26 Apr 2011

Cubaan NATO Bunuh Ghaddafi: Pejabat Gaddafi Musnah Dalam Serangan Udara

Tripoli: Pejabat pemimpin Libya, Presiden Muammar Gaddafi, di Tripoli musnah dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) awal pagi semalam.

Seorang pegawai pemerintah Libya yang membawa wartawan melihat tempat kejadian di kawasan Bab al-Aziziyah itu, berkata 45 cedera dengan 15 parah dalam serangan itu.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu.

'Ia adalah cubaan membunuh Kolonel Gaddafi,' katanya.

Tidak diketahui di mana Encik Gaddafi berada semasa serangan itu.

Dalam serangan itu, sebuah bangunan yang menempatkan perpustakaan dan pejabat Presiden rosak teruk.

Bangunan kedua, di mana Encik Gaddafi menerima kedatangan pemimpin luar negara turut musnah.

Hanya dua minggu lalu, Encik Gaddafi telah menerima kedatangan delegasi yang dipimpin oleh Presiden Afrika Selatan, Encik Jacob Zuma, di dalam bangunan itu.

Delegasi itu telah menggesa agar satu gencatan senjata dikuatkuasakan segera dan dialog diadakan di antara para pemberontak dan pemerintah.

Mengulas serangan semalam, anak lelaki Encik Gaddafi, Encik Seif Al-Islam, berkata: 'Serangan para pengecut ke atas pejabat Muammar Gaddafi ini mungkin boleh menakutkan kanak-kanak tetapi kami tidak akan mengaku kalah dan kami tidak takut.'

Serangan ke atas pejabat Encik Gaddafi itu dilancarkan selepas askar pemerintah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas bandar Misrata kelmarin, menyebakan sekurang-kurangnya 32 orang terkorban dan berdozen lain cedera.

Bandar yang didiami 300,000 orang itu dikepung oleh askar yang taat dengan Encik Gaddafi sejak dua bulan lalu.

Jurucakap pemerintah Libya, Encik Moussa Ibrahim, berkata serangan ke atas Misrata adalah sebagai tindak balas atas serangan pemberontak.

Beliau menegaskan sebahagian besar bandar itu masih berada di bawah kawalan pemerintah.

Salah seorang penduduk Misrata yang cedera, Encik Osama al-Shahmi, berkata askar Encik Gaddafi membedil bandar itu menggunakan roket.

'Mereka tiada belas kasihan. Mereka melancarkan serangan secara bertubi-tubi. Seorang orang di Misrata kini yakin bahawa diktator itu harus diguling,' katanya.

Sementara itu, di Washington, tiga anggota Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Senat menyeru agar lebih banyak usaha dilakukan untuk mengguling Encik Gaddafi, termasuk menyasarkan serangan udara ke atas sekutu rapatnya. -- AFP, AP, Reuters.




Tiada ulasan: