28 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Tenggelamkah PAS Pada PRU13?

Bahtera Islam yang dibawa PAS besar kemungkinan bakal tenggelam apabila tibanya PRU13 nanti. Peristiwa sekongkolan PAS di zaman Tun Razak masih belum luput dalam ingatan. Sekarang mahu dicipta satu lagi kes kerajaan perpaduan terbaru?

Apabila isu EGM dinyalakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, musuh turun temurun PAS, (sekarang Pakatan Rakyat), Umno tentulah tersangat gumbira. Apa tidaknya pokok yang mereka tanam sejak selesainya PRU12 yang lalu kelihatannya masih ada harapan besar membuah dan dituai. Buahnya yang mulai masak nampaknya boleh diharapkan segera gugur.

Maka kita boleh faham kenapa ada yang marah-marah dengan telatah TGNA yang tak semena-mena sekali lagi, tanpa hujan tanpa ribut melambungkan bola tanggung? Pelik bukan? Itu kata kita, rakyat biasa yang tidak tahu menahu perihal intrig dalaman Pas kerana rakyat biasa tidak termasuk di dalam inner circle elit pimpinan PAS. Rakyat tidak ada keistimewaan untuk mengetahui itu semua.

Walaupun demikian ini bukanlah pula bermakna bahawa para pemimpin elit ini boleh mengambil mudah dengan segala tingkah karenah, sepak terajang mereka sebaik saja keputusan PRU12 diketahui.

Mereka tidak bolehlah mengandaikan bahawa kerana wayangnya dilakonkan di sebalik tabir, maka mereka, para pemimpin elit ini bolehlah berpura-pura bisu dan tuli. Rakyat mungkin tidak ada maklumat terperinci. Namun begitu ini tidaklah pula bermakna yang seluruh rakyat itu bodoh-bodoh, tuli dan buta belaka.

Umno boleh dan telahpun sekian lama berbuat demikian, memperbodoh-bodohkan rakyat. Apakah PAS juga mahu mengikuti jejak-jejak itu?

Mari kita kembali semula kepada pokok persoalannya. Pada pandangan kita yang kurang cerdik ini, di antara isu besar yang begitu memudharatkan ialah gagasan kerajaan perpaduan, unity government yang bakal menjanjikan jawatan-jawatan besar kepada para pemimpin PAS sendiri.

Kedua tentunya apa yang berlaku di Selangor, khususnya telatah seorang pemimpin besar PAS yang juga menjadi seorang EXCO kerajaan Negeri Selangor. Pelik tapi benar, pembesar ini terlibat secara terbuka dalam serangan dan perang terbuka terhadap SELCAT, sebuah upaya bersungguh-sungguh kerajaan Pakatan Rakyat yang beliau sendiri menjadi EXCOnya, untuk membanteras rasuah. Itu lawak tidak jenakanya yang pertama.

Kemudian Kerajaan Pakatan yang PAS menjadi komponennya berdepan pula dengan isu pemindahan kuil. Pelbagai cerita telah timbul dalam isu ini. YB Khalid Samad yang dipecat dari barisan pimpinan PAS Selangor, telah berdepan dengan rakyat yang marah-marah. Beliau telah didokong bos mereka YAB Khalid yang juga begitu gagah sekali berdepan dengan isu peninggalan Umno itu.

Tak cukup dengan itu kita berdepan pula dengan pesta mengarak kepala lembu yang sepatutnya menjadi bola yang sangat tanggung kepada EXCO besar PAS ini. Dan beliau, si EXCO PAS ini bertindak dengan tegas sekali. Beliau membisu.

Jika isu Gagasan Kerajaan Perpaduan melibatkan para panglima PAS yang umumnya datang dari Terengganu yang disebut nama-namanya oleh TGNA tetapi isu-isu SELCAT, pemindahan kuil dan kepala lembu di Selangor memperlihatkan dengan jelas sikap dan tingkah seorang pemimpin besar Pakatan Rakyat dari PAS.

Ini semua telah diulang berkali-kali oleh ramai penulis di berbagai-bagai media.
Peristiwa-peristiwa besar di atas jelas memberikan isyarat-isyarat yang sangat nyaring kepada seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dari pelbagai agama dan adat resam. Apakah isyarat-isyarat tersebut? Di antara mesej jelas yang terus diperkatakan orang, lebih-lebih lagi orang-orang BUKAN Melayu ialah:

1. PAS, sebagai sebuah parti politik tidak boleh dipercayai.

2. Pakatan Rakyat yang melibatkan PAS adalah pakatan yang rapuh, ia sebuah perkahwinan untuk berseronok-seronok, a marriage of convenience kata Umno.


Inilah isu-isunya. Barang diingat ia bukanlah hasil perbuatan licik musuh(?). Ia telah dicipta sendiri oleh PAS dan sesetengahnya telah didedahkan sendiri oleh mantan PM yang lalu. Apakah semua ini tidak ironis sekali?

Saya tidak tahu apakah para pemimpin besar PAS sangat yakin bahawa sesungguhnya kedua-dua isu di atas boleh hilang begitu saja hanya dengan menafikannya dengan sekeras-kerasnya. Semacam taubat nasuhalah, katakan. Bolehkah begitu? Begitu mudah?

PAS boleh menafikan dengan sekeras-kerasnya itu semua hanyalah fitnah jahat mainan Umno. Apakah rakyat lebih-lebih yang bukan Melayu dan bukan Islam akan percaya dengan penafian tersebut?

Pelik tapi benar, para bijak pandai agama yang saban hari bersyarah tentang pentingnya mengambil iktibar dari tragedi Perang Uhud terperangkap dengan ghanimah yang bertaburan selepas perang PRU12 yang lalu. Semuanya kecuali TGNA di Kelantan.

Sebagai penutup elok juga kiranya kita senaraikan beberapa komen, misalnya oleh sesetengah penulis dan blogger berhubung komen keras TGNA ini. Walaupun persoalan yang dibangkitkan ini bukanlah isu-isu pokok tetapi kelihatannya ia masih dilihat sangat penting. Mari kita teliti:

1. Apa yang dipos ke blog TGNA bukanlah hasil kerja beliau. Ada dalang di sebaliknya.

TGNA telah menyatakan bahawa itu adalah kerja beliau. Kenapa mesti persoalkan tentang dalang dan sebagainya? Seorang CEO menandatangani ribuan surat yang mengandungi buah fikirannya sendiri. Tanda tangan adalah manifestasi pertanggungjawaban itu. Apakah seorang CEO mesti berdepan dengan kekunci komputernya untuk menaip ribuan surat yang perlu diedarkan?

2. Semua masalah ini timbul angkara perebutan kuasa untuk menjadi PM. Anwar Ibrahim (DSAI) dijadikan culpritnya, oknumnya @ penjahatnya. Kenapa presiden PAS tidak boleh jadi PM kita, tanya mereka?

Belum pun bahtera mula belayar sudah berangan-angan. Memasang angan-angan itu dan ini. Jika ini datangnya dari kepala para pemimpin dan pengikut PAS, jelaslah kita berfikir tak pakai otak (bukan di luar kotak). Setidak-tidaknya Umno berkuasa lebih setengah abad sebelum benar-benar bercelaru. Kita sudahpun bercelaru walaupun sebelum berkuasa. Lawaknya.

3. Yang beria-ia menyokong TGNA, seperti penulis ini adalah para pemujanya. Mereka taksub sehingga berpendapat TGNA itu maksum. Ada yang menyebut TGNA sudah mereka dewakan.

Itu kata mereka yang tidak mahu melihat rasionalnya masalah yang besar yang telah timbul akibat perbuatan tiga empat kerat para pemimpin besar PAS termasuk para panglimanya. Apakah salah jika kita menjadi risau dan bimbang?

Bahtera Islam yang dibawa PAS besar kemungkinan bakal tenggelam apabila tibanya PRU13 nanti. Peristiwa sekongkolan PAS di zaman Tun Razak masih belum luput dalam ingatan. Sekarang mahu dicipta satu lagi kes kerajaan perpaduan terbaru?

Dalam hal ini tugas para pemimpin besar PAS ialah sekadar muncul dan menyatakan bahawa sesungguhnya semuanya hanya satu kekeliruan, bukanlah satu blunder @ kesilapan besar gagasan kerajaan perpaduan itu? Dan kes-kes Selangor itu juga telah selamat dan sejahtera? Begitu mudah?

Siapakah yang paling beruntung sekarang? Orang-orang yang sangat gembira ialah para pecacai, penulis komen yang diterjunkan oleh musuh-musuh PAS untuk menyerang dan memporak-perandakan blog-blog para penyokong Pas. Idea DSAI yang kemaruk jawatan PM diulang-ulangi. Kenapa? Itulah manusia politik yang paling ditakuti mereka. Sekarang saya telah melihat DSAI itu maksum? Ah, betapa lawaknya kalian.

Apakah kita tidak nampak semua ini? Badawi mungkin kelihatan seperti orang yang suka tidur tetapi dia juga ada tukang fikirnya. Dan dia tidak berfikir di luar otak. Bagi saya para panglima Pas telah memasuki perangkap Umno sebaik saja Perang Uhud, PRU 12 selesai.

Sekarang mereka gelabah dan serba salah kecuali TGNA yang telah masak dengan sepak terajangnya Umno. Apakah saya katakan beliau maksum? Tidak. Beliau manusia PAS yang sedikit cerdik dari yang lain-lainnya, lebih-lebih para panglima besar yang ghairah mengejar-gejar harta rampasan perang. -tulangbukanbesi

Wallhua'lam.

2 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Mungkin di kalangan kami (Pengundi Muda) tidak sampai ketahap itu untuk mengatahui siapa yang di katakan penyokong UG dan siapa penyokong TGNA.,.

Cuma kalau TGHH tergolong dalam kelompok UG.,maka ia amat mengecewakan kami.,.

Apa kah TGHH sudah lupa dgn kata kata nya satu ketika dulu yg melibatkan isu kafir mengkafir.,dan lupa kah beliau bagaimana Dato'Asri hanyut selepas bergabung dgn UMNO(Perikatan)?.

Kita membaca sejarah nya.

john berkata...

Bila baca artikel ni saya sangat terharu. Karangannya begitu baik sekali sehingga seperti dari diri saya sendiri yang membaca. Apakandaya semuanya berlaku disebabkan oleh sikap pemimpin itu sendiri yang mudah dipengaruhi,lemah dan tidak cerdik. Tak payah lah menuding jari kearah orang lain kerana akan menyebabkan rakyat lebih meluat.