30 Mac 2010

16 Sept Bukan Satu Gimik Politik

Pakatan Rakyat (Pakatan) mempunyai ahli parlimen yang secukupnya untuk mengambil alih Putrajaya pada 16 September 2008 jika pimpinan Umno-Barisan Nasional(BN) ketika itu memanggil sidang Parlimen bagi menghadapi undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu peralihan kuasa 16 September bukan direka cipta dan seharusnya menjadi kenyataan jika Umno memegang prinsip demokrasi dan memanggil sidang tergempar parlimen.

Anwar berkata segala tohmahan Umno dan fitnah ahli parlimen bebas yang ditaja oleh parti itu seperti Datuk Seri Zahrain Hashim adalah untuk menutup kecurangan Umno dalam cubaan terdesak untuk terus berpaut kepada kuasa.

Abdullah, ketika itu, enggan mengadakan sidang tergempar parlimen walaupun dimaklumkan berpuluh ahli parlimen menyatakan sokongan kepada Pakatan bagi membolehkan gagasan itu membentuk kerajaan baru.

Desakan supaya diadakan sidang tergempar itu selari dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menuntut satu jawapan segera daripada Abdullah berikutan keadaan politik yang genting ketika itu.

Surat permohonan itu ditandatangani Anwar selaku Ketua Umum KEADILAN, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Berucap kepada ribuan rakyat di Alor Pongsu, Perak, Anwar berkata Abdullah enggan melayan surat itu dan sebaliknya 40 ahli Parlimen BN dibawa keluar ke Taiwan pada 8 September 2008 untuk memintas sokongan mereka kepada Pakatan.

Anwar berkata tuduhan-tuduhan yang di bawa oleh Zahrain dan pemimpin BN lain mengenai 16 September di parlimen baru-baru ini fitnah semata-mata dan tidak berpaksi kepada fakta serta urutan peristiwa yang berlaku.

Menurut Anwar, hanya beliau, Hadi dan Kit Siang yang mengetahui segala fakta dan butiran mengenai pengambil alihan kuasa pada 16 September 2008.

"Saya mendapat nama jumlah ahli parlimen, saya tidak cerita kepada semua.

Tetapi kepada Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang saya beritahu, sebab kita berpakat senarai yang saya dapat yang telah ditandatangan.

"Keputusan kita ialah tulis surat kepada Abdullah Badawi untuk berbincang masa depan politik negara, tetapi dia tak mahu jumpa," tegas Anwar.

Menurut Anwar, usaha itu gagal kerana Abdullah enggan mengadakan sidang khas tergempar ketika itu, sebaliknya ahli-ahli BN yang dikatakan mahu melompat ke Pakatan dihalang berbuat demikian.

"Kita bincang sebagai ketiga pemimpin, Ustaz Hadi dan Kit Siang tulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat. Saya kata buat mesyuarat khas kita nak bentangkan undi tak percaya untuk jatuhkan BNl," tegas Anwar.

"Tetapi perkara itu tak jadi pasal depa tak panggil mesyuarat. Semasa mesyuarat (dirancang) diadakan depa bawa lari ahli-ahli parlimen ke Taiwan.

Sekarang ini nak tuduh saya khianat pasal apa?," tegas Anwar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO tak mungkin dapat tipu rakyat selamanya..