10 Jun 2010

Masa Depan PAS Bersama Pakatan Rakyat Bentuk Malaysia Baru

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini sebentar tadi.

Nik Aziz berkata beliau melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

“Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim (Cina, India, Siam atau Orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja.

“Melayu ajar Melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakan kita adalah madu kita,” kata beliau.

Kata beliau, strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci PAS adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.

“Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” kata beliau.

Atas alasan inilah, tegas Nuk Aziz, beliau mahu PAS dan Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.

“Pilihan raya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali,” katanya.

“Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Justeru itu, kata Nik Aziz, PAS hendaklah berani menawarkan alternatif terbaru – Pakatan Rakyat dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa “kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

“Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau amat berharao agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Nik Aziz juga berkata, pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu,” kata beliau.

Nik Aziz mengingatkan agar memerhati perkembangan itu dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

“Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri,” kata beliau.

Justeru, menurut beliau, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

“Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya,” katanya. -TMI


Kerajaan perpaduan Umno-PAS tidak boleh, tegas Nik Aziz

KOTA BARU, 9 Jun - Isu idea kerajaan perpaduan yang mendominasi muktamar tahunan PAS lalu dua tahun berturut-turut kemungkinan besar tidak akan mendapat tempat kali ini sambil Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menegaskan, pihaknya tiada minat langsung untuk menerokai usaha tersebut.

“Tidak,” kata Nik Aziz dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, kebimbangan mengenai isu kerajaan perpaduan pernah wujud di peringkat awal selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika Pakatan Rakyat dibentuk, tetapi kini tidak, di mana usaha ditumpukan untuk memperkukuhkan ikatan PAS-DAP-PKR itu.

Menteri Besar Kelantan mengulangi pengalaman PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1971 ekoran permintaan daripada Allahyarham Tun Razak ketika itu.

“Bila kami masuk BN, PAS Kelantan jadi empat. Bila Umno rasa gagah, tendang kami. ini Umno,” katanya.

“Sekarang ini pilihan raya umum ke-12, (selepas) lima buah negeri jatuh, dia minta PAS masuk balik. Saya kata ‘i know who are you’, penipu kamu... tidak boleh,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nik Aziz, keputusan menolak menyertai kerajaan perpaduan bukan keputusan beliau seorang semata-mata.

“Ini jangan fikir saya (seorang yang membantah), ini keputusan muktamar di Ipoh (2008) dan di Shah Alam (2009). Ini keputusan muktamar. Saya menyokong (sahaja),” kata beliau yang Mursyidul Am PAS yang selama ini dilihat sebagai “orang kuat” membantah idea sedemikian.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider kelmarin, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga berkata PAS menganggap isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan PAS dan Umno-BN sejak selepas pilihan raya umum 2008 sudah selesai dan tidak akan menjadi antara agenda utama pada muktamar tahunan di Kelantan minggu ini.

Sehubungan itu kata beliau, pucuk kepimpinan juga tidak akan menghalang jika ada mana-mana perwakilan yang mahu membangkitkan semula isu berkenaan pada muktamar kali ini.

Malah katanya, PAS juga tidak akan menapis kandungan topik perbahasan para perwakilan.

Idris berkata, pihaknya menganggap perkara itu sudah selesai selepas pemimpin-pemimpin menjawabnya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Jun lalu.

Sesi penggulungan ketika muktamar lalu dilihat menjadi ‘panas’ dengan isu kerajaan perpaduan.

Dalam ucapan dasarnya tahun lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat dan kerajaan Umno-BN sendiri menyokong gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkannya untuk menyelesaikan masalah negara yang berlaku.

“Semua pihak termasuk Pakatan Rakyat perlu memahami dahulu konsep secara terperinci kerana ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Antara lain, beliau menjelaskan bahawa PAS bergerak secara kolektif bersama Pakatan Rakyat kerana mempunyai tanggungjawab bersama untuk menangani krisis ekonomi, politik, global dan sosial yang berlaku di Malaysia.

Ekoran itu, Nik Aziz mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu “dua tiga kerat pemimpin bermasalah”, termasuk Hadi dan timbalannya.

Desakan Nik Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti berhubung isu kerajaan perpaduan walaupun dianggap sudah selesai Jun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu menjadi perhatian semula sejak kebelakangan ini, sehingga kemungkinan dibangkitkan lagi dalam muktamar kali ini.

Ia antara lain ekoran penekanan semula Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata Mac lalu.

Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider, menurut Idris, Nasharudin telah menjelaskan kepada pucuk kepimpinan konteks dan maksud ucapannya itu pada majlis tersebut.

Ketika ditanya sama ada isu idea perpaduan boleh dibangkitkan lagi kali ini, Nik Aziz berkata, “kalau hendak bangkit boleh, tak mengapa.”

“Tapi kita lawan hujah lah. Masuk ke dalam Umno untuk buat apa?” kata beliau lagi.

“Pertama Umno menipu, ada bukti yang tegas. Keduanya, dulu kita lawan Umno, sebelum BN kita lawan Umno, sebab apa Umno tolak Islam, Islam adalah daripada Allah.

“Kenapa kamu tolak, kalau cahaya matahari kamu tak tolak, udara daripada Allah kamu tak tolak, air hujan dari langit kami tak tolak, mengapa kamu tolak islam... ini kamu betul-betul boneka kepada Eropah, bila Eropah kata agama politk lain, kamu pun kata agama politik lain,” katanya.


Nik Aziz juga menegaskan, Eropah bukan ajaran agama Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam penjelasannya, Nik Aziz juga membandingkan isu idea kerajaan perpaduan dengan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan Islam.

“Ini tidak betul. Kamu sebut ketuanan Melayu, saya sebut ketuanan Islam, kalau ketuanan Melayu, Cina marah, India marah, tetapi ketuanan Islam, Cina boleh fikir, kalau masuk tak apa, kalau tidak masuk Islam kamu bertanggungjawab, kamu boleh sokong PAS, tidak masuk islam tak mengapa,” katanya.

Tambah Nik Aziz: “Antara ketuanan Melayu dan ketuanan Islam, saya pilih ketuanan Islam.”

“Islam ini kita panggil titik persamaan, orang Melayu terima Islam, orang Cina terima Islam, orang India terima Islam tapi tidak semestinya masuk Islam. terima prinsip dan konsep, cukup,” katanya.

Berhubung soalan sama ada idea kerajaan perpaduan masih wujud, Nik Aziz berkata, berdasarkan pengalaman beliau sudah tidak ada sekarang.

“Dulu-dulu ada lah... bimbang, tak percaya sebab ia perkara baru kan. Macam kahwin lah, malam pertama takut lah, lama-lama OK lah,” katanya. -TMI


Ulasan GB

Hairan, The Malaysian Insider lebih cekap dan pantas membuat liputan dan ulasan dari media parti sendiri, harakahdaily.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih TGNA.. Kami sayang Tok Guru.. Tapi masih ada tangan2 hitam dalam PAS yang mahu merobek kesepakatan PR untuk membina Malaysia Baru... Buat mereka, jangan khianati amanah yang diberikan dengan membelakangkan Mursyidul PAS...Good Luck Tok Guru