8 Dis 2010

Akhirnya Pengasas Wikileaks Serah Diri

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange menyerah diri di balai polis London semalam dalam siasatan berhubung jenayah seks di Sweden, satu tamparan terbaru terhadap organisasi berkenaan yang menghadapi cabaran perundangan, kewangan dan teknologikal berikutan pendedahan beratus-ratus kabel diplomatik rahsia Amerika Syarikat.

Assange dihadapkan ke Mahkamah Majistret. Jika beliau mencabar perintah ekstradisinya ke Sweden, beliau mungkin ditahan atau dibebas dengan jaminan sehingga seorang hakim memerintahkan sama ada untuk mengekstradisinya, kata seorang jurucakap wanita jabatan ekstradisi.

Sejak mula mendedahkan kabel berkenaan minggu lalu, akaun bank WikiLeaks dibatalkan, laman webnya diserang dan kerajaan AS membuka siasatan jenayah, atas alasan kumpulan itu menjejaskan keselamatan nasional dan usaha diplomatik di seluruh dunia. Ia juga mempunyai penyokongnya yang tampil membantunya dengan membuka lebih 500 laman bayangan di seluruh dunia.

Masalah perundangan bagi Assange, seorang rakyat Australia berusia 39 tahun, berputik daripada dakwaan terhadapnya oleh dua wanita yang ditemuinya ketika berada di Sweden musim panas lalu. Assange dituduh merogol dan melakukan pencabulan seksual dalam satu kes dan pencabulan seksual serta pemaksaan secara haram dalam satu lagi kes.

Assange menafikan dakwaan itu, yang mana peguamnya dari Britain, Mark Stephens berkata berpunca daripada ‘pertikaian mengenai hubungan seks yang
dipersetujui tetapi tidak dilindungi’. Assange dan Stephens berpendapat bahawa pendakwaan itu dimanipulasi untuk tujuan politik.
Jurucakap WikiLeaks menyifatkan penahanan Assange sebagai serangan terhadap kebebasan media dan berkata ia tidak akan menghalang organisasi itu daripada terus mendedahkan lebih banyak dokumen rahsia.

“Ia tidak akan mengubah operasi kami,” kata Kristinn Hrafnsson.

Interpol meletakkan Assange dalam senarai paling dikehendaki pada 30 November selepas Sweden keluarkan waran tangkap terhadapnya. Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Sweden mengekalkan arahan penahanannya.

Assange menafikan tuduhan itu yang dikatakan Stephens berpunca daripada satu ‘pertelingkahan berhubung seks secara rela namun tidak selamat.’

Seorang lagi peguam Assange, Jennifer Robinson berkata pengasas WikiLeaks itu secara sukarela menawarkan untuk bekerjasama dengan pendakwa raya Sweden kerana dia mahu membersihkan namanya, namun tawarannya ditolak.

“Assange masih belum melihat dakwaan penuh ke atasnya atau dakwaan berpotensi dihadapinya dalam bahasa Inggeris dan ia jelas satu pelanggaran hak asasinya mengikut Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah,” kata Robinson dalam satu temuramah dengan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Tekanan ke atas WikiLeaks berpunca daripada pihak lain. Pihak berkuasa Swiss menutup akaun bank Assange, menghalangnya mengumpul dana. WikiLeaks berusaha kekal online walaupun lebih banyak penggodam menyerang dan ditentang kerajaan dunia, menerima bantuan daripada penyokong komputer yang menubuhkan beratus ‘cermin’ atau laman web salinan di seluruh dunia.

Dalam satu daripada pendedahan paling sensitif setakat ini, WikiLeaks mendedahkan Ahad lalu satu senarai kabel rahsia diplomatik 2009 di seluruh dunia yang dianggap Amerika Syarikat kritikal terhadap keselamatannya. Lokasi itu termasuk jaringan komunikasi bawah laut, lombong, pembekal makanan, pengeluar komponen senjata dan kilang vaksin. – AP

Tiada ulasan: