14 Nov 2011

307 Rekrut Gangster Melayu Diberkas

Manjung: Sekumpulan individu dipercayai dianggotai penjenayah dikesan cuba merekrut ahli baru mereka termasuk membabitkan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, menerusi penganjuran satu majlis khas di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Gambar: ANTARA tujuh wanita yang hadir pada majlis angkat sumpah kumpulan penjenayah di sebuah Resort di Teluk Batik, malam kelmarin. 33 pelajar bakal duduki SPM, 7 wanita ditahan di sebuah resort

Mereka yang dipercayai datang dari seluruh negara terutama dari Pulau Pinang dikatakan mula mendaftar masuk ke resort itu bermula jam 3 petang kelmarin bagi menghadiri majlis ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang dijadualkan diadakan di resort sama, bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun, aktiviti dan perhimpunan haram itu berjaya dibanteras apabila sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Perak dibantu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyerbu majlis terbabit kira-kira sejam kemudian.

Serbuan itu berjaya menahan 307 individu berusia 17 tahun hingga 30-an termasuk tujuh wanita dan 39 pelajar yang 33 daripadanya bakal menduduki SPM serta tiga kakitangan kerajaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ketika serbuan dijalankan, semua mereka sedang mendengar ucapan dan dipercayai dalam proses mengangkat sumpah menjadi ahli kumpulan.

Katanya, polis mengesyaki mereka mengadakan majlis khas itu untuk merekrut ahli kumpulan baru dan menjadikan program hari keluarga berkenaan sebagai mengaburi pandangan masyarakat serta pihak berkuasa.

"Pada serbuan pertama, kami menahan 180 individu di dalam dewan berkenaan, manakala selebihnya ditahan di beberapa lokasi selepas siasatan susulan dibuat.
“Turut dirampas kemeja-T, pelekat kenderaan dan rantai kunci berlogo sebuah pertubuhan bukan kerajaan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

"Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 327 Kanun Keseksaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut. Siasatan polis mengesyaki kumpulan terbabit dipercayai mengadakan majlis mengangkat sumpah untuk sebuah kumpulan kongsi gelap," katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lobi resort berkenaan ketika serbuan dijalankan mendapati satu kain rentang tertera tulisan 'Hari Keluarga Genki Seven Malaysia' yang disertakan dengan logo kumpulan. -BH

180 bakal gengster Melayu dicekup


Sebuah dewan resort di Teluk Batik, Lumut telah ditempah khas oleh ahli Genki Seven Malaysia untuk melakukan ikrar sumpah taat setia.

LUMUT – Sekumpulan 180 individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap di sebuah resort di Teluk Batik di sini kelmarin.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, semua ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama Genki Seven Malaysia (Generasi Kini Tujuh Malaysia) termasuk tujuh wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu melakukan serbuan di resort tersebut.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka sedang membaca ikrar dipercayai berkaitan dengan kegiatan ala kongsi gelap.

“Kumpulan berkenaan dipercayai mendaftar masuk ke resort itu pada petang semalam (kelmarin) dengan berselindung di sebalik program hari keluarga,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, ikrar yang dibacakan oleh kumpulan itu adalah ikrar sumpah untuk taat setia kepada ketua kumpulan dan akan saling melindungi ahli-ahlinya.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah 39 pelajar termasuk 33 orang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Turut ditahan tiga kakitangan yang bekerja dengan agensi kerajaan. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak.

Genki Seven Malaysia yang hampir keseluruhannya dianggotai orang Melayu dipercayai baru ditubuhkan pada 2006 dan didakwa berpusat di Ipoh.

Kumpulan itu kini memperluaskan sayapnya dengan membuka cawangan di Taiping. Genki Seven Malaysia juga sedang mencari ahli-ahlinya dalam kalangan orang muda dan mereka yang masih bersekolah.

“Siasatan polis mendapati perhimpunan haram yang dipercayai menjurus aktiviti kongsi gelap itu didalangi seorang kakitangan agensi kerajaan yang bekerja di Ipoh. -kosmo


Tarian ghairah buka ‘ritual’

MANJUNG: Mereka dihiburkan dengan tarian ghairah oleh sekumpulan gadis cantik sebelum dikumpulkan di dalam satu dewan besar untuk menjalani satu ‘ritual’ khas bagi ditauliah menjadi ahli pertubuhan kongsi gelap.

Itu antara sesi angkat sumpah yang dilalui 307 orang termasuk remaja berusia 17 tahun sebelum ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) negeri di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, 307 individu berusia dari 17 hingga 30 tahun itu berkumpul di resort berkenaan mulai jam 8 malam kelmarin lengkap memakai kemeja-T dengan logo pertubuhan itu.

Berselindung di sebalik program Hari Keluarga, acara itu dikendalikan sekumpulan individu dipercayai ahli kumpulan gengster untuk merekrut ahli baru.

Difahamkan, peserta program itu datang dari seluruh negara untuk menyertai kumpulan berkenaan dan mendaftar masuk di resort bermula jam 3 petang kelmarin. -hm

DITAHAN...gadis yang menghiburkan program terbabit.

KUMPUL... belia dan remaja dikumpulkan polis, kelmarin.



4 ulasan:

Yong berkata...

betulkah mereka gangster atau hanya anak muda yang perlukan perhatian dan kasih sayang ibubapa?

Tanpa Nama berkata...

mereka anak muda yg tdk tahu menghargai kasih sayang orangtua !

mereka anak muda yg mahu mencari kesenangan dengan mudah!

mereka anak muda yg hanyut dengan permainan dunia , mereka terlalu mengikut nafsu tanpa memikir kesan buruk kemudian hari !

mereka bukan orang bodoh , mereka berpendidikan , mereka tahu membezakan mana baik mana buruk tapi kerana memenuhi selera dan kehendak nafsu diri mereka melupakan semua itu ..

Tanpa Nama berkata...

kalau masa pilihanraya kecil, UMNO pun jadi gangster bagaimana nak rakyat tak jadi samseng

Tanpa Nama berkata...

memalukan kaum je camni..macam mana melayu nak maju kalau camni? kata nak martabatkan bangsa melayu..siap dgn tarian lucah lagi. kaum lain tgk kaum kita gelak sakan je.. bangunlah MELAYU!