28 Dis 2010

Remaja Konvoi Maut Dirempuh Van, Seorang Cedera Parah

Dua Remaja Maut, Seorang Cedera Parah Apabila Basikal Dirempuh Sebuah Van

JOHOR BAHARU, 27 Dis (Bernama) -- Dua remaja lelaki maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah apabila basikal yang dinaiki dirempuh sebuah van dalam kejadian di Jalan Muar-Batu Pahat, berhadapan Kompleks Penghulu Sungai Balang, dekat Muar, Isnin.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohamad Nasir Ramli berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi tadi ketika ketiga-tiga mangsa bersama enam rakan yang lain menaiki basikal secara berkumpulan untuk ke Taman Tema Wet World, di Batu Pahat.

"Mangsa yang terbunuh adalah Mohd Sufi Johari, 15, dan Mohd Amirul Nizam Awang Nudin, 17. Mohd Sufi maut di tempat kejadian manakala Mohd Amirul Nizam meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kira-kira pukul 11 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, Isnin.

Mohamad Nasir berkata mangsa yang cedera parah dan belum dikenal pasti identitinya pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang sama.

Beliau berkata enam lagi kumpulan remaja itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Mohamad Nasir, siasatan awal mempercayai van dari arah Parit Jawa, Muar menuju ke Batu Pahat itu merempuh kelompok basikal berkenaan yang menyebabkan sebahagian mangsa terpelanting bersama basikal mereka.

Rempuhan yang kuat itu, katanya turut menyebabkan cermin hadapan van berkenaan pecah.

"Pemandu van berkenaan yang berusia 24 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Rahman Remi di 06-9526222 bagi membantu siasatan. -- BERNAMA

Tiada ulasan: