23 Jul 2013

"So Nang So Nang" (Satu Enam - Satu Enam ), Rakyat Senang


Slogan kempen "16:16 Terengganu Mencipta Sejarah" menjadi slogan pilihan bagi PAS/Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil N.01 Kuala Besut kali ini. Untuk memberikan gambaran dan penjelasan yang jelas kepada rakyat akan slogan yang dibawa oleh PAS/Pakatan Rakyat itu, Te@M I.T telah mewawancara Pengarah Pilian Raya PRK N01 Kuala Besut, Datuk Paduka Husam Musa semalam di Pos Pemuda Tok Saboh selepas ceramah umum berakhir disitu. Ikuti wawancara tersebut.

Apakah gambaran awal Datuk mengenai 16:16?

Alhamdulillah wassolatu wassalamu ala Rasulillah.

Ditakdirkan Allah, Kuala Besut ini menjadikan kedudukan Dewan Undangan Negeri sebagai satu teka teki. Pada waktu ini Barisan Nasional mempunyai 17 kerusi dan seorang daripada ADUN ditakdirkan meninggal dunia menjadikan mereka mempunyai 16 kerusi berbanding PAS 15 kerusi. Jika ditakdirkan kemenangan berpihak kepada Che Long, maka jadilah di DUN Terengganu ini memiliki 16 kerusi untuk Pakatan Rakyat dan 16 kerusi untuk Barisan Nasional.

Dalam loghat Terengganu (Kuala Besut), '16' di sebut so nang so nang, jadi 16:16. Bermaksud so nang PAS/Pakatan rakyat: so nang Barisan Nasional (Se nang se nang), semua senang. Rakyat akan bertambah senang kerana perimbangan kuasa di dalam Dun menyebabkan kerajaan Terengganu tidak boleh meluluskan sesuka hati mereka. Pakatan Rakyat boleh memberikan tawaran-tawaran untuk menyemak apa yang mereka lakukan dan juga pelan-pelan ekonomi yang menyeluruh.

Apakah antara isu yang menarik perhatian Datuk dalam PRK N01 Kuala Besut ini?

Kuala Besut ini berpotensi sebagai kawasan industri perikanan. Negara Eropah seperti Norway, dan Jepun, industri perikanan banyak menghasilkan kekayaan pada rakyat. Nelayan mereka ada gaji tetap, berbelas ribu satu bulan, dan Jepun boleh eksport ikan ke seluruh dunia. Kita di sini dapat merasa sashimi, sushi, dan pasaraya besar di kuala lumpur ada ikan daripada Jepun tetapi tiada ikan daripada Kuala Besut.

Industri perikanan boleh dimajukan, muara sungai Kuala Besut boleh didalamkan. Isu muara sungai Kuala Besut ini sebenarnya sudah lama dijanjikan oleh Barisan Nasional berkali-kali tetapi mereka tidak menggalinya juga. Mereka hanya berjanji semasa musim pilihanraya untuk mengalinya tetapi tiada tindakan diambil. Dengan adanya Che Long sebagai wakil rakyat, insya Allah kerajaan Terengganu akan dipaksa untuk menggali Kuala Besut.Selain dari itu, Kuala Besut ini tanahnya luas. Tiap-tiap rakyat yang tidak bertanah terutamanya orang muda dan yang berumah tangga patut diberikan satu lot tanah.

Apakah impak 16:16 kepada rakyat Terengganu?

Tema utama Pakatan Rakyat kalau 'so nang : so nang' ini adalah untuk menghilangkan kemiskinan rakyat Terengganu. Dianggarkan bahawa rakyat Terengganu mempunyai 100,000 keluarga yang termiskin. Kalau kita berikan mereka bantuan bulanan, kadar kemiskinan di seluruh negara, takrifnya adalah RM720. Mana-mana orang yang ada pendapatan kurang daripada RM720 ditakrif sebagai miskin. Bermakna kalau kerajaan Terengganu ini jika ada 'so nang:so nang', kita boleh paksa Kerajaan Terengganu memberikan duit daripada sumber royalti bagi mengurangkan kemiskinan untuk semua rakyat Terengganu dalam masa satu tahun. Terengganu boleh buat, negeri lain tak boleh buat disebabkan Terengganu ada hasil petroleum.

Kemudian kita boleh buat dasar dengan memberikan rumah dan tanah kepada rakyat Terengganu khususnya untuk rakyat Kuala Besut. Jika kita pergi ke kampung-kampun didapati tanahnya luas. Kiri kanannya tanah kosong tetapi rakyatnya tidak bertanah.

Bagaimana dengan rumah atau tempat tinggal rakyat? Sebab difahamkan di Kuala Besut ini masih ada 3 generasi mendiami dalam satu rumah.

Rumah pula kita boleh cross subsidi iaitu sebahagian dibayar oleh rakyat, sebahagian dibayar oleh Kerajaan Terengganu, dalam masa sepuluh tahun semua rakyat terengganu akan memiliki rumah. Jadi tidak perlu menumpang dan tidak perlu menyewa rumah. Terengganu boleh laksanakan kerana Terengganu mempunyai tanah dan duit dan kita Pakatan Rakyat, kalau kita menang 16:16 ni kita akan bawa cadangan ini untuk dilaksanakan. Begitu juga perkara-perkara lain untuk faedah Terengganu khususnya Kuala Besut.

Jadi konsep 'so nang: so nang' ini memang masuk akal. Kalau semua pengundi mengundi Che Long hari Rabu ini, dapatlah menambah kerusi PAS menjadi 16. Dengan adanya 16 PAS dan 16 BN, maka akan jadi sama kuat dan kita boleh bentukkan dasar-dasar dan juga peruntukan-peruntukan yang kita boleh suarakan hak rakyat, dengan itu rakyat akan mendapat faedah.

Jika terjadi 16:16, Datuk pernah katakan bahawa Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu. Kenyataan tersebut dikatakan menimbulkan tanggapan yang PAS sudah mengaku kalah secara halus. Apa pandangan Dato?

Bukan masalah mengaku kalah. Kalau 16:16 macamana nak tumbang? Kalau main jongkang-jongket, sama beratlah 16:16 ini. Nak buat macamana, 16:16 macam tu jelah. Tetapi sama berat itulah yang baik disebabkan Barisan Nasional menjadi kerajaan tetapi dia kena ikut Pakatan Rakyat punya polisi. Kalau takdir esok, mati pula seorang lagi, barulah menjadi 17:15. Sekarang ini kita dah kehilangan seorang ADUN, cukuplah 16:16. Jangan mendahului kuasa Tuhan.

Nak buat macamana 16:16. Nak buang kuasa dia, tak boleh. Nak tumbangkan dia pun tak boleh. Allah berikan kita peluang itu secara berperingkat-peringkat. Kita kena redhalah dengan pemberian Allah s.w.t. Jangan pula kita lebih daripada kuasa Allah s.w.t. Tuhan dah bagi 16, kita nak jadikan kita banyak dia sedikit, nak tumbangkan dia. Tak boleh macam itu.

Kerana nak buang satu Menteri Besar, kita kena ada lebih kerusi, lebih suara, baru kita boleh mengeluarkan undi tidak percaya kepada dia. Kalau kita pun 16, dia pun 16, nak undi tak percaya macamana? Biarlah keadaan kekal seperti itu. Tetapi faedah melimpah kepada rakyat. PAS tak perlu tamak. Terimalah apa sahaja pemberian rakyat dan juga Allah s.w.t. Orang tamak selalu rugi. Kita dapatkan dahulu 16 ini. -prkkualabesut

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setuju...