22 Jan 2012

Dengan Rahmat Allah, Kembar Terpisah 67 Tahun Akhirnya Bertemu

Batu pahat – Siapa sangka, dalam keadaan berputus asa setelah usaha mencari kembarnya di negara asing selama berpuluh tahun, bukan setakat gagal malah langsung tiada petunjuk, ketika itulah doa Walitah Sawiyan, 70, dimakbulkan.

”Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa,” kata Walitah.

Namun takdir menentukan pada 4 Januari lalu ketika menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian untuk pulang ke Tembilahan, Sumatera dalam perjalanan yang disangkanya adalah yang terakhir untuk mencari kembarnya itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.

”Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat,” katanya.

Lalu Walitah mengajak wanita yang menegurnya itu untuk membawa dia bertemu dengan jirannya yang dikatakan wajah saling tak tumpah itu.


”Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi,” kata Walitah sambil mengesat air mata.

Terharu sungguh dia dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkanya itu.

Walitih yang turut serta dalam pertemuan dengan Sinar Harian, bagaimanapun memilih untuk tidak berkata apa-apa.

Dia lebih selesa melayan perasaan dengan caranya yang tersendiri setelah dipertemukan dengan kembar yang dirinduinya selama 67 tahun itu.

Apa pun, setelah bertemu Walitih, pencarian Walitah sebenarnya masih juga belum berakhir. Mereka kini sedang mencari seorang lagi adik, Tiwan yang berusia 10 tahun ketika hilang sebaik Perang Dunia Kedua meletus.

Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.

”Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat,” katanya.

Meskipun berjauhan, kata Walitah, sejak itu dia tidak pernah melupakan adik beradiknya, yang kesemuanya lima orang.

”Dua daripada saudara saya, lelaki. Kedua-duanya hilang pada zaman perang. Seorang lagi perempuan, sudah meninggal,” katanya.

Bermula awal 2010, Walitah berkali-kali datang mencari kembarnya di sekitar Bukit Naning dan Batu Pahat.

”Saya bukan saja gagal temui dia, malah langsung tidak ada petunjuk,”katanya.

Rupa-rupanya, usaha Walitah itu disukarkan oleh satu sebab, Walitih kini bukan lagi dikenali sebagai Walitih.

”Dia sudah punya nama baru, Patimah Ijap. Sebab itu saya tak jumpa dia,” kata Walitah dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.

Kerana itulah juga, kata Walitah, jika Walitih tidak juga ditemui, dia akan hentikan terus pencarian itu.

Kini, setelah bertemu dengan kembar yang dicari-carinya, Walitah sebaliknya sudah tidak mahu kembali ke Indonesia lagi.

”Di sini kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya. Saya mahu tinggal terus di sini bersama kembar saya sampai akhir hayat,” katanya.

Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia.

”Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi. Biarlah sisa usia yang ada kami isi bersama setelah 67 tahun kami terpisah,” katanya dengan nada dan wajah yang sangat terharu.

Bersuara bagi pihak ibunya, anak Walitih, Saniyah Sahidan, 43, berkata, dia dapat merasai kegembiraan dan kelegaan hati ibunya setelah dipertemukan semula dengan kembar yang dirinduinya sejak sekian lama.

”Saya tak sanggup melihat dia sedih semula. Kerana itu, saya harap ada pihak sudi membantu ibu saudara saya ini kembali semula menetap di tanah air yang telah ditinggalkannya sekian lama. Ini negaranya, dia lahir di sini dan ibu bapa mereka juga orang sini. Cuma kepayahan hidup pada zaman perang yang membawa dia ke sana sedangkan itu bukan negaranya,” katanya. -SH

Tiada ulasan: