6 Okt 2010

Kesilapan Soalan Bahasa Melayu, PMR

Saya ingin membuat pemakluman dan komen bahawa terdapat kepincangan dalam Kertas 1 ,Bahasa Melayu dalam Ujian Penilaian Menengah Rendah hari ini ( 5 Okt 2010).

1) Pertama, soalan nombor 20 yang berikut:

Sungguh amat terindah pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. (TIADA JAWAPAN yang tepat). Sepatutnya ada jawapan "Indah sungguh atau Sungguh indah".

A. Amat terindah
B. Sungguh amat indah
C. Amat sungguh terindah
D. Sungguh amat terindah

Jawapan A salah kerana imbuhan 'ter' adalah bersalahan. Jawapan B, C dan D itu tidak boleh diterima kerana 'kata sifat super' berulang-ulang. Perkataan 'amat' menunjukkan 'sifat bersangatan' (superlative) dan perkataan 'amat' juga menunjukkan 'sifat bersangatan' yang sama. (Namun , kalau ingin diterima ; boleh dirujuk jawapan “B“).

2) Kedua, soalan nombor 23:

Semua jawapan adalah bersalahan dari segi etika penggunaan tata bahasa, khasnya dalam peperiksaan penting ini. Perkataan 'banyak orang' yang digunakan dalam semua jawapan adalah salah, yang mana sepatutnya di ganti dengan 'ramai orang'. ( Namun dari segi maksud ; sememangnya jawapan "'A"' paling hampir untuk memenuhi kehendak soalan).


3) Ketiga, soalan nombor 27:

Tidak ada jawapan.

i-Yang berkaca mata itu bijak berpantun dan bersyair
(ayat ini salah kerana penggunaan perkataan 'yang' di awal ayat).

ii-Buku-buku teks yang dibawanya itu penuh hingga satu beg.
(ayat ini membawa maksud buku teks itu yang penuh, bukan beg itu yang penuh).

iii- Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan adik tengah hari tadi.
(ayat ini sepatutnya: Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan oleh adik tengah hari tadi).

iv-Penggunaan pengangkutan awam ke tempat kerja mampu mnengelakkan kesesakan lalu lintas.
(ayat ini betul ).

Jawapan yang disediakan kepada calon peperiksaan :

A. I dan IV
B. II dan III
C. I, III dan IV sahaja
D. II, III dan IV sahaja.

Komen:

Kalau pun ada jawapan, sepatutnya disediakan jawapan

- iii dan iv , ( seandainya jawapam {iii} ini ingin diterima oleh panel pemeriksa)
- iv sahaja ,

sedangkan pilihan jawapan ini tidak diberikan/disediakan.

Sekian, ini komen saya demi kebaikan semua. Secara peribadi saya amat menghargai jika pihak kementerian sudi menilai semula soalan-soalan tersebut demi keadilan kepada semua pelajar PMR yang mana mencengkam emosi mereka serta berlaku pembaziran masa ketika menjawabnya.

Sekian, terima kasih. -Ibni Khalid Jurait

4 ulasan:

Mat Selama berkata...

Ya memang betoi ada kesalahan yang ketara. Anak Pakcik balik kemarin mengamuk-ngamuk, dia kutuk rapat kat geng yang dok gubal soalan sampai la Tan Sri di Putrajaya. Jenuh la dok pujuk. Pakcik kata nanti Bhg Peperiksaan bagi markah percuma la tu. Dia tak setuju pasai dia budak rajin, untung la depa yang malas tu katanya.
Minta kementerian jawab sikit...... Cari la jawapan yang agak-agak boleh pelepas...

Zairun Kuantan berkata...

Harap yang berkenaan boleh beri penjelasan SEGERA !

Tanpa Nama berkata...

Salam untuk semua,

Soalan 20 :Jawapan yang betul ialah 'B' kerana kata penguat sungguh dan amat merupakan kata penguat bebas dan boleh hadir di depan atau belakang kata adjektif atau hadir berturutan sebelum kata adjektif. Yang tidak boleh bergabung ialah kata penguat 'paling'.

Soalan 23 : 'banyak orang' dan 'ramai orang' sama maksudnya cuma 'ramai' tidak boleh digunakan untuk bukan manusia. Contoh : 'Ramai lembu'''(X) 'Banyak lembu... (/)

Soalan 27 : Jawapannya 'C' I, III dan IV.
Ayat I : 'Yang' dalam ayat tersebut berfungsi sebagai pengganti kata nama dan bukan berfungsi sebagai kata hubung. Jadi tiada masalah. Contoh : Yang memakai baju biru itu Pengerusi PKR. Jadi 'Yang' berperanan sebagai pengganti kata nama Pengerusi PKR.

Ayat II : Memang salah. Sepatutnya 'Buku-buku teks yang dibawanya itu penuh satu beg.

Ayat III : ...habis dimakan adik tengah hari tadi'. Ayat pasif ini tiada masalah kerana kata sendi 'oleh' boleh digugurkan kerana kata kerja pasif 'dimakan' hadir berturutan dengan kata nama (pelaku) 'adik'. Jadi kata sendi 'oleh' boleh digunakan dan boleh juga ditiadakan. Ayat ini akan menjadi salah jika ditulis : Rendang ayam yang dimasak itu telah dimakan habis adik. Jika dalam keadaan ini kata sendi 'oleh' tidak boleh ditiadakan kerana kedudukan kata kerja pasif dengan kata nama berjauhan.

Ayat IV : Tiada masalah.

Wallahualam.

Unknown berkata...

Salam,

saya cuba jawab di sini:

http://duniacacamarba.blogspot.com/2010/10/kesalahan-kertas-pmr-bm-respon-ringkas.html


* empunya blog, jika sudi jom bertukar2 link