3 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Permatang Pasir Menunggu Strategi Muhyiddin

Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir diakui kubu kuat Pas, UMNO mempunyai strategi tertentu untuk menggugat kekuatan parti pembangkang itu di kawasan terbabit, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, lapor Bernama

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO telah membuktikan kemampuannya ketika menghadapi Pas pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, sebuah lagi kubu kuat parti pembangkang itu baru-baru ini.

“Ya, ia kawasan kubu kuat Pas, tetapi telah terbukti di DUN Manek Urai yang juga adalah kubu kuat (Pas) tetapi kita boleh gugat kekuatan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan secara serentak persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh di sini, semalam.

Sementara itu Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nasaruddin Daud menyatakan Umno akan kecundang lagi dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir akan datang.

Nasaruddin berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang terletak di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh iaitu kubu Penasihat Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Umno seperti biasa akan menggunakan kekuatan wang ringgit dalam setiap pilihan raya untuk mencapai kemenangan tetapi mereka tewas juga seperti mana dalam pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.

"Kali ini kita mahu melihat Umno kalah dan serik berhadapan dangan PAS dalam pilihan raya," ujarnya pada majlis penerangan PAS kawasan Kuala Krau.

Menurutnya, walaupun majoriti kecil diperolehi PAS dalam pilihan raya itu, PAS tetap menang.

Kerusi Permatang Pasir kosong berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Dato' Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi 31 Julai lalu di Institut Jabtung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung. Beliau telah menjalani pembedahan sebelum pilihan raya umum ke-11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekali gus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Nasaruddin menyeru seluruh ahli turun ke Permatang Pasir untuk berhadapan dengan Umno sekali lagi.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyatakan keyakinannya bahawa PAS mampu mempertahankan kerusi Permatang Pasir.

Rakyat Permatang Pasir tidak sabar menunggu ketibaan Muhyiddin untuk datang berkempen di Permatang Pasir.

"Kita nak tengok apa pulak janji-janji dan temberangnya di Permatang Pasir nanti. Dia boleh cakap macam-macam kat Manek Urai dimana 99% pengundinya adalah Melayu. tetapi tidak di Permatang Pasir di mana 40% pengundinya bukan Melayu," kata seorang pemerhati politik.

Tiada ulasan: