18 Jan 2015

[VIDEO] KISAH MASYARAKAT: Penebar Roti Minah Saleh Jadi Viral


Gadis Itali si penebar roti canai

KEMUNCULAN gadis jelita penebar roti canai di Jalan Teknik, dekat sini, pada awalnya tidak begitu disedari, sehinggalah gambarnya menjadi viral di laman sosial.

Maka, Gerai Din Roti Canai yang sudah memang terkenal dengan keenakan roti celaru dan roti gebu kini makin rancak dikerumuni pelanggan yang ingin merasa air tangan gadis berkenaan.

Pelajar sekolah sains, Liceo Sciemtifico Statale Democrito di Rome, Itali, Chantal Viola, 17, yang manis bertudung menebar roti canai merupakan salah seorang pelajar pertukaran sejak Julai lalu.

Kini, dia yang belajar di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar tinggal bersama keluarga angkatnya, Ishak Mad Shah, 59, yang juga guru sekolah terbabit hingga Jun tahun ini.

Makin mahir berbahasa Melayu

Chantal berkata, dia akan membantu di gerai bapa rakan sekelasnya, Nur Sahira Md Sallehuddin, 17, ketika hujung minggu sejak enam bulan lepas.

“Pada mulanya, saya tidak mahir dan kurang faham percakapan pelanggan. Malah, saya pernah disangka dari Bosnia.

“Namun, kini saya sudah boleh mengambil tempahan pelanggan selain turut menebar roti canai,” katanya.

Chantal berkata, dia sudah boleh bercakap bahasa Melayu sedikit demi sedikit hasil pengalaman diperoleh dari gerai dan kediaman keluarga angkatnya.

Menurutnya, dia dapat menimba banyak pengalaman ketika membantu di gerai terbabit khasnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasinya.

Katanya, selain itu, dia juga turut bergaul dengan masyarakat setempat dan mempelajari budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Biarpun, menghadapi kesukaran dalam berbahasa pada awalnya, namun saya berusaha sehingga mahir,” katanya.

Terkejut gambar jadi viral

Mohd Sallehuddin Shaari, 46, berkata, dia sememangnya terkejut gambar Chantal menjadi viral di laman sosial, sedangkan sudah lama gadis terbabit membantu di gerainya.

Katanya, gerai roti canai yang beroperasi sejak 14 tahun berkenaan sememangnya kerap dikunjungi pelanggan, namun disebabkan berita itu tersebar di laman sosial, ia kian menjadi tumpuan umum.

“Pelanggan lagi ramai dari biasa selepas gambar Chantal tersebar. Awalnya dia agak kekok, namun kini ada beberapa perkara dipelajarinya seperti cara menebar roti canai,” katanya.

Menurutnya, mereka semua berkomunikasi dengan Chantal dalam bahasa Melayu bagi membantu gadis berkenaan meningkatkan kemahiran komunikasinya.

Pernah pengsan pakai hijab

Sementara itu, Ishak berkata, beliau yang memberi cadangan kepada Chantal membantu jiran di gerai terbabit supaya dapat mendalami bahasa Melayu lebih baik.

“Berkenaan tudung, itu adalah permintaan pertama dia kepada saya untuk memakai hijab, walau beberapa kali pengsan, namun, dia tekad untuk terus memakainya.

“Saya akur permintaan Chantal atas kehendak dirinya sendiri kerana dia memaklumkan amat menghormati keluarga dan budaya kita.

Presiden Kedah Chapter Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS), Rohaya Md Yusoff pula berkata, gadis Itali berkenaan merupakan antara lima orang yang terbabit dalam program pertukaran pelajar sejak Julai lepas bagi memberi peluang mereka mengenali budaya kita.

“Pihak kami dapati Chantal dapat mendalami bahasa Melayu dan bergaul baik dengan masyarakat, bahkan mampu membantu menebar roti canai di gerai terbabit," katanya. -SH




6 ulasan:

Amuraria berkata...

kena bagi pencerahan kat dia ini bukan budaya kita tapi ajaran agama Islam , moga dapat hidayah dari Nya ...

Tanpa Nama berkata...

Boleh buat bini ini.

Ringan tulang dan cantik ber hijab.

Tanpa Nama berkata...

Beliawanis kita pula ada yg gatal miang berpeluk cium dgn k-pop.

Unknown berkata...

Tak berapa bulan duduk di sini dah boleh cakap dlm B Melayu.

Sedihnya, ramai di kalangan warga kita sendiri sudah puluhan tahun duduk di sini sejak dari dalam perut emak mereka tidak boleh cakap dalam B Melayu. Parasit...

Tanpa Nama berkata...

Sekurang-kurangnya nak juga anak Mat Salleh Itali ini yang datang dari negara di mana Pope berada menghayati pemakaian hijab walaupun tidak memahami sepenuhnya sebab pemakaiannya. Sedang ada yang tulis dalam macam-macam borang, Islam sebagai agama masih tak nak berHIJAB. Ada yang dah beruban rambut pun masih tak letak walau secebis kain atas kepala.

kapsul pelangsing badan alami berkata...

patut di contoh