15 Mei 2009

Penanti : Larangan Pondok Panas, SPR Terlalu Prasangka

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan parti-parti politik untuk menyediakan meja semakan bagi para pengundi menyemak sanarai daftar pemilih di luar kawasan 50 meter dari tempat mengundi.

Bagaimanapun SPR tetap dengan keputusan untuk melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas pada hari pengundian.

"Pondok panas kita tetap tidak benarkan kerana berdasarkan pengalaman lalu barung atau pondok panas ini dijadikan tempat berkempen.

"Tapi atas permintaan dan cadangan Pakatan Rakyat, kita bersetuju untuk benarkan mereka untuk hanya menempatkan meja semakan daftar pemilih untuk pengundi," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hasil perbincangan antara SPR dan Pakatan Rakyat pada Selasa lalu berhubung beberapa perkara berkaitan peraturan pilihan raya yang akan dikuatkuasakan pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Abdul Aziz berkata, meja semakan yang dibenarkan itu mestilah tidak melebihi saiz 10 kaki x tiga kaki dengan satu payung untuk berteduh.

"Jadi kali ini atas permintaan kita hanya benarkan meja semakan yang hanya bertujuan untuk buat semakan...tidak lebih daripada itu," katanya.

Langkah SPR yang tidak membenarkan pondok panas dilihat sebagai sikap berprasangka SPR yang measih menuduh parti politik menggunakannya sebagai tempat untuk berhimpun dan berkempen sedangkan tujuan sebenarnya hanyalah untuk memberi keselesaan kepada para pemilih menunggu giliran melakukan semakan supaya tidak terdedah kepada cuaca yang mungkin panas terik atau hujan.

"Bayangkan golongan orang tua yang terpaksa beratur panjang di hari panas dan tidak ada kemah yang melindunginya, begitu juga kepada para petugas dan peralatan mereka yang terdedah tanpa ada pondok panas. Langkah SPR itu tidak logik dan tidak berperi kemanusiaan, ia lebih kepada sikap prejudis dan mempunyai motif tersendiri di dalam melaksanakan peraturan yang tidak masuk akal itu," kata seorang pemimpin parti politik yang menghubungi GB hari ini.


Selain itu, mulai pilihan raya kecil DUN Penanti, SPR juga akan menguatkuasakan larangan supaya parti-parti politik yang bertanding tidak menempatkan perayu dan peraih undi pada hari pengundian.

"SPR juga tidak benarkan lagi para perayu dan peraih undi untuk berkempen dan memancing undi pada hari mengundi.

"Ini juga merupakan bentuk kempen dan bertentangan dengan undang-undang pilihan raya... kalau boleh kita mahu yang datang pada hari mengundi itu hanyalah para pengundi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu lagi, Abdul Aziz juga berkata cadangan untuk menghadkan kehadiran penyokong tidak melebihi 5,000 orang pada hari penamaan calon tidak akan dilaksanakan.

Jelas beliau setelah mendengar pandangan dan saranan yang dikemukakan, SPR mengambil keputusan untuk tidak melaksakan cadangan tersebut namun menasihatkan agar parti-parti politik tidak membawa jumlah penyokong yang terlalu ramai.

"Kita akui sukar untuk hadkan jumlah penyokong, tapi kita amat berharap agar parti politik boleh memainkan peranan mereka agar tidak membawa penyokong yang ramai kerana ia boleh menyukarkan proses.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Patutnya sudah beberapa tahun lepas SPR berbuat begitu. Malaysia sudah moden, terdapat pelbagai cara untuk menyemak maklumat untuk pengundian.

Zaman pondok panas sudah berlalu.