4 Apr 2012

Hassan Ali Belum Serah Video Murtad Kepada MAIS

Kami masih menunggu video murtad Hasan Ali, kata pengerusi MAIS

KUALA LUMPUR, 4 April — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masih menunggu video bukti kegiatan murtad yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Hasan yang juga ahli jawatankuasa agensi itu telah menjelaskan tentang perkara itu pada mesyuarat yang diadakan semalam.

Jelas beliau, tindakan selanjut tidak boleh dilakukan sekiranya Hasan tidak menyerahkan video tersebut.

"Mais bersedia menerima video berkaitan kegiatan murtad untuk kita buat siasatan lanjut...kita akan terima apa-apa bukti lain termasuk video.

"Beliau (Hasan) telah memaklumkan perkara ini kepada kita, beliau sudah jelaskan apa yang beliau lakukan dan kita akan ambil tindakan selanjutnya jika menerima video itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin Hasan membuat pendedahan tentang kegiatan murtad yang berlaku selain mempunyai tiga versi video berkenaan.

Pada sesi pendedahan itu, Hasan hanya mendedahkan dua daripada tiga video tersebut dengan durasi 16 dan 42 minit yang menayangkan pengakuan sepasang suami isteri yang telah kembali kepada Islam selepas murtad.

Kata Hasan, beliau tidak menolak untuk menyerahkan video bukti gejala murtad itu kepada JAIS sekiranya agensi agama itu memerlukannya.

Menurut Mohamad Adzib, pihaknya melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan dan Penguatkuasaan akan menerima serta memantau aduan berhubung usaha memurtadkan umat Islam dan ajaran sesat di Selangor termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sewajar.

Selain itu, jawatankuasa tetap itu juga akan memantau serta menangani isu murtad dan ajaran sesat di Selangor.

"Kita ada jawatankuasa yang akan meneliti setiap aduan atau laporan yang dikemukakan, serahkan sahaja video itu kepada Mais atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Setakat ini kita masih menunggu (video daripada Hasan)," kata Mohamad Adzib.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa membuat pemerhatian dan mengumpul maklumat mengenai kegiatan murtad.

"Kita juga ada pelan tindakan yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah. Kita akan kumpul maklumat dulu kemudian baru ambil tindakan sesuai," katanya.

Mohamad Adzib juga mengingatkan gerakan yang terlibat dalam kegiatan Kristianisasi agar menghormati peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita ada undang-undang untuk mencegah, tindakan akan diambil jika terdapat bukti ia (kegiatan murtad) berlaku.

"Kita ada jawatankuasa yang akan pantau perkara ini," katanya. -TMI

Murtad: Hasan Ali dendam peribadi atau iri hati?

KUALA LUMPUR, 4 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali yang berterusan menunjukkan serangan yang bermotifkan dendam peribadi terhadap Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman.

“Dengan tanpa usul periksa maka Hasan Ali terus-terusan melempiaskan amarah beliau terhadap Dr Abdul Rani kerana termakan dengan ‘hasutan jahat dan fitnah’ media massa yang telah memutarbelitkan kenyataan sebenar Dr Abdul Rani berkenaan isu gejala murtad yang semakin meruncing di dalam negara ini,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Justeru, kata beliau, pihaknya merasakan Hasan semakin bercelaru di dalam tindakan beliau untuk menangani isu murtad apabila tidak menggunakan saluran yang sebenarnya di dalam menyelesaikan isu terbabit.

Sepatutnya, ujar beliau, Hasan perlu menyerahkan segala pembuktian yang ada dalam simpanannya kepada pihak yang berwajib untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

“Tetapi Datuk Hasan Ali nampaknya lebih selesa ‘pusing satu Malaysia’ untuk mengecam individu-individu tertentu di dalam PAS yang telah menyebabkan beliau dipecat daripada PAS di atas pentas Umno daripada membicarakan isu murtad,” katanya kepada Harakahdaily.

Hasbullah menambah, pihaknya turut mengecam sikap ‘double standard’ Hassan yang hanya ‘berkokok’ setelah kehilangan kuasa Exco Kerajaan Selangor untuk membangkitkan soal isu murtad sedangkan masalah itu bukan baru wujud dan tidak hanya berlegar di negeri Selangor tetapi telah menjadi isu nasional.

“Sepatutnya Datuk Hasan Ali memberikan tekanan kepada pihak kerajaan persekutuan yang ditunjangi oleh Umno untuk mengambil cakna terhadap isu murtad ini dengan menggubal dan melaksanakan undang-undang hudud di peringkat nasional,” katanya.

Selain itu, tambahnya hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu sejak tahun 90-an lagi perlu disokong untuk mempastikan gejala murtad dapat dibendung.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS negeri mencabar Hasan supaya dapat memperjuangkan isu murtad dan pemurnian aqidah itu kepada pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Ini, katanya kerana isu itu berlaku dan terus ‘subur’ adalah disebabkan ‘kejayaan’ mereka memerintah negara ini selama 50 tahun lebih.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional adalah sangat ‘mesra dan akrab’ dengan budaya maksiat, politik kotor dan gejala-gejala yang merosakkan akhlak masyarakat sehingga menyebabkan mereka terperangkap di dalam dunia jahiliyyah moden yang tidak mempedulikan lagi antara batas-batas iman dan kufur.

Oleh itu, katanya Pemuda PAS negeri Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyambut cabaran Pemuda dan mengagendakan isu murtad dan pemurnian aqidah itu secara konsisten sehingga Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan undang-undang hudud di peringkat pusat.

“Janganlah hanya kerana kehilangan jawatan dan pangkat menyebabkan emosi diri menguasai pertimbangan akal sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk, sahabat dan musuh yang sebenarnya,” ujarnya lagi.
-HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tgk kan aja