sehingga pukul 9.00 pagi, jumlah penyokong PKR melonjak kepada 2,000 orang dengan masing-masing membawa bendera PKR, PAS atau DAP.

Tidak kurang juga yang menggantung baju hitam di atas kayu tanda pekabungan ke atas kematian demokrasi di Perak.

Kira-kira 500 polis dari pelbagai unit berkawal di sekeliling IKBN sementara sebuah helikopter dengan ketumbukan kecil Light Strike Force diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Laungan ‘bubar DUN Perak’ dan ‘hidup Nizar’ memecah keheningan pagi menandakan ketibaan Menteri Besar Nizar Jamaluddin.

Tidak lama kemudian, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng danKetua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut bersama-sama 1,000 penyokong berarak dari Pejabat Operasi Utama DAP di Berapit.

Sekitar 10 pagi seramai kira-kira 4,000 penyokong Pakatan Rakyat telah membanjiri kawasan IKBN. Kemeriahan suasana agak hambar tanpa pesaing utama, Barisan Nasional.

Calon bebas Aminah Abdullah tiba kira-kira pukul 9.02 pagi bersama 10 ahli keluarga beliau dan 12 minit kemudian, Mohd Saberi Othman pula tiba dengan berpakaian merah garang.

Kamarul Ramizu Idris, bekas calon bebas pilihan raya Parlimen Bukit Gantang tiba seminit kemudian bersama pembantu beliau.

Proses penamaan bermula pukul 9.00 pagi dan tepat 12 tengahari, pegawai SPR Roslan Yahaya mengumumkan Mohd Saberi tidak layak bertanding atas alasan teknikal. SPR kemudiannya mengumumkan pilihan raya kecil Penanti akan menyaksikan perlawanan 4 penjuru.

Jurucakap pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel), Jamaluddin Abdullah berkata Mafrel berpuas hati tiada sebarang kejadian buruk berlaku hari ini.










23 Mei 2009

Nizar Zambry : Fungsi Istana Tegakkan Keadilan Bukan Ambil Alih Hak Rakyat Memilih Kerajaan

Keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi lansung tidak memeranjatkan. Demikian komen spontan Profesor Dr Abdul Aziz Bari terhadap keputusan mahkamah yang menghukumkan Dato Seri Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penghakiman 5 minit itu sungguh memeranjatkan banyak kalangan. "Buat masa ini saya fikir kita belum perlu untuk membuat komen yang menyentuh aspek teknikal penghakiman Datuk Raus Sharif kerana beliau sendiri pun belum memberi penghakiman bertulis," ujar Aziz lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, keputusan itu tidak terlalu memeranjatkan kerana sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat.

Aziz berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat. Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Dato Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Dato Seri Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Dato Seri Nizar Jamaluddin di Perak (2008).


Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1).

"Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan," tegasnya lagi.

Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Dato Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan.

Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa anih mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya.

"Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi", ujarnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada.

Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. "Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan".

Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, "Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya".

Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya.

Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. "Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya," kata Aziz.

Sebelum ini Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu membayangkan seolah-olah sultan mempunyai kuasa yang lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh perlembagaan. Katanya lagi, mahkamah telah meletakkan beban yang cukup berat untuk dipikul oleh Raja-Raja.

Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. "Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan".

Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak. "Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif," ujarnya. -sanggahtoksago


Nizar Zambry : Kemelut Belum Berakhir, Nizar Bakal Kemuka Rayuan

Episod siapa Menteri Perak yang sah nampak gayanya masih belum berakhir! Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Keputusan yang diumumkan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar.

Peguam yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Selepas keputusan diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang semalam, Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya supaya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin," katanya.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan perkara itu dalam masa seminggu.

Panel tiga hakim itu mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Md Raus berkata, Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu katanya, tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain. - MSTAR

Surat Husam Kepada Najib Altantuya

Berikut disiarkan surat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Razak seputar krisis politik Perak.

Ia ditulis sebagai satu ulasn terhadap kenyataan Najib yang tersiar dengan tajuk Perak Sultan Should Not Be Blamed: Najib, satu laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA yang juga dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini di bawah tajuk: Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib.

YAB Dato’ Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya
YAB Dato’ Seri,

UMNO Lantik Menteri Besar Perak Sebelum MB Nizar Digugurkan Secara Yang Sah

Saya telah membaca kenyataan panjang lebar YAB Dato’ Seri di bawah tajuk: Perak Sultan Should Not Be Blamed: Najib, laporan yang dikeluarkan BERNAMA juga dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini di bawah tajuk: Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib.

Penjelasan YAB Dato’ Seri ternyata menunjukkan YAB Dato’ Seri mengalami kekeliruan yang amat asas dalam isu krisis di Negeri Perak sekarang.

Bukan Sultan Perak yang dipersalahkan oleh orang ramai. UMNO dan secara khususnya, YAB Dato’ Seri lah yang dipersalahkan kerana telah mengesyorkan perlantikan Zambry Abdul Kadir untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada waktu Menteri Besar yang dilantik secara sah belum lagi digugurkan sebagai Menteri Besar!

Dari situ, timbul istilah dua Menteri Besar! Itulah yang dikatakan rampasan kuasa membelakangkan undang-undang khususnya undang-undang tubuh Negeri Perak yang menyatakan dengan jelas Menteri Besar yang telah dilantik hanya boleh gugur dengan empat cara iaitu;

a. Meletakkan jawatan.
b. Meninggal dunia.
c. Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
d. Melalui undi tidak percaya oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Di dalam kes di Perak, keempat-empat perkara di atas tidak berlaku. Nizar masih lagi Menteri Besar Perak pada waktu Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Inilah asas yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi ketika mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah sepanjang masa material, baru-baru ini.

Atas prinsip yang sama, penaung YAB Dato’ Seri, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa UMNO gopoh dalam pelantikan Zambry.

Pemimpin UMNO yang lain, YBM Tengku Razaleigh Hamzah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa perlantikan itu tidak sah kerana membelakangkan prosedur undang-undang berkaitan.

Betul Barisan Nasional melalui tiga wakil bebas yang bersama BN mempunyai lebih majoriti. Tetapi BN tidak boleh menggunakan kelebihan majoriti mudah ini sama seperti keadaan Menteri Besar belum terlantik selepas pilihanraya baru diadakan. Pada waktu itu, Menteri Besar belum ada. Sekarang, Menteri Besar sudah ada.

Undang-undang mengkehendaki Menteri Besar yang sah dihilangkan jawatannya melalui undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri secara rasmi dan bukan sekadar membilang berapa bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat pengakuan bersama BN di luar Dewan.

Ini pernah berlaku di Kelantan dalam peristiwa turn about about turn pada tahun 1968 di mana UMNO telah menculik dan mengugut empat orang ADUN PAS dan mereka telah membuat pengakuan menyokong UMNO/Perikatan untuk menggulingkan kerajaan PAS pada waktu itu, di luar dewan.

Oleh kerana Speaker yang dilantik oleh PAS juga telah berpaling tadah pada UMNO/Perikatan, beliau memanggil satu sidang Dewan Negeri Kelantan untuk tujuan itu. Malangnya, bila usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dibawa, ADUN yang tadinya mengaku akan menyokong usul itu telah berpaling tadah sekali lagi dan usul tidak percaya itu dapat dipatahkan.

Itulah proses yang digunakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada waktu itu. Pegawai-pegawai YAB Dato’ Seri boleh menyemak rekod ini untuk tujuan perbandingan. Proses yang sama mesti digunakan oleh UMNO/BN di Perak tetapi itu tidak dilakukan.

Dewan Undangan Negeri Perak di bawah YB Sivakumar selaku Speaker, tidak menggantung Sultan Perak atau mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa kecaman kepada Tuanku Sultan Perak kerana mereka tahu Tuanku tidak bersalah.

Yang bersalah ialah ADUN-ADUN berkenaan yang telah mengangkat nama mereka kepada Tuanku untuk angkat sumpah ahli-ahli Exco Negeri pada hal mereka semua tahu ia bertentangan dengan kehendak undang-undang tubuh Negeri Perak. Mereka digantung kerana melanggar undang-undang tubuh Negeri Perak, bukan kerana Pakatan Rakyat mahu mengurangkan majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri.

Zambry pula bersalah kerana bersetuju untuk mengangkat sumpah sedangkan jawatan Menteri Besar belum dikosongkan.

Jika sekiranya UMNO/BN menggunakan proses yang dikehendaki oleh undang-undang dan satu usul tidak percaya telah diluluskan ke atas Nizar, mengikut undang-undang, Nizar boleh mengadap Sultan Perak untuk mendapat perkenan membubarkan DUN Perak atas prinsip mengembalikan hak menentukan kerajaan mana yang rakyat kehendaki untuk memerintah Perak melalui pilihanraya semula.

Ini kerana, rakyat telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Perak. Tiga ADUN yang melompat bertindak demikian bertentangan dengan pilihan rakyat dan ia adalah ambil alih kuasa menerusi pintu belakang. Sebab itu, penyelesaian terbaik ialah memulangkan semula kuasa itu kepada rakyat.

Pemimpin komponen BN sendiri semakin ramai yang menyuarakan hal ini secara terbuka.

Adalah amat malang bagi negara ini mempunyai Perdana Menteri yang tidak memahami prinsip undang-undang dalam isu ini dan juga prinsip-prinsip demokrasi. Apa lagi untuk menghormatinya.

Negara akan berhadapan dengan lebih banyak krisis jika sikap ini berterusan.

Segala-galanya bermula dari ketamakan untuk mendapat kuasa memerintah melalui jalan belakang. Jika ia berpunca dari ketamakan politik, penawarnya ialah politik juga iaitu UMNO dan BN bersama PR mengadap Sultan Perak untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Tidak ada rompakan ala lanun Somalia tetapi kepatuhan kepada undang-undang dan hasrat rakyat. Ini selari dengan kehendak Islam yang memberikan hak kepada yang berhak dan Islam sama sekali tidak mengizinkan pencabulan dan pemerkosaan hak rakyat.

Sekian Terima Kasih


Husam Musa
Naib Presiden PAS
21 Jumadal Ula 1430H
Bersamaan 16 Mei 2009


Nizar vs Zambry : Keputusan Hakim Yang Bakal Menghancurkan UMNO BN

Umno dan Barisan Nasional mungkin merasakan mereka telah mencapai kemenangan moral dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada mereka semalam namun dalam masa yang sama satu prececdent yang memakan diri mereka telah diwujudkan secara tidak langsung.

Kerakusan Umno dan BN untuk terus memegang kuasa yang tidak diiktiraf rakyat Perak telah membuat mereka alpa bahawa natijah daripada kemenangan 3-0 mereka sebenarnya bermakna Yang Dipertuan Agong kini boleh melantik serang Perdana Menteri baru menggantikan Najib Razak sekiranya baginda memperolehi bukti Najib tidak lagi menikmati sokongan padu Ahli-Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Berikut ialah artikel Penasihat Undang-Undang PAS, Mohamad Hanipa Maidin yang melakarkan senario pada satu masa kelak apabila precedent ini akan digunapakai.


Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung (YDPA) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri. Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA. YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif (Y.A) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa:

a. Seorang Menteri Besar (di peringkat Negeri) atau Perdana Menteri (PM) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya (votes of no confidence).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan (1966) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa. Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya c ara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak (Absolute Monarchy). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah, bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan (legitimacy). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah, Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan, maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama. Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam. Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari. Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut.

Suatu yang amat mengharukan kami (pasukan peguam Nizar) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr.Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

Nizar vs Zambry : Sudahkah Najib Bersedia Untuk Menerima Kejatuhan Dengan Cara Yang Serupa?

Posting saya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini.

Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran DUN Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini.

Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau DUN seperti yang difahami sebelum ini? Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?

Tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka yang dilihat wajar. Apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan.

Berbalik kepada Perak. 'Ramalan' saya seterusnya ialah, Majlis BN akan bersidang. Kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran.

Memang itu yang dihasratkan oleh PR tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak. Pembubaran, ya. Proses undang-undang yang adil, juga ya. - Husam Musa


Penanti : Pakatan Rakyat Lawan 3 Bebas

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang hanya melibatkan pertandingan empat penjuru apabila satu pencalonan ditolak.

Pencalonan Mohd. Saberi Othman, 49, seorang bekas pembantu Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan parlimennya di Kepala Batas ditolak, demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi. Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya mengumumkan status pencalonan pada pukul 11.50 pagi tadi.

SPR juga menerima enam bantahan. Roslan berkata, pencalonan Saberi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Beliau tidak mengulas lanjut manakala Saberi pula terus beredar dari kawasan penamaan calon tanpa memberikan sebarang komen.

Pengundian akan diadakan pada 31 Mei ini.

Setakat pukul 10 pagi tadi, lima orang ada menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk bertanding kali ini - pilihan raya kecil keenam selepas Mac 2008.

Terdahulu laporan Bernama menyebut, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah, 56, merupakan calon pertama menyerahkan kertas pencalonannya sejurus selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi.

Berbaju kurung putih dan bertudung merah jambu, pencalonan Aminah sebagai calon Bebas itu dicadangkan oleh Yaacob Ali dan disokong Jamaliah Hashim.

Selepas Aminah, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, menyerahkan kertas pencalonannya diikuti tiga lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Saberi; pengurus syarikat NaiKhan Ari Nai Keow, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong Hasan Othman manakala Mohd Saberi dicadangkan oleh Talib Hamid dan disokong Rohayati Akop.

NaiKhan Ari dan Kamarul Ramizu pula masing-masing dicadang oleh Boon Sisawang Nai Choy dan Norizan Abdul Razak manakala pencalonan mereka disokong oleh masing-masing Nah Lee Boon Yoo dan Nor Halimah Ahmad.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana kononnya pilihan raya itu hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak perlembagaan sebagai alasan untuk menutup kelemahan mereka kerana merasakan tgidak akan menang di Penanti.

Dalam pada itu, Kamarul Ramizu pernah bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu.

Bagi Aminah, Saberi dan Nai Khan Ari, pilihan raya kecil DUN Penanti ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya di negara ini.


Lintas Lansung Penanti - UMNO BN Mungkin Pasang Proxy Bebas

Seorang penyokong Mohd Saberi Othman beritahu beliau akan buat bantahan terhadap pencalonan Kamarul Ramizu kerana penyokong atau pencadangnya bukan orang tempatan seperti ditetapkan.

Wakil pemerhati PKR serahkan borang bantahan kepada SPR. Bantahan PKR minta SPR semak semula wakil Bebas, Nai-Khan Ari.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan sesi kemukakan borang penamaan calon ditutup. Lima orang termasuk Mansor dari Pakatan telah memfailkan borang masing-masing.

Setakat jam 9.31 pagi ini, calon PKR, Dr. Mansor dan empat calon Bebas sudah mengemukakan kertas pencalonan

Tidak kelihatan UMNO BN menampilkan diri untuk pilihanraya DUN Penanti.

Terdapat 4 orang calon Bebas dilaporkan telah memasuki Dewan Penamaan calon.

Calon Bebas, Aminah Abdullah tiba di pusat penamaan calon di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam bersama suami dan tiga anaknya sejak jam 7.40 pagi. Calon Parti Keadilan Rakytat (PKR), Mansor Othman tiba di pusat penamaan calon. Beliau masih menunggu kehadiran penyokong parti lain dari jarak 300 meter dari kawasan penamaan lima minit kemudian.


Pada 8.20 pagi calon Bebas, Nair Ari Khan tiba di pusat penamaan calon.

Pada 8.55 Mansor memasuki pekarangan IKBN diiringi Anwar dan pemimpin-pemimpin Pakatan termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin Ali, Tian Chua, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mohamad Sabu.

Calon Bebas, Mohd Saberi Othman tiba dan memasuki Dewan IKBN pada jam 9.10

akan dikemaskinikan selalu - sila bincangkan di Ruang Sembang sebalah kanan.

Penanti : Mengenali Calon Bebas Yang Ditaja UMNO BN

Kali ini izinkan saya memberikan komentar yang paling ringkas dan padat.

Barisan Nasional (BN) akan tetap bertanding pada PRK DUN Penanti. Ini sudah pasti walaupun pihak BN bermati-matian mengatakan sebaliknya. Oleh yang demikian, siapakah agaknya calon dari Barisan Nasional di PRK DUN Penanti?

Untuk memudahkan anda, disini saya sertakan beberapa petanda untuk mengenal pasti calon harapan Barisan Nasional di PRK DUN Penanti.

1. Calon bebas yang paling banyak mendapat liputan di dalam media cetak dan elektronik
2. Calon bebas yang paling banyak modal untuk membuat poster, kemeja T dan pelbagai peralatan kempen
3. Calon bebas yang paling ramai penyokong (dan membuat kempen secara meluas)

Dengan panduan serba ringkas yang saya berikan diatas, maka bolehlah anda mengenal pasti siapakah calon Barisan Nasional di PRK DUN Penanti. -

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS



Pesanan Untuk Najib, Patail Dan UMNO : Jangan Teruja Sangat

Seronok juga baca komen bloggers pro-PR mengenai keputusan Mahkamah Rayuan petang tadi. Banyak yang menulis berbaur antara rasa kecewa dan marah. Sesetengah pula cuba merawat rasa kecewa dengan menaruh harapan Zambry akan membubarkan DUN sedikit masa lagi.

Bagi blogger pro-BN pula pasti menulis dengan gaya teruja dengan kemenangan Zambry. Mungkin ketika menulis mereka lupa kepada pesanan Najib kepada PR ketika Nizar menang kes di Mahkamah Tinggi tempohari: JANGAN TERUJA SANGAT DENGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI!!

Lalu elok juga kepada penyokong BN diperingatkan kembali kata-kata Najib dua minggu lalu: BN, JANGAN TERUJA SANGAT DNGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN!!

Jangan marah, jangan kecewa dan jangan teruja kerana dunia belum kiamat. Proses perundangan kes DUN Perak masih panjang. Masih ada Mahkamah Persekutuan untuk memuktamadkan keputusan siapa MB Perak. Jadi mengapa marah, kecewa atau teruja?

Juga PRU ke-13 pun bukan lama lagi, tinggal tiga setengah tahun saja lagi jika ia diadakan genap 5 tahun selepas PRU ke-12. Tapi jika diadakan hanya dalam lingkungan 4 tahun seperti lazimnya, tempoh untuk PRU ke-13 tinggal kira-kira dua setengah tahun saja lagi. Tak lama lagi dah tuuu!! Pejam celik, pejam celik , PRU ke-13 tiba pula!

Dan jika PRU ke-13 diadakan, adakah anda berani meramaklkan keputusannya? Melihat kepada trend pengundi kini, terutama generasi muda, tidak sukar meramalkan keputusannya. Yang penting PR perlu meneruskan momentum sokongan, elakkan membuat kesilapan dan jangan berhenti untuk terus bekerja kuat.

Kepada rakyat Perak pula, jika Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang tidak menyebelahi cita rasa anda, masih ada tiga setengah tahun lagi untuk melempiaskan hutang lama! -pendikargunungkriang

Zambry Gila Kuasa, Tapi Penakut Untuk Hadapi Rakyat

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyifatkan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai orang yang gilakan kuasa kerana mahu menduduki kerusi Menteri Besar Perak tanpa memperdulikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Negeri Perak semasa Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lepas.

Naib Ketua DPPN Pk, Salman Saleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini juga menganggap Dr Zambry sebagai penakut untuk berdepan dengan rakyat kerana enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana desakan rakyat.

"Dengan disebabkan melompatnya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang mana 2 Adun disabitkan dengan pertuduhan rasuah, maka Kerajaan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada hari ini menggambarkan kepada seluruh dunia bahawa kerajaan yang telah dibina oleh Zambry adalah rapuh dan tidak bersih.

"Jika 2 Adun tersebut gugur kelayakan mereka sebagai ADUN kelak, kerajaan negeri Zambry akan dijatuhkan semula oleh rakyat," kata Salman.

DPPN Pk mencabar Barisan Nasional berdepan dengan rakyat sekiranya mereka berani dan tidak gilakan kuasa kerana hanya melalui pembubaran DUN Perak secepat mungkin rakyat mampu membina semula keharmonian dan kesejahteraan negeri Perak melalui sebuah kerajaan yang stabil dan bersih.

"Hanya dengan keputusan rakyat, kerajaan negeri yang akan dibina adalah benar-benar menjadi impian semua rakyat.

"DPPN Pk menegaskan setelah rakyat membuat pilihan mereka melalui pilihan raya semula, semua pihak mesti sama-sama membina semula kerajaan negeri ini," tegas beliau lagi.