30 Sep 2015

Pakatan Harapan: Di Sebalik Rundingan Meja Bulat

Keperluan tubuh Pakatan Harapan dengan segera – Khalid Samad

Ada yang bertanya, “Kenapa tergesa-gesa sangat dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH)?” Mereka hairan dengan keinginan untuk menubuhkan PH secepat mungkin dan dengan segera. Namun saya pula sebenarnya hairan dengan kehairanan mereka! Tidakkah sesuatu yang baik apabila ia hilang atau tercicir, maka semestinya kita akan berusaha supaya kita dapat kembali dan dengan seberapa segera?



Kesan pecahnya PR

Tidakkah mereka sedar berpecahnya PR menggugat kedudukan parti pembangkang dan mengurangkan keberkesanannya? Tanpa adanya satu gabungan parti pembangkang kukuh, yang bergerak sebagai satu, maka rakyat akan hilang keyakinan terhadap kemampuan pembangkang menggantikan BN. Itulah sebabnya BN bersusah-payah berusaha memecahkan PR dengan mengumpan PAS dengan isu hudud? Ia dilakukan atas sebab keberkesanan sebagai satu gabungan yang mantap sehingga BN merasa amat tercabar?

Sedangkan isu hudud ditentang Umno sekian lama dan tawaran untuk melaksananya mendatangkan risiko terhadap hubungan Umno dan BN itu sendiri! Namun mereka sanggup menghadapi risiko itu atas sebab ingin memecahkan PR!

Maka apabila PR berpecah, setiap parti bagaikan bergerak bersendirian tanpa penyelarasan yang rapat dan mantap. Penyelarasan dalam strategi bertindak tidak lagi dapat dilakukan dan begitu juga persoalan pendirian bersama terhadap isu semasa. Maka daripada keadaan bagaikan 3 orang mendayung sebuah sampan yang menjadi setiap orang mendayung seorang diri. Sudah pasti mendayung seorang diri tidak akan lebih efisien berbanding 3 orang mendayung satu sampan bersama dengan koordinasi yang mantap.

Oleh itu keperluan untuk membentuk kembali sebuah pakatan yang sanggup bersama atas asas seperti yang dipersetujui dulu adalah amat penting. Keadaan berpisah bukan saja menjadikan pakatan kurang berkesan, ia menambahkan lagi perbalahan kerana tidak lagi bertemu dan berbincang. Lagi lama berpisah, maka lagi lebar jurang pemisahan. Dilebarkan melalui kata nista dan tohmahan yang terus dilemparkan antara satu sama lain.

Amanah bersama usaha menubuhkan kembali pakatan parti pembangkang

Maka apabila ketua pembangkang menjemput Amanah ke sidang meja bulat untuk mewujudkan kembali satu pakatan parti pembangkang seperti PR sebelum ini, maka kami terus bersetuju untuk hadir.

Kami faham dengan itu perancangan Umno/BN untuk memisahkan pembangkang dan melaga-lagakannya akan dapat digagalkan. Amanah juga memahami itulah tanggungjawab dan kewajipan sebagai wadah gerakan Islam yang bergiat di dalam arena politik negara iaitu untuk menyelamatkan Negara dari terus dirosakkan Umno/BN. Hanya yang tidak melihat kepada keperluan untuk menjatuhkan BN akan memandang sepi jemputan ini.

Amanah turut memahami tiada mana-mana satu parti akan mampu untuk memerintah Malaysia secara sendiri. Oleh itu pembentukan pakatan ini penting supaya rakyat melihat kemampuan bersatu dengan mengetepikan perbezaan demi mengutamakan kepentingan rakyat yang sangat mendesak.

Bagi yang menganggap ia suatu yang boleh dilengah-lengahkan, mungkin mereka tidak memahami bagaimana dengan berlalunya setiap hari tanpa adanya satu pakatan pembangkang yang kukuh, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk memimpin negara. Kalau sesama sendiri pun tidak mampu menentukan keutamaan dan mengetepikan perbezaan, demi kepentingan rakyat, bagaimana pula mampu memerintah, ujar mereka! Apatah lagi apabila setiap hari diisi kutukan dan tohmahan terhadap satu sama lain.

Penubuhan pakatan parti pembangkang dipermudahkan

Sebenarnya menubuhkan pakatan baharu amat mudah kerana semua saling mengenali dan kerangka asal PR masih boleh digunakan sebagai asas pergabungan. PR telah bersama sejak 2008 dan saling memahami sikap dan pendirian masing-masing. Pada masa yang sama mekanisme mengurus perbezaan telah pun diguna pakai dan terbukti keberkesanannya. Kegagalan mekanisme ini untuk menyelamatkan PR bukan atas sebab mekanisme itu tidak baik, tetapi atas sebab ia tidak digunakan. Ia tidak digunakan kerana ada yang termakan umpan Umno dan tidak mahu pertikaikan ‘keikhlasan’ Umno.

Prinsip dan mekanisme ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’ serta ‘setuju untuk tidak bersetuju’ terhadap dasar lain yang diperjuangkan parti masing-masing, adalah corak pengurusan ‘politik gabungan’ yang amat berkesan. Namun ia hanya berkesan sekiranya ianya difahami dan diamalkan secara ikhlas dan jujur. Wujudnya prinsip dan mekanisme ini membawa erti sebagai satu pakatan harus bergerak bersama memperjuangkan perlaksanaan segala dasar yang dipersetujui bersama dan ini seharusnya merupakan tumpuan yang patut diberikan.

Pada masa sama apabila timbul isu yang tidak terdapat dalam kerangka tersebut, maka setiap parti berhak menyatakan pendirian yang berbeza. Ini bermakna bahawa dalam isu yang tidak terdapat dalam ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’, maka boleh berbeza pandangan sambil saling menghormati hak masing-masing untuk berpegang pada pandangan masing-masing.

Sebagai contoh, dalam isu hudud, tiada masalah bagi PAS menyambut tawaran Umno berhubung perlaksanaannya, tetapi tiada masalah juga bagi DAP menolaknya. Itulah yang dimaksudkan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Dalam keadaan itu maka masing-masing perlu saling menghormati hak masing-masing untuk berbeza pandangan dalam soal yang tidak dipersetujui bersama, tanpa saling menyerang dan mencaci satu sama lain. Pada masa yang sama isu itu perlu dibincang bersama mengenai cara bagaimana menguruskannya. Perbincangan ini perlu dilakukan secara bersemuka, bukan melalui media musuh yang sentiasa ingin mengadu-domba antara satu sama lain. Itu sekiranya memang ikhlas dan jujur untuk mengekalkan gabungan tersebut.

Amanah memahami dan menerima kedua-dua prinsip dan mekanisme ini dan oleh itu sentiasa bersedia untuk menyertai gabungan parti pembangkang apabila sahaja ianya ditubuhkan.

Tuduhan PAS dipinggirkan

Ada yang mendakwa PAS dipinggirkan apabila sidang meja bulat ini diadakan. Saya hairan dengan tuduhan itu. Bagi saya amat jelas PAS dijemput berkali-kali. Tetapi PAS yang memilih untuk tidak hadir setiap kali. Dalam erti-kata lain, PAS bukan dipinggirkan tetapi memilih untuk meminggirkan diri.

Kononnya peminggiran PAS dilakukan apabila diadakan sidang meja bulat ini dalam keadaan tergesa-gesa. PAS masih belum bersedia dan kita harus tunggu sehingga PAS bersedia, kononnya. Sebenarnya pintu untuk PAS menyertai PH ini sentiasa terbuka. Apabila PAS sudah bersedia mereka boleh menyertai PH bila-bila masa.

Persoalannya, adakah PH perlu menunggu sehingga PAS sudah bersedia sebelum membina balik apa yang telah berjaya dirobohkan Umno? Sudah pasti ‘tidak’!

Apa akan berlaku sekiranya PAS terus terpedaya dengan tipu helah Umno sehingga terus menganggap Umno adalah rakan yang lebih baik baginya berbanding PH? Atau terpedaya dengan ‘kehebatan sendiri’ sehingga menganggap tidak perlu untuk bergabung dengan parti lain? Bagi saya, PH perlu terus dengan tugasnya dan diusahakan supaya PAS bersama akhirnya. Insya-Allah PAS akan mengingati kembali Umno merupakan punca umat Islam dan Melayu keliru berhubung tuntutan Islam.

Dakwaan NGO membantah penubuhan PH

Berdasarkan laporan NST ada pihak membuat bermacam-macam andaian. Mungkin kerana prinsip “boleh bertahaluf dengan lawan” maka pandangan terhadap media mereka semakin lunak. Oleh itu laporan media mereka dipegang dengan kuatnya. Maka dianggap benar dakwaan Datuk Ambiga ‘walk out’ sidang meja bulat sebagai tanda bantahan. Kononnya Maria Chin juga begitu. Sebenarnya laporan tersebut hampir semuanya tidak tepat!

Benar Ambiga tidak setuju dengan penubuhan PH secara tergesa-gesa. Tetapi beliau mengemukakan pandangannya dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak yang ingin membentuk gabungan itu, iaitu parti politik pembangkang yang terlibat. Beliau bertanya mengenai ketidakhadiran PAS dan mengapa PSM tidak dijemput. Tiada pujian kepada PAS yang melambung-lambung seperti yang digambarkan. Beliau seterusnya meninggalkan sidang tersebut apabila sesi perbincangan bersama NGO tamat dan sesi perbincangan bersama parti politik yang terlibat dimulakan. Pihak NGO dibenarkan hadir sesi kedua ini tetapi hanya sebagai pemerhati.

Maria tidak meninggalkan sidang tersebut bersama Ambiga dan hadir bersama sehingga selesai. Begitu juga wakil NGO lain seperti Abim, Ikram, Syura dan lain-lain.

Mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri?

Ada yang pertikai kenyataan yang dikeluarkan PH mengisytiharkan Anwar sebagai calon perdana menterinya. Ada yang tanya, kenapa Anwar?

Hakikatnya Anwar adalah pemimpin yang digeruni Umno/BN dan atas sebab itulah beliau terus difitnah dan dipenjarakan. Tiada yang boleh menafikan peranan Anwar dalam membina Barisan Alternatif pada awalnya dan Pakatan Rakyat kemudiannya. Atas kepimpinan beliau, PR menggegarkan kerajaan BN dan berada diambang kemenangan. Segala sumbangan beliau dihargai dan kemampuan beliau diakui.

Pada masa yang sama adalah merupakan satu kezaliman terhadap Anwar sekiranya setelah beliau melakukan segala itu dan difitnah serta dizalimi oleh kerananya; maka dibenarkan rakyat dan negara melupainya. Adalah perlu menonjolkan namanya sebagai calon perdana menteri dan mengingatkan rakyat beliau difitnah dan dipenjara kerana ingin membela rakyat dan menyelamatkan negara.

Bagi yang sedang selesa bersama keluarga mereka, di dalam istana mereka atau kereta mewah mereka, yang tidak pernah mengalami kesusahan dalam memperjuangkan hak rakyat dan tidak pernah difitnah dan dipenjarakan kerananya; maka mereka seharusnya bertanya kelayakan diri sendiri sebelum layak bertanya, “sudah tiada orang lainkah?”.

Kesimpulan

Maka tertubuhnya PH adalah dengan tujuan untuk menggantikan PR yang “tidak lagi berfungsi secara rasminya” atau dalam erti-kata yang lain, sudah terkubur. Atas keberanian dan kemampuan ketua pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melakukannya saya ucapkan tahniah dan syabas!

Adalah menjadi harapan agar semua parti pembangkang dan rakyat jelata akan bersama dalam usaha menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 yang bakal dihadapi. Sejauh mana komitmen sesebuah parti politik terhadap usaha menjatuhkan Umno/BN akan terbukti dalam masa sebulan dua ini. Sekiranya semua komited, maka semua pihak akan bersama.

Sekiranya terdapat agenda lain yang tersembunyi, maka mungkin ini tidak dapat direalisasikan. Dalam keadaan itu, adalah lebih baik bagi pandangan saya, agar tidak bersama. Sekiranya bersama, dalam keadaan mempunyai agenda lain yang ingin dicapai, maka adalah tidak jelas siapa yang dianggap kawan dan siapa lawan. Ini adalah demi mengelakkan agar semua parti komponen PH tidak lebih sibuk menyerang sesama sendiri daripada menyerang musuh bersama.

Membina kekuatan baru pembangkang A Shukur Harun

Dengan terbentuknya gabungan baharu pembangkang, yang diberi nama Pakatan Harapan, bermakna ia percubaan penting untuk menyatukan kembali parti pembangkang tanah air untuk menghadapi Umno/BN dalam PRU akan datang dan seterusnya.

Gabungan baharu ini, yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan sebagai menggantikan Pakatan Rakyat, gabungan yang berjaya mendapat 52% undi popular dalam PRU lalu. Tetapi atas sebab tertentu yang diketahui umum - walaupun prestasinya cemerlang - mengakhiri hayatnya.

Tentunya apa yang terjadi kepada pakatan lama itu menjadi pengajaran penting kepada Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan ini untuk kelangsungannya sebagai pembangkang pada masa depan.

Rakyat yang menyokong gabungan baharu pembangkang ini sangat mengharapkan supaya tokoh pemimpinnya seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan pemimpin lain dalam Pakatan Harapan dapat membina kembali kekuatan pembangkang seutuhnya. Rakyat sangat berharap gabungan baru ini tidak lagi akan terbentur disebabkan krisis demi krisis seperti yang dihadapi pakatan lama itu.

Keutamaan yang sangat perlu diberi perhatian Pakatan Harapan ialah:

*Memelihara dan mengekalkan sokongan rakyat terhadapnya. Sokongan ini kini sudah diperlihatkan pelbagai pihak dalam pelbagai bentuk. Malah sokongan itu sangat luar biasa.

*Sokongan rakyat ini ialah nilai paling berharga yang sangat wajar dipelihara ketiga-tiga komponen Pakatan Harapan. Ia tidak sama dengan nilai sesebuah parti politik betapa pun lama umurnya dan ramai jumlah ahlinya.

Oleh itu apa pun perhitungan politik yang lain, tidak sama nilainya dengan sokongan rakyat ini. Dari itu perhatian penting perlu diambil kira terhadap sokongan ini, malah melebihi segalanya.

*Rakyat mahu melihat integriti atau kewibawaan parti yang ada dalam Pakatan Harapan untuk mengukur kejayaan atau kegagalannya. Sesebuah parti politik tidak kira berapa lama usia dan ramai ahlinya, jika ia tidak memiliki integriti, kepimpinan yang tidak relevan dan tidak peduli rakyat, maka dalam pandangan umum ia hanya parti politik yang hanya penuh retorik.

Seperti kata pengarang Inggeris, William Shakespeare:”Like sound and furry, means nothing."

Bunyinya saja gemuruh, tetapi isi dan maknanya kosong. Inilah yang sangat perlu dielakkan jika Pakatan Harapan hendak mengekalkan sokongan rakyat yang ada sekarang kepadanya.

*Dalam suasana yang ada sekarang, di mana perkauman menjadi masalah terbesar menggugat perpaduan rakyat pelbagai kaum, maka Pakatan Harapan perlu ke depan menentang semua bentuk perkauman dan fahaman ekstremisme agama yang sempit. Dalam hal ini, Pakatan Harapan nampaknya sudah pun mengambil langkah segera yang penting, menunjukkan ia menentang perkauman. Iaitu apabila beberapa hari yang lalu pemimpin Pakatan Harapan mengadakan lawatan ke Jalan Petaling, 'kawasan panas' di tengah Ibu Kota. Mereka meninjau suasana di situ, melihat peniaga Cina yang berniaga di situ sejak sekian lama.


Menurut pendapat saya, pendukung PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan perlu mengadakan hubungan lebih erat dengan pelbagai golongan rakyat, merentasi semua kaum dalam pelbagai bidang kehidupan.

Buktikan Pakatan Harapan sangat peduli rakyat dan menentang perkauman dalam apa bentuk pun dan sentiasa berusaha untuk melindungi rakyat pelbagai kaum. Maka itu, saya yakin, rakyat akan menyokong gabungan baharu pembangkang ini.

Sementara itu, Amanah yang baru ditubuhkan ini badan politik yang berpaksikan Islam, membawa konsep 'Islam sebagai rahmat seluruh alam', terbuka dan progresif, melindungi semua rakyat seperti yang dituntut Islam.

Inilah antara kekuatan Amanah yang boleh disumbangkannya kepada Pakatan Harapan untuk menegakkan keadilan dan demokrasi serta hak rakyat. Sesungguhnya perkauman ditentang Islam, sementara ekstremisme agama sangat mengelirukan umat Islam sendiri, malah mencederakan imej Islam.

Parti Amanah sendiri, di samping didukung golongan profesional dan veteran, juga didukung ramai ulama progresif seperti Ahmad Awang, Abd Ghani Shamsudin, Hassanuddin Mohd Yunus, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan ramai lagi.

Mereka ini tentunya mampu berhujah secara ilmu untuk menentang perkauman dan ekstremisme agama dari mana pun datangnya. Sementara itu, dalam keadaan sekarang, terlalu awal untuk pemimpin gabungan baru ini memikirkan pembahagian kerusi, di mana hendak bertanding dan sebagainya, lebih-lebih lagi untuk memikirkan sama ada bertanding 2 penjuru atau 3 penjuru.

Lebih-lebih lagi sifat politik yang sangat dinamik, berubah mengikut masa dan keadaan, maka adalah terlalu awal untuk memikirkan persoalan pembahagian kerusi pilihan raya.

Cuma yang perlu ditekankan di sini, ialah tidak ada parti politik di Malaysia ini yang mampu bertanding bersendirian, melainkan bergabung dengan parti lain, meskipun parti itu merasa begitu gagah. Tetapi jika ia mahu juga bertanding bersendirian, maka ia akan terbentur dengan sebuah 'mimpi ngeri'.

Membaca senario pilihan raya umum yang lalu, gabungan pembangkang memenangi 89 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu terus menafikan majoriti dua pertiga Parlimen yang dicatatkan dalam PRU sebelumnya. Ini kejayaan Pakatan Rakyat.

Tetapi walaupun memenangi 52% undi popular, Pakatan Rakyat tidak dapat membentuk kerajaan kerana sistem persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan begitu rupa.

Dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan baru-baru ini, para pemimpin gabungan baharu itu berkata, ia akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat.

Maka, rakyat kini sedang menanti dengan penuh harapan terhadap Pakatan Harapan ini untuk membela mereka. Rakyat tidak mahu lagi dihadapkan dengan krisis demi krisis yang sangat mengecewakan mereka.

Buanglah segala ego dan sebarang keangkuhan jika ada. Setiap parti mesti dalam kedudukan yang sama.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau macam itu, biar lah Muhammad Taib atau Kamaruddin yang bercakap mengenai pelawaan kepada PAS untuk menyertai PH sebagai wakil yang di lantik oleh PH.

Bila Kak Wan yang selalu mengeluarkan kenyataan mengharapkan PAS bersama PH tentu menjadi masalah seolah-olah kerja PH belum sudah. Begitu juga bila Azmin bersungguh-sungguh mempertahankan PAS menjadi rakyat seolah-olah ini lah misi utama PH selepas di tubuhkan.

PAS biarkan dia datang sendiri dengan kesediannya untuk menjadi satu suara. Tidak ada gunanya jika ada 4 pendayung sekiranya hanya 3 pendayung yang serentak seirama.

Ramai melihat kebersanan yang di mainkan oleh Amanah berbanding PKR se olah-olah menunjukkan lebih baik Amanah bersendirian dan mampu menawan Selangor !

Dr.Paridul Adras Ismail berkata...

Pakatan Harapan(PH) adalah pengganti Pakatan Rakyat (PR). PR telah dihancurkan oleh ahli komponennya sendiri. Sebaik sahaja Pas memutuskan tahalus siyasi dengan DAP, maka berkuburlah PR. Muktamar Pas 2015 bukan sahaja melenyapkan PR, tetapi Pas juga menyingkir ahli-ahlinya dari golongan progesif. Rentetan kepimpinan ulama Pas tidak senang dengan kehadiran golongan progesif maka tertubuhlah Parti Amanah Negara (AMANAH). Diuwar-uwarkan AMANAH adalah pengganti Pas dalam PH. Formula dilihat cantik kerana Pas dan AMANAH sama-sama memperjuangkan Islam, tetapi pendekatan sahaja yang membezakan mereka.

Pulau Pinang merealisasikan gagasan sebaik sahaja PH ditubuhkan. Hebat betul DAP dalam mengotakan deklerasi PH. Malang sekali PKR yang mengepalai Selangor. PKR mengekalkan status quo dengan terus bekerjasama dengan Pas mentadbir Selangor. Azmin tidak melupakan jasa Pas menamakan beliau sebagai MB sebaik sahaja "Langkah Kajang" gagal. Dalam pada itu, Azmin pula mudah lupa perancangan Pas untuk mengambil alih Selangor dengan bekerjasama dengan BN. YB Shaari Sungip dan YB Hasnul Baharudin adalah penyelamat PR. Tanpa surat akuan bersumpah mereka berdua, Azmin kini hanyalah pembangkang di Selangor. Azmin terus berdegil untuk membalas budi Pas. Sehingga kini kedua-dua adun ini menjadi bahan momokan pimpinan Pas. Fikirkan apa akan terjadi kepada kerajaan Selangor sekarang jika kedua-dua adun ini menarik balik akuan bersumpah mereka. Kedudukan bilangan adun BN dan Pas menjadi 28, dan jumlah kerusi PKR dan DAP pula menjadi 28.Kedudukan menjadi seri. Dun boleh terbubar atau kerajaan Selangor boleh bertukar tangan kepada gabungan Pas dan BN. Tidak menjadi kesukaran kepada BN untuk membeli dua atau tiga adun dari PKR.

Pas pula tiada maruah diri dan mahu terus berkongsi kuasa dengan PH mentadbir Selangor. Pelik, di peringkat pusat bercerai, tetapi di Selangor sanggup bermukah. Perkara ini terjadi kerana Pas Selangor sayangkan jawatan. Tiga orang exco mereka mendapat gaji besar dan diberikan kereta mewah. Jawatan-jawatan lantikan politik seperti lembaga pengarah syarikat, ketua kampung dan JKKK menjanjikan elaun dan habuan-habuan yang lain. Slogan Pas, "matlamat perjuangan mencari keredaan Allah dan bukan Putrajaya", hanyalah retorik semata-mata sekadar mengkaburi dan memperbodohkan ahli-ahli Pas yang walaq membuta tuli. Jangan mare!

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya Pas sebuah parti yang betul dasar pejuanganya tetapi telah di putarbelit oleh sebahagan peminpin ulamk terutama Hadi.Haron.Mahfoz johor seta yang lainya.dan kini Pas seolah2 rosak teruk.ramai ahli2nya lari meninggalkan jemaah,yang diam lagi ramai,tunggu dan lihat TETAPI sekiranay peminpin ulamk ada sifat muhasabah diri .tawaduk perkara ini tidak mungkin terjadi terlalau teruk ,Kalau Presiden sekarang ada jiwa seperti TGNA insyaalllah ada kemnungkin G18 akan bolih mengutakan Pas dengan Hadi memenggil.berbincang,memohon kesilapan ,kesilapan teknikal .ada syaitan dalam Pas dan meminta G18 jangan keluar dari Pas dan mencari jalan damai selesaikan masalah perpecahan ,TETAPI disebabkan sifat Takabbur,Ego.Dendam.Benci,dirasuk fikiran syaitan dan macam2 lagi terus mnegeluarkan kata2 mengina,mencerca.menghalau.mnegherdik mcmam2 lagi ,itulah terjadinya lahir sebuah Pakatan Harapan ,insyaalh Allah akan menlindungi Pakatan ini unutk islam dan rakyat,tetapi jangan sekali2 peminpin Amanah terus melawan cakap2 buruk ulamk Pas ,biarkan mereka dengan sakit jiwanya.teruskan dengan pelawaan ,ajakan,pujukan.Bira rakyat lihat kita Amanam ini enang dengan sifat rendah diri.Teruskan Mat dengan Sabunya,

Tanpa Nama berkata...




"DEEN" nul ISLAM..."SYSTEM" Mem BERI
"SYSTEM"-AMANAH...Lapang PEMURAH
"SYSTEM" yg TERANG...TELUS dan RAPI
MUDAH Ter PANTAS...Selesai kan MASAALAH


"SYSTEM"-Islam..."SYSTEM" Ter PANTAS
Kerana-"SURRENDER"...Kepada ALLAH
Total-"SURRENDER"..."ILHAM" Ber TUNAS
MIRACLE Men Jelma...Men Curah-CURAH


Se Total7-"SURRENDER"...Kepada ALLAH
MIRACLE Men Jelma...Men Curah-CURAH
INTEGRITY-Transparency...Se Kudus7'AMANAH
KASEH dan "CINTA"...Mekar Ber CAMBAH


KASEH dan "CINTA"...Mengikat ERAT
KASEH dan "CINTA"...Umat Me NYATU
KASEH dan "CINTA"...Ummat Se PAKAT
Segala "JAWAPAN"...Mudah Di TEMU


Segala "JAWAPAN"...Mudah Di TEMU
PANTAS Men Cari..."Punca" MASAALAH
Dengan "CINTA-NYA"...Kita Me NYATU
"SYSTEM-Ar-RAHMAN"...Kaseh-PEMURAH


"SYSTEM-Ar-RAHMAN"...Kaseh-PEMURAH
"SYSTEM" Mem BERI...BUKAN Men CURI
"SYSTEM" yg TERANG...Tak Wujud RASUAH
PONTENG U-Turn...FITNAH yg KEJI


"SYSTEM-Ar-RAHMAN"...KASEH Mem BERI
Saling Mem BERI...Saling Me NGERTI
"CINTA" Yg SATU..."CINTA" Azali
Me Mancar-MANCAR...Di Dasar HATI

mujadid berkata...

Kerja Umno BN selepas PRU13 adalah memastikan PR berpecah.Umno tidak nak ada satu lagi entiti serupa dgn BN.Ini akan mengugat BN dimasa hadapan.
DS Najib dgn think tank nya akan berusaha memecah PR walau apa cara sekali pun utk memastikan kemenangan BN dlm PRU14.
Umno menggunakan isu hudud dgn mengesyorkan agar Kelantan mengorak langkah dan Umno akan mempertimbangkannya. Strategi Umno berjaya memecahkan PR spt yg dirancang.
Kejayaan strategi Umno ini berjaya dgn kerjasama dalang dalam Pas yg bekerjasama dgn Umno secatra diam2. Golongan Pas yg berfahaman assabiyah yg tinggi ini boleh bersekongkol dgn Umno.
Ahli2 Pas yg selalu didendang dgn hukum hakam oleh ulamak mereka telah ditipu tanpa disedari.
Bila ditanya ahli Pas akan kata Ulamak Pewaris Nabi dan kalau salah Ulamak yg tanggung.
Jgn lupa Allah SWT kurniakan akal kpd kita utk berfikir dan membuat pendirian.Kegagalan kita akan dipersoal oleh Allah dan kita tidak boleh menyalahkan org lain.

Malaysiabaru berkata...

pas ni species apa

putus hububgan party tapi ada hububgan kerajaan


makna pas skrg takde hubunga politik dgn Dap atau Umno tapi boleh ada kerjasama kerajaan bersama dap di selangor dan umno di persekutua

ini bermakna maysaallah tak tergamak nak cakap

pas party sundal!

lelaki dicermin berkata...

Aku senang dgn tulisan khalid samad...senang faham maksud dan jawapan.. tp org2 bawahan pro ulamak cukup tak berkenan khalid samad ni.. aku tgk byk maksud dr tulisannya jadi kenyataan.. walau pun lambat... cuma golongan ulamak dr awal dah cop klalid samad ni islam sekuler..

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin pas ini tiada harga diri, tidak tahu malu, tdk mau dgn dap dan PAN, ttpi sanggup duduk dlm kerajaan pulau pinang dan selangor. Dia mengaku mempertahankan prinsip Islam, tak sanggup letak jawatan di Selangor dan pulau pinang. Mana prinsip Islam yg dipegang serta di pertahankan, merekala penjual agama dan penjual perjuangan Islam. Mengaku kepimpinan Ulama, tapi perangai bkn ulama.

Timnajib Jomfikir berkata...

Barisan pemimpin Pas yang muda2, mereka adalah agen Umno. Kepalanya adalah Dr Zuhdi.

Kenapa pemimpin Pas yang ada sekarang ini, masih buta hati dan pandangan..?

Nayalah mereka menipu org2 kampung.

Tanpa Nama berkata...

Dr zuhdi and the gang boleh le tidur lena sekarang. Pr dah hancur lumat. Jap lagi dia bangun dan kerjanya adalah perlingkupkan pula ph. Soal dana tiada masalah. Telefon saja ku nan.

Pemimpin2 tua dalam pas bukan cerdik ilmu politik tahap tinggi. Mainkan saja isu dap. Isu anwar. Isu baiah. Isu melayu dan macam2 isu lagi maka cairlah pak tua yang bahalol ini. Panggil profesor2. Doktor2. Orang2 mengaku yahudi islam. Pakar2 sosiologi. Mereka bagi ceramah sampai nangis2 maka luluhlah hati pak2 tua yang tawadduk itu. Padahal mereka tak kenal ramai pakar2 itu adalah manusia iblis berpura2 islam tapi jadi kaki tangan yahudi sesat yang bersepah2 kat menara gading atau meja pm najib.

dddddd berkata...

kah kah kah!
kau memang benar sebenar benarnya, ejen UMNO telah berjaya mengusai PAS. Ejen ini menjadi golok dua mata, bersuara dengan nama ulamak, namun dalam masa yang sama memakan upah dari UMNO.
Terdapat beberapa pemimpin dalam PAS yang sudah sedar mengenai ejen UMNO ini, namun mereka tidak terdaya untuk menghalang kerana mereka telah mendapat habuan. Jawatan dalam parti yang mereka pegang sekarang adalah rasuah untuk menuntup mulut mereka. Jika bukan kerana ejen UMNO, mustahil mereka dapat jawatan yang ada sekarang.
Benar orang kampung telah ditipu dan digoreng hidup-hidup sekarang oleh pemimimpin PAS sekarang. Kebanyakkan penyokong sekarang adalah orang kampung yang tahad pendidikan yang rendah. Sama seperti yang dialami UMNO. Namun orang muda dan kelompok terpelajar telah sepakat menolak PAS.
Jika ada PRK di Kelantan (kubu kuat PAS) sekarang, kita akan lihat pos-pos akan kosong dan muda akan memulaunya.