14 Feb 2011

Facebook Jadi Tempat Janda Duda Bersua Dan Nikah Semula

JODOH pertemuan di tangan Tuhan. Tetapi bagi sesetengah janda dan duda, cinta mereka bermula dari Facebook.

Vista Sakinah bantu 400-500 pasangan buat persiapan bernikah semula

Bibit-bibit cinta mekar semula setelah 'tersua' bekas buah hati atau sahabat lama menerusi laman rangkaian sosial itu.

Menurut Vista Sakinah, sebuah pusat sosial yang membantu keluarga tiri dan pasangan yang ingin berkahwin semula, lebih 90 peratus pasangan mengenali kekasih mereka menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook, myspace, alamak.com dan whosgoing.com.

'Perkenalan dengan pasangan baru sering bermula apabila satu pihak mahu menjalin persahabatan dengan penuh keikhlasan - iaitu menyambung semula persahabatan yang terputus atau menjalin persahabatan berdasarkan minat dan kecenderungan yang serupa.

'Hari demi hari, perkenalan mereka melahirkan bibit-bibit kemesraan dan akhirnya menjadi tempat mengadu. Dan bermulalah bibit-bibit cinta,' menurut Pemangku Pengurus Pusat Vista Sakinah, Cik Fazlinda Faroo.

Vista Sakinah, yang dikendalikan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), kini membantu sekitar 400 hingga 500 pasangan yang ingin bernikah semula.

Setiap bulan, pusat yang terletak di Woodlands Drive 44 itu menerima 40 pasangan yang mendaftar bagi program persiapan perkahwinan semula.

Antara lain, Vista Sakinah menyediakan khidmat dan program menyeluruh agar pasangan Melayu/Islam yang berkahwin semula menerima kaunseling dan bantuan bagi memastikan mahligai baru yang dibina semula tidak berakhir dengan perceraian.

Sebelum adanya laman rangkaian sosial, perkenalan sering terjalin apabila pasangan diperkenalkan rakan-rakan, berjumpa dalam majlis rasmi, di tempat kerja atau menerusi panggilan telefon.

Menurut Cik Fazlinda, baru- baru ini, beliau bertemu satu pasangan yang menjadi 'rakan' di Facebook setelah mereka 'menengok-nengok' profil rakan sekolah mereka yang lama.

'Kerana ingin tahu perkembangan satu sama lain, mereka mula menghantar e-mel menerusi Facebook. Hubungan itu berjalan seperti biasa sehinggalah satu pihak melalui proses perceraian dan berpaling kepada rakan Facebooknya itu untuk dijadikan tempat mengadu. Hubungan mereka mula terjalin,' ujar Cik Fazlinda.

Hampir semua pasangan yang mahu menjalin hubungan lebih rapat akan mula berpacaran tetapi masih meneruskan komunikasi menerusi laman rangkaian sosial.

Lebih 80 peratus pasangan yang kini dibantu Vista Sakinah mempunyai e-mel.

'Bilangan pelanggan yang tidak mempunyai kemudahan komunikasi menerusi Internet amat kecil.

'Ia menunjukkan bahawa sebahagian besar pelanggan kami mahir menggunakan Internet dan mempunyai akses kepada kemudahan perhubungan secara dalam talian,' jelas Cik Fazlinda lagi. -BHS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cik fazlinda.terima kasih.boleh syorkan laman utk cari jodoh?