30 Okt 2012

Perkembangan Di Lubnan: 2 Warga Kita Nafi Militan Al-Qaeda

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Beirut minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Tentera Lubnan semalam, atas tuduhan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dan Razif Mohamad Ariffin, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sebaik mereka dibawa ke mahkamah berkenaan pada jam 10 pagi (4 petang waktu tempatan).

Bagaimanapun, hakim menangguhkan kes itu untuk disebut semula esok bagi membolehkan kedua-dua tertuduh mendapatkan khidmat peguam bela.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bapa Razif, Mohamad Ariffin Abdullah untuk menemui anaknya selama setengah jam sebelum kedua-dua tertuduh di bawa ke Pusat Tahanan Tribunal Tentera Beirut.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan, berkata hakim yang mendengar kes itu memerintahkan supaya mereka mendapatkan khidmat peguam bagi membela mereka.

Katanya, pihak kedutaan sudah mengenal pasti sebuah firma guaman di Beirut dan sedang mengkaji fakta kes itu.

Ilango berkata, beliau sudah menghantar dua pegawai kedutaan untuk menemui kedua-dua tertuduh di pusat terbabit.

Minggu lalu, pihak berkuasa Lubnan menahan tertuduh di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai menganggotai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Ariffin ketika dihubungi berkata, beliau sempat bertanyakan mengenai keadaan kesihatan anaknya selain mendapatkan maklumat lanjut sama ada diseksa semasa berada dalam tahanan.

Katanya, beliau juga masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan anaknya itu namun enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan terhadapnya.

Saya minta mana-mana pihak agar dapat memberikan saya sedikit masa dan ruang bagi mengikuti proses tuduhan ke atas anak saya dan buat masa ini saya tidak dapat mengulas dakwaan terhadap Razif, katanya yang dihubungi sejurus selesai mengikuti proses pertuduhan di mahkamah.

Ibu Mohamad Razin, Sharifah Asma, berkata dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas kesalahan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Anak saya tinggal di Melaka dan menuntut di sebuah kolej di Trolak dan sementara saya dan suami menetap di Putrajaya, saya sering berhubung dengan anak saya namun, kami tidak mengetahui pembabitannya dalam kumpulan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Antipengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan rangkaian kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Kita tak menerima maklumat mengenai rangkaian al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan adanya aktiviti merekrut rakyat tempatan menganggotai kumpulan itu di negara jiran.

Kita juga memantau kenalan kedua-dua rakyat Malaysia itu bagi mengesan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan, katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap pihak berkuasa di Lubnan mengenai penahanan itu.

Rakyat Malaysia ditahan di Lubnan tinggalkan kolej Ogos lalu TROLAK - Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Lubnan, telah meninggalkan pengajiannya pada Ogos lepas.

Pengurus Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak Norhana Samsudin berkata, pelajarnya Mohammed Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, berhenti daripada meneruskan pengajian peringkat sijil kursus Juruteknik Sistem Komputer.

"Beliau memasuki kolej ini pada 2011 dan merupakan seorang pelajar yang baik.

Beliau tidak mempunyai masalah akademik atau masalah disiplin. Tiada luar biasa mengenai pelajar itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti sebab Mohammed Razin berhenti daripada pengajiannya yang mengambil masa setahun setengah dan sekiranya masih belajar, beliau kini menjalani latihan praktikal selama tiga bulan.

Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa seorang lagi rakyat Malaysia yang ditahan, Rafik Mohammed Ariffin, 28, di Lubnan merupakan bekas pelajar kolej itu.

"Setakat ini tiada pelajar nama berkenaan, memang tidak pernah dengar dan tiada," katanya.

Norhana berkata sekiranya Mohammed Razin menghabiskan pengajiannya, beliau sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen yang dijadual berlangsung pada akhir tahun ini.

Selain itu menurut rakan Mohammed Razin yang enggan dikenali, pelajar berkenaan merupakan seorang yang pendiam dan berpegang kuat kepada agama.

"Beliau seorang pendiam, sering kaitkan sesuatu dengan al-Quran dan kisah-kisah Nabi," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Mohammed Razin ada menghubungi pihak kolej baru-baru ini selepas pelajar itu dipercayai hilang dan tidak dapat dikesan.

Media hari ini melaporkan bapa Rafik merupakan bekas tentera manakala Mohammed Razin yang berasal dari Kuala Lumpur pernah menuntut di sebuah kolej di Trolak, Perak.

Pada Khamis lepas, akhbar Lubnan, Al-Joumhouria' memetik sumber pihak keselamatan sebagai berkata warga Malaysia itu ditahan oleh pasukan perisikan tentera atas dakwaan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Siasatan mendapati dua lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam Al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat Malaysia sebelum dibawa ke Yemen di mana mereka menemui anggota lain kumpulan itu.

Al-Joumbouria berkata dua bulan lalu, kedua-dua suspek Malaysia itu cuba memasuki Syria menerusi Turki atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati
- Bernama.



Rakyat Malaysia di tahan di Lubnan perlukan pembelaan kerajaan, kata MP KUALA LUMPUR, 30 Okt — Susulan penangkapan dua rakyat Malaysia di Lubnan, ahli parlimen (MP) yang ditemui semalam menggesa kerajaan Malaysia memberi pembelaan kepada mereka dengan menghantar satu pasukan peguam.

MP Wangsa Maju Wee Choo Keong, yang ditemui The Malaysian Insider, berkata kerajaan perlu bertanggungjawab untuk memberi pembelaan kepada semua rakyat Malaysia kerana selagi belum dibuktikan bersalah, mereka perlu diberikan keadilan.

“Walaupun mereka ditangkap, tidak bermakna mereka bersalah.

“Kementerian Luar perlu bertanggungjawab untuk menyediakan peguam kepada rakyat Malaysia tersebut bagi mendapatkan pengadilan di Lubnan tetapi pada masa sama kita perlu menghormati undang-undang disesebuah negara tersebut,” kata Wee.

Menurut Wee lagi beliau tidak menolak berita penangkapan tersebut mungkin memberi impak negatif kepada imej negara tetapi menyifatkan ia tidak adil untuk membuat penilaian umum.

“Hanya dua orang yang ditangkap. Jadi, tidak adil untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara yang melahirkan pengganas.”

Chua Tian Chang (Tian Chua) juga senada dengan Wee yang bertindak menggesa kerajaan untuk menyediakan khidmat guaman kepada dua warga Malaysia tersebut.

“Sehingga tidak dibuktikan bersalah mereka masih tidak bersalah dan pengadilan perlu diberikan.

“Kes ini perlukan perhatian daripada pihak kerajaan dan perlu kedua-dua mereka yang ditahan ini mendapat hak untuk pembelaan.

“Ia bagi memastikan rakyat Malaysia tersebut tidak dianiaya dan tidak boleh membiarkan kes tersebut berlalu begitu sahaja. Campur tangan kerajaan perlu dalam kes ini,” kata naib presiden PKR itu.

MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta kerajaan memberikan penjelasan lanjut mengenai status dua orang rakyat Malaysia yang ditahan di Lubnan itu dan dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa al-Qaeda.

“Wisma Putra perlu jawab tentang isu ini agar semua rakyat Malaysia boleh tahu.

“Lebih baik lagi, jika Wisma Putra dapat memberikan laporan tersebut semasa sidang parlimen sedang berjalan sekarang agar perkara ini dapat dibincangkan bersama,” kata naib presiden PAS ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Lubnan menahan dua warga Malaysia kerana dipercayai akan menjadi pengebom berani mati dan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Al-Qaeda.

Kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.

Menurut akhbar Lubnan, Al-Joumhouria memetik sumber pihak keselamatan sebagai berkata warga Malaysia itu ditahan oleh pasukan perisikan tentera atas dakwaan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Siasatan mendapati dua lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat Malaysia sebelum dibawa ke Yemen di mana mereka menemui anggota lain kumpulan itu.

Al-Joumbouria melaporkan dua bulan lalu kedua-dua suspek Malaysia itu cuba memasuki Syria menerusi Turki atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati.

Rancangan serangan itu diselaraskan oleh seorang lelaki yang dikatakan bertanggungjawab atas kemasukan semua anggota jihad ke Syria, menurut akhbar itu lagi.

Akhbar itu melaporkan bahawa apabila dua warga Malaysia gagal memasuki Syria, mereka mengambil keputusan untuk pergi ke Lubnan bagi melakukan serangan pengganas tetapi aktiviti mereka berjaya dihidu oleh pasukan perisikan tentera.

Selepas dikesan, warga Malaysia itu ditahan dan siasatan menunjukkan mereka bercadang menghubungi seorang individu di Lubnan untuk menyelaras komplot serangan di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melakukan siasatan terperinci mengenai dua rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pada masa sama pihak kementerian sedang menunggu laporan daripada Kementerian Luar mengenai latar belakang kedua-dua lelaki terbabit untuk tindakan lanjut.

“Masih terlalu awal untuk mengumumkan penglibatan mereka (dengan keganasan dan al-Qaeda),” katanya kepada pemberita hujung minggu lalu.

-TMI

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

budak ni baik orgnye, kalau sy masuk surau kolej mesti tgk dia beribadat, slalu ikut sunnah, gna kayu sugi, seluar gantung dan lain2, dia pendiam tapi selalu senyum bila tgk org. sy x rasa dia bersalah.

Tanpa Nama berkata...

Hebatjuga Lubnan walaupun kedengaran letup sana letup sini tetapi rakyat Malaysia x kena ISA. Boleh masuk mahkamah cari lawyer pulak.Bayangkan kalau berlakukat Malaiisa...