14 Feb 2012

Pejabat Apek (Penjaga Gol Kelantan) Disimbah Cat Hitam Kali Ketiga

Kta Bahru - Setelah berdepan tohmahan yang menjadi punca putusnya pertunangan seorang gadis, penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat (gambar kecil), 23, atau Apek dilanda dugaan lagi apabila pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn. Bhd., di Jalan Seri Cemerlang di sini disimbah cat hitam.

Gambar: SEIYED AHMAD menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran kejadian simbahan cat berwarna hitam di pejabat KFR di Kota Bharu semalam.

Perbuatan khianat yang dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu merupakan yang ketiga sejak 5 Februari lalu sehingga mendorong Apek dan pihak pengurusannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini kelmarin.

Tindakan itu terpaksa diambil kerana mereka bimbangkan keselamatan diri masing-masing setelah keadaan sama berulang dua hari berturut-turut.

Menurut pengurus syarikat itu, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff, dalam kejadian pertama 5 Februari lalu, pintu depan pejabat itu disimbah cat hitam dan diikuti kejadian kedua pada Sabtu lalu yang menjadikan papan tanda dan pagar tempat simbahan cat tersebut, manakala dalam kejadian ketiga kelmarin bahagian lantai dan dinding luar pejabat sehingga ke bumbung pula menjadi 'mangsa'.

"Ketika kejadian pertama berlaku, Apek dan kami cuba berfikiran positif dengan menjangkakan ia cuma perbuatan nakal budak-budak tetapi apabila berlaku kejadian kedua dan ketiga, kami mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik," katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini semalam. -kosmo

erulang kali disimbah cat

KOTA BHARU: Selepas dipalit kontroversi dan menjadi mangsa fitnah, penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar), 23, atau Apek, berdepan pula ancaman pihak tertentu apabila bangunan pejabat syarikat miliknya, Khairul Fahmi Resources Sdn Bhd (KFR), di sini, disimbah cat hitam.

Pengurus KFR, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff berkata, bangunan terletak di Jalan Seri Cemerlang, Dusun Raja itu disimbah cat hitam tiga kali.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku antara 3 dan 4 Februari, diikuti kejadian kedua pada 9 Februari lalu dan terbaru Sabtu lalu.

Kejadian itu mendorong Seiyed Ahmad membuat laporan polis bersama Khairul Fahmi di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 1.33 tengah hari, kelmarin dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Ketika kejadian pertama antara 3 hingga 4 Februari lalu, saya menyangka ia (simbahan cat) perbuatan budak nakal, namun selepas kejadian sama berulang, saya terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan Apek dan kakitangan.

“Kami tidak mahu menuduh sesiapa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Kami tidak mahu berlembut lagi kerana kejadian ini menjejaskan reputasi syarikat dan mengancam keselamatan orang lain terutama Apek,” katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini, semalam.

Menurut Seiyed Ahmad, satu bungkusan plastik mengandungi cat hitam turut ditemui di hadapan pintu masuk pejabat KFR pada Sabtu lalu dan bungkusan itu sudah diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.

Katanya, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain memantau sebarang pergerakan mencurigakan.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam, enggan mengulas dan menyerahkan kepada pengurusan KFR untuk membuat kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
-HM