11 Ogo 2010

Mengapa Pimpinan Pakatan Rakyat Kelihatan Mandul Dan Bacul?

Majlis Peguam: Tubuh suruhanjaya diraja siasat kematian Teoh

Majlis Peguam menggesa pentadbiran Najib mengadakan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock ekoran pengakuan Peguam Negara semalam wujudnya bukti baru — dalam bentuk nota, yang dipercayai bakal menentukan keputusan inkues.

“Kita tetap mahukan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock,” kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh juga memohon supaya inkues dibicarakan menerusi suruhanjaya diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ragunath (gambar) membidas tindakan Peguam Negara menyimpan dokumen yang dianggap penting daripada pengetahuan koroner inkues Teoh — dipercayai sebagai nota yang ditulis Teoh sebelum dia ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu.

Malah Ragunath juga berkata, beliau tidak bersetuju penjelasan yang dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail lewat petang semalam.

“Suruhanjaya diraja siasatan seharusnya memeriksa kesemua kekurangan dalam sistem kehakiman jenayah dan memastikan bahawa protokol-protokol diperkenalkan bagi menjamin pematuhan penuh dengan menerima norma-norma sistem kehakiman jenayah,” kata beliau.

Kata Ragunath, tindakan menyembunyikan atau menyekat bukti khususnya dalam kes-kes berprofil tinggi adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Tindakan ini menunjukkan kelemahan serius dalam penghakiman dan memperlekehkan prosiding inkues,” kata beliau yang tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara.

“Ini adalah tugas mahkamah dan bukan pihak pendakwaan untuk menentukan kesahihan atau perkaitan dari setiap bahagian dari bukti,” katanya.

Tambah beliau, Peguam Negara mempunyai hak untuk mendedahkan semua maklumat bagi membantu mahkamah mengetahui bagaimana Teoh mati.

Jelas Ragunath, Peguam Negara telah gagal untuk mengemukakan nota tersebut dalam waktu yang terdekat, sebaliknya hanya berbuat demikian selepas 10 bulan sehingga boleh mengganggu hasil inkues.

“Kegagalan untuk mengemukakan dokumen sebaik sahaja ditemui akan menimbulkan keraguan tentang kredibiliti dan keadilan pendakwaan dan kelemahan penghakiman ekoran kurangnya ketelusan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa tindakan institusi kerajaan merahsiakan dokumen itu membuktikan bahawa “kredibiliti sistem kehakiman jenayah Malaysia masih boleh diragui selepas inkues mengambil masa lebih setahun.

Dalam kenyataannya semalam, Pejabat Peguam Negara menafikan dakwaan mereka menyembunyikan bukti dalam inkues kematian Teoh selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang bekas setiausaha politik itu.

Penemuan bukti baru itu yang dikemukakan pagi semalam menyebabkan prosiding inkues yang sepatutnya didengar semalam ditangguh sehingga 18 Ogos.

Pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Pejabat Peguam Negara berkata, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang si mati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti tersebut mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisis oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya ditimbang oleh Peguam Negara yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

“Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Tan Sri Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu.

Katanya terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.

“Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

“Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Kes Teoh Beng Hock merupakan satu lagi konspirasi - ia sudah menjadi pengetahuan umum.

Justeru itu, jika Majlis Peguam mendesak supaya ditubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh, Pakatan Rakyat sepatutnya hendaklah mendesak supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Peguam Negara dan para pegawainya, Ketua Polis Negara, hakim-hakim dan semua yang terlibat di dalam konspirasi berkenaan.

GB hairan kenapa pimpinan PR seperti tidak tersusun, lantas tidak effisyen dan tidak efektif. Masing-masing keluar kenyataan di atas sifatnya selaku pimpinan parti sendiri. Belum tampak organisasi yang benar-benar mantap sebagai satu "pakatan", dan dengan sebabnya, PR mudah sangat dipermainkan oleh UMNO BN. Pimpinan PR perlukan 3T - Tersusun, Telus dan Tegas.

Wahai pimpinan-pimpinan PR, buat apa yang GB sarankan di atas. Ia adalah suara dan keluhan rakyat bawahan. Wahai pimpinan-pimpinan PR, betulkan pakatan di antara kamu sendiri sebelum kamu boleh diberikan mandat untuk ke Putrajaya. Jika tidak JANGAN MIMPI! Sebaliknya rakyat kelak akan menghumbankan kamu keluar dari kerusi Parlimen yang kamu duduki sekarang. Ingat pesanan itu, Anwar, Saifuddin, Kit Siang, Karpal, Hadi dan Nasya. Ingat tragedi 2004.

Maaf kasar sedikit bahasa GB di awal Ramadhan ini, tetapi perlu sebelum terlewat.

3 ulasan:

C++ berkata...

Bhai GB...

Pimpinan PR la nih bukan sajer non-coordinated.. tapi syok sendiri... tue jer gua nak kasitau..

Kuda Perang berkata...

Ana sokong pendapat enta...

dun26bangi berkata...

play safe brother!
Sama mcm kes anwar
Semua play safe kerana...
Bgn makhamah sengget