9 Jul 2013

[BERGAMBAR] Seorang Guru Penolong Kanan Mati Ditembak


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Bahru, berhampiran sekolah itu, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Hashim Mat Zain, 43, yang juga guru muzik sekolah berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera terkena tembakan di bahagian dada dan bahu kanan.

"Mangsa yang sedang memandu keretanya ditembak seorang suspek tidak dikenali sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan dan berhenti di hadapan sebuah rumah penduduk. Pemeriksaan awal forensik mendapati empat das tembakan dilepaskan suspek, tiga mengenai cermin depan dan satu das mengenai cermin pintu hadapan sebelah pemandu. Sebutir peluru dijumpai dalam kusyen pemandu," katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan awal mendapati selain bertugas sebagai guru, mangsa turut menjalankan pelbagai perniagaan dan dipercayai mempunyai masalah hutang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, untuk bedah siasat. - Bernama

Guru mati ditembak sebaik keluar sekolah


Bachok: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Tawang, di sini, mati ditembak sebaik keluar kira-kira 300 meter dari pekarangan sekolah tempatnya mengajar.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, yang baru dinaikkan pangkat awal tahun ini, ditembak ketika memandu kereta Mercedes Benz seorang diri, menyebabkan kenderaannya terbabas ke kiri jalan lalu berhenti di depan sebuah rumah.

Tiga das tembakan di badan

Bapa kepada enam anak yang berasal dari Kampung Tok Dosah, Perupok, Tawang ditemui dengan tiga das tembakan di badan, mati di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, berkata pemeriksaan forensik mendapati empat das tembakan dilepaskan suspek dengan tiga daripadanya mengenai mangsa, manakala satu lagi peluru dipercayai .38 dijumpai pada kusyen pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa turut menjalankan perniagaan. Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai mempunyai masalah hutang daripada beberapa pihak dan perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Ketika kejadian itu berlaku, tiada pelajar berada di kawasan itu kerana sesi persekolahan sudah tamat pada jam 1.15 petang.

Isteri mangsa, Nur Haziani Deraman, 27, yang juga guru ganti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Perdana berkata, mereka sempat membeli pakaian Aidilfitri sebelum bercuti ke Hatyai, Thailand, Khamis lalu.

“Selepas pulang dari Hatyai, Sabtu lalu, arwah merancang mengadakan majlis hari lahir anak bongsu, Sufi Izara, 10 bulan yang genap pada hari keempat Aidilfitri. Malah, pagi tadi (semalam) pun dia masih bertanya mengenai majlis itu,” katanya menahan sebak ketika ditemui di rumah mentuanya, di Kampung Tok Dosah.

4 das tembakan

Seorang pekerja kampung, Mohamad Deris, 64, berkata dia terdengar empat das tembakan sebelum keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

Dia terkejut apabila mendapati kereta Mercedes Benz berada di hadapan rumah ibu saudaranya sebelum melihat seorang lelaki rebah pada bahagian gear kereta itu.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dan ternampak kesan tembakan di bahagian badannya,” katanya yang tinggal kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Pemilik rumah, Siti Aminah Abdullah, 53, berkata ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Zohor sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari luar kediamannya.



“Saya dapati sebuah kereta ada merempuh sedikit bahagian tangga dengan pemandunya dalam keadaan tertunduk,” katanya yang mengenali mangsa kerana sering menunaikan solat di Masjid Muhammadiah, kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.
-BH


Tiada ulasan: