19 Okt 2010

MP Kalabakan: Kuota Tabung Haji Untuk Orang Kaya Sajakah?

Haji: Mengapa masuk syurgapun kena ada kuota, soal MP BN

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Seorang Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) mendesak pengurusan Lembaga Tabung Haji mengubah sistem pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan banyak masalah, selain terlalu berorientasikan perniagaan.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan isu itu berkata, sistem kuota berkenaan telah menyebabkan ketidakadilan berlaku apabila ada pencarum mendakwa tidak diberi peluang sama rata untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Jadi orang Sabah kata, ini BN mahu masuk syurgapun ada kuota... dalam Islam kita tahu antara syaratnya (masuk syurga) ialah naik haji... jadi bila mereka tidak boleh naik haji kerana dikawal oleh kerajaan, siapa yang mahu tanggung dosa?

"Dalam televisyen kita nampak ramai rakyat diberi peluang untuk bersuara mengatakan mereka sudah empat, lima, enam kali naik haji...mereka ini tak pakai kuotakah?" katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Tabung Haji mengamalkan sistem tidak akan menawarkan peluang sama kepada individu yang telah mengerjakan haji di bawah Tabung Haji dalam tempoh lima tahun, bagi membolehkan kuota itu diberikan kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran tersebut.

Abdul Ghapur juga mempersoalkan bagaimana kuota 35,000 jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia ditentukan.

"Ke mana kuota 35,000 jemaah itu diberikan kerana apabila kita minta kuota, Tabung Haji kata sudah tidak ada kuota...tahun ini, seluruh Sabah hanya mendapat 1,000 kuota...sedangkan kalau bagi 2,000 kuota bagi 13 negeri pun, baru 26,000," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) yang mencelah bahawa Tabung Haji kini sudah "lari" daripada asas matlamatnya iaitu memberi kemudahan kepada jemaah haji menunaikan ibadah kepada perniagaan.

"Tabung Haji ini berfikiran untuk berniaga, ada pakej Zamrud dan macam-macam pakej kerana mahu berniaga. Ada juga pakej am di mana VVIP, kawan-kawan, anak saudara pergi naik haji... bayar RM10,000 semua kelas pertama... ini mana boleh.

"Sedangkan orang miskin hendak kumpul RM10,000 pun kais pagi, makan pagi... kenapa, Tabung Haji untuk orang kaya sahajakah? Rakyat menabung untuk naik haji, bukan mahu pakej yang mahal-mahal," kata Abdul Ghapur.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan supaya perkara seumpamanya dihentikan, selain memastikan setiap negeri diberi kuota yang sepatutnya agar Tabung Haji tidak dilihat sebagai berniaga dalam mendapatkan kuota haji.

Selain itu, Abdul Ghapur turut mempersoalkan mengenai peruntukan pembangunan untuk Sabah yang didakwa "tidak nampak di mana jatuhnya".

Katanya, secara dasar Sabah mempunyai kira-kira RM12.5 bilion peruntukan pembangunan yang terdiri daripada RM2.5 bilion menerusi Bajet 2011, RM6 bilion diumumkan Perdana Menteri ketika melawat Sandakan pada 16 September lepas, dan RM4 bilion lagi melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan yang tidak dibelanjakan.

"Jadi, rakyat Sabah minta saya tanya dalam Dewan Rakyat, mereka mahu tahu sebab Sabah ini dianggap ''deposit tetap'' untuk BN... mereka mahu tahu ke mana kewangan ini disalurkan, sama ada kepada kerajaan negeri, atau masih dipegang oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri," katanya. – Bernama

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SANGAT BERTEPATAN..YANG BOLEH BAYAR LEBIH ATAUPUN ADA CABLE DAPAT PERGI WALAUPUN BARU MENDAFTAR.YANG SUDAH LAMA MENDAFTAR TIGA ATAU EMPAT TAHUN ..ITUPUN JIKA ADA REZEKI BARU DAPAT.
TUBUHKAN SATU LAGI AGENSI SEPERTI TABUNG HAJI SUPAYA TIDAK ADA MONOPOLI .

mtgbertam berkata...

Bab kaedah agihan quota, Tabung Haji dah cuba dengan se adilnya. YG Kalabakan tu dah pi melawat Tabung Haji dan minta penjelasan mengenai kaedah quota ke?

Kalau nak baiki khidmat Tabung Haji, top management kena bebas dari lantikan orang politik.

Kalau buat saingan agensi spt Tabung Haji pun tak guna, sbb quota ditetapkan kerajaan Saudi.

Balabaque berkata...

UMNO BN semuanya bisnes semuanya duit....baik dari segi agama, surgawi, duniawi semuanya DUIT....

tp sy x kisah semua itu....sy sgt tertarik ngan kemana peruntukan 12.5 billion peruntukan seperti yg dijanjikan oleh NAJIB kpd SABAH????

Najib2.... rakyat x lupa lah.... walaupun sy anti BN@UMNO, namun sy kagum dgn Ghapur Salleh yg sy ibaratkan lantang sedikit berbanding LEMBU2 SABAH yg LAIN!!!!!