25 Nov 2009

Nik Aziz Sudah Bayangkan Penggantinya

Selepas 19 tahun mengetuai kepimpinan pentadbiran negeri, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membayangkan barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.

Semalam ketika ditemui di sini Nik Aziz (gambar) tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Beliau yang enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu, bagaimanapun memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan beliau ialah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob.

Dua hari lalu, leh Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa agar Nik Aziz menamakan penggantinya ketika pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau yang sudah tahun ke-19, terus dibelenggu isu demi isu.

"Saya secara peribadi rasa perlu Tuan Guru Nik Aziz menamakan pengganti atau sekurangnya bagi petanda untuk mudahkan proses," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mohd Amar menambah: "Kalau berlaku tiba-tiba (perubahan pucuk pimpinan), mungkin orang yang naik (pengganti) perlukan masa untuk stabilkan keadaan."

Kata beliau, pandangan itu bukan bertujuan memaksa Nik Aziz berundur sekarang.

Pada hari yang sama Nik Aziz, ekoran tekanan dalam parti dan luar parti, telah meminta menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz sebelum ini mempertahankan pelantikan Ariffahmi. Ariffahmi kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Nik Aziz, 78, juga tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan semata-mata kerana kemelut yang kini melanda dalam PAS atau atas desakan mana-mana pihak.

"Saya tidak akan melepaskan jawatan kecuali kerana uzur atau tua, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya di sini malam tadi.

Nik Aziz dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PAS menguasai negeri itu dalam pilihan raya umum 1990. -MalaysianInsider

3 ulasan:

Adzam Shah berkata...

Bukan taksub, bukan memuliakan. Namun di dalam keadaan tekanan dari gandingan Najib/ Muhyiddin PAS masih perlukan Tuan Guru. Dua orang kuat BN sedang berusaha kuat untuk mengacau bilaukan PAS dengan memberi tekanan demi tekanan kepada Tuan Guru dengan apa cara jua sekalipun. Bersabarlah wahai orang-orang kuat dalam PAS yang dah mula juga memberi tekanan kepada Tuan Guru. Masa kamu-kamu untuk menerajui PAS bukan sekarang.

Tanpa Nama berkata...

saya fikir Nik Aziz telah beberapa kali MEMBERI PETANDA/PETUNJUK mengenai PENGGANTI beliau tapi nampaknya ramai yang masih buta atau buat-buat buta kerana penggantinya itu tidak memenuhi selera mereka/mengancam kuasa politik mereka...

Tanpa Nama berkata...

Nik Aziz bayangkan pelapis, tapi siapa?

-------

Siapa??? kenapa masih bertanyakan perkara ini. Bukankah Tok Guru telah MEMBERI PERBAGAI PETUNJUK mengenai siapa penggantinya.

Adakah tak nampak atau buat-buat tak nampak???