8 Dis 2009

Tabung Kebajikan Harakah : Satu Keperluan Mendesak

Kepada Tuan Guru - Penubuhan Tabung Kritikal Harakah
Oleh Alibukhari

Salam Tuan Guru ... Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan dan berlimpahan salam dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.Mohon maaf jika kehadiran surat ini mengganggu ketenangan Tuan Guru. Entah ke mana mahu saya layangkan pemikiran ini. Mungkin, Tuan Guru antara yang sesuai diajak runding bicara. Semoga warkah ini dapat menjadi ladang menabur benih-benih idea yang akhirnya mencambahkan tunas tindakan guna meraih redha Tuhan.

Malam 5 Disember, saya bertemu Ahmad Lutfi Othman di rumahnya. Beliau kelihatan uzur tak seperti selalu. Keuzurannya kali ini ada banyak bezanya.

Saya kerap ke rumahnya berbual-bual tentang isu apa saja, dan tentu saja saya dapat menelaah, mengukur kesakitannya dan menyukat kepedihannya selama ini.

Kali ini, kami tidak berbual panjang, memandangkan dia perlu rehat yang lebih sedikit.


Keuzuran di Sandakan paling azab!

Untuk pengetahuan tuan guru, ketika saya dan Ahmad Lutfi ke Sandakan untuk memberikan bantuan ke atas keluarga bekas tahanan ISA, ketika itulah beliau mengalami kesakitan yang amat sangat.

"Ana ingat dah tak boleh balik dah ni," kata Ahmad Lutfi lagi, "Ingatkan kita tak boleh balik semenanjung dah sebab sakit sangat tadi."

Ada ketika-ketikanya dia akan uzur. Dan, keuzuran di Sandakan, Ramadhan lalu adalah yang paling teruk, menurutnya.

Ketika kami ingin pulang ke semenanjung, kereta seorang aktivis Pas Sabah yang membawa kami terhenti seketika. Ahmad Lutfi muntah di tepi jalan!

Saya mengurut belakangnya perlahan-lahan dan ketika nampak lega sedikit baru kami berkereta semula meneruskan perjalanan.

Ketika hampir berbuka puasa, puan Norlaila Othman yang juga menyaksikan kejadian itu turut bertanya, "Tak nak ceritakah hal Ahmad Lutfi yang sakit ketika bagi bantuan kepada keluarga tahanan ISA di sini?"

Saya mengangguk, memberikan jaminan. "Ya, dah tentu," balas saya ringkas. Tapi, entah bila dapat saya ceritakan hal itu secara lebih rinci, tak tahu juga.

Sebelum tibanya masa berbuka petang itu, saya tiada lain hal lain lagi. Saya mengurut kakinya yang kebas-kebas. Dia memang 'flat' habis atas tilam di rumah Su dan suaminya, ahli jemaah Pas kita di Sabah sana.

Ringankan bebannya

Tuan Guru yang dihormati,

Manusia yang bernama Ahmad Lutfi ini memang keras hati orangnya. Walau ditegah agar tidak bekerja, tapi dia tetaplah teringatkan pejabat, kerja-kerja menyunting yang tidak habis-habis bertimbun di pejabat.

Barangkali, perlu ada semacam satu sistem untuk memudahkannya bekerja, menyunting bahan dari rumah saja. Teknologi hari ini menunjukkan bahawa sudah ada kemudahan seperti itu. Mungkin kita boleh cuba.

"Isnin malam tu, ana dah rasa kurang sihat, sebab tu balik awal," katanya kepada saya baru-baru ini di rumahnya. Kebetulan, Husam Musa tiba di rumahnya. Atas nasihat Husam, maka dibawa ke sebuah pusat perubatan.

"Malam 'deadline' Harakah tu ana dah mula rasa panas badan dan nafas dah mula tersekat-sekat," kata beliau kepada saya lagi. Beliau lebih arif mengenai hal kejadian yang sebenar malam itu. Saya sekadar menulis berdasar ingatan.

Kos sekali rawatan - RM18,000!

Saya terkejut juga apabila sembang-sembang malam itu, dia dedahkan kos rawatannya adalah RM18000! Itu kos rawatan ketika baru selesai membuka SATU saluran darah yang sudah tersumbat.

Jumaat depan masih ada satu lagi rawatan untuk membuka dua lagi saluran darah ke jantung. Entah berapa lagi kos rawatan yang terpaksa ditanggung?

"Nampak darah terpancut, tersembur di skrin masa tu," katanya ketika bercerita mengenai rawatan angioplasty untuk membuang plak yang mengeras dalam pembuluh darahnya. Kata beliau, rawatan itu berlangsung 45 minit saja, tapi mungkin ada prosedur lain yang menyebabkan.

Sebatang alat halus setebal 3mm dimasukkan di pehanya yang telah siap dibius, lalu di skrin, pesakit dalam keadaan sedar boleh melihat bagaimana alat halus itu 'menggaru-garu' plak yang lama mengeras di saluran darah.

