3 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Kaum Bukan Melayu Juga Turut Serta Himpunan

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua menafikan bahawa demonstrasi Anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan kelmarin hanya terdiri kaum Melayu sahaja.

Katanya, tidak timbul isu terbabit kerana kaum lain juga turut terlibat secara langsung dalam perarakan itu dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Menurutnya, bangsa Cina dan India juga hadir menyertai perhimpunan itu tetapi kebanyakannya berkumpul di Kompleks Pernas Sogo.

“Dalam konteks ini saya rasa tidak timbul isu bangsa lain tidak terlibat. Kalau hanya fokus di Jalan Masjid India, kawasan terbabit memang ramai Melayu, tetapi jika dilihat secara keseluruhannya lokasi kaum lain pun kelihatan,

“Justeru jangan timbulkan soal perkauman di sini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang kononnya kaum Melayu lebih ramai terlibat dalam demonstrasi Anti-Isa yang diadakan pada Sabtu lalu anjuran Gerakan Mansuh Isa (GMI).

Tony berkata, dalam apa juga situasi persoalan berbau perkauman tidak patut digunakan sama sekali kerana ia akan mencetuskan keadaan negatif kepada masyarakat.

Beliau berkata, rakyat yang keluar adalah merangkumi semua kaum, tujuan asal mereka adalah satu iaitu untuk memansuhkan ISA.

“Perkara itu (mansuh ISA) lebih penting daripada mencetuskan perkauman. Bagi saya isu siapa ramai yang terlibat langsung tidak timbul.

“Saya rasa isu itu tidak pentingnya, tetapi matlamatnya adalah penting,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perhimpunan yang dilaksanakan itu membuktikan rakyat negara ini sanggup keluar menyokong mansuh akta itu.

“Penyertaan mereka (rakyat) merupakan satu cara untuk memberi desakan kepada kerajaan untuk bertindak memansuhkan akta terbabit,” katanya. -SH



Tiada ulasan: