25 Jun 2010

Zamihan Berdolak-dalik, Kini Pertikaikan Timbalan Menteri Pula

Saya tidak musuhi Asri, tapi pertikai timbalan menteri’

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah sebagai tidak profesional.

Malah pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia ini memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

“Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).

“Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman... dia punya hal.

“Itu ruang yang dia ada, silakan tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah... itu sahaja,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Sebaliknya Zamihan yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama memberitahu, Asri yang mengamalkan cara yang salah.

“Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007).

“Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay.

“Dia kata saya pernah tulis kepada menteri agama ketika itu Datuk Dr Abdullah Mohd Zin untuk mengambil tindakan kepada Zamihan (saya). Dia cakap, ada rakaman dia. Nak dengar boleh,” kata Zamihan dalam temu bual khas ini.

Zamihan seterusnya mendakwa Asri menggunakan pendekatan politik untuk mencantasnya.

“Faktanya boleh dirujuk kepada ceramah dia sendiri, dia mengaku dia menghantar surat supaya diambil tindakan tatatertib,” kata beliau sambil mendakwa “pergolakan pemikiran (mereka berdua) sudah lama wujud.

“Bagi saya bukan personal... pergolakan pemikiran ini adalah sesuatu yang lumrah. Cuma kerajaan harus mengawal dengan cekap supaya ia tidak merugikan pihak-pihak yang bertelagah,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Mahfuz dalam soalannya meminta supaya diberikan pejelasan berhubung dakwaan bahawa Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dengan kumpulan pengganas.

Saifuddin berkata beliau telah pun meneliti hujah yang dibuat oleh penyampai taklimat pada ketika itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

“Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud. Saya berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu The Malaysian Insider bahawa timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa ini.

“(Ketika) saya membentangkan hari itu, menteri (pengajian tinggi) jadi pengerusi (majlis). Menteri kata kalau ada soalan, ulasan silakan (tetapi) semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap.

“Lepas itu menteri buat kesimpulan (bahawa) ‘kita dah lihat betapa bahayanya pemikiran ekstremis di IPTA, minta kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah esktremis dan pengrekrutan anggota JI di IPT.

“Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata ‘ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju’.

“Saya kata, ‘tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab,” kata Zamihan dan berkata, beliau hanya menyedari lelaki itu sebagai Saifuddin kemudian.

Zamihan menambah, kemudian Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.

“Mengapa dia buat kenyataan media? Sepatutnya keputusan mesyuarat, keputusan menteri mesti didahulukan, tapi ini kenyataan timbalan menteri II, kena dia hendak melenting?

“Mungkin dia ada hubungan Dr Asri? Yang saya bentang itu tidak sentuh soal peribadi Dr Asri.

“Saya tiada masalah dengan dengan Dr Asri, tidak bergaduh atau bermusuh sedangkan kita rakan sesaudara dalam Islam,” kata Zamihan yang seringkali mengaitkan cara pengendalian isu dengan pendekatan pasukan dan pemain yang menyertai kejohanan bola Piala Dunia di Afrika Selatan sekarang.

Sehubungan itu sambil mendakwa “saya bukan ustaz kampung” dalam menghadapi isu semasa ini, Zamihan juga berkata, “itu bukan masalah peribadi.”

“Selepas itu sepatutnya timbalan menteri (Saifuddin) sepatutnya bersikap telus dan terbuka.

“Kalau dia tidak setuju dengan pandangan saya, suarakan dalam mesyuarat berkenaan, bukannya di luar mesyuarat, membuat kenyataan berasingan berbanding yang dibuat oleh menteri dan jemaah mesyuarat dan kemudian melontarkan isu ini di Parlimen seolah-olah hendak meletakkan saya seorang yang bersalah, akhirnya isu ini dipolitikkan... ya, (saya dijadikan) kambing hitam.

“Kalau betul dia (Saifuddin) telus, kalau betul dia profesional sebagai timbalan menteri, datang jumpa dengan saya, kalau dia ada hujah, ada fakta silakan, saya ada hujah saya... kamu ada hujah kamu, kita lihat mana yang ada kepentngan untuk keselamatan negaar, kita bekerjasama,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Saifuddin bertindak seoalah-olah beremosi dengan kandungan taklimat Isnin lalu.

“Saya hanya seorang pegawai kerjaaan yang hanya memenuhi kriteria jemputan berkenaan, dijemput orang menteri pengajian tinggi untuk membicarakan topik itu, dan saya bicarakan, saya diminta oleh Bukit Aman, saya bicarakan. saya hanya menjalankan tugas,” kata beliau.

“Saya bukan ustaz kampung, saya tidak bercakap angkuh... saya seorang pegawai kerajaan yang berkaliber, tidak menyertai mana-mana parti politik,” katanya lagi mendakwa beliau berada di landasan benar.

Zamihan juga berpendirian bahawa beliau akan “menang” dalam usaha mengatasi pemikiran-pemikiran keras dan radikal.

Di mana kesudahannya isu ini, Zamihan berkata: “Isu ini sepatutnya ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa.”

“Tapi oleh kerana ia telah ada campur tangan orang politik, jadi ia jadi macam pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010.

“Jadi macam-maca percaturan... bila di peringkat saringan OK lagi, sekarang di peringkat akhir... peringkat kalah mati,” katanya.

Ditanya siapa yang akan kalah dan siapa yang mati, Zamihan, “kita tunggu dan lihat.”

Zamihan memberitahu telah terlibat dalam proses memulihkan lebih 100 orang tahanan.

Ditanya sama ada pendedahan beliau Isnin lalu bertujuan menjejaskan usaha Asri menyertai Umno, Zamihan menafikan kemungkinan tersebut.

“Tidak, bukan secara kebetulan tetapi melihat dengan situasi yang berlaku,” kata ustaz berusia pertengahan 30-an.

Taklimat itu diadakan Isnin lalu manakala laporan bahawa Asri akan masuk Umno tersebar sehari sebelum itu.

Ketika ditanya sama ada sedia menemui Asri, Zamihan menambah, “boleh, bila-bila masa sahaja.”

“Siapa yang hendak jadi orang tengah, bila-bila masa sahaja,” kata beliau sambil mengakui tidak pernah berkomunikasi dengan Asri selama ini.

“Tak ada peluang (untuk bertemu), mungkin masing-masing sibuk. Tetapi saya banyak menyanggah hujah-hujah yang ditulis dalam akhbar,” kata beliau sambil mengaku bukan semua pandangan Asri salah.

“Ada pandangan yang baik, ada pandangan boleh dikongsi,” katanya.

Asri dan Zamihan menjadi tumpuan akhir tahun lalu apabila penolong pengarah itu didakwa menuduh bekas mufti tersebut memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Zamihan berkata beliau hanya mendakwa Asri tidak mempelajari syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa disiarkan akhbar tempatan itu wujud sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.


Zamihan: Doktrin keras Asri ‘pengaruhi’ aktiviti pelampau

Sehubungan itu, pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini berkata, beliau hanya menekankan bahawa pemikiran-pemikiran Asri boleh menjurus ke arah akiviti kumpulan pelampau dan keganasan jika tidak dikawal.

“Orang dalam tahanan sel (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) pernah memberitahu saya dia berminat sangat dengan pemikiran Dr Asri... bila dia ditangkap oleh polis, dia (suspek) ada CD, buku-buku Dr Asri, jadi barang kes.

“(Jika anda) tak percaya rujuk Bukit Aman... ada tangkapan, saya tak pasti yang mana satu, nak bukti boleh rujuk Bukit Aman.

“Jadi saya tak sentuh pun Dr Asri dengan keganasan itu, yang sentuh itu pihak keselamatan dari Bukti Aman... sebab masa ditangkap suspek JI itu, pemikiran-pemikiran Asri dalam bentuk bukunya, CDnya ada,” kata Zamihan yang kini menjadi tumpuan polemik isu fahaman wahabi dan JI.

Beliau ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut perkembangan taklimat Isnin lalu.

“Jadi kalau tuan tanya apakah pemikiran Dr Asri boleh membawa (aktiviti) pengganas, ya ia boleh membawa kepada (aktiviti) pengganas kerana dia menyimpulkan pemikiran-pemikiran yang berjalur keras.

“Kalau pemikiran Asri ini neutral macam orang lain, dia tidak akan glamor,” kata beliau yang Isnin lalu memberikan ceramah tentang keselamatan dan ancaman JI di institut pengajian tinggi di ibu negara.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah menteri dan timbalan pengajian tinggi dan mencetuskan kontroversi.

Zamihan yang terlibat dalam aktiviti pemulihan tahanan ISA sejak empat tahun lalu memberitahu “doktrin Dr Asri boleh menjurus ke situ.”

Secara kesimpulan menurut Zamihan, fahaman wahabi menekankan Malaysia bukan sebuah negara Islam, sebaliknya negara kafir.

“Kesimpulannya (mereka) mahu menghancurkan sistem yang sedia ada, bina sistem yang baru,” kata beliau dengan menekankan, JI memang berorientasikan kepada fahaman wahabi yang berasaskan kepada kepimpinanan beberapa pimimpin luar, antaranya Abu Bakar Bashir dari Indonesia.

“Kalau kita tengok kronologi pemikiran ini pun memang, telah dianalisis banyak kali oleh penulis, ahli akademik... itulah kecenderungan pemikiran mereka, bahawa orang lain tidak Islamik, banyak buat bi’dah, syirik, sesat, kurafat.

“Jusreru itu atas landasan itu mereka merasakan mereka ada tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan, dengan semua keadaan dibuat atas nama jihad,” katanya.

Zamihan juga memberitahu, apabila Asri mengetengahkan pemikiran-pemikirannya dalam bentuk buku dan menerusi seminar dan ceramah, maka ia mula dianalisis, dan diketengahkan.

“Dia (Asri) tidak dikaitkan dengan JI. Dia tidak dikaitkan dengan pengganas, tetapi dia mengeluarkan pandangan-pandangan yang keras, dan munculnya kegiatan radikal dan pengganas ini, hasil daripada kombinasi fahaman-fahaman yang keras,” kata beliau yang tugasnya di ILIM kini ialah “melihat kepada pemikiran.”

Sekali lagi Zamihan memberitahu, “malah dalam taklimat saya pun saya tak sebut dia (Asri) dikaitkan dengan JI, (saya) tak sebut dia pengganas, kenapa dia nak melenting?”

Pada taklimat Isnin lalu beliau hanya sentuh soal pemikiran manakala pegawai dari Bukit Aman menyentuh soal ancaman keselamatan dan pengambilan JI di IPT.

“Jadi saya membentangkan tentang pemahaman dan tentang pemikiran merupakan fakta tentang mengunjurkan tindakan radikal ataupun pengganas, dan pasal masalah keselamatan, hendak mengebom di sana, nak ugut orang, nak tangkap, berapa orang ditangkap, berapa orang dihantar pulang, dilanjutkan ISA, itu kerja pasukan keselamatan.

“Kalau pasukan keselamatan nak kaitkan Asri dengan suspek, atau subjek yang telah ditahan, atau dilepaskan, yang hendak ditangkap, itu kerja dia orang.

“Saya tak masuk campur... saya hanya membicarakan fakta-fakta dari sudut fahaman yang boleh unjurkan ekstremis atau pengganas,” kata Zamihan dengan menambah, beliau cuma membangkitkan nama Asri dengan berdasarkan buku “Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami”.

Ditanya sama ada menyebut nama-nama lain selain Asri, Zamihan sekali lagi menafikan berbuat demikian.

“Tidak, langsung tak disebut nama, langsung tak wujud, langsung tak ditunjuk gambar. Saya hanya ‘scan’ buku, saya saya menilai fahaman begini adalah dari jalur pemikiran keras,” kata beliau mempertahankan tindakannya.

Bagaimanapun beliau mengakui nama-nama yang tersebut iaitu Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Peris ada disebutkan tetapi oleh penceramah lain dan tidak pasti sama ada gambar juga ada ditunjukkan sekali.

Zamihan menambah, pengurusan Islam di Malaysia mengambil jalan sederhana, bukan bersifat menghukum dan menyesatkan mana-mana pihak.

Sehubungan itu kata beliau, sekiranya Asri hendak mengatakan bahawa beliau mengulangi fakta-fakta tertentu, “apakah pengulangan fakta itu merupakan satu kewajaran untuk diketengahkan dalam masyarakat Malaysia?”

“Memetik pandangan orang, itu satu pandangan. tetapi hendak melaksanakan dalam masyarakat kita, kena tengok masa dan tempat... itu pandangan menteri Jordan, kalau hendak ketengahkan di sini, kena tengok beberapa kewajaran.

“Kalau mengatakan Maulidur Rasul macam (sambutan) orang Kristian sedangkan sambutan sudah menjadi acara kebesaran di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan, dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama persekutuan turut menyambut acara itu, tak akan kita hendak kategorikan Yang di-Pertuan Agong sebagai juga dalam kalangan orang sesat.

“Tak kira pandangan dari mana-mana seluruh dunia pun, kita kutip kita ambil, kita sepatutnya membuat penilaian, saringan, tengok kewajarannya sama ada boleh diterima atau tidak, dan kita kena hormat juga agensi-agensi agama,” kata Zamihan.

Zamihan juga menambah, Asri tidak pernah mengakui sebagai pengikut aliran wahabi.

“Sampai bila pun tak akan mengaku wahabi sebab wahabi mempunyai sejarah hitam dalam sejarah Islam.

“Tetapi kita melihat kepada pemikirannya, hasil tulisannya, ceramahnya, perkataannya ada persamaan dengan pemikiran wahabi... maka penjustifikasian boleh dibuat bahawanya beliau cenderung ke arah itu walaupun beliau menggunakan jenama progresif ataupun apa jua jenama... kita melihat intipati pemikiran itu,” katanya lagi.

Sambil mendakwa fahaman wahabi mengamalkan prinsip pecah dan perintah, Zamihan memberitahu, kalau ada pun berbeza pandangan termasuk dari Perlis perlu menghormati satu sama lain.

“Jangan mengambil pendekatan menyalahkan, tetapi mereka mengambil pendekatan menyalahkan kita, kita tidak Islamik, kita tidak sunah, kita tidak kembali kepada Nabi, kita tidak kembali kepada ketulenan Islam dan macam-macam.

“Jadi ini semua menghuru-harakan masyarakat,” katanya lagi.

Semalam, Asri menyifatkan Zamihan “terus berdusta” dengan merujuk kepada kenyataannya bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguat kuasa dan wakil-wakil universiti beliau hanya menyebut nama bekas mufti itu sepemikiran dengan Wahabi.

“(Zamihan) katanya tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri (saya) melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu,” kata beliau.

Asri menambah, Zamihan mendakwa beliau “salin dan tampal” pandangannya yang menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan amalan orang Kristian.

“Zamihan menambah, pandangan yang ‘keras’ sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini”,” katanya.

Oleh itu tegas Asri, ia adalah satu pendustaan yang nyata kerana dalam buku berjudul Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemkian.

“Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi, pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian.

“Oleh itu, saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu,” kata Asri lagi.

Isu ini menjadi polemik ekoran laporan media yang menyebut nama Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata Asri dan Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama. -TMI


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kerajaan 1 malaysia nak halang juga umat islam menunaikan haji kerana arab saudi berfahaman wahabi dan pengganans?

kembara putih berkata...

Macam budak2 la 2 orang ni. Rupanya pasal dendam-berdendam antara 2 makhluk. Benda macam ni pun nak dijadikan masalah negara ke.