Ertinya, Tuan Guru, ini bukanlah pembedahan seperti pintasan jantung yang telah dialami oleh arwah bekas Presiden Ustaz Fadhil Noor. Mungkin rawatan ini agak mahal juga. Paling meresahkan, insuran tidak 'cover' rawatan ini.

Tabung Penyakit Kritikal Harakah

Ahmad Lutfi memegang kepalanya yang masih berdenyut. Dua keping kuih samosat dan air milo menemani bualan kami. Luqman Hakim, anaknya tiba menatang dulang sedang kami rancak berbual-bual pada malam itu.

"Ada apa-apa kat ayah tak untuk dimakan?" kata Ahmad Lutfi kepada anaknya. Melihatkan anaknya tercegat saja, beliau bersuara, "Bawak mai la pisang."

Samusat yang berminyak, garing dan masih panas itu tentunya tidak boleh melawan drama pergolakan darah yang berperang dengan glukosa, gula di tubuhnya. Wajahnya itu masih berkerut memikirkan muatan limpahan derita yang sarat ditanggungnya sejak sekian lama.

Dia benar-benar dalam dilema sekarang. Beberapa minggu lalu, Ahmad Lutfi bercerita mengenai gagasannya, mahu menjadikan Harakah sebagai akhbar berkebajikan. Kalau nak lanjutkan hal ini tuan guru, kena ada 100 halaman. Nantilah dalam surat selanjutnya saya bercerita, insya Allah Ta'ala.

Apabila insurans tidak cover 'diabetes', ini tentunya mengundang masalah baru buat dirinya. Kesengsaraan menyebabkannya menjadi lebih peka dan prihatin terhadap masalah, bebanan kehidupan orang lain.

Ada isu pekerja yang beliau dapat 'fight', dan ada juga yang tak dapat beliau perjuangkan kerana hal-hal teknikal yang merumitkan kerana ada prosedur.

"Sepatutnya, kena ada Tabung Penyakit Kritikal Harakah dan ia bersifat urgent. Dan, tabung ini bukan untuk staf Harakah saja, tapi untuk orang lain sama," katanya.

Luqman tiba dari dapur, lalu memberikan ayahnya buah pisang. Bualan kami terhenti. Dan saya terfikir juga tuan guru, betapa kita telah banyak menyeru ke arah 'Negara Berkebajikan'.

Ahmad Lutfi ingin akhbar ini menjadi 'akhbar berkebajikan'. Tabung Harakah guna meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa tahanan ISA itu mewakili cerminan, limpahan manifestasi ke atas faham berkebajikan.

Saya menyeru atas nama 'parti berkebajikan' kita yang mahu dikembangkan dalam wajah 'Negara Berkebajikan' dalam pilihanraya akan datang, agar kita benar-benar mewajahkan ahli-ahli jemaah kita sebagai ahli berkebajikan.

Sabda Rasulullah yang masih tenggelam timbul dalam lipatan ingatan saya, "Iman itu ada 70 cabang. Yang tertinggi, mengucapkan tiada Tuhan selain Allah dan yang paling rendah ialah memungut ranting kayu yang tajam di tepian jalanan."

Sampai tahap begitu sekali pertalian iman dengan faham 'berkebajikan' itu, sehinggakan nabi menyuruh kita menarik ranting kayu tajam di jalanan. Itu adalah contoh kita berkebajikan kepada alam dan manusia.

Hari in, kita saksikan sungai kotor dan kali coklat menjalar ke lautan pekat. Sungai itu akhirnya memberontak marah apabila kita asyik membuang racun sampah di dalamnya. Pemberontakan kali itu hadir di dalam bermacam rupa paras wajah dan gaya.

Bah adalah salah satu cara pemberontakannya. itu di luar batang tubuh kita. Cuba lihat apa yang ada dalam tubuh kita, betapa saliran sungai-sungai urat darah di tubuh kita sendiri telah tercemar oleh racun-racun kolesterol!

Usaha membersih sungai dengan membuang sampah-sarap yang berselirat di dalamnya termasuk menjernihkan asid, alkali yang terapung, tenggelam di dalamnya adalah usaha milik kita semua.

Urat-urat yang mengalir di dalamnya darah merah adalah juga sungai-sungai dalam tubuh badan negara Malaysia yang asalnya jernih.

Kejernihannya itu memukau dan mempesona sehinggakan ia boleh diminum sehinggalah insan biadap kerana dibiadapkan di atas nama tahyul kemajuan dan khurafat pembangunan.

Tuan Guru yang budiman,

Maaf, saya bukan ingin berkhutbah. Saya cuma kesal dengan keadaan sikap liar sesetengah ahli masyarakat yang tidak peduli dan tidak hiraukan taraf kesihatan bumi yang kita duduki ini. Alam kita makin tenat dan bumi nazak.

Sebelum meminta maaf kepada Tuan Guru atas 'khutbah' tiba-tiba ini, saya ingin memajukan rumusan hasil bualan kami berdua baru-baru ini.

Pertamanya, hendaklah Harakah itu dapat mewujudkan Tabung Penyakit Kritikal yang mana wangnya dapat dikeluarkan dengan segera, 'urgent'. Jika dilihat tabung lain ia memerlukan prosedur sedangkan nyawa seseorang kita tidak boleh berkompromi dengannya.

Keduanya, saya harap, kita dapat betul-betul merancakkan wacana, meneliti dan memperhalusi apakah sebenarnya intipati 'Negara Berkebajikan'.

Lalu kita boleh kembangkan konsep akhbar berkebajikan, parti berkebajikan dan apakah itu ahli parti berkebajikan juga!

Barangkali, kita tidak perlu sampai mengadakan EGM untuk membuat bedah siasatan ke atas lidah rasmi parti. Memadai dengan membuat seminar untuk meneliti makna, maksud, faham dan konsep 'berkebajikan' yang kita jaja ke atas umat Malaya Merdeka hari ini.

Malam merangkak lambat-lambat ke barat dan cahaya rembulan diredupkan awan. Secangkir dua, tiga air milo diteguk dan 2 samusa telah ghaib di piring hilang ditelan masuk, dikunyah di mulut, lalu meluncur ke perut.

"Eheerp," saya pun tersendawa. Alhamdulillah ...

"Makan samusa tu syeikh, ana tak boleh makan," katanya. Kasihan, beliau kena menjauhi makanan berminyak. Tapi, kalau dia sihat sikit, dia makan jugak!

Cicak-cicak menyanyi di tembok-tembok dan rembulan berlayar. Saya minta diri dari Ahmad Lutfi memandangkan beliau perlu banyak beristirehat.

Selamat dinihari tuan guru. Nantilah, jika ada kelapangan, mungkin dapatlah kita berbual panjang. Hajat saya mahu menemubual tuan guru sentiasa ada, tersemat jauh dalam lubuk hati saya. Sampai ketemu, insya Allah Taala.

2:41 a.m, 7 Disember 2009

Sekolah Pemikiran Kg Baru

Ulasan GB

Saya merasakan sudah sampai masanya untuk dihentikan segala retorika mengenai negara kebajikan sebelum kita sendiri bangun secara realiti mewujudkan bahawa PAS adalah sebuah jamaah yang banyak bekerja dan bukan banyak bercakap.

Kita perlu bangun menunjukkan teladan. Kita perlu bangun memperkasakan parti di dalam ertikata mendepani untuk membantu mereka yang memerlukan. Apatah lagi kepada mereka yang dikenali sudah mencurahkan kehidupannya untuk jemaah.

Hal sebegini sudah lama GB renungkan. Bermula dengan sejarah GB sendiri yang GB pernah luahkan di dalam artikel Dari Mahazalim Ke Greenboc mengajar GB bahawa bebanan dan kesakitan yang dideritai oleh seseorang ahli kadang-kala lansung tidak mendapat perhatian pimpinan parti sendiri.

Kita sibuk bercakap mengenai negara kebajikan, kita lantang berbicara mengenai negara makmur yang mendapat keampunan Tuhan (baldatun tayyibatun wa-rabbun ghaffur), kita keras menentang negara yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan, namun kini kita diuji Tuhan untuk merealisasikan apa yang kita perkatakan di kalangan kita sendiri.

NOTA: Mereka yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai kos rawatan Ahmad Lutfi Othman, boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank Ahmad Luqman Hakim 162179670906.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

adoiii... naper pimpinan PAS tak prihatin dalam hal ini.. masing2 sibuk berjuang untuk perut sendiri. sepatutnya Prsiden mendahului yang lain-lain membuat kenyataan media tentang perlunya setiap ahli PAS menghulurkan sumbangan dengan memberi arahan semua wakil rakyat PAS memotong gaji RM500 sebulan bagi ADUN dan RM800 sbulan dari ahli parlimen PAS untuk tabung kebajikan ini.

cakap banyak ADUN2 dan Ahli Parlimen PAS, sedangkan sdra seIslam dari jemaah sendiri yang sedang menderita kesakitan tidak dihiraukan.

Manalah Allah tak marah kepada PAS. Manalah Allah tak turunkan bala dan ujian besar kepada pimpinan.

Anak saudara Lutfi berkata...

Tuan GreenBox tambah sikit kat bawah artikel ni: *** Nota:- Mereka yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai kos rawatan Ahmad Lutfi Othman, boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank Ahmad Luqman Hakim 162179670906.

Bekas Ahli PAS berkata...

Jangan marahkan TUAN PRESIDEN kerana TUAN PRESIDEN masih belum dapat nasihat daripada para penasihatnya.

Sejak berlakunya krisis kepimpinan PAS, TUAN PRESIDEN masih belum membuat apa-apa lagi keputusan yang meyakinkan.

Berdosa ke kalau saya katakan TUAN PRESIDEN sebagai seorang yang LEMBAB? Saya tidak mencaci ulama tetapi saya hanya katakan TUAN PRESIDEN tak layak menjadi leader dalam jemaah sebesar PAS.

Mungkin TUAN PRESIDEN hanya layak memimpin jemaah dalam solat di masjid sahaja.

Maaf kalau komen ini melampau.

john berkata...

saya sudah tidak menaruh harapan lagi pada pas sejak timbul skandal UG. Maafkan saya...