9 Okt 2010

Perhilitan Serbu Ladang Tempatkan Harimau Dan Haiwan Liar

Georgetown: Sebuah ladang terletak kira-kira 800 meter dari Teluk Bahang dekat sini tidak ubah seperti sebuah zoo mini yang menempatkan puluhan haiwan liar termasuk harimau, kucing hutan, buaya, ular sawa, burung dan biawak.

Bagaimanapun, ia bukan untuk pameran, sebaliknya dipercayai disembunyikan untuk diseludup keluar sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan lebih 50 haiwan itu dalam serbuan mulai petang kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan itu, Perhilitan menemui dua harimau, empat kucing hutan, seekor buaya sepanjang kira-kira lima meter, empat ular sawa pelbagai jenis, biawak serta 30 burung tiung emas.

Serbuan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki, Anson Wong Keng Liang, 52, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Ogos lalu yang dipercayai cuba menyeludup keluar pelbagai haiwan dilindungi ke Jakarta, Indonesia.

Berikutan itu, sepasukan anggota Perhilitan membuat serbuan ke kawasan ladang berkenaan kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu dan merampas pelbagai jenis haiwan antaranya biawak, burung dan ular.

Selepas serbuan pertama dihentikan akibat cuaca gelap, kira-kira jam 10 pagi, semalam serbuan kedua dilakukan dan antara haiwan diselamatkan harimau, kucing hutan, buaya dan ular sawa.

Tinjauan Harian Metro mendapati, semua haiwan itu dibawa keluar menggunakan sebuah lori dari Zoo Melaka dan trak Unit Pengurusan Gajah Perhilitan dalam tempoh kira-kira dua jam.

Menurut sumber pelbagai jenis hidupan liar termasuk ular, biawak dan 30 burung tiong emas yang disorok dirampas di ladang berkenaan.

“Turut dirampas kira-kira 60 haiwan lain dipercayai disimpan lelaki itu di sebuah premis di Jalan Jones di sini,” katanya.

Usaha pihak media mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi serbuan gagal apabila tidak dibenarkan masuk ke ladang berkenaan selain tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa terbabit.

Pengarah Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi memberitahu serbuan dilakukan Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur dan pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Difahamkan, serbuan dilakukan berikutan penarikan semua lesen dan permit khas yang diberikan kepada Wong dan isterinya, Cheah Bing Shee untuk menjual serta memelihara haiwan liar.

Penarikan itu dibuat selepas penahanannya oleh jabatan berkenaan dan mendakwanya di Mahkamah Sesyen Sepang mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Dalam pendakwaan pada 26 Ogos lalu, Wong dituduh cuba menyeludup keluar 95 ular sawa, dua ular tedung dan kura-kura tanpa sebarang permit dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM190,000.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh hujahan kes rayuan Wong yang ditahan bersama 95 ular berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dua bulan lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam bela Wong, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah meminta tempoh untuk meneliti rekod rayuan yang baru diterimanya, kelmarin.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000, terhadap Wong oleh Mahkamah Sesyen Sepang, pada 6 September lalu. -hmetro

Tiada ulasan: