21 Feb 2012

[Video] Manjoi Dilanda Banjir Kilat Terburuk Dalam Tempoh 10 Tahun

Manjoi - “Habis rumah pusaka peninggalan keluarga dimasuki air Sungai Pari yang terletak berhampiran dengan rumah kami.

“Sebelum ini, pernah juga kejadian banjir ini berlaku namun ia tidaklah seburuk yang berlaku pada hari ini (semalam),” luah Habsah Shariff, 56, salah seorang mangsa banjir yang tinggal di Jalan Raja, Kampung Manjoi.

Beliau yang tinggal bersama suami dan dua anak itu menyedari air semakin naik sehingga ke paras lutut pada jam 8 pagi.

“Kira-kira jam 3 pagi, hujan lebat melanda kawasan ini namun tidak menyangka air naik dengan cepat sehingga turut menjejaskan rumah lain yang terletak berhampiran.

“Boleh dikatakan semua barangan di rumah ini tidak dapat diselamatkan akibat banjir kilat itu,” katanya.

Pasangan suami isteri, Mohd Daud Abas, 61, dan Zaleha Mat Lin, 50, berkata mereka menyedari paras air mula naik selepas solat Subuh.

Mohd Daud yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa mereka sekeluarga tidak mendengar siren amaran yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Lazimnya, setiap kali paras aircapai tahap bahaya siren amaran pasti berbunyi namun pagi ini ia gagal berfungsi,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 500 penduduk di sekitar Gugusan Manjoi, Buntong, Silibin dan Batu Gajah terpaksa dipindahkan akibat hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi semalam.

Difahamkan, paras air turut naik antara 0.5 hingga satu meter dalam kejadian itu.

Antara kawasan yang teruk terjejas termasuklah Kampung Manjoi Lama, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Taman Muhibbah, Taman Lim, Kampung Sungai Pari dan Kampung Sungai Terap, dekat Batu Gajah.

Bagi penduduk di Gugusan Manjoi semua mangsa yang terlibat ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Orang Ramai Manjoi dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kampung Tengku Hussein.

Dalam perkembangan sama, jambatan konkrit di Taman Wing Onn juga runtuh dan beberapa buah sekolah turut ditutup termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri dan SK Seri Mutiara.

SK dan SMK Tarcisian Convent serta SMK Dr Megat Khas turut dinaiki air namun keadaannya tidak serius dan persekolahan dijalankan seperti biasa.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut kelihatan sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah sarap yang tersangkut di jambatan Jalan Raja untuk memudahkan aliran air Sungai Pari bergerak lancar.

Terburuk dalam tempoh 10 tahun

Adun Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang melawat kawasan tersebut memberitahu kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, sebelum ini pernah juga berlaku bencana sedemikian namun keadaannya tidak membimbangkan.

“Hujan lebat luar biasa yang bermula sejak 2 pagi tadi (semalam) adalah di antara punca berlakunya banjir kilat itu.

“Keadaan itu menyebabkan takungan air sungai tidak dapat menampung lebihan air sehingga mengakibatkan ia melimpah ke kawasan kampung berhampiran.

“Justeru, satu jawatankuasa tindakan banjir daerah kecil Ipoh ditubuhkan bagi mengawasi bencana tersebut yang membabitkan beberapa agensi termasuklah MBI, JPS dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Menurutnya, melalui laporan awal yang diterima daripada Jabatan Meteorologi banjir itu ditanda sebagai kawasan jingga yang bermaksud kawasan berkenaan mempunyai risiko untuk dilanda banjir semula.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kawasan tersebut masih belum selamat untuk diduduki kerana hujan dijangka akan berlaku pada sebelah petang dan mereka diminta untuk lebih berwaspada,” katanya.

Nadzri berkata, sebelum ini, pihaknya pernah menawarkan penduduk yang terdedah dengan risiko banjir untuk pindah ke kawasan lebih selamat namun ada dalam kalangan mereka yang mempunyai alasan tersendiri untuk terus tinggal di kampung tersebut.

“Mungkin mereka mempunyai nostalgia tersendiri dan sayang untuk meninggalkan kampung itu.

“Bagaimanapun, kami akan cuba berbincang dengan keluarga yang berisiko tinggi untuk berdepan dengan banjir supaya mereka ditempatkan di kawasan lebih selamat,” katanya.

Beliau turut mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir tersebut. -SH







Tiada ulasan: