21 Mei 2013

25 Mei: Pesta Himpunan Rakyat Tuntut Demokrasi


Jurucakap Gabungan NGO Suara Rakyat 505, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya akan menganjurkan ‘Pesta Himpunan Rakyat Tuntut Demokrasi’ pada 25 Mei di padang Amcorp Mall, Petaling Jaya bagi mengembalikan demokrasi yang dicuri secara besar-besaran, diikuti siri-siri lain di seluruh negara.

Katanya, pesta itu dijangka menghimpunkan rakyat dari seluruh negara agar bangkit menjadi kuasa ketiga dalam menghadapi penipuan Pilihan Raya Umum ke-13.

“Himpunan itu akan berlangsung dari petang sampai malam dan kita akan dedahkan semua bukti jelas yang kita kumpulkan dari semua Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Kita juga akan tampilkan saksi-saksi yang terlibat menguruskan pilihan raya, dan semua ini telah kita kenalpasti dan tapis kesahihannya,” kata Badrul yang juga Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Beliau mengingatkan pihak berkuasa dan rakyat agar tidak termakan dengan provokasi ‘perang saraf’ BN yang cuba mengambil kesempatan dari mood kemarahan rakyat.

“Pesta rakyat ini tiada kena-mengena dengan menggulingkan kerajaan sebaliknya kita tuntut kembalikan hak rakyat dengan cara paling demokrasi. Kita akan beri penerangan yang jelas kepada rakyat.

“Segalanya terkawal, rakyat boleh datang tanpa rasa takut, semua bukti akan kita tampilkan dalam bentuk audio-visual, anda datang dan lihat sendiri,”
katanya sambil menyifatkan pesta himpunan itu akan menjadi salah satu cara paling baik bagi rakyat menyampaikan kasih sayang kepada negara.

Selain itu, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang yang juga menyokong gerakan Suara Rakyat 505 menegaskan himpunan kali ini tiada kaitan dengan Malaysian Spring seperti yang digembar gembur media arus perdana.

“Malaysian Spring hanya agenda yang direka untuk menakut-nakutkan rakyat. Kami mahasiswa terlibat secara profesional dan kami yakin, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bertanggungjawab dalam penipuan yang berlaku, kami tuntut mereka letak jawatan,” tegas Safwan.

Gabungan 48 NGO itu antara lain menuntut tiga perkara, iaitu pembubaran SPR bagi memberi laluan kepada SPR yang dilantik secara pendengaran awam dan diletakkan di bawah kuasa Parlimen Malaysia.

Kedua, mendesak pilihan raya semula di tempat yang terbukti jelas wujud penipuan tanpa mengira logo sama ada BN atau Pakatan Rakyat.

Ketiga, gabungan ini menyokong tribunal rakyat yang diperjuangkan oleh Bersih selain mengharapkan sistem demokrasi diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.

6 ulasan:

Unknown berkata...

Tolong sediakan tempat solat yg mencukupi..

Unknown berkata...

Bangkitlah wahai rakyat dari mimpi-mimpi indah. Berjuanglah untuk menegak kebenaran. Inilah satu jalan yg boleh menyuburkan kembali demokrasi. Sekiranya bukan kita yang berjuang, kita hendak mengharapkan siapa lagi. Ayoh bangunlah dari mimpi-mimpi yg indah. Sekarang bukan masa kita lagi untuk bermimpi. Bersama-samalah kita turun ke Amcorp Mall demi masa depan anak cucu kita.

Tanpa Nama berkata...

Tak perlu tampilkan saksi ditempat awam..... rahsia sikit ,,,, sorok saksi .... nanti saksi akan diugut... akan wujud saksi buat surat sumpah menafikan kesaksian mereka.... kita harus cerdik dengan politik hari ini .... jangan tergopoh gapah ... saksi untuk ditunjukan dimahkamah .... saya amat tidah setuju jika saksi didedahkan di perhimpunan ini .... amat bahaya....

Tanpa Nama berkata...

cantik jika setiap himpunan dimulakan dengan solat maghrib-ishyak dan diikuti solat hajat sebelum acara ceramah.

zombiez berkata...

betul kata anonymous, jangan tunjuk semua saksi penting di perhimpunan nanti takut mereka diugut atau dibeli jadi katak namun menafikan kesaksian mereka. ini bukan kali pertama berlaku.... tolong bijak sikit jangan menghampakan rakyat lagi!!! setiap kali aku mengetahui segala usaha pakatan rakyat di hancur oleh pihak yang zalim itu aku turut merasa sakit hati. wahai saksi-saksi yang akan menyertai himpunan yang akan datang ini. dengarlah suara sebenar yang mulia didalam hati kamu, tunjukkan keberanian kamu dan membangga kan negara ini. hapuskan segala ketipuan dan meneggakkan kebenaran.

Tanpa Nama berkata...

Saya mewakili seluruh guru Malaysia, ayuh guru bangkit demi masa hadapan pendemokrasian pendidikan negara kita. Jangan para guru diperkotak-katikkan dengan dasar pendidikan yang dilaksanakan sesuka hati pihak gila pemerintah BN.