26 Mac 2010

Kes Malek Bukti Institusi Kehakiman Negara Dipengaruhi Badan Eksekutif

Bekas tahanan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Malek Hussein kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan tuntutan ganti rugi RM2.5 juta.

Keputusan sebulat suara yang dibuat oleh Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Sulong Matjeraie dan Hakim Datuk Ahmad Maarof jelas membuktikan tindakan berat sebelah badan kehakiman yang masih dicengkam kuasa eksekutif kata Abdul Malek.

Tiga hakim tersebut memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek adalah sah dan menolak semua dakwaan yang beliau diseksa semasa dalam tahanan.

Berikutan keputusan itu beliau tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000.

"Saya kecewa dengan keputusan yang membelakangkan arus perubahan yang dibuat oleh rakyat pada pilihan raya 2008 lepas,

Keputusan tersebut tidak selari dengan tuntutan rakyat dan institusi kehakiman dilihat masih dicengkam kuasa eksekutif,

"Kita tidak boleh harapkan badan kehakiman selagi kerajaan yang memerintah tidak ditukar kepada Pakatan Rakyat.

"Muktahir ini kes-kes besar seperti kes Menteri Besar Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekarang saya juga tidak terlepas dengan keadaan situasi yang sama," beliau.

Abdul Malek berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak ikhlas menggunakan kuasa Parlimen untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Kegagalan badan kehakiman untuk berubah walaupun selepas pilihan raya 2008 menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap institusi tersebut, dengan menggunakan hujah yang rapuh mereka cuma mahu mempertahankan kuasa eksekutif sahaja," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Abdul Malek lagi beliau akan membawa kes yang diputuskan tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau merupakan seorang bekas tahanan ISA yang sebelum ini berjaya menuntut hilang ganti rugi sebanyak RM2.5 juta .

Beliau ditangkap pada 1998 dan mendakwa diseksa semasa dalam tahanan.

Abdul Malek kemudian memfailkan saman pada Mac 1999 terhadap anggota cawangan khas Borhan Daud, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Kerajaan Malaysia.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan. -SK/TVS


Tiada ulasan: