2 Jan 2011

Beg Plastik: Pusat Akhirnya Mengikut Langkah K'jaan Pulau Pinang

Pasar raya caj 20 sen beg plastik

Gambar: PASAR raya Giant Bangsar mula mengenakan caj 20 sen, bagi sehelai beg plastik untuk mengisi barang dibeli, semalam.

PUTRAJAYA: Berkuatkuasa semalam, pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negara yang tidak membawa beg sendiri akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan premis berkenaan jika membeli-belah pada setiap Sabtu.

Hasil yang dikumpul itu disimpan dalam dana khas bagi melaksanakan program kepenggunaan serta kemasyarakatan menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Abdul Majid Abdul Rahim, berkata pengguna tidak akan lagi dibekalkan beg plastik percuma ketika membeli belah setiap Sabtu di premis perniagaan terbabit.

“Kita minta orang ramai kurangkan penggunaan beg plastik untuk memulihara alam sekitar selain menyemai budaya hidup lestari selaras kempen setiap Sabtu sebagai Hari Tanpa Beg Plastik,” katanya ketika menyerahkan risalah sempena Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan Hari Tanpa Beg Plastik, di sini semalam.

Kempen itu juga diharap mampu mengurangkan kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar, ekonomi dan kesihatan pengguna.



Tiada Beg Plastik Percuma Di Pasar Raya Pulau Pinang Mulai Hari Ini

BUTTERWORTH: Bermula Sabtu, orang ramai perlu membawa beg sendiri ketika membeli belah di Pulau Pinang berikutan pelaksanaan kempen "Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma" di negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pelaksanaan itu melibatkan semua pasar raya besar, pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak).

"Pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan 'Hari Tanpa Beg Plastik' tiga hari seminggu iaitu setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Setiap Hari Tanpa Beg Plastik," di sini, Sabtu.

Beliau berkata penjaja dan peniaga di pasar dikecualikan daripada peraturan baru tersebut.

Bagaimanapun, katanya orang ramai yang masih mahu menggunakan beg plastik boleh memperolehnya dengan bayaran 20 sen sekeping.

Pulau Pinang memulakan inisiatif "Tanpa Beg Plastik Percuma" sehari seminggu pada 1 Julai 2009 dan kempen itu dilanjutkan kepada tiga hari mulai 1 Januari tahun lepas.

Lim berkata dari 1 Julai 2009 hingga Ogos 2010, sebanyak RM174,280 berjaya dikumpul hasil penjualan beg plastik di pasar raya terlibat.

"Wang tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti Kemiskinan di Pulau Pinang," katanya.

Lim berkata beliau sedar tindakan tidak membekalkan beg plastik itu akan menyebabkan kerajaan negeri hilang sokongan.

"Kita bersedia hilang sokongan supaya kita boleh pelihara alam sekitar," katanya.- BERNAMA





Hari Tanpa Beg Plastik

Latar Belakang

Tahukah Anda?

Beg Plastik umpama toksid di muka bumi, susah untuk dilupuskan dan dibersihkan.

Tahun lepas, 6 kumpulan pasaraya terbesar di Pulau Pinang telah mengagihkan 25.2 juta plastik sebulan atau secara purata sebanyak 2.1 juta sebulan.

Sebagai usaha untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa yang lebih bersih, cerah dan hijau pelbagai usaha telah dijalankan termasuk bergerak sehaluan dengan 42 buah negara atau bandaraya lain seluruh dunia dengan menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik. Kini, Kerajaan Pusat juga menjejaki langkah Kerajaan Negeri dengan mengumumkan pengurangan penggunaan beg plastik.

Sejak Pelancaran Program 'Hari Tanpa Beg Plastik' yang diadakan setiap Hari Isnin mulai 6hb Julai 2009 di pasaraya-pasaraya telah membolehkan Negeri Pulau Pinang berjimat lebih daripada 1 juta* beg plastik dalam masa 4 bulan. Program ini telah dilanjutkan ke tiga hari seminggu iaitu setiap Hari Isnin, Selasa dan Rabu mulai 1hb Januari 2010. Peniaga-peniaga hyper/supermarts, departmental stores, farmasi, fast food restaurants, Nasi Kandar chain stores, petrol kiosk stores dan convenience stores diwajibkan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan dalam pembaharuan lesen.

Kebanyakan beg plastik sukar untuk dilupuskan. Malah Beg plastik yang boleh dilupuskan tidak akan mereput tanpa kelembapan, cahaya dan oksigen di tempat pembuangan.

Tahun 2008, Enam kumpulan pasaraya utama di Negeri Pulau Pinang telah mengedar sejumlah 25.2 juta beg plastik setahun (atau 2.5 juta beg plastik sebulan). Data ini belum lagi merangkumi pengeluaran beg plastik oleh pengusaha-pengusaha lain seperti penjaja-penjaja atau pasaraya mini. Ke manakah kesemua beg plastik ini dihantar akhirnya?

Setiap rakyat Negeri Pulau Pinang dianggarkan menghasilkan sebanyak 1kg sampah sarap setiap hari. Pada tahun 2007, MPPP dan MPSP telah membelanjakan kira-kira RM57.6 juta untuk pelupusan sisa pepejal. Hampir 30 peratus daripada hasil yang diperolehi PBT terpaksa digunakan hanya untuk melupuskan sampah sarap.

Nasihat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang:

(1) Sediakan Beg Membeli-belah, Kurangkan Beg Plastik
(2) Jom, pisahkan sampah! Amalkan 3R: Kurangkan sampah(Reduce), Guna semula(Reuse) dan Kitar semula(Recycle).


*Data yang diberikan oleh 45 pasaraya dan peserta “Hari Tanpa Beg Plastik”.

-Bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik pada "Hari Tanpa Beg Plastik" akan dimasukkan ke dalam Tabung Rakan Anti Kemiskinan. -greenstate.penang.gov.my



Tiada ulasan: