Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan peguamnya yang juga ahli jawatankuasa pusat, Mohamad Hanipa Maidin tidak dapat menghadiri muktamar parti pagi ini kerana mereka perlu berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hanipa berkata, mereka mungkin terpaksa mengundi dari mahkamah sekiranya mahkamah terus tidak membenarkan penangguhan.
"Apapun, kami berdua akan berada di mahkamah pagi ini dan mungkin tidak dapat menghadiri perasmian muktamar oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana mahkamah tidak membenarkan penangguhan, malaysiakini terbitan semalam dipetik.
"Tetapi kita akan cuba untuk memohon penangguhan sekejap selepas Mat Sabu memberi keterangan di mahkamah untuk memudahkan kita mengundi di sebelah petang. Jika ini tidak dibenarkan, kami berharap pihak parti akan membenarkan kami mengundi dari mahkamah," katanya kepada Malaysiakini petang semalam.
Ini berikutan saman Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Mohamad, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pencetak Harakah Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dan penulis Aziz Muda.
Penyiaran dua artikel dalam bulan Februari tahun ini dalam penerbitan PAS, Harakah, bertajuk 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan 'Ragu Peranan SPR - Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap timbalan pengerusi SPR itu.
Wan Ahmad telah memberi keterangan dalam perbicaraan semalam dan mengikut Hanipa, Mat Sabu akan memberi keterangan sebagai defendan pertama dalam saman itu hari ini.
Hanipa mewakili Mat Sabu dan defendan dalam saman itu manakala Wan Ahmad diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Menurut ahli jawatankuasa pusat PAS itu, mereka telah memohon untuk penangguhan bagi menghadiri muktamar itu kerana ia diadakan setiap dua tahun sekali tetapi Hafarizam bertegas membantahnya, menyebabkan mereka perlu hadir di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan