31 Okt 2012

MP Kota Belud Diselar Kerana Tidak Jenguk Kawasan

KKota Belud: Ahli Parlimen Kota Belud Dato’ Abdul Rahman Dahlan digesa membuat lawatan ke kawasan parlimennya daripada ‘berkokok’ dan ‘menyalak’ mempertahankan pelbagai isu yang menimpa partinya, Umno.

“Sejak kebelakangan ini Rahman lebih gemar bercakap isu ekonomi negara, pentadbiran persekutuan dan kedaulatan bangsa lain sedangkan kawasannya terbiar,” kata Anggota Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga pemimpin tempatan, Peter Marajin.

“Kerajaan sering mendabik dada kononnya Kota Belud adalah jelapang padi negeri Sabah tetapi ratusan ekar sawah padi di Mukim Kelawat tidak ditanami padi. Mana pergi Rahman? “Pernahkah Rahman prihatin dan melawat para petani sawah di Kelawat?,” tanya Marajin ketika melawat kawasan itu hujung minggu lalu.

Katanya, jika para pemimpin Umno hanya tahu mendabik dada tetapi tidak sedar, atau pura-pura tak tahu, kawasannya sendiri terbiar dan dilupakan, maka ini hanyalah sandiwara politik yang perlu dihentikan dengan segera.

“Mereka ini umpama ayam jantan berkokok berderai-derai, ekornya bergelumang tahi, cuma orang tak tahu. Nah sekarang kamu tahu mana jelapang padi Kota Belud itu.

“Adakah pemimpin kerajaan hanya melihat sawah di beberapa kawasan sahaja seperti di Tempasuk dan Tamu Darat? Di Kelawat beratus ekar sawah boleh diusahakan tapi tidak ada sistem pengairan air sampai sekarang. Petani bergantung kepada hujan sahaja.

Sistem pengairan

“Kawasan-kawasan ini sebenarnya tidak memerlukan empangan, hanya perlu kepada sistem pengairan dan perparitan yang moden,” terang beliau.

Menurut Marajin yang juga seorang peguam yang popular, Rahman perlu lebih mendengar dan bukan memberi ceramah kepada penduduk kampung Kota Belud serta mencanangkan Kota Belud sebagai jelapang padi sedangkan produktiviti tak sampai ke mana pun.

“Pergilah lihat sawah-sawah di Kota Belud, makin banyak yang tidak diusahakan termasuk di kawasan yang dikatakan sudah bertahun- tahun diusaha sebagai jelapang padi.

“Janganlah pemimpin kerajaan ini tuduh orang kampung malas kerja sawah. Carilah masalahnya. Siapalah yang mahu membanting tulang di sawah tetapi harga padi hanya 70 sen sekilo umpamanya.

Kalau pandai sangat ekonomi, carilah jalan supaya harga padi naik kepada RM3 sekilogram, barulah orang berebut menanam padi,” kata Marajin.

Melepaskan batuk di tangga

Beliau menambah, usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran padi di Sabah umpama melepaskan batuk di tangga dengan daerah-daerah lain terus mengabaikan kerja menanam padi.

“Sabah masih mengimport 70 peratus berasnya sampai sekarang. Idea yang lebih baik dan usaha lebih praktikal perlu dicari untuk meningkatkan pengeluaran padi kita bukan setakat hanya mencanangkan di sana sini,” katanya lagi.

Menurut Marajin, kawasan parlimen Kota Belud sekarang mempunyai jumlah pengundi yang paling ramai di Sabah dengan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi hanya mempunyai sebuah pekan.

“Jalan masuk ke Kota Belud penuh sesak pada tiap-tiap pagi, tengah hari dan petang apa lagi ketika ada perayaan. Oleh kerana hanya ada sebuah pekan dan semuanya tertumpu di situ sedangkan jalan raya hanya satu lorong,” jelasnya.

Beliau turut menyoal, “bilakah anggota parlimen kita mahu tolong selesaikan hal ini?” “Tolonglah jangan marah-marah dan meradang bila rakyat merungut, saya sendiri pun dihujani pelbagai pertanyaan kenapa kerajaan buat itu tetapi tidak buat ini dan macam-macam lagi isu kepentingan pengguna dan rakyat di Kota Belud,” ujarnya. -FMT

5 ulasan:

Awanama berkata...

MP ni lebih risau jika x dpt sokongan najib dari masyarakat kawasannya sendiri.

Awanama berkata...

Mamat ini sudah kaya raya; orang yang kaya raya dapatnya dengan cara mudah cepat lupa asal usulnya...lagipun apa itu Kote Belut, adakah lebih cantik dari Kenny Hill?

Awanama berkata...

Dia ingat dia menteri, sebab itu bercakap berdegar-degar akhir-akhir ini.

Awanama berkata...

Ketika dia bercakap seolah-olah dia tu menteri.

Awanama berkata...

Kah! kah! Kah!

"Rahman perlu lebih mendengar dan bukan memberi ceramah kepada penduduk kampung Kota Belud"

Ini Rahman sudah komfius. Dia suka memberi ceramah sebab dia rasa dia pemimpin. Kalau dia rasa dia wakil rakyat, sudah tentu dia suka mendengar.

Lagi pun dia tengah perasan sekarang, sebab dia sangka dia lebih hebat daripada Tun Said Keruak atau Datuk Salleh, bekas MP Kota Belud.