16 Feb 2010

Operasi Hari Kekasih, 52 Termasuk Pelajar IPTA Ditahan

Gelagat manusia mengamalkan hubungan intim bebas tanpa ikatan sah ditambah sempena Hari Valentine di ibu kota kerap mengundang rasa gelisah pelbagai pihak.

Dalam suatu serbuan melibatkan 50 anggota penguatkuasa Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar 8 buah hotel bajet di sini, menyaksikan 52 orang ditahan bersama alasan-alasan yang mencurigakan.

Antara mereka, seorang gadis bawah umur dalam lingkungan 16 tahun turut ditahan bersama abang angkat serta seorang lagi lelaki lain dalam bilik sama.

Alasan gadis itu, beliau lari dari rumah dan mendapatkan perlindungan daripada abang angkatnya kerana malu gambar bogelnya disebar oleh bekas teman lelakinya sebelum ini.

Turut ditahan dalam operasi serbuan itu, adalah seorang wanita berusia 24 tahun yang hanya memakai coli dan seluar dalam di salah sebuah bilik hotel.

Selain itu, antara yang mengaibkan adalah reaksi seorang lelaki berusia 30-an ketika gambar beliau bersama kekasihnya dirakam pihak media dalam satu operasi yang sama di tempat yang lain.

Lelaki itu ditahan bersama pasangannya kerana berdua-duaan di tempat sunyi di Tasik Titiwangsa dalam satu operasi cegah maksiat Jawi yang bermula pukul 10 malam.

Operasi selama lima jam itu telah menyebabkan kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan, Zainul Abidin Mat Nor berkata, operasi turut dijalankan di lapan buah hotel bajet di sekitar ibu negara.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan individu ditahan mengikut Seksyen 27 kerana berkhalwat, manakala 44 lagi individu ditahan mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

"Kesemua yang ditahan sudah bekerja dan masih belajar, berusia antara 16 dan 30 tahun. Sementara itu, di Wilayah Persekutuan Labuan, empat individu ditahan kerana minum arak dan dua pasangan remaja dicekup kerana berkhalwat," kata Zainul baru-baru ini ketika mengetengahkan hasil dapatan baru.

Operasi itu turut mengesan kehadiran pelbagai gelagat dan alasan yang diberikan oleh pasangan-pasangan terbabit ketika ditahan pihak penguat kuasa.

Kebanyakan mereka memberi alasan dalam perancangan berkahwin, terpaksa menginap di hotel selepas penat bersiar-siar dan tidak sempat membeli tiket bas pulang ke kampung halaman. Laporan : erapakatan Video : Edisi 7



Tiada ulasan: