7 Jul 2013

Zahid, Yang Berjanji Untuk Hapuskan Akta Hasutan Ialah Najib Bukan Pakatan!

Ahmad Zahid selar desakan mansuhkan akta hasutan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.

Beliau menarik perhatian bahawa atas desakan pihak tertentu sebelum ini, kerajaan telah memansuhkan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Sekarang mereka bagaimanapun (desak) nak mansuhkan Akta Hasutan juga...saya tidak fikir ada perlunya, sebab apa lagi yang kita tinggal (ada) untuk melindungi rakyat dan ketenteraman negara," katanya.

Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas merasmikan perlepasan konvoi kembara bermotosikal sempena ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Tambahan, bila ia dihapuskan, semua fitnah, tohmahan dan kutukan yang dilakukan penghasut boleh dianggap dihalalkan walhal demokrasi kita tidak menuntut begitu."

Ahmad Zahid berkata pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat telah menjurus kepada peningkatan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.

"Malah, jika ditangkap dengan pertuduhan (pun), mereka (penjenayah) akan mencari aspek-aspek teknikal untuk melepaskan diri dan pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa biarpun mempunyai bukti kukuh," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan terperinci akan dibuat berhubung undang-undang menggantikan Ordinan Darurat.

"Bagi melaksanakan dasar keterbukaan berhubung perkara ini, Kementerian Dalam Negeri, polis dan Jabatan Peguam Negara akan mengadakan majlis dialog bersama badan-badan bukan kerajaan, individu dan masyarakat umum untuk mengetahui maklum balas, input dan komen-komen," jelasnya.

Konvoi selama tiga hari disertai 28 motosikal berkuasa tinggi dan empat kenderaan lain itu akan melalui perjalanan sejauh 400 kilometer dari Kuala Lumpur ke Queen Street, Singapura untuk menjejaki sejarah penubuhan Utusan Melayu. - Bernama

Apa Kata Prof Mohammad Agus Yusoff?

PADA 11 Julai 2012, PM mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Bagi Akta Keharmonian Nasional yang akan digubal itu, PM menyatakan rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik bagi membolehkan kerajaan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. PM juga menyatakan peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Katanya lagi: "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang [baharu ini], kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea.”

Janji PM ini baik sekali, namun, setelah setahun berlalu, janji PM tersebut belum terlaksana lagi sehingga sekarang. Apa yang ada ialah kenyataan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan Akta tersebut tidak perlu dimansuhkan kerana ia lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat kepada negara. Kenyataan Menteri ini menimbulkan pelbagai reaksi bergantung kepada parti mana yang disokong oleh mereka yang memberi komen.

Apakah kandungan yang terdapat dalam Akta Hasutan ini sehingga ada yang menuntut supaya Akta ini dimansuhkan? Yang menjadi pertikaian adalah peruntukan Seksyen 4(1) Akta ini, iaitu mana-mana orang yang:

(a) melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut...
(b) menyebut apa-apa perkataan menghasut
(c) mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut; atau
(d) mengimport apa-apa penerbitan menghasut...boleh didakwa di bawah Akta ini.

Saya yakin negara kita memerlukan akta pencegahan seperti ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara, mengenangkan negara kita adalah negara yang rencam masyarakatnya dan sensitif politiknya. Oleh sebab itu, saya menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri supaya Akta ini dikekalkan.

Jika baik dan perlu dikekalkan, mengapa pula pembangkang dan NGO mendesak supaya Akta ini dihapuskan seperti mana janji PM? Inilah pertanyaan menarik yang perlu dibincangkan.

Saya dapati peruntukan Seksyen 4(1) Akta ini adalah terlalu umum sehingga ia dengan mudah boleh terdedah kepada salah tafsiran oleh pihak kerajaan untuk menangkap bukan sahaja mereka yang menghasut sehingga boleh mengancam ketenteraman negara, tetapi juga menangkap ahli politik dan NGO yang boleh menganggu kuasa kerajaan. Akta ini juga menyekat kebebasan rakyat. Dan masalah utama dengan Akta ini ialah kerana adanya pendakwaan terpilih.

Kita boleh lihat banyak kes apabila melibatkan kata-kata dan ucapan sensitif dari pihak yang menyokong kerajaan, maka tindakan tidak diambil atau lambat diambil, tetapi apabila kenyataan yang sama datang dari pihak pembangkang, maka tindakan terlalu cepat diambil. Sikap double standard inilah yang menyebabkan pembangkang, NGO dan masyarakat sivil yang memahami erti keadilan marah dan kecewa. Saya sengaja tidak memberikan contohnya di sini kerana kita sama-sama boleh menilai tentang apa yang saya maksudkan.

Oleh sebab itulah, jika kerajaan tidak mahu memansuhkan Akta ini, saya menyokongnya, tetapi kerajaan hendaklah melakukan beberapa pindaan kepada Akta ini supaya jenis kesalahannya diberikan takrifan yang lebih spesifik lagi. Dan apabila pindaan hendak dibuat, kerajaan perlulah menjemput parti pembangkang dan NGO untuk turut sama berbincang supaya undang-undang yang dipinda nanti mewakili aspirasi rakyat seluruhnya.

Dalam melaksanakan undang-undang pula, kerajaan perlu mengelakkan pendakwaan terpilih. Pendakwaan terpilih inilah yang dilihat sebagai ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan ke atas rakyat menyebabkan ramai yang mahukan supaya Akta ini dmansuhkan.

Sebagai rakyat, saya mahu lihat kerajaan bertindak adil kepada semua rakyatnya. Sebagai rakyat, saya selalu berdoa agar negara kita selamat dan aman selamanya.
-FB Mohammad Agus Yusoff


Ulasan GB

Apakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyedari bahawa yang berjanji untuk hapuskan Akta Hasutan itu ialah Perdana Menteri sendiri iaitu Najib Razak dan disambut pula oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yasin?

Justeru itu tidak timbul soal desakan Akta tersebut dihapuskan. Yang didesak oleh pemimpin Pakatan Rakyat ialah PM dan TPM perlu menunaikan janjinya sesuai dengan slogan JANJI DITEPATI.

Mengapa kini lain bicara? Sudah jadi JANJI DICAPATI?


3 ulasan:

Amuraria berkata...

tong kosong ada bunyi daa ! ABU jangan lupa !

Tanpa Nama berkata...

Ha3..dia mudah lupa.

Tanpa Nama berkata...

Mentri ni melalut.Sejak dia jadi mentri dalam negeri hari-hari ada pembunuhan.Itu dia x mau komen.