17 Jun 2012

[WAJIB BACA] Haji-PRU: Penjelasan Mantap Presiden PAS

Haji dan politik

Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulahpilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

19 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penerangan yang jelas dan contoh2 yg mantap. Umno memang tak akan faham dulu, kini dan selamanya. Mereka ada mazhab mereka sendiri.

Tanpa Nama berkata...

Al-Hamdu lilLaah,
Terima Kasih. Aku mendapat ilmu fardu 'ain/kifayah yang baru.

Menangkan Pakatan Rakyat untuk kemudahan bersama menjujnjung Keagungan Allah Taala sebagai Tuhan dan Rasul Nya saw di dalam semua aspek kehidupan..

Tanpa Nama berkata...

MAHA SUCI ALLAH..teringat diriku ingn
tunaikan haji semasa bujang..telah d
nasihatkn para ustaz@pbimbing haji...
tangguhkan dulu kerana ibadah org sdh
kahwin lbh besar dr org bujang.stlah
kahwin ditanya lg persiapan utk pergi
dn keluarga yg ditinggalkn dah beres@
belum?cthnya sdh ada rumah utk anak isteri jika ditakdirkan menyahut panggilan ILLAHI disana...nasihat yg sama tangguhkan dulu yg penting usaha
niat dan doa kearah itu telah dibuat

Tanpa Nama berkata...

Pihak Tabung haji juga bertanggungjawab untuk memberi penangguhan kpd jemaah haji PR. Orang umno yg nak pergi..teruskan. Jika pemimpin kali pembelit, kaki perasuah yg menang... siapa yg ikut berdosa?. Rakyat Malaysia betul2 bersemangat ingin membersihkan saf kepimpinan di Malaysia yg tidak boleh diharapkan lagi.

Tanpa Nama berkata...

Kenapa UMNO menzalimi umat islam???

Tanpa Nama berkata...

UMNO KATA PEJUANG MELAYU,TAPI TAK BENAR MELAYU MENGUNDI, ZAMAN MAHATHIR DAH BUAT PRU MASA HAJI

Tanpa Nama berkata...

kalau PRU13 musim haji, memang Umno anti umat islam

Tanpa Nama berkata...

Sapa bnyak membaca kitab2 tafsir terutamanya, attend majlis ilmu dgn ikhlas kerana Allah, insyaAllah diberi ilmu yg tak diberi pada yg lain.

Terus terang le aku katakan dlm kontek skrg, kbnyakan org2 UMNO depa lebih banyak baca bahan2 meroyan, melekakan, attend prog2 hiburan2 yg melalaikan dll sekapal dgnnya, yg ulamak pula join UMNO dpt jwtan habuan, (depa tau tapi diamkan atau berbelit2) ---> so isu yg ditimbulkan ni akan menyebabkan depa meloncat, pelik, dll yg akhirnya menyerlahkan kebekuan & ketidak cerdikan.

Tanpa Nama berkata...

Adakah senarai haji tahun ni keutamaan kepada umat islam yang tak sokong Bn??

1 Malaysia berkata...

Alhamdulillah. Tanah air AKU masih mempunyai insan dan tokoh Islam yang berwibawa, berakhlak mulia, berilmu tinggi, ....
Terima kasih pada TG Haji Hadi yang memberi penjelasan dan ilmu baru. AKU telah mengikut pengajian TGHH sejak dari Masjid Rusila iaitu sewaktu AKU masih belajar di kolej dan masih belum Islam. Waktu AKU memasuki masjid bersama rakan-rakan AKU yang belum Islam mendengar kuliah paginya. Amat terasa ketenangan waktu itu. Tiada siapa pun yang menghalang kami memasuki masjid Rusila walaupun depa sedar akan kehadiran kami. Berkat dan atas kehendak Allah swt, ketiga-tiga kami telah memeluk agama Islam dan masih Islam sehingga hari ini. Terima kasih TGHH atas ajaran yang diberi tempoh hari. AKU bangga mempunyai seorang guru seperti TGHH dan tak lupa TG Nik Aziz juga.
AKU berharap sinar Islam akan berkembang pesat dan subur di atas TANAH MELAYU ni. insyaallah.

Tanpa Nama berkata...

Antara contoh yg diwar2kan oleh guru2 dulu2 ialah ttg seorg yg nak pi hj tapi ditangguhkan sbb bantu jirannya yg sangat miskin hingga makan yg tak halal, then dikatakan oleh org alim yg dpt mimpi wlu dia x pi haji tapi dia dpt pahala hj thn tu..

Takkan le cerita tinggal cerita aje. Bila Allah buka depan mata contoh2 seumpamanya (wlu tak exactly sama), tu utk kita berfikir le..

Bnyakkan baca bahan2 agama dari ulamak2 & ahli2 tafsir. Ahli2 tafsir pun berbeza2 ikut zaman, iman Safie pun bila pi Mesir dari Iraq pun berbeza amalan, asal tak lari akidah.

Islam tu mudah & cantik, bukannya terkinja2 atas pentas dedah sana dedah sini. Org2 UMNO kena mula pi Majlis Ilmu buka kitab kerana ALLAH, bukan pi poco2 ,tengok Melodi,Kpop esp yg tua2 tu.

Berubah le. Klu tak, tu le sbbnya masih sokong UMNO wlu penyelewengan & tak amanah depan mata .

Tanpa Nama berkata...

Pakatan Rakyat patut buat janji untuk beri keutamaan menunaikan haji kepada bakal jemaah yang menolak masa PRU13, jika perintah malaysia

Tanpa Nama berkata...

makin lama UMNO perintah malaysia makin teraniaya umat islam seperti di MEMALI

Tanpa Nama berkata...

Mari kita tolak mana-mana kumpulan atau jemaah (walaupun mendakwa mahu menghidupkan sunah Nabi Muhammad) sekiranya mereka memisahkan agama dengan kehidupan (termasuk politik, sains dan teknologi dan sebagainya)

Tanpa Nama berkata...

Jangan adakan pilihan raya pada musim haji jika perlukan undi Islam.

Tanpa Nama berkata...

UMNO DAH MULA BIMBANG UNDI UMAT ISLAM TIDAK MENYEBELAHI MEREKA....

Tanpa Nama berkata...

bukan haji dan hajjah saja tak mahu undi BN, kami pemuda pun dah meluat dengan UMNO dan BN

Tanpa Nama berkata...

kami hutang PTPTN ribu-ribu mana boleh keluar negara, kena jatuhkan BN dulu, baru hilang blacklist

Tanpa Nama berkata...

kenapa mufti Abuya UMNO tiada komen????