29 Nov 2011

Azan Selamat Nyawa Guru

Melaka: “Saya terkejut apabila kereta terus berhenti secara mengejut dan melihat kira-kira 20 batang besi yang diikat menembusi ke dalam kereta hingga mengenai gear automatik kereta,” kata Faridah M Lajis, 40, yang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan besi di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran pasar raya Tesco, dekat sini, petang kelmarin. Gambar fail.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca apabila kira-kira 20 batang besi dibawa lori satu tan dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu tidak diikat dengan kemas sehingga ia terhumban menembusi cermin belakang kereta berkenaan.

Mangsa yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Telok Mas, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Duyong, dekat sini, selepas menghadiri mesyuarat berkenaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebelum kejadian kereta dipandunya di lorong kanan Lebuh AMJ bergerak perlahan apabila menghampiri persimpangan Melaka Sentral diekori lori berkenaan yang sarat dengan muatan besi.

“Saya dari Sekolah Menengah Sri Tanjung, Klebang dan sebaik tiba di tempat kejadian semua kenderaan dipandu perlahan kerana ia berdekatan persimpangan dan tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum telinga berasa berdesing,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, terkejut dengan kejadian itu dia kemudiannya melihat ke bahagian belakang kereta dan mendapati sebahagian besi itu menembusi keretanya.

Katanya, panik dengan kejadian itu, dia segera menelefon ayah dan suaminya mendapatkan bantuan.

“Jantung saya seperti nak gugur apabila melihat besi itu nyaris kena saya. Mujur ketika kejadian saya bersandar di tingkap untuk mendengar azan.

“Syukur Tuhan masih memberi kesempatan kedua kepada saya, selamat daripada kemalangan ini adalah hadiah paling istimewa dalam hidup kerana esok (hari ini) adalah hari lahir saya,” katanya. -HM

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pemandu lori otak lebih teruk dari lembu...