30 Dis 2009

SPR Ikut Telunjuk BN, Sepatutnya Tumpukan Hal Lebih Penting

Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari mendapat reaksi berbeza daripada pemimpin parti-parti politik.

Rata-rata parti pembangkang menyifatkan cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang sia-sia dan tidak akan memberi banyak perubahan kepada sistem pilihan raya di negara ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan, cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang mengarut dan tidak berfaedah.

Beliau berkata, cadangan supaya tempoh penamaan calon dilanjutkan selama tiga hari hanya membuang masa dan merugikan.

"Ini mengarut dan buang masa. PAS tolak sama sekali cadangan ini," katanya di sini hari ini, Mstar dipetik.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan SPR untuk meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Antara cadangannya ialah bagi melanjutkan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.

Jika cadangan itu diluluskan maka tempoh bertenang akan bermula sehari sebelum hari pembuangan undi berbanding bermula pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian sekarang ini.

Cadangan supaya tempoh penamaan calon dipanjangkan selama tiga hari pula untuk mengelakkan pertembungan penyokong parti-parti bertanding yang datang secara serentak.

Selain itu, Salahuddin juga berkata, SPR sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan integriti suruhanjaya itu terutamanya dalam isu-isu yang memberi kepentingan kepada rakyat.

"Saya nak nasihatkan kepada SPR supaya fikir perkara-perkara yang lebih besar dan memberi manfaat kepada pengundi... bukannya perkara remeh dan teknikal macam ini.

"Ada banyak isu lain perlu diteliti seperti masalah undi pos, kos perbelanjaan pilihan raya serta mengenai kebebasan media," katanya.

Jelas beliau, isu keselamatan yang dibangkitkan oleh SPR sebenarnya boleh diatasi dengan meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan.

Katanya, isu berkenaan tidak akan berbangkit sekiranya SPR menyediakan mekanisme yang terancang bagi mengelak berlakunya kekecohan di kalangan penyokong parti pada hari penamaan calon.

"SPR sepatutnya sediakan tempat yang sesuai untuk para penyokong bagi parti-parti yang bertanding.

"Mereka juga perlu tingkatkan kawalan keselamatan dengan kerjasama pihak yang berwajib bagi mengawal proses penamaan calon... itu sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, cadangan bagi melanjutkan tempoh bertenang kepada 24 jam adalah sesuatu yang baik.

"Yang itu baiklah, itu tak ada masalah... tapi walau apa pun kita kena bahas dulu usul ini bila ia dibentangkan di Parlimen nanti," katanya.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga menolak cadangan berkenaan kerana menganggap ia hanya memberi kepentingan kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata, pihaknya meragui cadangan SPR itu kerana dilihat mempunyai muslihat yang tersembunyi.

"Dengan cadangan ini kita nampak macam SPR ada agenda tertentu untuk berpihak kepada BN.

"Itu semua cadangan BN, cadangan kita dari pembangkang langsung tidak diendahkan sedangkan isu-isunya adalah lebih besar dan penting.

"Kita bukan sahaja menolak, tapi kesal dengan sikap SPR yang agak berat sebelah ini,"
katanya.

Jelasnya, SPR perlu lebih prihatin dan peka dengan permintaan rakyat yang mahu beberapa isu diselesaikan dengan segera.

"Tolonglah tumpu kepada isu-isu yang lebih besar seperti pemutihan senarai pengundi, kemaskini data pilihan raya... ini lagi penting," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memberikan pandangan berbeza mengenai cadangan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan sedemikian kerana dilihat mampu mewujudkan suasana pilihan raya yang tenteram dan aman.

"Saya pasti SPR sudah perhalusi dan menilai mengenai cadangan ini sebelum mereka suarakan.

"Bagi Umno, kami melihat cadangan ini memang ada baiknya namun perlu diperhalusi mengenai kaedah perlaksanaan," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun cadangan tersebut diterima, hak demokrasi pengundi tidak diabaikan.

"Hak demokrasi adalah sangat penting, selagi cadangan ini tidak menggugat hak berkenaan, saya rasa tidak ada masalah jika cadangan ini diterima," katanya.



Tiga Hari: Gatal Tempat Lain, Garu Tempat Lain

Proses penamaan calon selama tiga hari adalah antara cadangan pindaan undang-undang yang bakal dibuat oleh SPR. Tujuannya ialah mengelakkan pertembungan penyokong calon dan pergaduhan.

Tidak ada masalah apa-apa untuk menyokong cadangan SPR ini. Tetapi, itu bukan bermakna cadangan ini tidak boleh dibahaskan oleh umum sebelum ia dibahaskan di peringkat legislatif.

Soalan awal ialah hanya tiga hari, mengapa tidak lima atau tujuh? Apa beza satu, tiga, lima atau tujuh? Mengapa tempoh penamaan calon dan bukan tempoh kempen?

Umum tahu, Malaysia berhadapan masalah pilihanraya yang berat sebelah. SPR menjadi pengendali pilihanraya yang bekerja keras memenangkan BN. Pengerusi SPR macam ketua cawangan Umno.

Serius sangatkah masalah penyokong calon berkumpul pada hari penamaan calon? Berapa yang sudah pecah kepala, patah kaki, terjatuh bangunan, terbom sampai berkecai? SPR punya data? Inilah yang dipanggil, gatal di betis tetapi garu di perut. Enjin yang rosak tetapi tayar yang ditukar.

SPR tidak mengendahkan masalah pilihanraya kita yang lebih besar tetapi memberi perhatian kepada masalah kecil. Cadangan ini tidak memberi kesan besar kepada proses pilihanraya Malaysia yang adil, bersih dan telus. Cadangan ini hanya menjadi ‘bedak’ untuk menutup cela-cela yang terdapat di muka SPR.

Apa maknanya tempoh penamaan calon yang panjang jika daftar pemilih masih bercelaru? Bukankah telah dibuktikan semasa PRK Bagan Pinang ada 250 nama pemilih bertindih?

Mana lebih berkesan antara cadangan ini dengan cadangan BERSIH supaya digunakan dakwat kekal di jari pengundi? Panjangkan tempoh penamaan calon boleh memerangkap pengundi hantu?

Apa ertinya cadangan ini jika sistem undi pos masih dipakai? Negara kita dalam daruratkah? Adakah undi pos terus dikekalkan walau dipertikai kerana itu adalah ‘simpanan tetap’ Umno dan Najib juga?

Apa nilainya cadangan ini jika akses kepada media oleh parti-parti yang menentang Umno masih dinafikan? Media kerajaan diperalatkan oleh Umno/BN dan mereka akan berhenti melakukannya dengan cadangan ini?

Adakah SPR menjangka masalah yang bakal timbul jika tempoh itu dipanjangkan?

Misalnya, ugutan kepada bakal calon. Ruang kepada pihak yang berniat jahat untuk mengugut bakal calon adalah terhad selepas penyerahan borang kerana tempohnya kini adalah pendek. Kalau tempohnya sehingga tiga hari, bagaimana?

Bukankah tempoh yang panjang juga membuka ruang untuk bakal calon dirasuah atau dibeli supaya menarik diri? Atau mungkin juga diculik atau di’siempat’kan? Direka-reka pertuduhan untuk menghilangkan kelayakan bakal calon bertanding juga boleh dibuat. Mustahilkah ini berlaku?

Ya, dalam sebuah negara dimana model wanita boleh diletupkan, enjin jet boleh dihilangkan, seorang yang disoal siasat boleh ‘jatuh’ dari bangunan dan mati, stadium dan masjid boleh runtuh, pelabuhan boleh diseleweng, andaian tadi adalah terlalu sukar untuk dinafikan daripada berlaku.

Bagaimana pula dengan keselamatan dokumen penamaan calon yang diserahkan? Apakah jaminan SPR? Kalau rekod kemasukan model wanita ke negara ini boleh ‘hilang’ daripada sistem komputer imigresen, bagaimana dengan rekod bakal calon yang terisi hanya di atas beberapa helaian kertas?

Itu hanya andaian masalah kecil. Andaian ini untuk menggambarkan bahawa cadangan SPR ini tidak menyelesaikan masalah ketidakadilan, ketidaktelusan dan ketidakbersihan pilihanraya kita.

Pendeknya, cadangan SPR ini membuka ruang kepada BN untuk mencipta bentuk-bentuk penipuan, penyelewengan dan pemerkosaan baru kepada sistem pillihanraya Malaysia. Pengalaman rakyat Malaysia menyertai pilihanraya puluhan kali mendorong andaian negatif dibuat kepada BN sebegitu.

SPR pula tidak berupaya membendung penyelewengan dan pemerkosaan baru itu kerana badan itu semenjak sekian lama memang berfungsi sebagai cawangan Umno yang entah ke berapa.

Kesan politik kepada umum pula ialah kepekaan rakyat kepada pilihanraya bakal menurun. Analoginya, hariraya kedua dan ketiga tidak lagi semeriah hariraya pertama. Sesiapa sahaja boleh membeli borang pencalonan dan menghantarnya.

Menyertai pilihanraya bakal menjadi seperti menyertai cabutan bertuah. Kalau tempoh penamaan calon hanya sehari pun berbelas orang orang menyertainya, bayangkan kalau tiga hari. Persepsi rakyat, pilihanraya adalah majlis cabutan bertuah. Negara yang rakyatnya hilang sensitiviti politik bakal mengharungi masa depan yang tidak menentu.

Pendek kata, cadangan SPR ini tidak menyelesaikan masalah asas sistem pilihanraya Malaysia. Cadangan ini turut membuka ruang untuk BN menerokai bentuk-bentuk penipuan baru di samping timbunan penipuan yang telah sedia ada.

SPR, garulah di tempat yang gatal. Bukan gatal tempat lain, garu tempat lain. Kecuali SPR memang tidak punya saraf gatal lagi, garu ikut sedap saja. -bongkarsauh



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apabila kita sentuh SPR kita akan dapat rasakan bahawa kita berhadapan dengan agensi penipu.

Sebelum 2008 ramai rakyat Malaysia tidak merasa curiga terhadap SPR kerana BN sentiasa menang. Mereka beranggapan bahawa pekerja SPR adalah jujur dan telus.

Tetapi setelah selesai pilihanraya ke12, maka terserlah sikap sebenar SPR yang disorokkan selama ini. Mereka adalah suruhanjaya pilihanraya penipu.

Kita boleh lihat banyak contoh tentang sikap SPR bertindak diluar bidang kuasanya dan menipu. Itu menunjukkan bahawa SPR badan bebas yang tidak boleh dipercayai apabila dia kendalikan apa jua pilihanraya.

Jika kita ingin membantah apa jua cadangan dari SPR, maka kita perlu menyuarakan bantahan itu melalui saluran yang betul. Tapi persoalannya dimanakah saluran itu...?

Perlukah pihak Pakatan Rakyat sama ada dari PAS,PKR atau DAP.... merayu pada SPR agar tidak meneruskan rancangan yang telah dirancang secara rapi dengan BN itu...?

Dalam politik, adakalahnya kita memang perlu merayu. Tapi jika cadangan itu akan mendatangkan kesan buruk pada pihak kita, apakah kita kena merayu seperti lelaki pondan...?

Kita perlu sedar bahawa pandai SPR tidak boleh diikut, dan bodoh SPR tidak boleh diajar.

Pihak Pakatan Rakyat mesti menolak dan menentang secara jelas agar cadangan itu tidak dilaksanakan. Bertindak dan terus bertindak sehingga rancangan jahat mereka tidak dapat dilaksanakan.

Barisan Nasional khususnya UMNO amat bergantung harapan pada SPR agar penipuan boleh dilakukan demi kemenangan mereka dalam pilihanraya.

Lupakah kita bagaimana Mohd. Najib boleh menang dalam kekalahannya..?

Jangan percaya pada SPR... "lawan tetap lawan..."